- 760Share sekarang!
- Email55
- Facebook705
- Share
Lagu kebangsaan kita, Negaraku pernah dituduh diciplak daripada lagu Terang Boelan dari Indonesia. Apa yang menariknya, sebelum lagu Terang Boelan ni pun ada dua lagi lagu dengan melodi yang sama. Dah tu, siapa ciplak siapa? Kami ada tulis secara terperinci dalam artikel ni.
Sebenarnya kes ciplak lagu ni memang benda biasa dalam dunia muzik. Kat sini SOSCILI senaraikan beberapa band atau penyanyi yang pernah dituduh menciplak lagu artis lain.
1. Lana Del Rey dikatakan tiru lagu Creep dari band Radiohead
Siapa tak kenal Radiohead, iaitu band rock Inggeris dari Abingdon, Oxfordshire. Radiohead ditubuhkan pada tahun 1985, dan terdiri daripada Thom Yorke (vokal, gitar, piano, papan kekunci), Ed O’Brien (gitar, vokal sokongan), Phil Selway (dram, perkusi,vokal sokongan), dan adik-beradik Greenwood, iaitu Jonny (gitar utama, papan kekunci, instrumen lain) dan Colin (bass).
Dalam banyak-banyak lagu yang diorang ada, lagu Creep adalah antara yang paling femes. Lagu ni diterbitkan pada tahun 1992, lepas band ni tandatangan perjanjian dengan syarikat EMI setahun sebelum tu. Creep pada mulanya cumalah debut single je, tapi kemudiannya dimasukkan dalam album pertama dorang, iaitu Pablo Honey pada tahun 1993.
Dengan populariti mencanak naik masa tu, dorang berjaya keluarkan album hampir setiap dua tahun sekali dan antaranya adalah The Bends (1995), OK Computer (1997), Kid A pada 2001, dan dorang buat comeback dengan A Moon Shaped Pool pada tahun 2016.
Elizabeth Woolridge Grant, atau nama pentasnya, Lana Del Rey pulak merupakan penyanyi, penulis lagu, pengeluar rekod dan model dari Amerika. Muziknya terkenal dengan gaya estetik dan sinematiknya, beserta tema-tema romantik, glamor, dan melancholia tragis, dan rujukannya kepada budaya pop, khususnya tahun 1950-an dan 1960-an Amerika.
Baru-baru ni, Lana keluarkan album baru yang bertajuk Lust for Live. Yang jadi isunya, salah satu lagu dalam album ni yang bertajuk Get Free ni dikatakan dah diplagiat. Korang boleh dengar dan nilaikan sendiri:
https://www.youtube.com/watch?v=yzP4kQhlPBY
Macam mana? Korang rasa sama ke melodi lagu dorang ni? Ke secara kebetulan je? Sebab bagi Radiohead, kedua-dua lagu Creep dan Get Free ni, memang ada persamaan.
Jadinya, kumpulan rock British ni dikatakan dah memfailkan saman ke atas Lana Del Rey, atas tuduhan lagu barunya tu diplagiat melodinya daripada lagu Creep.
Perkara ni diketahui umum pun sebab Lana Del Rey yang memuatkan status ke dalam Twitternya. Dalam masa yang sama, dia kata persamaan yang ada cumalah kebetulan, sebab dia tak minat pun muzik Radiohead ni.
Ironinya, tak lama dulu, lagu Creep tu pun dikatakan diciplak daripada band lain, iaitu The Hollies, dengan tajuk “Air That I Breathe” yang dikeluarkan pada tahun 1972. Tapi nampaknya Radiohead mengambil langkah selamat dengan mengkreditkan nama Albert Hammond dan Mike Hazelwood dari band The Hollies, dan siap bayar royalti untuk lagu Creep tu.
Dalam masa yang sama, penerbit Radiohead pula menerangkan yang dorang memang ada buat perbincangan sejak Ogos tahun lepas untuk meminta pampasan, kredit kepada lagu dan juga saham untuk royalti lagu tersebut kepada penulis lagu Creep, dan bukannnya minta 100% daripada apa yang didakwa Lana sebelum tu.
Kes ni masih lagi berlangsung masa artikel ni ditulis.
2. Lagu ‘Sorry’ yang diciplak Justin Bieber dan Skrillex daripada Casey Dienel
Justin Bieber adalah satu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Tak kisahlah korang minat atau benci Bieber ni, dia ni adalah satu nama yang hebat sebab dia bukan je setakat menyanyi, tapi juga seorang performer yang kalau dia dah start perform tu, confirm tak kelip mata dibuatnya.
