4 sebab kemungkinan kenapa kes Altantuya ambil masa yang begitu panjang

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Baru-baru ni, nampaknya nama Altantuya Shaariibuu terdengar balik di media-media. Semua orang dah tahu – Altantuya adalah seorang model Mongolia yang dibunuh secara kejam di Malaysia.

Walaupun kes ni dah jadi lebih dari 10 tahun dulu, tapi tu tak menghalang ayahnya, Setev Shaariibuu untuk buat laporan polis supaya kes ni dibuka semula. Perdana Menteri, Dr Mahathir pula nampaknya dah bagi lampu hijau supaya kes ni dibuka semula.

Ayah Altantuya bertemu dengan Dr Mahathir baru-baru ni. Imej dari The Star.

Pada tahun 2015, kita dilaporkan yang pembunuh Altantuya dah dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Persekutuan. Tapi laporan tu muncul lebih kurang 9 tahun lepas kes pembunuhan ni berlaku (2006). Masa 9 tahun tu sebenarnya cukup panjang. iPhone yang pertama pun keluar pada tahun 2007 tau.

Jadi kenapa perbicaraan kes ni panjang sangat? Ada ke sebab kenapa 9 tahun diperlukan untuk menyelesaikan satu kes pembunuhan? Jadinya, kami cuba cari jawapan disebaliknya…

Siapa sebenarnya Altantuya, dan kenapa dia dibunuh?

Untuk sesiapa yang tak berapa tahu, atau macam pernah dengar tapi dah lupa, rasanya ini maklumat untuk korang. Altantuya Shaariibuu sebenarnya adalah seorang penterjemah dan model dari Mongolia yang ada kaitan dengan seseorang yang bernama Abdul Razak Baginda.

Razak adalah bekas penganalisis politik dan dikatakan sebagai orang kepercayaan Datuk Seri Najib Razak (yang kemudiannya jadi TPM masa tu). Razak dan Altantuya juga dikatakan terlibat dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene.

Razak Baginda. Imej dari The Malaysian Insight.

Menurut kenyataan Razak:

Diorang berjumpa di Hong Kong pada tahun 2004 dan mula berhubung. Tapi masalah mula jadi bila Altantuya dikatakan cuba ugut Razak untuk duit. Jadinya, Razak pun upah seorang penyiasat persendirian – mendiang P. Balasubramaniam (P.I Bala) dan minta bantuan bekas Timbalan Superintenden Musa Safri untuk lindungi keluarganya. Masa ni juga, dia kenal dengan Cif Inspektor Azilah Hadri.

Altantuya kemudiannya dibawa oleh Azilah, Koperal Sirul Azhar Umar, dua lagi pegawai (dikatakan pengawal peribadi) dan seorang pegawai polis wanita selepas Altantuya muncul lagi kat depan rumah Razak untuk mengganggunya.

Sirul & Azilah masa dibawa ke mahkamah. Imej dari The Sun Daily.

Masa itulah kali terakhir orang nampak Altantuya masih hidup. Sebabnya, dua ke tiga minggu lepas tu, hanya cebisan mayat Altantuya yang ditemui pada bulan November 2006. Dia dikatakan dah ditembak dua kali dan apa yang tragik diletupkan dengan C-4 untuk tutup bukti.

Dua orang anggota polis – Azilah dan Sirul kemudiannya ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh. Razak pulak didakwa atas tuduhan bersubahat (dengan kata lain – suruh dua orang polis tu membunuh). Bagaimanapun, Razak kemudiannya dibebaskan, manakala dua lagi tu dibicarakan.

Untuk maklumat lanjut, klik sini.

Jadi, kenapa ambil masa 9 tahun? Ini antara kemungkinannya…

Seperti mana yang dikatakan tadi, persoalan muncul tentang kenapa kes ni ambil masa yang begitu lama? Kalau ada rayuan sekalipun, kenapa ia ambil masa 4 tahun (diorang dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2009) untuk rayuan ni diproses? Kalau kita tengok kes Mona Fendy, ia cuma ambil masa kurang 2 tahun.

