- 2.0KShare sekarang!
- Email155
- Facebook1.9K
- Share
*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 5 Disember 2017, dan telah diolah mengikut perkembangan semasa.
Dalam sidang parlimen yang lepas (2017), Siti Mariah (MP AMANAH) risau pasal perkembangan atheism kat Malaysia ni, nak lagi di kalangan bebudak Melayu. Kata Dr Mariah, kumpulan atheist ini agak agresif kat Facebook dalam menyerang agama lain termasuklah Islam.
Asyraf Wajdi (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) kata, mengikut Perlembagaan, “sebarang bentuk penyebaran agama, kepercayaan, doktrin di kalangan orang Islam itu adalah ditegah“. Bagi orang bukan Islam pulak, “kebebasan agama bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama”. Malah, Asyraf Wajdi kata penyebaran atheisme ni boleh disiasat di bawah Akta Hasutan.
Tapi sebelum pergi kepada hal undang-undang yang panjang berjela, kami nak tau jugak pengalaman peribadi rakyat Malaysia yang memilih untuk berpegang kepada atheisme. Sebab di sebalik berita-berita yang terpampang kat paper ni semua, kadang-kadang ada cerita yang panjang lebar di sebaliknya.
Jadi SOSCILI pun interview beberapa orang atheist yang dah pindah keluar dari Malaysia. Dan kita bermula dengan…
Juli Jalaluddin – didera secara seksual pada usia 5-10 tahun oleh kawan bapanya sendiri
Nama Juli Jalaluddin memang pernah jadi tajuk akhbar sebelum ni sebab membuat page FB ‘Murtads in Pantai Timur’ bila dia perasan ramai atheist dari Kelantan dan Terengganu. Juli berasal dari Kelantan, dan belajar Al-Quran sejak umur 5 tahun lagi.
Apa yang sedihnya, pada umur 5-10 tahun, Juli didera secara seksual oleh kawan ayahnya.
“Walaupun pengalaman tu bukanlah faktor utama saya keluar Islam, tapi ia buat saya rasa terasing daripada keluarga dan masyarakat. Saya rasa seperti orang luar.” – Juli, dalam interview dengan SOSCILI.
Sejak kecil lagi, Juli tak faham kenapa orang bukan Islam kena masuk neraka, walaupun dorang baik. Kat sekolah, Juli kata ada cikgu agamanya cakap bahawa cikgu Cina dan cikgu Melayu yang tak pakai tudung adalah ejen setan.
Juli bagitau SOSCILI yang dia banyak buat research dan bacaan, dan sepanjang umur 20-30 tahun, kepercayaan dia mula berubah sedikit demi sedikit. Dia mula percaya pada tuhan yang penyayang, lepas tu percaya Quran dan bukan hadis, lepas tu kepada Deis, pluralis, dan agnostik. Tapi semuanya berubah bila mak dia ajak dia datang ke Mekah, dan ini adalah antara perkara yang dia alami:
“Sepanjang dua minggu saya di Arab Saudi, saya berkali-kali diganggu secara seksual. Kakak ipar dan ibu saya pun kena, dan saya tahu sebab benda ni berlaku kepada saya. Saya fikir, kenapa tiada siapa yang bercakap pasal benda ni?” – Dari blog Juli.
Selepas pengalamannya di Mekah, Juli bertukar kepada pegangan atheisme sepenuhnya.
Selain Juli, kami tanya dua lagi orang yang memilih untuk berpegang kepada atheisme dan telah meninggalkan Malaysia.
Baba J – Sangat berat hati untuk meninggalkan Malaysia
Baba J dilahirkan dalam keluarga Sikh, tapi bagi dia banyak benda tak masuk akal. Menurutnya, dia selalu diberitahu yang semua yang perlu diketahui ada dalam kitab suci, tapi takde sapa yang boleh jawab soalan-soalannya. Soalan faveret dia adalah, “Kalau tuhan adalah pencipta, siapa yang mencipta tuhan?”
Jadi Baba J kata dia mula didik diri sendiri dan perlahan-lahan menjadi seorang atheist. Namun bagi Baba J, keputusan untuk meninggalkan Malaysia adalah perkara yang paling buat dia patah hati.
“Saya masih rindukan tanah tumpahnya darah ku setiap hari. Saya pindah atas beberapa sebab. Pertama sekali, hanya Melayu Muslim saja yang boleh jadi PM. Walaupun saya tak nak jadi PM, ia sangat memberi kesan terhadap keyakinan diri dan apa yang saya mampu capai dalam hidup.
Perkara ni menghantui saya sepanjang zaman remaja, dan saya tak mahu anak-anak saya merasai benda yang sama.” – Baba J, dalam interview dengan SOSCILI.
Jon Snow – Jadi atheist atas pilihan sendiri, takde drama pun
Sorang lagi yang kami interview adalah ‘Jon Snow’, yang lahir dalam keluarga Buddhist dan kepercayaan tradisional Cina. Bagi Jon Snow, takde apa yang dramatik pun berlaku yang menyebabkan dia meninggalkan kepercayaan keluarga dia. Katanya, dia jadi atheist sebab dia lebih percaya sains.