Dua tahun lepas, Justin Bieber disaman atas dakwaan memplagiat, dan juga menggunakan unsur bunyi suara riff-off penyanyi lain dalam lagunya bersama Skrillex, iaitu “Sorry” yang diterbitkan pada tahun 2015.
Penyanyi dan pencipta lagu tu, Casey Dienel, atau dikenali sebagai White Hinterland kemudiannya mendakwa Justin Bieber meminjam riff vokal dari lagunya “Ring the Bell” pada 2014. Unsur bunyi suara tu cuma ada kat awal lagu je, korang boleh dengar kat sini:
Sebelum Dienel memfailkan saman, dia sebenarnya dah minta Bieber untuk menghentikan lagu “Sorry” lebih kurang setahun sebelum tu lagi. Tapi, permintaannya tu tak diendahkan Bieber. Dia kemudiannya membuat tuntutan saman terhadap Bieber, penerbit iaitu Skrillex dan beberapa lagi penulis bersama lagu tu iaitu Julia Michaels, Justin Tranter dan Michael Tucker.
Skrillex kemudian memberi respon kepada tuntutan mahkamah yang difailkan Dienel dengan mengupdate status di Twitternya,
“SORRY but we didn’t steal this,”
atau
“MAAF, tapi kami tak curi lagu ni”, dan upload video yang menunjukkan macam mana bahagian lagu tu dihasilkan.
Justin Bieber kemudiannya cuma membalas tweet Skrillex tu dengan hashtag
“#wedontsteal” , atau “#kamitakcuri”
SORRY but we didnt steal this 🙏🏻 @justinbieber @bloodpop pic.twitter.com/9897j9sfY7
— Skrillex (@Skrillex) May 27, 2016
Lepas beberapa bulan kes tuntutan hak cipta ni berlangsung, keputusan nampaknya berpihak kepada Justin Bieber bila dia akhirnya menang kes saman ni pada Disember tahun lepas. Jadi, dia tak perlu say sorry, la kan?
3. Vanilla Ice mengaku beli lagu Under Pressure dari Queen dan David Bowie
Masa korang kecik-kecik, korang mesti pernah dengar lagu catchy “Ice, Ice Baby”. Part tu la kot yang korang tahu sebab lepas tu tak faham sepatah haram pun apa yang dia rap dan nyanyi.
“Ice Ice Baby” adalah lagu hip hop yang ditulis oleh rapper Amerika, iaitu Vanilla Ice atau nama sebenarnya, Robert Van Winkle dan DJ Earthquake. Lagu tu dikeluarkan pada tahun 1990, oleh Vanilla Ice sendiri yang pernah digelar “Elvis of rap” disebabkan popularitinya yang naik mendadak pada masa tu.
Tapi kalau korang peminat David Bowie atau band Queen (penyanyi utamanya Freddie Mercury), mungkin korang pernah dengar lagu “Under Pressure” nyanyian dorang ni. Lagu tu wujud hampir 10 tahun sebelum lagu Ice Ice Baby diperkenalkan.
Jadi apa lagi, wakil daripada Queen dan David Bowie pun mengancam untuk memfailkan saman terhadap pelanggaran hak cipta yang dilakukan Vanilla Ice. Vanilla Ice dalam beberapa jawapan kepada media, bermati-matian juga la cuba menafikan lagu tu diinspirasikan daripada Under Pressure. Alasannya, melodi dua lagu ni berlainan sebab dia tambah beat dia sendiri.
Korang boleh dengar lagu original Queen dan David Bowie, dan judge la sama ke tak beat kedua-dua lagu ni?
Tapi, pengurus Queen masih berkeras untuk saman Vanilla Ice atas pelanggaran hak cipta. Vanilla Ice akhirnya memilih untuk settlekan hal ni luar mahkamah. Dia kemudian membayar sejumlah wang penyelesaian kepada kedua-dua ikon rock tu untuk lagu asal dorang. Tapi, tak tahu la berapa banyak sebab perkara tu dirahsiakan. Bukan tu je, nama semua ahli band Queen dan David Bowie juga dikreditkan dalam penulisan lagu tersebut.
