5 nama tempat kat Malaysia yang ditukar nama, dan kenapa?

UPDATE 6/6/2018:  Enam tahun lalu, Kampung Kerinchi yang berada di kawasan Lembah Pantai ditukar nama kepada Bangsar South, dan perlahan-lahan memadam identiti asalnya. Tapi semalam, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai yang menang dalam PRU14 baru-baru ni nampaknya akan menunaikan janjinya untuk mengekalkan nama Kampung Kerinchi kembali, sesuai dengan sejarah dan nilai sentimental bagi penduduk lama.

“Kampung Kerinchi dibentuk oleh perintis bandar pada tahun 1870-an. Orang-orang yang merupakan sebahagian daripada kumpulan Kerinchi masih bercakap antara satu sama lain dalam dialek Kerinchi mereka masih mempunyai identiti mereka. Siapa kita tanpa rasa sejarah kita? Itu sebabnya kita tidak boleh menukar nama tempat dengan mudah, ” – Fahmi Fadzil, dipetik dari Malay Mail.

____________________________________________________________________________

Rasanya semua rakyat negara ni tahu yang Malaysia dulunya nenek moyang kita panggil Tanah Melayu. Penjajah British pun dalam jurnal diorang panggil tempat kita Kepulauan Melayu disebabkan penduduk asalnya orang Melayu. Lepas tu pada abad ke-19, orang-orang Cina dan India dari tanah asal mereka berhijrah ke Tanah Melayu untuk bekerja, dan akhirnya terus menetap kat sini. Masa nak capai kemerdekaan, daripada nama ‘Tanah Melayu’, kita tukarkan kepada nama yang lebih komersial, iaitu Malaysia.

Kalau nak diikutkan dalam buku sejarah yang kita belajar kat sekolah, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Pada 16 September 1963, Malaysia diisytiharkan iaitu bila Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung dengan Semenanjung untuk penubuhan Persekutuan Malaysia. Sebab tu la selain daripada Hari Kemerdekaan, kita juga ada Hari Malaysia untuk memperingati penubuhan Malaysia. Tapi, ada juga versi lain yang kata nama Malaysia wujud sebelum tu lagi.

Selain Tanah Melayu atau Kepulauan Melayu ditukarkan kepada Malaysia lepas negara kita merdeka, ada juga tempat-tempat dalam Malaysia yang ditukarkan nama atas sebab-sebab tertentu…

1. Pantai Cahaya Bulan, dulunya ialah Pantai Cinta Berahi

Pantai Cahaya Bulan, Kelantan

Pantai Cahaya Bulan ni salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan. Terletak kira-kira 10km dari Kota Bharu, tempat ni dulunya kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Sebelum dapat nama Pantai Cahaya Bulan, tempat ni terlebih dulu dikenali dengan nama Pantai Cinta Berahi.

Macam mana pulak nama tu muncul? Kami tak pasti dengan kesahihan cerita ni sebab kami tak jumpa pulak dari mana-mana sumber yang sahih. Tapi ada sumber dalam blog persendirian yang kata Pantai Cinta Berahi tu diberikan oleh seorang askar British masa dia ada dekat pantai tu masa Perang Dunia Kedua. Masa tu, dia tengah sedih sebab cinta dia tak berbalas. Tak pasti la pulak perempuan tu orang tempatan atau mat saleh jugak!

Cinta Kurang Berahi

Kenapa pulak pantai ni kena tukar nama? Semuanya bermula tahun 1990 lagi, bila kerajaan Kelantan baru (PAS) masa tu menang pilihan raya negeri. Mungkin diorang pun dah lama perati juga nama ni tak sesuai dengan budaya Timur dan sebab majoriti orang Islam dalam negeri tu, jadi kerajaan pusat ni pun ubahla nama Pantai Cinta Berahi tu kepada Pantai Cahaya Bulan.

memegenerator

Walaupun dah hampir 30 tahun nama Pantai Cahaya Bulan tu ditukarkan nama, tapi sesetengah orang tempatan yang biasanya terdiri daripada orang-orang tua kat sana masih lagi panggil nama pantai tu dengan nama lama dia, Pantai Cinta Berahi, dan orang muda pulak panggil singkatan je, PCB.

2. Pelabuhan Klang dulunya ialah Pelabuhan Swettenham

Pelabuhan Klang dulunya dikenali sebagai Port Swettenham, atau Pelabuhan Swettenham. Nama tempat tu dulu diambil dari Sir Frank Swettenham, iaitu seorang Residen General bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-Negeri Melayu.

Kalau korang nak tahu, Sir Frank Swettenham ni juga pernah tulis buku dan jurnal pasal orang Melayu selama 24 tahun dia jadi pegawai British di Tanah Melayu. Korang boleh cari buku dan jurnal dia yang bertajuk “The Real Malay”, dan juga “Malay Sketches” kalau nak tahu lebih lanjut.

Bukan tu je, dia ni siap boleh cakap Melayu dengan fasih sampai boleh hasilkan kamus “Vocabulary of the English and Malay language” lagi. Jadi, malu tak kalau korang ni orang Melayu dekat Malaysia yang tak boleh cakap bahasa Melayu dengan baik?

