5 legenda pelumba basikal Malaysia yang korang kena tahu sebelum Azizulhasni Awang

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 9 Mac 2018*

Semalam, The Pocket Rocket Man, Datuk Azizulhasni Awang, telah menerima pingat perak dalam acara keirin lelaki. Walaupun tidak mendapat emas, tempat kedua pun sudah dianggap kejayaan yang paling besar untuk kita semua, yela ingat senang ke nak sampai ke olimpik.

Bangga weyh bendera Jalur Gemilang dinaikkan masa ni. Imej dari Irfan_newboyz.

Oh ye, korang nak tahu tak, sebelum ni kita juga ada legenda-legenda pelumba basikal sebelum Datuk Azizulhasni Awang yang pernah mengharumkan nama negara. Mungkin ada antara mereka yang korang kenal atau tidak. Takpe, mari kita mula dengan legenda pelumba basikal pertama iaitu…

1) Daud Ibrahim: Tak bercakap seminggu dengan sesiapa sebelum bertanding

Lebih 40 tahun dulu, mungkin ramai tak tahu yang negara kita dah pun ada juara berbasikal sukan Asia. Pada tahun 1970, Allahyarham Daud Ibrahim menang pingat emas dalam acara trek 1,600 meter lepas beramai-ramai di Sukan Asia Bangkok. Setahun lepas tu, dia bolot empat pingat emas dalam macam-macam kategori berbasikal trek pada Sukan SEAP 1971 (sekarang SEA). Apa lagi, dia pun dapatlah anugerah Olahragawan Kebangsaan pada tahun yang sama.

Daud Ibrahim (kiri) dengan pingat emas Sukan Asia Bangkok. Imej dari Utusan.

Memang silap besar kalau kita ingat team bola sepak dan badminton je yang masuk Olimpik. Sebab dia pernah jadi wakil berbasikal trek negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972. Walapun tak berjaya kat Olimpik, prestasi dia bukan makin berkurang tapi mencanak naik lain macam. Buktinya, dia bolot lima pingat emas pada Sukan SEA KL 1977.

Kalau kita tutup mata dan bayangkan tahun 1970-an, cukup maju ke fasiliti berbasikal sampai ada atlet gempak macam ni? Tapi, apa yang pasti, cara dia berlatih memang buat bulu roma kita meremang satu badan. Dilaporkan yang dia akan tidur awal pada pukul 10 malam sebab nak jaga kecergasan. Satu lagi ni, mungkin ramai yang tak boleh buat di zaman syarikat telco offer macam-macam untuk phone korang.

”Sebelum pertandingan, sudah menjadi kebiasaan buat dirinya untuk tidak bercakap dengan sesiapa selama seminggu bagi mengekalkan fokus.”- Petikan dari Utusan.

Aku tak nak sembang, aku hantar wakil rambut belah tengah.

Lepas beberapa lama berlatih dan bertanding, dia bersara serta dilantik menjadi jurulatih kebangsaan untuk Sukan SEA KL 1989. Kalau dulu dia bolot emas, sekarang anak-anak didik dia pulak bolot emas dengan jumlah empat pingat emas. Waktu Malaysia jadi tuan rumah sekali lagi di Sukan SEA 2001, dia diberi penghormatan untuk menyalakan obor Sukan SEA masa majlis pembukaan.

Nama Daud Ibrahim akhirnya hanya tinggal kenangan. Pada 11 November 2010, keretanya dilanggar oleh sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan. Dia menghembuskan nafas terakhir kerana kecederaan parah di kepala, tanpa sempat melihat atlet berbasikal trek menang pingat emas dalam mana-mana sukan Asia waktu dia hidup.

Tetap dalam kenangan. Imej dari Blog Dunia Itu.

2) Ng Joo Ngan: Pagi berkayuh 150 km, tengahari kerja bengkel kereta

Waktu Daud Ibrahim jadi juara berbasikal trek kat Sukan Asia Bangkok 1970, dia tak keseorangan untuk menggegarkan dunia berbasikal. Sebabnya, dalam acara berbasikal lebuh raya (macam Le Tour De Langkawi), pelumba Malaysia, Ng Joo Ngan juga berjaya dapatkan pingat emas. Bukan calang-calang ni, jauh kot berkayuh dan paling power kat Asia! Jadi, macam mana boleh muncul pelumba yang boleh berkayuh jauh ni kat Malaysia?

Imej dari Blog Kaki Conteng Lukisan.