Jadinya, kitorang cuba senaraikan beberapa kemungkinan kenapa hal ni boleh jadi…

1. Dua orang polis ni macam takde motif nak bunuh Altantuya

Salah satu sebab logik kenapa kes ni ambil masa yang panjang adalah untuk kenal pasti motif sebenar disebalik pembunuhan. Bila Razak terlepas dari tuduhan bersubahat, cuma tinggal Azilah dan Sirul berdua je sebagai suspek kes. Hal ni dah pasti tinggalkan persoalan besar kenapa diorang buat macam tu.

Sebenarnya, dua orang anggota polis ni juga adalah ahli Unit Tindakan Khas (UTK) yang bertugas sebagai pengiring VVIP (macam PM, Timbalan PM dan sebagainya). Ada juga kata yang diorang ni akan jalankan apa je arahan tanpa ragu-ragu, sebab diorang tak dibenarkan tanya soalan. Hal ni dah timbulkan persoalan sama diorang ni disuruh atau tak untuk membunuh Altantuya.

Bapa Altantuya dengan peguamnya Ramkarpal Singh. Imej dari KOSMO.

Untuk motif yang paling dekat (mungkin juga ada kekurangan) adalah berdasarkan kenyataan- kenyataan Sirul di mahkamah. Sebabnya, ia kelihatan seperti Sirul cumalah kambing hitam dalam kes pembunuhan ni.

“Saya tidak ada sebab untuk menyakiti sesiapa, lebih-lebih lagi untuk ambil nyawa orang dengan cara yang kejam, saya merayu kepada mahkamah, yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada saya hidup atau mati, jangan jatuhkan hukuman ke atas saya untuk memenuhi perancangan orang lain terhadap saya.” – Sirul Azhar Umar, dipetik dari asiasentinel.com

Sirul juga dakwa pada malam Altantuya kali terakhir dilihat, Azilah ada bagitau dia yang Altantuya setuju untuk tak ganggu Razak Baginda lagi dan lepas tu dia balik ke rumah. Walaupun begitu, dakwaan Sirul ni tak diterima, sebab ia gagal dibuktikan.

Satu lagi persoalan yang timbul dan tak terjawab adalah kenapa Azilah dan Sirul setuju untuk bawa polis ke tempat pembunuhan tersebut? Dilaporkan, tempat pembunuhan tu sukar nak dicari, tapi kedua-dua suspek ni bawa pulak polis ke sana.

“Pihak polis cuma tahu lokasi umum dan bukannya lokasi spesifik kejadian. Ia adalah mustahil untuk polis mengesan tempat tersebut yang terletak di atas bukit dan di dalam hutan… kawasan itu tidak boleh dikesan dengan mudah, kecuali jika ada maklumat.” – Timbalan Peguam Cara Negara II, dipetik dari The Sun Daily.

Tempat kejadian Altantuya dibunuh. Imej dari photobucket.com

Walau apapun naratifnya, kedua-dua polis ni nampak macam takde motif kukuh nak bunuh Altantuya. Inilah yang menyukarkan dan menimbulkan persoalan.

2. Seorang lelaki yang macam ada motif, tak disabitkan dengan kesalahan

Seorang individu yang mungkin ada motif untuk bunuh Altantuya adalah Razak Baginda. Tapi dia dah terlepas dari dakwaan, sampai buatkan pihak pendakwa susah nak kenal pasti motif pembunuhan. Apa kemungkinan motifnya? Dikatakan Razak cuba untuk tutup perjanjian bernilai RM7 bilion dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dari Perancis. Faktanya, kes ni dah disiasat sejak tahun 2015.

Apa yang berlaku bila perbicaraan ni berlangsung, ada tiga orang yang dah buat dakwaan terhadap Razak dan suspek lain yang mungkin ada disebalik pembunuhan. Tiga orang itu adalah sepupu Altantuya (Burmaa Oyunchimeg), penyiasat persendirian (P.I Bala) dan blogger terkenal Raja Petra Kamarudin.

Burmaa Oyunchimeg atau Amy. Imej dari Utusan Malaysia.

