- 485Share sekarang!
- Email11
- Facebook474
- Share
(This article is a translation, For the original, visit our sister site, CILISOS)
Tak ada angin tak ada ribut, kita tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman perletakan jawatan oleh Nurul Izzah dalam post blognya. Nampaknya, Nurul Izzah turut melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan jawatannya yang lain (termasuk Pengerusi PKR Pulau Pinang,Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang ).
Saya dengan ini, meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat, dan menyerahkan semula pelantikan saya sebagai Pengerusi KEADILAN Negeri Pulau Pinang. Pucuk pimpinan utama telah dimaklumkan dengan keputusan ini.” – Nurul Izzah, melalui post blognya.
Tapi dia masih merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga tamat penggalnya, dan seorang ahli biasa dalam PKR. Tak ada sebab yang diberikan kenapa dia meletakkan jawatannya sebenarnya, tapi dia ada bagi sedikit klu:
“Dalam lapangan ini, terdapat beberapa prinsip dan idea perjuangan yang saya pegang teguh sehingga hari ini dan saya sentiasa percaya, hidup sebaiknya diteruskan dengan berpegang kepada kepercayaan dan idealisme kita. Atas dasar itu, kepercayaan itu telah menjadi batu asas kepada pengumuman hari ini.” – Nurul Izzah.
Banyak spekulasi yang muncul selepas pengumuman ni, contohnya…
Antara spekulasi lain adalah tuduhan nepotisme, yang menurut sumber parti, membuatkan Nurul Izzah membuat keputusan untuk tak bertanding dalam pilihanraya PKR. Tak kisahlah apa pun sebab yang diberikan, keputusannya yang juga dipersetujui beberapa ahli politik bukanlah keputusan yang terburu-buru. Malah kalau korang tengok pun sebelum ni, dah beberapa kali Nurul Izzah menyuarakan pendapatnya yang tak bersetuju dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan sejak mereka mengambil alih kuasa.
Antaranya adalah:
Masa seorang pengguna Twitter, Arif Kamarudzaman mempersoalkan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek kereta nasional ketiga, Nurul Izzah kemudiannya menjawab yang kerajaan akan mempertimbangkan kebimbangan orang ramai mengenainya.
Am in full agreement with you and am sure our concerns will be duly noted by the powers that be https://t.co/FednSdwbAF
— Nurul Izzah Anwar 🇲🇾 🌺 (@n_izzah) June 11, 2018
“Kerajaan Malaysia mesti kembali memikirkan kembali dan menganalisis idea kereta nasional dengan betul. Kita perlu letakkan keperluan orang awam terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada apa-apa visi … “- Nurul Izzah, dipetik dari Malay Mail.
Dia juga menekankan yang pemilikan 49% saham Proton oleh Geely di China menunjukkan bahawa pembuat kereta pertama Malaysia dilihat sebagai aset yang bernilai oleh syarikat asing kerana mereka masuk ke pasaran automotif Asia Tenggara. Menurutnya lagi, walaupun pemilikan China, kehadiran Proton di sini telah memberi manfaat kepada pekerja tempatan dan pembekal alat ganti kereta, yang juga dikatakan sebagai bahagian penting dalam dasar automotif negara.
Dan kalau terfikir pasal kedudukan Perodua dalam perdebatan kereta kebangsaan seluruh negara (macam artikel yang kitorang tulis ni), korang tak bersendirian. Malah dia juga mempersoalkan pasal Perodua dan menyarankan pekerja tempatan Proton dan Perodua berkumpul dan membentuk kesatuan automotif tempatan.
“Laporan jualan menunjukkan bahawa Perodua telah melebihi 40 peratus daripada bahagian pasaran secara bulanan. Apakah kesan kejayaan Perodua terhadap pembangunan modal insan dan harta intelek Malaysia yang terlibat dengan syarikat itu? “- Nurul Izzah.