Waktu remaja, jiran dia cabar untuk berlumba basikal yang mana dia kalah. Dia pun terus berlatih seminggu dan menang balik lawan jiran dia. Sejak kejadian tu lah dia berlatih berbasikal setiap hari selama setahun. Setiap pagi, dia akan bangun pukul 5 pagi dan berbasikal sejauh 150 km di kawasan Lembah Klang. Habis berlatih, dia tak tidur, tapi pergi kerja kat bengkel kereta sampai tengahari dengan gaji RM400 sebulan. Petang pulak, dia sambung berkayuh.

Makan basikal, mandi basikal, tidur basikal. Imej dari Saddle Cycling.

Dia bekerja pun sebab kena beli basikal pakai duit sendiri. Mana taknya, ayah dia hanya seorang peniaga kain dengan 17 orang anak. Bermula umur 17 tahun, dia masuk macam-macam perlumbaan basikal dan setahun lepas tu dia dah terpilih untuk jadi wakil negara. Bermula dari juara kebangsaan dan akhirnya juara Asia macam yang kami sebut sebelum ni. Lepas dah bersara, ramai pelumba-pelumba muda cari dia sebab nak minta tunjuk ajar.

Dia juga ditugaskan untuk menjadi jurulatih pasukan berbasikal waktu Malaysia jadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998. Dilaporkan, tiap kali orang telefon dia dari siang sampai ke malam, dia tengah melatih dan uruskan pasukan. Memang betul-betul komited dan tak makan gaji buta. Hasilnya, salah seorang pelumba basikal yang dia latih, Nor Effandy Rosli dapat pingat perak dalam acara 184km lepas beramai-ramai dekat Sukan Komanwel.

Ng Joo Ngan dan anak buah dia diskus atas highway. Imej dari Berita Harian.

“Prinsipnya mudah, berusaha untuk mencapai cita-cita dan disiplin yang baik akan buat anda berjaya. Dia juga fikir yang galakan dari ibu bapa juga merupakan faktor penting untuk berjaya.”- Petikan dari Moocycle.

3) Rosman Alwi: Berlatih sampai pengsan lepas ditampar oleh jurulatih

Azizulhasni Awang baru ni pecah rekod Asia untuk acara pecut (Sprint Individual), tapi, ramai tak tahu yang negara kita dah ada Raja Pecut  Asia 200 meter di Kejohanan Asia 1987. Legenda tu adalah Rosman Alwi yang juga digelar The Turtle Head sebab…

Cari benda tersembunyi…

Sebelum sampai ke tahap tu, Rosman adalah sebahagian dari pasukan berbasikal kebangsaan yang dilatih oleh bapanya sendiri, Alwi Ahmad. Kalau dah bapak yang latih, mestilah selesa bagai menatang minyak yang penuh. Sebaliknya, dia mengaku yang banyak terimbau memori sedih sepanjang dilatih ayahnya. Ayah Rosman pernah tampar, tarik telinga dan maki dia di depan kawan-kawannya. Dia memang kecewa dan rasa nak tumbuk je ayah dia. Apa yang pedih, dia siap kena sound macam ni…

“Orang lain boleh, kau tak boleh. Kau bikin malu, kau anak jurulatih, kalau kau tak boleh (bersaing), pergi balik’.”- Petikan dari Astro Awani.

Kalau kita mesti lari rumah punya pergi duduk kat masjid. Tak macam Rosman yang terus berlatih sampai pengsan yang buat ayahnya risau. Kalau ikut skrip movie, lepas dah kena macam-macam dengan jurulatih mesti akan berjayakan? Itu semua tak sama dengan nasib dia yang gagal ujian air kencing waktu Sukan SEA Manila 1981. Apa yang menyedihkan, dia juga digantung dari bertanding selama dua tahun.

Rosman Alwi tanpa Turtle Head. Imej dari Sinar Harian.

Dia dah gunakan waktu penggantungannya tu untuk terus berlatih, walaupun hanya dengan ‘basikal tua’ yang dibeli menggunakan duit sendiri dengan harga RM800. Segala jerih payah dia nampaknya berbaloi lepas habis dua tahun penggantungan. Dia bertanding balik dengan membawa banyak kejayaan luar biasa. Antaranya ialah menang pingat gangsa Kejohanan Berbasikal Asia 1983, dua emas Sukan SEA siap pecah rekod dan jadi juara Pecut Asia 1987. Sedar tak sedar, dia juga layak dua kali Olimpik iaitu di Los Angeles (1984) dan Seoul (1988).