Saya dengar ada orang Melayu yang tak pandai cakap Bahasa Melayu?- Uncle Swettenham. Imej dari britishempire

Sebenarnya, Pelabuhan Swettenham ni dibuka secara rasmi sejak tahun 1900 lagi, iaitu 117 tahun yang lepas. Selama lebih 72 tahun menggunakan nama Port Swettenham, pada 12 Januari 1972, akhirnya Pelabuhan Swettenham ditukarkan nama kepada Pelabuhan Klang.

Kat situ pun kita boleh nampak yang Pelabuhan Klang ni sangat penting bagi pembangunan ekonomi negara kita disebabkan kedudukan tempat tu yang dekat dengan hab perdagangan dan perindustrian Lembah Klang yang strategik.

Selain tu juga, Pelabuhan Klang ni ialah salah satu daripada pelabuhan terpenting kat Tanah Melayu lepas Singapura dan Pulau Pinang. Sampai sekarang pun, Pelabuhan Klang ni ialah antara 20 pelabuhan utama tertinggi dalam dunia!

Sebelum dimiliki oleh Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) yang merupakan sebuah badan berkanun dan  mengambil  alih pentadbiran Pelabuhan Kelang, Pelabuhan Klang dipegang oleh Keretapi Tanah Melayu. Pelabuhan Klang kemudiannya diswastakan pada tahun 1986, selaras dengan dasar kerajaan untuk menyemai pengurusan dan disiplin sektor swasta ke atas badan yang dimiliki dan dikawal kerajaan di negara ini.

3. Batang Berjuntai kini ialah Bestari Jaya, jangan salah panggil pulak

Papan tanda yang ditukar nama. Imej dari fringe.wordpress

Batang Berjuntai ni pulak ialah nama tempat kat sebuah pekan kecil di Selangor, Malaysia. Terletak di daerah Kuala Selangor, kampung ni asalnya dikenali dengan nama Kampung Jaya Setia atau Batang Trill yang dibuka pada tahun 1945.

Kalau nak ikutkan pada cerita orang tempatan, nama Batang Berjuntai tu pula diberi sempena peristiwa pohon merbau yang tumbang ke dalam air. Kejadian ni berlaku kat satu sudut di kawasan perkuburan tempatan yang terletak di tepi Sungai Selangor. Pohon merbau yang tumbang tu selalu timbul ikut pada aras air. Kalau air naik, pohon merbau ni pun naik dan sama la juga kalau air surut pun.

Pohon merbau ni yang ajaibnya satu lagi ialah dahan dia yang kuat dan tak pernah patah walaupun pokok asal dia tu dah tumbang. Peristiwa tu jadi tahun 1959, dan sebab tu la lekat nama tempat tu sebagai Batang Berjuntai, bukan sebab lain ok?

Masa tahun 2007, Batang Berjuntai kemudiannya ditukarkan kepada Bestari Jaya sebab nak jaga nama tempat tu. Mungkin juga nama tu dah tak relevan dan sebab tak nak tempat dan masyarakat kat sana disalah ertikan dengan tanggapan yang tak senonoh. Selain tu juga, pertukaran nama tu berlaku sebab membangunnya kampus utama Universiti Selangor (UNISEL) disitu.

4. Kampung Abdullah Hukum kini ialah KL Eco City

KL Eco City

Kalau korang jenis selalu naik KTM (Keretapi Tanah Melayu) korang mesti perasan yang ada satu perhentian yang tak dibuka lagi buat masa ni, iaitu KL Eco City. Korang boleh tengok nama stesen tu dekat penanda landasan yang dari Pelabuhan Klang menghala ke KL Sentral. Tapi kalau korang naik LRT (Transit Aliran Ringan) pulak, korang akan jumpa stesen Abdullah Hukum lepas stesen Bangsar menghala ke Kelana Jaya. Sebenarnya, tempat tu sama je, nama je yang lain dan dah dikomersilkan.

Tapi, siapa pulak Abdullah Hukum ni? Menurut FMT, Kampung Abdullah Hukum tu sempena nama Haji Abdullah Hukum bin Abdul Rahim, salah seorang orang penting yang terlibat secara langsung dalam pembangunan Kuala Lumpur dulu. Masa zaman dulu, dia la ketua yang membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang dan juga kebun di Bukit Nenas dan juga kawasan Sungai Putih. Tapi sekarang ni Sungai Putih dikenali sebagai Jalan Bangsar. Dekat sekitar kawasan Sungai Putih tu pula ada sebuah kampung Melayu yang dinamakan sempena nama dia, Kampung Abdullah Hukum.

Abdullah Hukum

Abdullah Hukum lahir di Sumatera masa tahun 1835, lebih kurang 182 tahun dulu. Masa umur dia 15 tahun, Haji Abdullah Hukum ni berpindah daripada Sumatera ke Semenanjung Tanah Melayu dengan ayah dia. Diorang berketurunan Kerinchi, dan disebabkan tu la juga tempat yang dekat dengan Angkasapuri RTM tu dapat nama, sebab ramai orang Indonesia yang berketurunan tersebut duduk kat situ dan bagi nama Kampung Kerinchi.