2. Sesuatu serbuan rumah perlu dilakukan dengan adil dan bijak – Mei 2018
Tak lama lepas kemenangan PH dalam PRU14, serbuan disebabkan kes 1MDB mula dilakukan. Mungkin ramai yang berpuas hati dengan serbuan yang dilakukan, tapi bukan Nurul Izzah. Dia tahu macam mana rasanya diserbu tengah malam, malah dia juga meluahkan kekecewaannya melalui tweetnya dan mengingatkan polis bahawa prinsip keadilan dan kebijaksanaan harus selalu berlaku.
As former victims of early dawn police raids, I must stress my disagreement in ransacking any home at such an ungodly hour. Charge, investigate, prudently. Prinsip keadilan & berhikmah sentiasa terpakai @PDRMsia https://t.co/vnl17mmwqm
— Nurul Izzah Anwar 🇲🇾 🌺 (@n_izzah) May 17, 2018
Perkara tu dipersetujui Khalid Samad dari Amanah yang mengatakan bahawa ada keperluan untuk menyiasat tetapi tidak sampai ke tahap mengganggu dan memalukan Najib dan keluarganya.
3. Macam mana boleh benarkan penyerang kejam menyertai rundingan damai? – Ogos 2018
Pada akhir bulan Ogos tahun ni, Nurul Izzah mengkritik keputusan kerajaan tentang pelantikan bekas IGP Rahim Noor sebagai mediator perundingan damai antara pemberontak Bangkok dan pemberontak Islam di selatan Thailand. Dia menggantikan Ahmad Zamzamin Hashim, yang dilantik oleh kerajaan BN sebelum ini.
Rahim yang merupakan IGP dari tahun 1994 sehingga 1999 memainkan peranan penting dalam menandatangani Perjanjian Keamanan Hat Yai 1989 antara Parti Komunis Malaya dan kerajaan kita untuk menamatkan pemberontakan komunis, di mana dia pada masa tu adalah pegawai Cawangan Khas. Sebab tu la dia dipilih.
Tapi kenapa pula Nurul Izzah tak bersetuju dengan pelantikan Rahim Noor? Sebabnya, dia pernah melakukan serangan pada tahun 1998, semasa menjawat jawatan sebagai IGP:
Semasa perbicaraannya, Rahim memberitahu mahkamah bahawa Anwar yang provoke dulu, tapi nampaknya alasan tu tak diterima pakai yang akhirnya menyebabkan Rahim didenda RM 2,000 dan dijatuhi hukuman penjara 2 bulan. Rahim kemudian meminta maaf kepada Anwar dan keluarganya disebabkan serangan tersebut.
4. PKR perlu bekerjasama, bukannya berlawan antara satu sama lain – Oktober 2018
Baru-baru ni Nurul Izzah nampak kecewa dengan ahli partinya, terutamanya semasa pilihan raya PKR apabila isu undi ‘hilang’ muncul.
Pada hari terakhir Kongres PKR, Nurul Izzah dengan mata bergenang memberitahu kepada pemberita yang partinya perlu memberi tumpuan kepada memenuhi janji-janji manifesto, dan bukannya membenarkan proses pengundian PKR yang cacat untuk merosakkan dinamika dalam kalangan anggota parti… Terutama Azmin Ali dan Rafizi Ramli ketika mereka bertanding dalam pilihan raya PKR untuk jawatan timbalan presiden.
Dia juga menambah yang rakyat sedang bergantung kepada kerajaan yang ditadbir Pakatan untuk memenuhi janji-janji, jadi dia berusaha sebaik mungkin untuk menjadi “suara hati nurani” parti untuk mengingatkan setiap orang tentang kepentingan utama. Dia juga berkata yang terdapat keperluan untuk pendekatan baru dan lebih baik untuk mentadbir jika Pakatan nak kekal berkuasa.
“Rakyat masih menunggu peralihan kuasa dari Malaysia lama ke Malaysia baru. Jika kita gagal untuk memastikan peralihan yang lancar, kita akan menghadapi penghakiman dari rakyat di PRU15. Tidak ada jaminan bahawa kita akan kekal berkuasa. Kita mesti wujudkan semua yang kita dah rancang. “- amaran Nurul Izzah.