Disebabkan one hit wonder tu juga, kontroversi pasal lagu tu banyak diperkatakan dalam masa yang panjang. Baru je dua tahun lepas, Vanilla Ice sekali lagi cetuskan kontroversi bila dia mengaku yang dia dah beli lagu tu dari David Bowie dan Queen lebih 25 tahun lalu daripada Brian May, iaitu salah seorang anggota kumpulan Queen. Eh, tadi kata lagu asal sendiri?
“Saya sebenarnya dah beli lagu tu (lepas kes saman berlaku). Perkara ni sama macam Michael Jackson yang beli lagu The Beatles sebab beli lagu ni lagi murah daripada nak bayar tuntutan mahkamah.” – Vanilla Ice, ketika ditemuramah di rancangan radio Dan Patrick Show.
Wakil dari band Queen kemudiannya kata yang perkara tu tak tepat. Dorang sendiri malas nak layan Vanilla Ice, dan tak saman pun sebab malas nak naik mahkamah (atau mungkin sebab bayaran Vanilla Ice tu dah cukup banyak).
“Susunan dibuat di mana penerbitan dalam lagu itu dikongsi,” – wakil dari band Queen.
Dorang dalam masa yang sama, berterima kasih juga dekat Vanilla Ice sebab lagu yang diplagiat tu juga la yang semakin menaikkan nama Queen dan lagu Under Pressure tu. Tu tak pasti la kalau dorang ni perli Vanilla Ice ke apa. Kes ni juga direkodkan sebagai pergaduhan hak cipta paling kelakar setakat ni, disebabkan claim Vanilla Ice tu.
.@VanillaIce finally clears the air on sampling David Bowie & Queen on "Ice Ice Baby" pic.twitter.com/ufxlE8Hsa4
— Dan Patrick Show (@dpshow) July 12, 2017
4. The Verve terpaksa berikan 100% royalti kepada The Rolling Stones, termasuklah pencalonan Grammy
The Verve merupakan band rock Inggeris yang ditubuhkan pada tahun 1990 oleh vokalis utama Richard Ashcroft, gitaris Nick McCabe, gitar bass Simon Jones dan drummer Peter Salisbury. Band ni memang terkenal dengan muzik dorang dengan bunyian ala psychedelic/khayal.
Pada tahun 1997, band The Verve mencapai kejayaan besar di seluruh dunia dengan lagu hit “Bitter Sweet Symphony”. Pelbagai pencalonan anugerah yang dorang menang atas lagu ni, contohnya macam ‘Best British Single’ pada 1998 Brit Award dan pencalonan Anugerah MTV Music untuk ‘Video of the Year,’ ‘Video Kumpulan Terbaik,’ dan ‘Video Alternatif Terbaik’. Malah, siap dapat masuk pencalonan Anugerah Grammy untuk ‘Best Rock Song’ lagi!
Tapi bila lagu ni dah jadi semakin hit, The Verve tiba-tiba didakwa oleh bekas pengurus The Rolling Stones, Allen Klein (pihak yang memiliki hak cipta kepada lagu-lagu sebelum 1970-an tu) pernah berkhidmat dengan band 70-an tu atas tuduhan penciplakan lagu.
Padahal sebelum tu, band The Verve ni ada berunding untuk menggunakan sampel lima nota daripada versi orchestral “The Last Time” The Rolling Stones, dan menerima pelepasan dari Decca Records.
Walaupun The Verve dah dapat lesen untuk menggunakan sebahagian lagu tu, tapi nampaknya kes ni jadi lebih besar bila Allen Klein mendakwa The Verve menggunakan sebahagian lagu tu lebih daripada apa yang ada dalam perjanjian dorang.
Berdasarkan laporan mtv.com, bunyi instrumental background tu merupakan simfoni bagi lagu Rolling Stones, “The Last Time,” yang dirakam pada tahun 1965 oleh The Andrew Oldham Orchestra. Melodi orkestra hasil daripada perjanjian tersebut dirakam dan disusun sendiri oleh The Verve, manakala sampel dari rekod instrumental pula berada di bawah trek lain dalam korus.
Jadi, The Verve kemudiannya bersetuju untuk meletakkan nama Mick Jagger dan Keith Richards, antara ahli kumpulan Rolling Stones dalam kredit lagu ni. Bila lagu tu dikreditkan atas nama dorang, jadi dalam masa yang sama dorang bukan saja dapat duit royalti, malah pencalonan Grammy untuk lagu yang diolah balik untuk The Verve tu jugak!
