Bekas menteri Malaysia ni menang anugerah fotografi dunia 2 kali berturut-turut!

Boleh dikatakan setiap manusia ni ada hobi masing-masing. Dan itulah yang dilakukan oleh seorang bekas menteri kabinet ni, bila pilih fotografi sebagai hobinya selepas bersara dari politik. Orang yang kita tengah cakap ni adalah bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr Fong Chan Onn.

Dr Fong – dari ahli politik ke jurugambar. Imej dari The Star.

Apa yang menariknya, setelah bersara – Dr Fong dah mengembara ke banyak negara dan seperti biasa mengambil gambar yang dah jadi hobi barunya tu. Apa yang tak disangkakan adalah gambar yang diambilnya tu dah diangkat sebagai juara The Societies Photographer of the Year Awarddua kali berturut-turut pada 2018 dan 2019.

Jom kita tengok gambar yang dia menang pada tahun 2018 dulu…

Gambar Suku Mursi di Selatan Ethiopia

Gambar yang diiktiraf sebagai gambar terbaik 2018 oleh Societies of Photographers. Imej dari The Star.

Pada sekitar tahun 2017, Dr Fong dah pergi ke Ethiopia sebab hobinya yang mendalam dengan fotografi. Sesampai di selatan negara Afrika tu, Dr Fong tinggal di satu kawasan yang dikenali sebagai Lembah Omo selama seminggu. Dia di sana terpaksa tidur dalam khemah, tapi rasa cukup bertuah sebab dapat tengok banyak tradisi dan budaya suku di sana.

Antaranya yang bekas Naib Presiden MCA ni nampak, termasuklah – wanita dengan pinggan besar di bibir mereka, lelaki yang bergusti dengan tongkat panjang, sampailah ada lelaki yang minum darah lembu. Dan di tempat sama jugalah, dia berjaya tangkap gambar yang diangkat gambar terbaik 2018.

“Para wanita menjaga anak-anak dengan baik. Kadang-kadang, walaupun bukan anak mereka. Tiga atau empat wanita yang mengelilingi kanak-kanak itu untuk melindunginya adalah simbol tanggungjawab masyarakat terhadap kanak-kanak.” – Dr Fong, katanya kepada The Star.

The Nest on Sea’ hasil tangkapan Dr Fong yang menang anugerah Picture of the Year (dalam kategori Lanskap) 2018. Imej dari The Star.

Bagaimanapun, Dr Fong juga membangkitkan kebimbangannya terhadap budaya masyarakat di sana yang kemungkinannya akan terhakis tak lama lagi.

“Sebagai contoh, kerajaan Ethiopia berniat untuk membina sebuah lebuh raya yang besar di sana dan apabila ia dibina, banyak tradisi ini perlahan-lahan akan mati. Jadi saya ingin menangkap gambar sebelum ia terhakis. katanya kepada The Star.

Dan untuk gambar yang menang kali kedua ni pula…

Gambar keluarga di Yuanyang yang bersempadan dengan Vietnam

Gambar terbaik 2019. Imej dari Dr Fong Chan Onn, disiarkan di Digital Camera World.

Lepas dah dapat anugerah pada 2018, Dr Fong nampaknya dapat sekali lagi anugerah yang sama untuk kali kedua. Gambar yang diambil di Yuanyang, China ni menunjukkan sebuah keluarga dalam masyarakat bersawah di sempadan China dengan Vietnam.

Lebih membanggakan lagi, gambar ni dipilih dari kalangan 11,320 gambar yang dihantar ke The Societies Photographer. Para juri yang memberikan komentar untuk gambar tu kata:

“Anda hampir boleh menghidu asap di dalam bilik, dan ia adalah gambar pengembaraan yang akan kekal sepanjang zaman.” – Dipetik dari Digital Camera World.

Dr Fong bersama gambarnya. Imej dari The Star.

Bagaimanapun, Dr Fong tak berkesempatan untuk ambil anugerah ni sendiri kerana Tahun Baru China. Tapi, anugerah tu diambil oleh anak saudaranya bagi pihaknya di London.

“Saya telah banyak belajar daripada keputusan hakim. Apa yang membuat foto yang baik dan apa yang mengubahnya menjadi gambar yang hebat. Anugerah ini akan memberi inspirasi kepada saya untuk bekerja lebih keras “. – Dr Fong, dipetik dari Digital Camera World.

Dr Fong akan terus mengembara untuk merakam gambar terbaik

Dr Fong juga pernah jadi Timbalan Menteri Pendidikan. Imej dari MCA.

Dalam laporan The Star, Dr Fong kata yang dia akan terus mengembara untuk merakam cerita di sebalik gambar dari serata dunia. Dan untuk rancangan yang terbaru – dia mahu pergi ke Xinjiang pada April dan Wrangel Island, Russia pada Julai nanti.

Walaupun pada usia 76 tahun, nampaknya tu tak menghalang bekas menteri ni dari meneruskan hobinya dan mengharumkan nama negara. Ni turut membuktikan yang orang pencen juga boleh buat banyak benda selepas bersara. Apa pula perancangan korang bila dah bersara nanti? Tak kan cuma habiskan simpanan KWSP atau lepak mamak je kot?

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.