5. Membenarkan bekas ahli UMNO untuk menyertai kita bukan idea yang baik – Disember 2018
Tak cukup dengan masalah yang ada dalam PKR, nampaknya timbul masalah baru bila beberapa bekas ahli UMNO lompat parti ke dalam PH memang membuatkannya tak senang duduk. Malah, perletakan jawatannya juga terjadi sehari selepas dia menyuarakan ketidak puasan hatinya dengan idea tersebut.
In case korang tak tahu, UMNO telah menyaksikan perletakan jawatan anggota Parlimen, senator dan wakil rakyat minggu lepas. Malah Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden. Jadi PPBM telah membuka ruang untuk membenarkan UMNO bergabung.
Bagi Nurul Izzah, penyertaan parti itu adalah seperti mengkhianati pengundi dan ahli yang tetap setia kepada PH.
“Parti kami diserang sebelum ini dengan pembelotan. Kami tak mahu kesakitan dan kecelakaan yang timbul tu terkena terhadap orang lain. Tiada makna demokrasi jika Malaysia dikuasai oleh politik berasaskan elit.“- tweet Nurul Izzah.
Maria Chin turut berkongsi sentimen yang sama mengenai isu ni menerusi tweetnya, dengan menyatakan bahawa rakyat Malaysia mengundi untuk mengubah kerajaan untuk menamatkan 61 tahun rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Kita tidak boleh menerima pemimpin UMNO yang telah menyokong, dibantu dan menjadi sebahagian daripada rasuah selama 61 tahun. #BukanMalaysiaBaru. “- kata Maria Chin.
Selain tu, Nurul Izzah mendakwa jika UMNO dah tak wujud, takkan ada parti pembangkang yang kuat untuk menghentikan PAS daripada mendapat kekuatan.
Tak kira apa pun sebabnya, tak mudah untuk meninggalkan sesebuah perjuangan tu
Kalau kita kembali ke sejarah penubuhan parti dan perjuangannya, apa yang membuatkan Nurul Izzah terinspirasi untuk masuk dalam bidang politik adalah penangkapan ayahnya pada tahun 1998. Dia marah tentang bagaimana seorang lelaki yang tak bersalah seperti Anwar boleh dicabul haknya dengan sangat teruk di penjara. Mahu membuat perubahan untuk kebaikan orang lain,dia memutuskan untuk mendedikasikan hidupnya untuk melindungi rakyat melalui organisasi seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Gerakan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Dia kemudiannya dikenali sebagai pesaing kuat BN apabila berjaya merampas kerusi Lembah Pantai dari Shahrizat Jalil semasa PRU12 dan kemudiannya Raja Nong Chik pada PRU13.
Berada di kerusi pembangkang selama lebih 20 tahun dan akhirnya menjadi sebahagian daripada kerajaan pemerintah, mungkin korang dapat bayangkan tekanan yang dihadapi Nurul Izzah bagi meneruskan harapan dan memegang tanggungjawab yang ada. Dan meletak jawatan dari jawatannya kurang dari satu tahun kemudian bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan, terutama sekali selepas perjuangan yang panjang.
Rafizi sendiri memuji cita-cita reformis yang ada pada diri Nurul Izzah. Malah dia menyifatkannya sebagai seorang reformis dan seorang pejuang, dia hanya meletak jawatan dari jawatan tertinggi sahaja.
Dia menambah lagi, untuk Nurul Izzah, idealisme reformasi lebih penting daripada jawatan, pangkat atau kuasa. Apa yang dikatakannya kepada R.AGE pada bulan Julai mungkin menunjukkan prinsip ni.
“Reformasi/pembaharuan mestilah menjadi asas di mana kita melakukan kerja kita dan memenuhi tanggungjawab kita. Ahli politik boleh datang dan pergi, tetapi pembaharuan institusi yang tahan lama akan menjadi benteng (dinding pertahanan) untuk melindungi anda daripada pelanggaran daripada sesiapa sahaja. “- kata Nurul Izzah.
- 485Share sekarang!
- Email11
- Facebook474
- Share