Jon takde pun kecoh sana-sini yang bagitau orang yang dia atheist, dan takde sebarang perasaan benci terhadap agama mahupun penganutnya. Bagi dia, semuanya adalah pilihan peribadi. Dia pindah keluar negara pun sebab dapat kerja kat China.
Apa kata Perlembagaan Persekutuan tentang penyebaran atheisme?
Berbalik kepada kenyataan Asyraf Wajdi tadi, dia kata “sebarang bentuk penyebaran agama, kepercayaan, doktrin di kalangan orang Islam itu adalah ditegah”. Untuk mengesahkan perkara ni, kami minta pendapat dua peguam iaitu Fahri Azzat dan seorang lagi peguam Syarie (tidak beramal) yang tidak mahu dinamakan.
Bagi orang Islam, perkara ni boleh dirujuk kepada Artikel 11(4) dalam Perlembagaan:
Adakah atheisme dikira sebagai sebuah doktrin? Fahri kata, kita kena faham dulu apa itu atheism. Menurut Wikipedia, “Atheism, dalam skop yang paling luas, adalah tiadanya kepercayaan tentang kewujudan sebarang bentuk dewa atau tuhan.”
Tapi tambah Fahri lagi, ‘ketidakpercayaan’ ini boleh jugak dikira sebagai satu bentuk kepercayaan. Hah, bercelaru kepala otak.
“Sebab tiada bukti objektif tentang kewujudan atau ketidak-wujudan Tuhan (yang diperlukan jika hendak dinilai secara saintifik), posisi seorang atheist tiada bezanya dengan orang yang ada agama.
__
Mereka berada di hujung spektrum yang satu lagi – satu kepercayaan tentang tiadanya dewa/tuhan. Jadi, ia boleh dikira sebagai satu ‘kepercayaan’” – Fahri Azzat kepada SOSCILI
Jadi kalau atheism dikira sebagai bentuk kepercayaan, ianya dilarang dalam Perlembagaan untuk disebarkan kepada orang Islam. Dan dah tentulah perkara ni agak jelas daripada segi syariah, menurut peguam syarie yang kami tanya:
“Kebebasan beragama ini tidak terpakai untuk orang Islam kerana agama Islam melarang orang-orang Islam untuk murtad. Malah murtad adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah di setiap negeri.
___
Pada pendapat saya, Artikel 11(4) terpakai untuk semua agama, bermaksud penganut mana-mana agama tidak boleh mengembangkan agama mereka kepada penganut Islam, termasuk pengamal atheisme.” – Peguam syarie (tidak dinamakan) kepada SOSCILI
Jadi dari segi undang-undang, sekatan terhadap pegangan atheisme di kalangan orang Islam memang jelas dinyatakan dan Perlembagaan Persekutuan dan juga Akta Syariah.
Macam mana pulak dengan orang bukan Islam?
Asyraf Wajdi mengatakan yang “kebebasan agama bukan bermakna kebebasan daripada tidak beragama”. Peguam Syahredzan Johan membalas, “Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama di bawah Artikel 11(1), dan ini termasuklah kebebasan untuk tidak mempercayai. Kenyataan Timbalan Menteri adalah salah sama sekali”.
Tapi bila kami baca Artikel 11(1), takde cakap apa-apa pun pasal kebebasan atau halangan untuk TIDAK beragama, bagi yang bukan Islam.
Walau bagaimanapun, pendapat Syahredzan Johar tadi disokong oleh Fahri Azzat, dan juga peguam syariah yang kami tanya:
“Saya kurang bersetuju dengan Asyraf Wajdi dalam perkara ini. Memang benar kalau seseorang dilahirkan Muslim tidak ada pilihan untuk menganut agama lain melainkan kekal bersama Islam.
___
Akan tetapi penganut agama lain boleh memilih untuk menjadi atheist dan mereka tidak patut dipaksa untuk beragama sekiranya mereka tidak mahu.” – Peguam syarie (tidak dinamakan) kepada SOSCILI
Bolehkah penyebaran atheism didakwa di bawah Akta Hasutan?
Menurut Asyraf Wajdi, penyebaran atheism di kalangan bukan Muslim boleh didakwa di bawah Akta Hasutan. Dia merujuk kepada group FB yang ada kat Malaysia ni.
Jadi kami sendiri cuba join group atheist ni dan tengok apa yang dorang sembangkan. Kadang-kadang, ada yang join group sebab nak cari member sekepala, bolehlah lepak sekali tengok bola kat mamak kot, contohnya dalam screenshot kat bawah ni:
“Berdasarkan contoh yang awak bagi tadi, saya tak fikir (ia boleh dikenakan tindakan). Saya tak rasa bila seseorang kata, dia tak percaya Tuhan, boleh mengganggu ketenteraman awam atau prinsip moral. Ini bukan isu undang-undang, tetapi politik dan empirikal.” – Fahri Azzat kepada SOSCILI
Tapi macam mana pulak jika seorang atheist cuba merendahkan agama-agama lain?