Kes saman terhadap The Verve tak habis kat situ je. Dua tahun selepas tu pulak, The Verve sekali lagi disaman oleh Andrew Loog Oldham, manager band The Rolling Stones sejak 1963 hingga 1967 yang menghasilkan beberapa album untuk band tersebut. Oldham kata, dia memiliki rekod orkestra “The Last Time” tu kemudiannya memfailkan saman 1 juta pound (kira-kira $ 1.7 juta) pada masa tu untuk mendapatkan royalti mekanikal.
The Verve kemudiannya memilih untuk menyelesaikan kes ni di luar mahkamah sebab settle luar mahkamah ni lagi senang daripada saman-menyaman mahkamah yang boleh tahan jugakla segala fees yang ada. Lagipun, dorang pun sebenarnya tak yakin akan menang kes ni. Akhirnya, The Verve sendiri terus surrender dan bagi 100% royalti penulisan lagu tu kepada kedua-dua pengurus band The Rolling Stones. Dengan itu, The Verve hilang hak atas lagu dorang, dan yang paling penting, maruah band tu sendiri.
Dalam maklum balas Ashcroft, penyanyi utama dan gitaris The Verve tu kemudian menyindir,
“Ni ialah lagu terbaik Jagger dan Richards tulis dalam masa dua puluh tahun (yang merujuk kepada Bitter Sweet Symphony yang diambil alih hak).” – Richard Ashcroft.
Ashcroft kemudiannya dilaporkan mengalami tekanan perasaan dan menyebabkan band tu berpecah selepas dua tahun lagu hit dorang pertama kali dimainkan di radio.
Copyright lagu korang sebelum lagu korang dicopyrightkan oleh orang lain
Kes plagiat ni bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah. Dalam kes Ice Ice Baby contohnya, penciplakan lagu tu dah mencetuskan satu perbincangan serius pasal tindakan penalti yang diambil terhadap pemuzik dalam kes plagiarisme.
Jadi sebagai penulis dan pemilik lagu, korang kena tahu hak sendiri dan patenkan hak cipta korang. Kitorang pun ada tanya kawan musician kitorang, macam mana nak elakkan lagu daripada diciplak?
“Biasanya bila lagu dah siap, musicians akan pass lagu tu ke record label/manager/publisher untuk didaftarkan dengan badan yang sesuai (macam kat Malaysia, ia adalah MACP. Bila dah hantar (dan pasti ada terma dan syaratnya) barulah lagu tu officially hak milik artis/recording label/producer/penulisan lagu (bergantung kepada perjanjian atau kontrak). ” – Adly, pemuzik.
Dan macam mana pulak kalau lagu diciplak atau dimainkan tanpa izin (contohnya dalam cerita atau iklan). Apa yang boleh dilakukan oleh pemuzik?,
“Mula-mula I kena kenalpasti melodi yang I buat (tempo, kod, dan nota lagu supaya tak boleh dicuri). Pastu check sama ada melodi tu cukup panjang tak untuk dia curi (dan kumpulkan semua bukti supaya laporan dan saman boleh dibuat)”
“Kedua, kalau dah masuk court I akan tunjuk semua production file. Macam kat Mac, kalau you tekan spacebar on a file, dia akan tunjuk tarikh last dibuka. And since I’m with a band, I akan tunjuk semua email I dengan bandmate untuk tunjukkan yang kami yang hasilkan lagu tu sebelum dicuri. Kalau nak bukti lagi kukuh, I akan kasi link soundcloud/spotify atau apa-apa bukti yang mengatakan lagu I yang dah diterbitkan sebelum pencuri tu main lagu kami secara live atau keluarkan lagu tu.” – Adly, produser muzik dari band Selesta.
Dalam hujah rollingstone.com, dorang setuju yang undang-undang untuk hak cipta ni boleh tolong bantu artis dari segi kewangan (dapat royalti untuk lagu dorang yang diciplak). Tapi malangnya, undang-undang ni tak boleh elakkan yang hasil kreativiti artis yang dah berhempas pulas, tapi digunapakai oleh orang lain tanpa kebenaran.
Jadi, walaupun bayaran royalti boleh dapat bila menang kes, macam mana pula dengan kredibiliti dan kreativiti artis asal yang dah hilang?
- 760Share sekarang!
- Email55
- Facebook705
- Share