Sepupu Altantuya ada kata dalam perbicaraan tu yang Altantuya pernah tunjukkan kat dia gambar Altantuya dengan Razak Baginda dan Dato’ Seri Najib. Bagaimanapun, gambar tu tak pernah ditunjukkan kat mahkamah dan dakwaannya tu tak pernah dibuktikan.

Satu lagi adalah P.I Bala yang diupah oleh Razak untuk lindungi keluarganya. Pada Julai 2008, Bala ada keluarkan akuan sumpah. Dalam akuan tu, dia ada kata – Dato’ Seri Najib yang perkenalkan Altantuya kepada Razak. Dia juga kata pada hari Razak ditahan, Razak dapat mesej dari timbalan Perdana Menteri (masa tu) yang kata – “Saya akan jumpa KPN (Ketua Polis Negara) pada 11am hari ni…masalah akan selesai…bertenang.” 

Tapi tak sampai 24 jam lepas tu, dia keluarkan satu lagi akuan sumpah dengan kata akuan sumpah dia sebelum ni tak tepat dan tak betul. Dia kemudiannya menyorok kat India (dengan kata macam ni), tapi kemudiannya balik semula ke Malaysia. Dia meninggal dunia pada 2013 akibat serangan jantung.

Kematian P.I Bala cukup mengejutkan ramai pihak. Imej dari keadilandaily.com

Seorang lagi yang buat akuan bersumpah adalah Raja Petra, editor dan blogger kat Malaysia Today. Dalam akuan sumpahnya pada tahun 2008 tu, dia mendakwa dapat maklumat yang Datin Seri Rosmah Mansor ada kat tempat kejadian masa Altantuya dibunuh.

Tapi lepas tu, dia tarik balik apa yang cakap. Dan pada bulan April 2011, dia kata yang dia tak percaya Datin Seri Rosmah ada kat tempat kejadian dan dia dapat maklumat yang salah.

Raja Petra dengan paipnya. Imej dari theindependent.sg

Lepas semua ni, Datuk Seri Najib pun keluarkan kenyataan, dengan kata dia tak tahu dan tak pernah jumpa Altantuya.

Disebabkan banyak dakwaan ni diragui dan ada yang ditarik balik, makanya Razak pun dilepaskan dari pertuduhan pada tahun 2008, sebab pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti yang munasabah. Pihak pendakwa pun tak buat rayuan lepas tu (walaupun minta ayah Altantuya buat macam tu) sebab hakim bebaskan Razak lepas semak fakta-fakta dari kedua-dua pihak.

3. Peguam yang terlibat pun nampaknya selalu bertukar ganti

Terdapat beberapa perubahan peguam yang terlibat dalam kes ni.

Di pihak defendan 

a) Diberitahu kat sini yang dua orang polis tersebut diwakili oleh Shaun Tan Kee Shaan.

b) Tapi diberitahu di sini pula yang Azilah diwakili oleh Zulkifli Noordin dan Juanita Johari, manakala Sirul pulak diwakili oleh Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzuan Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

c) Kemudian sebelum perbicaraan, artikel ini ada kata yang Azilah akan diwakili oleh Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar (akan dijelaskan lebih lanjut kat bawah).

d) Masa proses rayuan pada 2012, dilaporkan bahawa Sirul diwakili oleh Kitson Foong dan Lim Kon Keen (tapi lepas tu, dia diwakili balik oleh Hasnal Redzuan Merican).

Azilah (kiri) dan Sirul (kanan). Imej dari mkini.net

Di pihak pendakwaan:

a) Sehari sebelum perbicaraan, ia dilaporkan yang pasukan pendakwaan baru dah dilantik. Mereka adalah Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Manoj Kurup, Noorin Badaruddin, Hanim Rashid, dan Wong Chiang Kiat (akan diterangkan nanti).

b) Masa proses rayuan, dilaporkan pendakwaan akan dijalankan oleh K. Mangai dan Farah Ezlin Yusof Khan.

Itulah dia yang dikatakan tadi, banyak perubahan peguam dalam kes ni.