Lepas Olimpik, dia tak bersara tapi terus bertanding pada sukan SEA KL 1989 dengan status juara pecut Asia. Waktu pusingan akhir Sprint (pecut) 200 meter, dia berlawan dengan pelumba dari Indonesia, Tulus Kalimanto. Acara ni diorang kena lumba tiga kali, dia menang satu dan Tulus menang satu. Masa saingan penentuan, Rosman tiba-tiba rebah tanpa sempat berlumba yang menyebabkan dia menarik diri. Doktor pun tak tahu apa puncanya sebab dia sihat je.

“Kemudiannya doktor tanya sama ada saya percayakan ilmu hitam?”- Rosman Alwi, petikan dari Utusan.

Dua tahun digantung. Kini, boleh gantung pingat kat basikal. Imej dari Forzameyya.

Laporan media pulak buat dia sedih sebab cakap yang dia buat-buat pengsan sebab takut kalah. Disebabkan terlepas peluang keemasan tu, dia bertanding lagi sekali di Sukan SEA KL 2001 pada usia 40 tahun. Waktu ni dia pun dah tak kuat dan tak dapat apa-apa pingat untuk negara. Setahun lepas tu, dia umumkan persaraannya.

4) Murugayan Kumaresan: Dapat 21 pingat dalam sukan SEA

Waktu sukan SEA KL tahun lepas, pelumba negara, Eiman Firdaus berjaya dapatkan pingat emas dalam acara Individual Pursuit (berkayuh ramai-ramai 16 lap atau 4,000 meter atas trek). Eiman juga bangga sebab dapat jadi M. Kumaresan yang seterusnya. Kenapa pulak?

Sebabnya, kali terkahir pelumba Malaysia menang acara ni adalah melalui M. Kumaresan pada tahun 1989. Bila nama disebut oleh generasi baru ni memang kira legendalah kan. Mana taknya, dia berjaya dapat 21 pingat dengan 9 darinya emas sepanjang menyertai sukan SEA edisi 1985 sampai 1997. Ada emas dalam berbasikal trek dan ada juga emas dalam berbasikal lebuh raya. Dia kemudiannya berjaya layak dua kali Olimpik.

Atas trek pun boleh. Kat lebuh raya pun dia boleh berlumba.

Apa yang membanggakan, dia dah jadi orang Malaysia pertama yang dapat masuk pusingan akhir acara berbasikal trek di Barcelona pada tahun 1992. Acara yang dia masuk final tu adalah Point Race (lumba ramai-ramai 40 km atas trek sambil kutip point) yang berakhir dengan kedudukan ke-21. Walaupun tak menang masa Olimpik, dia berjaya juga jadi juara acara yang sama waktu Kejohanan Berbasikal Pra-Sukan Komanwel di KL. Semuanya berakhir apabila dia umumkan persaraan lepas gagal untuk dapatkan apa-apa kejayaan dalam Komanwel KL 1998.

Ramai atlet kalau lepas bersara biasanya akan jadi jurulatih, tapi nampaknya dia pilih jalan yang berbeza. Dia bukak restoran kat KL tapi tak berjaya dan ditutup. Lepas tu, dia bekerja pulak di kedai fashion design milik abang iparnya. Dia juga pernah nak berlumba basikal balik, tapi takde yang sudi menaja. Pada tahun 2002 sampai 2009, dia menyertai politik sebagai Setiausaha Agung Pemuda MIC. Begitulah kehidupan seorang legenda yang tak jadi jurulatih. Namun, dia tetap diingati apabila dilantik menjadi Timbalan Chef de Mission waktu Sukan SEA tahun lepas.

Gambar bernilai dari emas ni semua ada. Dari kiri: Daud Ibrahim, Rosman Alwi, M Kumaresan dan Ng Joo Ngan. Imej dari Blog Rizalhashim.

5) Josiah Ng: Ketuk pintu Majlis Sukan Negara untuk tawar diri bertanding

Waktu Komanwel New Delhi 2010, pingat emas Azizulhasni pernah dibatalkan dalam acara Keirin yang kemudiannya diberikan kepada pelumba yang dapat nombor dua. Pelumba yang bertuah tu adalah Josiah Ng yang juga dari Malaysia. Waktu ni Azizulhasni memang muda dan Josiah Ng pulak dah berusia sikit bagi seorang atlet. Nama dia tetap dikenang sebagai pelumba negara pertama yang dapat masuk akhir acara Keirin di Olimpik 2004 sebelum Azizulhasni. Dan inilah kisahnya…

Imej dari Fourth Official.