Kenapa pula Kampung Abdullah Hukum ni ditukar nama kepada KL Eco City? Sebabnya, KL Eco City ni pulak ialah satu bandar baru yang dikatakan tengah berkembang. Terletak di Bangsar dan hanya seberang Mid Valley City, pembangunan ni dikatakan akan jadi penanda aras baru pembangunan bercampur kat Kuala Lumpur. Percampuran pembangunan komersial dan kediaman bersepadu pertama yang direka bentuk untuk pensijilan Emas di bawah Indeks Bangunan Hijau Malaysia (GBI).

Indeks Bangunan Hijau (GBI) ni pula ialah industri yang diiktiraf untuk bagi rating dekat bangunan yang dibuat pemaju yang boleh buat bangunan dengan penjimatan tenaga, air,
persekitaran yang lebih sihat, penggunaan kitar semula dan tumbuh-tumbuhan hijau untuk projek-projek mereka dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Kiranya, bangunan yang go-green la ni.

Jadi, sebab nak komersilkan tempat lama, diorang tukarkan nama supaya lebih catchy dengan golongan baru, tapi sayangnya sejarah nama Abdullah Hukum tu sendiri hilang.

5. Kota Kinabalu dulu ialah Jesselton

Sesetengah tempat di Kota KInabalu masih mengekalkan nama Jesselton. Imej dari etawau.com

Ibu kota bagi Negeri Sabah, negeri di bawah bayu ni ialah Kota Kinabalu. Tapi korang tahu ke yang nama tempat ni sebelum tu ialah Deasoka, Api-Api dan akhir sekali ialah Jesselton sebelum ditukarkan kepada Kota Kinabalu?

Berdasarkan rekod yang ada, sejarah bandar raya Kota Kinabalu ni sebenarnya dah bermula lebih dari 100 tahun dulu lagi. Mulanya, tempat ni cumalah sebuah perkampungan kecil yang dipanggil Deasoka, kemudian bertukar kepada Singgah Mata dan kemudiannya pula dipanggil Api-Api.

Nama Jesselton pula bermula pada abad ke-19 bila kerajaan British menerusi Syarikat Perdagangan British Borneo Utara (BNBCC) buka pusat pentadbiran baru yang dikenali Jesselton menggantikan pusat pentadbiran lama di Pulau Gaya.

Nama Jesselton tu pula macam biasa la, dapat daripada pegawai British juga, iaitu Sir Charles Jessel, Naib Pengerusi pada BNBCC. Dalam masa yang singkat tu, Jesselton masa tu juga muncul sebagai pusat perdagangan utama di Borneo Utara disebabkan perdagangan getah, rotan, madu dan lilin mereka.

Tapi lepas merdeka dan bila Sabah dah masuk dalam penubuhan Malaysia pada 30 September 1967, nama Jesselton kemudiannya ditukarkan kepada Kota Kinabalu. Nama Kinabalu tu pula diambil daripada Gunung Kinabalu, iaitu gunung tertinggi di Malaysia.

Walaupun dah ditukarkan nama kepada Kota Kinabalu, kerajaan negeri Sabah ambik inisiatif untuk kekalkan nama-nama lain yang pernah ada dalam Sabah. Dibahagikan kepada beberapa nama Kota Kinabalu yang lama, terdiri dari Jalan Pantai dan Jalan Gaya, Segama, Sinsuran, Api-Api Centre, Asia City, Karamunsing, Kompleks SEDCO dan Bandaran Berjaya.

Patut ke kita tukar nama tempat asal kepada yang baru untuk tujuan komersil?

Tapi dalam banyak-banyak tempat yang dah ditukarkan nama tadi, ada satu tempat yang ada dapat bantahan daripada iaitu Kampung Pantai Dalam kepada Pantai Sentral yang menjadi isu pada tahun 2014. Mendapat bantahan daripada beberapa ahli politik, dan juga Sasterawan Negara, Datuk Baharuddin Zainal yang menegaskan;

“Nama Bahasa Melayu pun boleh menjadi nama komersil. Namum, kadang-kadang nama sahaja komersil namun kegiatan di kawasan berkenaan tidak komersil.

“Nama sahaja juga tidak perlu dijadikan alasan. Jika kegiatan di kawasan itu menarik, orang ramai pasti akan ke sana. Ambil Petaling Street sebagai contoh. Pelancong tetap akan ke sana kerana ia mempunyai produk-produk yang menarik. Jadi nama tempat berkenaan tidak menjadi keutamaan,”-Datuk Baharuddin Zainal

Jadi, wajar ke kalau kita tukar nama tempat yang ada kat Malaysia ni atas sebab nak bagi nama tempat tu lebih moden dan glamour? Macam mana pula dengan nama-nama lama yang menjadi sejarah negara kita kalau dikekalkan? Adakah kita akan ingat sejarah negara kita kalau banyak sangat tempat yang ditukar nama? Kalau Singapura boleh kekalkan nama Pasir Ris, Beras Basah, Bugis Village dan sebagainya tapi masih boleh komersilkan tempat tu, kenapa kita tak boleh?