Dari banyak perubahan ni, hanya 2 daripadanya yang dilaporkan berita secara khusus pasal diorang. Ia adalah pasal perubahan peguambela (yang mengatakan tertuduh tak bersalah) beberapa hari sebelum perbicaraan dan peguam pendakwa (yang kata tertuduh bersalah) pada hari perbicaraan tu sendiri.

Dimaklumkan yang peguambela Azilah dah ditukar dalam beberapa hari sebelum tarikh perbicaraan pada 4 Jun 2007. Peguam ni dikatakan tarik diri lepas ada campur tangan dari pihak ke-tiga yang halang dia dari lakukan tugas dengan baik.

“Terdapat campur tangan serius dari pihak ke-tiga dalam persediaan saya untuk pembelaan dan perbicaraan, yang mana meletakkan diri saya dalam posisi tidak dapat melakukan tugas membela anak guam saya dengan sebaik mungkin.” – Zukkifli Noordin, bekas peguambela Azilah, dipetik dari The Sun Daily.

Boleh kata banyak juga drama dalam perbicaraan ni. Apa yang lagi menarik, pada hari perbicaraan – terdapat pasukan pendakwa yang keseluruhannya baru! Menurut laporan, diorang  ni hanya dilantik pada malam sebelumnya dan diorang terpaksa minta masa extension sebulan untuk perbicaraan sebab diorang tak cukup masa nak buat persiapan. Akhirnya, dua minggu masa extension yang diberikan.

Antara yang terlibat dalam perbicaraan ni. Imej dari The Star.

Menurut seorang peguam yang juga antara pakar rujuk kami, Fahri Azzat…

“Sebagai seorang peguam, saya tidak galakkan buat perkara seperti ini (tukar peguam masa dekat dengan tarikh perbicaraan), melainkan memang terdapat sesuatu yang secara asasnya salah dengan pasukan dan ia dikesan lewat. Jadi ini bukan perkara normal. Ia akan dan harus berlaku hanya dalam keadaan yang paling drastik dan buruk.” – – Fahri Azzat, katanya kepada CILISOS.

Dia juga bagitau yang perkara macam ni boleh bagi kesan terhadap keseluruhan perbicaraan. Kalau masa lanjutan tak diberikan, prestasi peguam akan terjejas dan dengan itu akan mempengaruhi perbicaraan. Selain tu, kalau lanjutan masa diberikan, tu bermakna banyak masa yang dibazirkan. Jadinya, dua-dua benda ni boleh kata bagi masalah.

Antara infografik yang ada. Imej dari Malay Mail.
4. Proses rayuan ambil masa lama dari yang sepatutnya

Mahkamah dah menjatuhkan hukuman terhadap Azilah dan Sirul pada tahun 2009, iaitu 3 tahun selepas kes pembunuhan dan hampir 2 tahun selepas perbicaraan. Tapi apa yang jadi punca kes ni lama berjalan adalah disebabkan oleh proses rayuan. Menurut apa yang jadi, rayuan ni cuma disemak pada tahun 2013, iaitu 4 tahun selepas hukuman dijatuhkan. Ini bermakna, ia lebih panjang dari perbicaraan sebelum tu sendiri.

Pada tahun 2011, ada laporan mengatakan tak ada tarikh yang dah ditetapkan untuk mahkamah mendengar rayuan kerana hakim belum lagi selesai memfaikan penghakimannya (sebanyak 70 muka surat). Kemudiannya, dilaporkan yang rayuan akan didengar pada Februari 2012, tapi lepas tu ditangguhkan sebab rayuan Azilah masih lagi belum difailkan sebab proses yang agak perlahan.

Tarikh seterusnya pada Ogos 2012, ia sekali lagi ditangguhkan sebab bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan nampaknya pendengaran rayuan akan didengar pada bulan Oktober 2012. Tapi akhirnya, tak tahu kenapa, rayuan ni cuma didengar pada Jun 2013.

Imej dari makeameme.org

Tapi, walaupun nak dengar rayuan ni nampak macam lama untuk kita. Tapi rupa-rupanya ia perkara normal.