Dia berpindah dan tinggal di Selatan California, US bersama keluarganya. Tapi, itu tak menunjukkan yang dia ni kaya dan senang je nak main basikal trek. Waktu umur 14 tahun, dia buat 250 biskut cip coklat dengan bantuan neneknya untuk dia jual dari rumah ke rumah dengan harga 1 Dollar. Lama lepas tu, dia berjaya kumpul 250 Dollar dan beli basikal lumba dari jirannya.

Pertama kali bertanding, dia dapat nombor tercorot dari 30 peserta. Walaupun gagal, dia berusaha balik dengan buat kajian pasal kayuhan dan cari jurulatih. Beberapa bulan lepas tu, dia jadi pelumba kelima terbaik dan dipilih jadi kapten pasukan setahun kemudian. Cabaran paling besar dia sepanjang aktif berbasikal ni adalah tak dapat restu mak ayahnya sendiri. Bagi mereka, berbasikal ni takde masa depan berbanding kalau fokus belajar. Tapi, dia tetap buat dek je dan berdegil.

Mak ayah dia pun haramkan basikal dari masuk ke kawasan rumah yang menyebabkan dia terpaksa sorokkan kat rumah kawan dia sejauh 5 km. Kalau nak pergi bertanding, dia akan tumpang mana-mana keluarga yang akan pergi ke tempat bertanding. Masa umur 18 tahun, semuanya dah kantoi busuk yang menyebabkan dia dihalau dari rumah. Dia pun buatlah kerja baiki piano, ajar main biola dan latih peserta kelas basikal untuk sara hidup bersendirian.

Abah tak nak kau main basikal! Abah nak kau jadi atlet renang! Amekkau!

Pada Kejohanan Remaja AS, dia dapat nombor dua serta tawarkan diri untuk jadi pasukan negara AS. Tapi, tiada jawapan. Dia pun apa lagi, cuba pulak dekat Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga takde respon. Dia ambil keputusan untuk terbang balik ke Malaysia sambil melawat datuk neneknya. Sampai je dekat KLIA, kereta datuknya penuh dengan barang-barang lain. Dia tak boleh masuk kereta dan pilih untuk berkayuh ke rumah flat datuk neneknya di Ampang dalam keadaan hujan.

Waktu kat Malaysia, dia ketuk pejabat MSN untuk tawarkan diri jadi wakil Malaysia dalam berbasikal trek. Masa tu pun negara kita belum ada pelumba acara Keirin. Dia ambil kesempatan ni untuk yakinkan MSN hinggalah diterima akhirnya. Pada tahun 2004, dia berjaya layak ke Olimpik Athens 2004. Empat bulan sebelum bertanding, pergelangan tangan, gigi dan hidungnya patah sebab kemalangan waktu praktis. Terpaksalah dia skip enam minggu punya jadual latihan.

Senyum ceria, tapi luka di muka (hati) siapa yang tahu? Imej dari Says.

Tapi, tu nak menghalangnya untuk lepas setiap peringkat acara Keirin Olimpik Athens sampai masuk pusingan akhir.

“Saya kehilangan 4 kg dan banyak kekuatan. Saya berusaha juga dan mengejutkan kerana berkayuh dengan baik hingga masuk ke pusingan akhir. Dalam pusingan akhir, saya hanya beberapa centimeter untuk mendapatkan pingat gangsa.”- Petikan dari The Star.

Sokong anak-anak yang ada bakat sukan yang luar biasa demi negara

Percubaan demi percubaan atlet berbasikal negara dalam Olimpik akhirnya menjadi jugak bila tiba giliran Azizulhasni Awang dapatkan pingat gangsa dan perak. Walaupun ada fasiliti yang cukup, nampaknya atlet macam Azizuhasni tak jadi manja malah jadi lagi hebat. Sampai kita dengar macam mana dia dalam satu perlumbaan tu kemalangan dan kaki dia tertusuk kayu trek. Dia bangun balik untuk habiskan perlumbaan. Hasilnya, dia jadi Juara Keirin Piala Dunia di Manchester.

Sakit weyh tertusuk tu. Imej dari PErJaLaNaNkU.

 

Macam tu jugaklah harapan kita untuk atlet-atlet baru ni untuk sentiasa belajar erti pengorbanan dari tokoh legenda sukan yang pernah muncul. Kalau korang yang dah jadi mak ayah tu, nampak je anak tu ada bakat dalam apa-apa sukan, terus je support hantar pergi kelas ke apa. Mana tahu, anak korang tu bakal jadi orang menyatukan rakyat Malaysia melalui sukan macam The Pocket Rocketman.

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT