Baru enam bulan sertai Askar Wataniah dah dapat pangkat Mejar Kehormat?

UPDATE 18/9/2018: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dah menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya ambil tindakan ke atas Jabatan Amal Malaysia. Sebabnya pakaian seragam yang diorang kenakan waktu perbarisan di Muktamar PAS Pusat 2018 sangat menyerupai seragam tentera. Namun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengatakan ianya tak langgar undang-undang. Perkara biasa sesuatu pakaian itu menyerupai pakaian seragam nombor satu tentera Malaysia.

Baju yang dipertikaikan Patriot. Imej dari Astro Awani.

Kejadian ni dah mengingatkan kita mengenai beberapa isu berkaitan Angkatan Tentera Malaysia melibatkan pakaian dan pangkat. Kalau pakaian seragam tentera yang ditiru dah banyak sangat dipasaran, pangkat tentera juga nampaknya pernah diberi sewenang-wenangnya satu masa dahulu. Sambung baca artikel bawah ni.


Di peringkat dunia sekalipun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sangat dihormati kerana banyak jasa mereka. Biasa yang kita dengar adalah kes Black Hawk Down yang mana tentera Malaysia menyelamatkan tentera US di Somalia. Itu belum lagi berita pasukan ATM berkhidmat sebagai tentera pengaman PBB di beberapa wilayah bergolak.

Anggota Malaysian Batallion (MALBATT-1) ke Somalia dalam kenangan. Imej dari Kosmo.

Dalam keadaan dihormati sebegitu, mungkin ada beberapa keadaan nama baik tentera kita tercalar. Bak kata pepatah ‘Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga’. Pada 28 Mei 2018, Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) buat laporan kepada SPRM atas dakwaan ada 7 orang pegawai ATM menyalahguna kuasa. Salah guna kuasa itu melibatkan arahan agar berkempun untuk BN dan menggunakan aset tentera untuk PRU 13 dan PRU 14.

Ada juga beberapa kes lain yang dah menjejaskan imej ATM yang bakal disiasat di bawah Menteri Pertahanan yang baru. Mohammad Sabu juga ada umumkan untuk mengkaji semula pemberian pakaian tentera dan anugerah pangkat kepada orang awam termasuk ahli politik dan selebriti.

“Kita tidak mahu uniform tentera disalah gunakan, pangkat sewenang-wenangnya diberi kepada orang politik. Kita akan kaji dan kurangkan seminimum mungkin,”- Mat Sabu, petikan dari MalaysiaKini.

Sebelum kajian ni dilakukan, memang ramai menteri dan selebriti yang menerima pangkat antaranya…

Menteri pertama terima pangkat sebenar Rejiman Askar Wataniah

Imej dari mStar.

Khairy Jamaluddin adalah menteri pertama yang menerima pangkat sebenar dalam Rejimen Askar Wataniah serta ditauliahkan sebagai Komander Rejimen 508 Askar Wataniah. Pangkat ni dah membawa gelaran Brigedier Jeneral. Kalau korang pergi majlis yang ada KJ, perkataan Brigedier Jeneral ni akan disebut.

Apa lagi yang KJ menteri pertama? Imej dari Youtube Astro Awani.

Pemimpin besar lain yang pernah menerima dan dinaikkan pangkat adalah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Mejar Jeneral Kehormat. Bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif juga dinaikkan pangkat dan menerima gelaran Brigadier Jeneral Kehormat.

Mesti ramai yang tertanya-tanya, kenapa menteri-menteri ni dapat gelaran dan semudah itu naik pangkat. Untuk KJ, dia sebenarnya dah menyertai banyak kursus yang dianjurkan Askar Wataniah sejak 20 Januari 2010 dan pernah ditauliahkan sebagai kolonel pada tahun 2013.

“Pernah mengikuti kursus Asas Perajurit Muda selama sebulan pada 26 April 2010 di Rejimen 508 dan Kursus Asas Payung Terjun pada 13 Jan 2011 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang di Melaka sebelum menjadi Komander Rejimen 508 pada 28 Okt 2013.”- Petikan dari mStar.

Mejar Jeneral Kehormat Irwan Serigar bergendang-gendut tali kecapi. Imej dari Limkokwing.net

Bila kami cari lagi, bekas Ketua Menteri Sarawak, arwah Tan Sri Adenan Satem adalah antara pemimpin yang pernah menerima pangkat Brigadier Jeneral Kehormat Askar Wataniah. Adenan juga waktu tu dilantik menjadi penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) negeri Sarawak. Bila kami teruskan pencarian, maka terjumpalah berita David Teo, penerbit filem menerima gelaran Mejar (Kehormat).

Gelaran ni diberi selepas menerima anugerah Tauliah Kehormat Dalam Angkatan Sukarela Persekutuan. Penganugerahan ni berlaku sewaktu DS Zahid Hamidi menjadi Menteri Pertahanan.

“Pada dasarnya saya dijemput oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mempromosikan Askar Wataniah, tetapi dengan penganugerahan ini, saya anggap sebagai bonus untuk saya terus mempromosikan Askar Wataniah kepada orang ramai di luar sana.”- David Teo, petikan dari Kosmo.

Apa yang menarik, selepas pengumumum oleh Mat Sabu mengenai kajian semula pemberian pangkat tentera kepada orang awam. David Teo antara yang bersuara mengenainya. Apa kata Mejar (K) David Teo ni?

David Teo berjaya membawa masuk artis dan media untuk menyertai askar wataniah

Menurut laporan Free Malaysia Today, David Teo mengatakan yang Mat Sabu tidak tahu prosedur untuk mendapatkan anugerah kehormat. Pangkat ni diberi oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Agong ketika itu atas cadangan Menteri Pertahanan. Lagi pun, pangkat ini diterima selepas setahun dia melakukan sumbangan kepada askar wataniah dengan membawa artis dan media menyertai pasukan itu.

“Selepas itu apabila proses pengambilan berjaya dalam setahun, barulah saya dicadangkan oleh menteri untuk pangkat, dan panglima yang memberikan pangkat saya.”- David Teo, petikan dari FMT.

Lain macam tabiknya tu. Imej dari Utusan.

Jika kementerian nak ambil balik gelaran tu, dia tak kisah sebab bukan bagi untung apa pun. Walaupun dia tak kisah pasal gelaran tu, sejarah membuktikan yang dia sendiri terkejut waktu menerima pangkat tersebut kerana baru sahaja 6 bulan dia menyertai askar wataniah.

“Malah, saya difahamkan orang yang berusia 45 ke atas tidak layak menjadi askar Wataniah kerana saya sekarang berusia 47 tahun. Mungkin ada sebab lain mereka memilih dan menerima saya.”- David Teo, petikan dari Utusan.

Dia juga berpendapat yang kelonggaran ni diberikan kepada ahli Platun Seni yang kebanyakan disertai oleh golongan artis macam dia. Selepas menerima gelaran Mejar ini, dia dah bagi kelonggaran waktu bekerja untuk kakitangan dan artis-artis Metrowealth Production supaya dapat menyertai latihan. Antara artis yang turut serta adalah Lisa Surihani, Shahiezy Sam, Diana Amir dan Norliana Shamsudin.

Biasa dalam barisan kawad nampak stress. Tidak untuk Lisa Surihani. Imej dari Malaysia Sensasi.

Adakah dengan menjadi Platun Seni ni, mudah untuk dapat pangkat? Berat sangat ke latihan-latihan Platun Seni ni?

Platun Seni Rejimen Askar Wataniah diberikan lencana khas sewaktu berpakaian seragam

Platun Seni Rejimen Askar Wataniah dah ditubuhkan sejak pertengahan Jun 2011. Menurut Menteri Pertahanan waktu tu, Zahid Hamidi mengatakan askar wataniah untuk platun seni ni adalah salah satu Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang baru untuk kementerian dan merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan diteruskan.