“Ya, ia agak normal kerana proses rayuan mengambil masa. Tetapi saya tidak pasti apa yang membuatkan ia mengambil masa yang sangat lama untuk kes ini terutamanya ia secara jelas adalah perkara berkaitan kepentingan awam.” – Fahri Azzat.

Tapi kes ni pun tak berjalan lancar, sebab salah satu pesalah lari ke Australia

Walaupun Mahkamah Rayuan membuat keputusan membebaskan Sirul dan Azilah pada tahun 2013, tapi pada tahun 2015 – Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang kedua-dua mereka ni tetap dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Hal ni bermakna, keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan.

Tapi masalah timbul lagi, bila Sirul pula lari ke Australia pada tahun 2014. Sampai artikel ni ditulis, Sirul masih lagi tak balik ke Malaysia. Tak boleh ke pihak berkuasa kita pergi je ke Australia dan bawa dia balik?

Sebenarnya Malaysia dengan Australia ada perjanjian pasal hantar balik suspek atau penjenayah yang dikehendaki antara kedua-dua negara (ektradisi). Tapi masalahnya… Australia ni negara yang menentang hukuman mati dan kalau diorang hantar Sirul balik Malaysia, ia akan bertentangan dengan undang-undang diorang.

Persoalannya sekarang, macam mana suspek bunuh boleh tinggalkan negara? Menurut Fahri Azzat, sebelum Mahkamah Persekutuan buat keputusan, Sirul dan Azilah ni adalah orang bebas. Sebabnya, Mahkamah Rayuan sebelum tu dah pun bebaskan diorang dari hukuman gantung. Jadinya diorang boleh je tinggalkan negara. Apa yang patut dibuat sebenarnya adalah memerhatikan diorang, sebab masih ada peluang untuk keputusan tu dibatalkan.

“AG/PDRM (Peguam Negara/Polis Diraja Malaysia) sepatutnya mengambil beberapa langkah untuk memastikan mereka diperhatikan dan keupayaan mereka untuk meninggalkan negara secara bebas dihalang dengan memohon supaya pasport mereka ditahan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.” – Fahri Azzat.

Apa saja yang jadi nanti, rakyat berhak untuk tahu

Bila kes besar macam ni jadi, apatah lagi ia dikaitkan pulak dengan nama-nama besar macam bekas PM, isterinya dan sebagainya, dah pasti ia akan jadi tumpuan umum. Macam apa yang pernah disenaraikan dalam 10 skandal politik di Amerika Syarikat ni.

Dari apa yang kita dapat, kebanyakkan dari kes ni diselesaikan dalam tempoh lebih kurang 2 tahun. Kes macam – skandal Watergate, skandal Lewinsky dan skandal Iran-Contra diselesaikan kurang dari 2 tahun.

Siapa nak tahu macam mana skandal Watergate dibongkarkan, patut tengok movie ni. Imej dari Pinterest.

Jadinya, dalam kes yang dikaitkan dengan nama bekas PM, untuk ambil masa selama 9 tahun, ia keterlaluan panjang sebenarnya. Kerana rakyat berhak untuk tahu tentang apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi keluarga Altantuya yang menuntut keadilan.

“Saya merayu atas nama anak perempuan saya yang telah meninggal dunia, isteri saya, dua orang cucu saya dan semua warga Mongolia, supaya tidak membiarkan anak perempuan saya Altantuya mati dengan sia-sia.

Tubuhnya mungkin telah meletup menjadi satu juta cebisan yang tidak dapat dikenali, tetapi hati kami tetap satu: mencari keadilan untuk anak perempuan kesayangan, untuk keamanan rohnya, dan untuk memastikan anaknya yang yatim mempunyai masa depan.” –  Setev Sharibuu, bapa Altantuya. Katanya kepada Susan Loone, Oktober 2009.

Setev Shariibuu. Imej dari dinmerican.wordpress

Pada hari ini, setelah beberapa tahun – kemungkinan kes Altantuya akan dibuka semula. Bagaimana pula, ceritanya nanti. Rakyat pasti akan memberikan perhatian dan keadilan mesti ditegakkan.