“Memang benar semua kebebasan bersuara ada hadnya terutama sekali apabila ianya mengganggu ketenteraman awam…
___
Pada saya, kenapa perlu penganut sesebuah agama menghina agama lain? Sekiranya seseorang itu memilih untuk menjadi atheist, jadilah atheist tanpa perlu meracuni pemikiran seseorang yang memang percaya kepada Tuhan.” – Peguam Syarie (tidak dinamakan) kepada SOSCILI
Tapi, kalau post tadi dikongsi dalam group atheist je, adakah ia dikira sebagai menyebarkan atheisme kepada penganut agama bukan Islam? Lepas tu, macam mana pulak kalau group tu pun ada orang yang lahir sebagai Islam? *Garu kepala*
Pernah diugut bunuh, rogol kerana menjadi atheist
Penolong editor kat Malay Mail, Boo Su-Lyn, ada bagi respon terhadap kenyataan Asyraf Wajdi. Boo Su-Lyn yang sebelum ni pernah menulis sebab apa dia tinggalkan Kristian, buat video yang mengatakan tuhan itu tidak wujud.
Of course, respon Boo Su-Lyn pun mendapat respon kat ruangan komen #responception. Dan antara respon-respon ni, ada yang… tak tahulah sama ada membantu ke tak.
Bila kedua-dua belah pihak tak nak dengar pendapat masing-masing, apa yang akan jadi? Takde apa-apa kot, balik rumah lagi marah ada la, lepas tu mencarut dalam traffic jam. Last-last, takde sapa pun yang berjaya meyakinkan pihak yang lagi satu. Sia-sia je hilang mood sehari.
Malah bila dengar cerita Juli Jalaluddin tadi, dia sendiri dah biasa dengan pelbagai ancaman yang diterima bila orang tau yang dia seorang atheist:
“Saya pernah dapat mesej daripada orang yang saya tak kenal dalam pelbagai bentuk… contohnya yang pasif-agressif, yang direct cakap ‘kau akan masuk neraka’, ayat Quran yang di-copy paste. Seorang rakan baik pernah cuba bagi nasihat dia tapi saya nyatakan betapa hipokritnya dia, ‘kau minum arak dan tidur dengan lelaki-lelaki lain, dan kau minta aku tinggalkan Islam?’
Saya dapat banyak ugutan bunuh dan rogol, macam-macam emel yang memaki hamun dalam inbox saya.” – Juli Jalaluddin kepada SOSCILI
Adakah ini cara terbaik untuk menasihati seseorang? Adakah ugutan bunuh dan rogol ni akan buat orang dengar nasihat kita? Bukankah kita sepatutnya berdakwah secara berhikmah?
Apa cara yang lebih baik untuk mengeluarkan pendapat atau berdialog?
Tak semua komen atau artikel tentang atheism vs agama ni jenis menyumpah semata-mata. Boo Su-Lyn sendiri ada tulis artikel panjang lebar untuk membalas artikel yang membalas artikel dia #balasception. Bukan dia sorang je, blogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin pernah tulis pasal kenapa agama bawak lagi banyak keburukan daripada kebaikan, siap senaraikan semua kemusnahan yang telah dilakukan oleh penganut Kristian dan Islam.
Dr MAZA pulak pernah nasihatkan agar kerajaan tidak mengharamkan “buku-buku tertentu”, kerana tanpanya kita tidak dapat untuk berhujah secara berilmiah.
Tapi… adakah teknik berdebat ni merupakan jalan penyelesaian yang terbaik? Jonathan Haidt dalam bukunya The Righteous Mind berkata – memang susah nak ubah fikiran manusia dengan menyangkal pendapat dia, sebab selalunya manusia memang dah ada pegangan tentang satu-satu isu, dan dia akan cari apa-apa hujah untuk menyokong pegangan yang sedia ada. Cara yang lebih berkesan telah diutarakan pada zaman Henry Ford lagi:
“Jika ada satu rahsia kejayaan, ia terletak dalam kebolehan untuk mendapatkan sudut pandangan orang lain dan melihat daripada sudut mereka seperti mana anda melihat pandangan anda.”
Jadi, tak kiralah kita ni di pihak yang mana… kalau kita nak bagi pendapat dan nasihat atas niat yang baik, mungkin kita boleh panjangkan belas ihsan (empathy) terhadap orang tersebut terlebih dahulu?
Malah, daripada berceloteh panjang kat Facebook tapi hanya bercakap terhadap orang yang sama-sama mengangguk je… mungkin kita boleh menunjukkan karakter yang baik, yang akan buatkan orang tertarik dengan nilai murni yang kita pegang?
- 2.0KShare sekarang!
- Email155
- Facebook1.9K
- Share