Zahid Hamidi juga meluluskan cadangan supaya lencana khas diberikan kepada Platun seni, media dan kakitangan Kementerian Pertahanan (Kementah) supaya mudah untuk dikenali waktu berpakaian seragam.

SU TPM, Zahid Hamidi pun dapat naik pangkat Mejar Jeneral. Siapa je yang tak dapat? Imej dari Astro Awani.

Siap dengan lencana khas lagi. Memang betul-betul dihargai ni. Apalah agaknya latihan-latihan yang golongan artis tempuh sampai dapat lencana khas? Kalau ikut apa yang David Teo cakap, latihan yang dia lalui adalah selama 240 jam atau dalam masa 30 hari termasuklah pengalaman cara-cara menggunakan senjata api macam M16.

Kalau kita cari berita pasal latihan Platun Seni memang tak banyaklah. Kalau yang dapat liputan pun pada tahun 2012, apabila Siti Nurhaliza (belum Datuk Seri lagi), Yana Shamsudin dan Mon Ryanti menyertai latihan menembak di lapang sasar Kem Perdanan Sungai Besi. Ketiga-ketiga artis ni diberi peluang untu menggunakan M16. Siti Nurhaliza berjaya mengumpul 70 markah dengan 18 butir peluru kena pada sasaran.

Kursus yang golongan artis dan lain-lain ni sertai dinamakan sebagai Kursus Asas Perajurit Muda (Sukarela) Siri Khas bagi Platun Seni, Media dan Kementah. Pada 17 Julai 2012, genap setahun kursus ni dengan adanya individu yang berjaya habiskan dan tak berjaya habiskan termasuk Siti Nurhaliza. Pada waktu tu juga, Zahid Hamidi dah memberikan peluang kapada ahli platun seni yang terdiri dari golongan artis ni untuk mengikuti rombongan bagi bertemu pasukan pengaman negara kita di Lubnan. Ianya bertujuan untuk memberi semangat kepada pasukan itu.

Lambaian pasukan pengaman negara ke Lubnan. Imej dari Utusan.

Ada juga antara artis ni yang mempromosi pasukan Askar Wataniah ni di peringkat akar umbi termasuklah sekolah lama artis itu sendiri.

“Ahmad Zahid dalam pada itu menghargai usaha platun media Askar Wataniah itu, terutamanya Siti Nurhaliza dan penyanyi Ana Raffali yang telah mempromosikan Askar Wataniah ini di sekolah-sekolah lama mereka dengan mengenakan uniform Askar Wataniah untuk acara perbarisan pasukan kadet sekolah.”- Petikan dari mStar

Itulah sedikit sebanyak keterlibatan golongan artis atau selebriti dalam Askar Wataniah. Setelah membaca mengenai aktiviti platun seni ini, adakah layak mereka mendapat anugerah dan pangkat tentera? Tepuk dada, tanyalah diri sendiri.

Menteri Pertahanan dulu menganggap pakaian seragam tentera sebagai fesyen baru

Setakat pakai semua orang boleh pakai. Pandai berkawad tak ni? Imej dari Aliexpress

Ketidakpuasan hati mengenai pemberian anugerah dan pangkat tentera ni bukanlah pada mulanya datang dari mulut Menteri Pertahanan, Mat Sabu. Tapi, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji yang mengetuai Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

“Kami perlu bersusah payah untuk mendapat pangkat itu pada seragam kami. Saya rasa sangat tidak masuk akal tentera memberikan pangkat kehormat kepada menteri besar, ahli politik dan selebriti.”- Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, petikan dari FMT.

Masa Zaman Hishamuddin, dua Menteri Besar dapat pangkat Brigadiar Jeneral (Kehormat). Khaled Nordin (Johor) dan Azlan Man (Perlis). Imej dari mStar.

Dia turut mengkritik Menteri Pertahanan pada masa lalu yang menganggap pakaian seragam tentera sebagai fesyen baru. Ia juga memalukan bila tengok ahli politik tidak tahu memakai pakaian seragam dengan betul.

“Ada yang maut mempertahankan negara dalam terjunan itu. Mereka pernah terjun berapa kali?- Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, petikan dari FMT.

Itulah luahan kata-kata dari Arshad mengenai ahli politik yang memakai lencana tersebut ketika memeriksa barisan kawad. Memang nampak tak puas hati. Mana taknya, Arshad yang dapat pangkat Brigadier Jeneral ni pun waktu berumur 50 tahun dan hampir pencen. Punyalah lama dia nak dapatkan.

Sistem pengambilan anggota baru dan naik pangkat anggota tentera sudah dinaik taraf

Walaupun nampak macam senang-senang je naik pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tapi itu semuanya hanya dalam kalangan ahli politik dan selebriti. Realitinya, sejak tahun 2010 lagi ATM dah perketatkan syarat bermula dari pengambilan anggota baru lagi. Kalau dulu pakai PMR, sekarang mesti ada SPM dengan kepujian pada subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Detik-detik mendebarkan waktu belajar Math

Untuk calon baru yang nak jadi pegawai pula perlu mempunyai ijazah manakala pegawai yang dah berkhidmat kena ada sarjana sebagai syarat untuk ditawarkan pangkat kolonel.

“Dengan cara ini kita akan dapat membentuk sebuah pasukan tentera yang lebih hebat bukan sahaja dari segi praktikal tetapi pemikiran mereka.

Sebagai contoh peralatan yang digunakan sekarang amat canggih dan memerlukan kepakaran maka orang yang mengendalikannya mestilah mempunyai latar belakang akademik yang baik,”- Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim, petikan dari Utusan.

Imej dari Wikipedia.

Pada 1 Julai 2016, sistem naik pangkat anggota ATM dah dinaik taraf berasaskan tempoh perkhidmatan masing-masing. Seseorang yang berpangkat prebet akan naik ke pangkat lans koperal selepas 5 tahun berkhidmat dengan kenaikan gaji dari RM1,500 kepada RM 1,700. Dalam tempoh tiga tahun, anggota ni tadi akan naik pula ke pangkat koperal dengan pendapatan RM2,200 hingga RM4,000 termasuk elaun sara hidup dan lain-lain.

Jadi, semuanya memerlukan masa untuk seseorang itu menerima pangkat. Inilah kehebatan Angkatan Tentera Malaysia yang mementingkan perkhidmatan seseorang. Statistik pada tahun 2015 mencatatkan peningkatan 12.6 peratus dari segi permohonan untuk menyertai ATM. Ini menunjukkan golongan muda makin ramai yang berminat.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kerjaya sebagai anggota ATM telah menarik minat golongan muda. Berdasarkan sambutan ini, kita perlu memilih yang terbaik untuk mengisi jawatan sebagai anggota ATM”- Timbalan Menteri Pertahanan tahun 2016, Datuk Mohd. Johari Baharom, petikan dari Utusan.

Sedia berkhidmat untuk rakyat Malaysia. Imej dari Army.mod

ATM ada imej yang baik, jangan dimusnahkan

Banyak dah sistem dalam ATM yang dah diubah untuk meningkatkan imej ATM sebagai benteng negara. Cumanya, pemimpin yang memegang portfolio Menteri Pertahanlah yang bakal mencorakkan imej ATM ni. Pengkajian semula pemberian pangkat dan anugerah kepada orang yang tak sepatutnya adalah sangat baik untuk dikaji semula. Itu sebagai tanda penghormatan kepada perajurit kita yang berjuang menjaga keselamatan negara sama ada di darat, laut dan udara.

Menteri Pertahanan bergelak ketawa dengan anggota tentera di Sempadan Malaysia-Thailand. Imej dari Utusan.

Isu-isu kebajikan anggota veteran tentera yang sering dibangkitkan sebelum ni juga moga dapatlah diselesaikan. Pada masa sama, skandal-skandal yang menyebabkan terpalitnya nama angkatan tentera seperti pembelian kapal selam Scorpene diharapkan juga bakal disiasat demi membersihakn semula imej angkatan tentera ini. Gempur Wira! Gempur Wira!

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT