PPSMI: Ini jawapan mengejutkan dari Prof Diraja Ungku Aziz!

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 8 Mac 2018

UPDATE 3/2/2020: Tun Mahathir mengatakan bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara. Ini mungkin sebab kenapa Tun menjadi pemangku Menteri Pendidikan ketika ini.


Rasanya dah lama kita tak dengar cerita pasal PPSMI atau Pengajaran dan Pfembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.

Nampaknya cadangan Dr Mahathir ni dah dapat reaksi banyak pihak dari NGO, ahli politik dan sampailah pihak pembangkang. Sebenarnya, kalau kita pandang balik dalam sejarah negara ni, polemik bahasa Melayu dah lama diperkatakan. Hal ini jugalah yang membuka jalan berlakunya demonstrasi besar di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) lepas 10 tahun merdeka.

Pejuang bahasa menuntut janji kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu

Mungkin semua orang dah tahu yang bahasa Melayu dulu dikenali sebagai Lingua Franca iaitu bahasa yang sangat luas digunakan oleh para pedagang dunia. Tapi keadaan tu berubah bila negara ni mula dijajah oleh kuasa-kuasa asing dan munculnya pelbagai bahasa lain dalam sistem masyarakat.

Bila negara kita merdeka – para pejuang bahasa masih lagi rasa gembira sebab setahun sebelum tu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dah pun ditubuhkan. Hal ni ditambah lagi dengan kedudukan bahasa Melayu yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152.

“Bagaimanapun, sejak dekad awal kemerdekaan, harapan pejuang bahasa tidak seindah impian. Mereka melihat nasib bahasa Melayu yang mula terumbang-ambing dalam sejarah sosial Malaysia moden.” – Datuk Dr Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara. Dipetik dari BH Online.

Bangunan DBP beberapa puluh tahun lepas. Imej dari Astro Awani.

Sebenarnya, Perkara 152 dalam Perlembagaan ada kata yang kedudukan bahasa Melayu akan dinaikkan peranannya secara berperingkat selama 10 tahun selepas merdeka (maksudnya sampai tahun 1967) ke tempat yang sewajarnya.

Tapi nampaknya kerajaan tak pandang serius dengan perkara ni dan keadaan jadi lebih parah bila bahasa Inggeris dicadangkan jadi bahasa kedua dan bahasa itu juga masih kekal dalam bidang kehakiman (Mahkamah). Masa inilah janji kerajaan mula dituntut balik.

Mana janji?! Imej dari Giphy.

“Bantahan dan kemarahan mengenai keputusan itu telah menyebabkan sembilan orang peguam Melayu juga telah menghantar memorandum bertajuk Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967: Memorandum Hussein Onn.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Keranda 152 diusung ke Parlimen dan ke rumah Tunku Abdul Rahman

Makanya, pada 3 Mac 1967 berlakulah demonstrasi Keranda 152 di Dewan Bahasa Pustaka (DBP). Antara tokoh utama dalam perarakan ini adalah Syed Nasir Ismail (Ketua Pengarah DBP), Abdullah Hussain (Sasterawan Negara), Usman Awang (Sasterawan Negara) dan ramai lagi pejuang bahasa lain. Mereka dah membentuk gerakan yang dipanggil sebagai Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK).

Dianggarkan lebih 1,000 orang pejuang bahasa dah turun dalam demonstrasi tu. Semangat mereka ditambah lagi bila Usman Awang menulis sajak yang bertajuk Keranda 152:

Klik imej kalau nak lebih jelas.

Akhbar Utusan Melayu (jawi) dah dibakar dalam demonstrasi ni sebab sokong keputusan kerajaan jadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Utusan jugak dituduh jadi pengkhianat dan pengampu UMNO. Selain akhbar Utusan, gambar Tunku Abdul Rahman pun cuba nak dibakar dalam demonstrasi tu.

“Jurugambar Utusan Melayu Hussein Nor (allahyarham) telah cuba ditolak ke dalam api yang sedang marak menyala dalam pembakaran akhbar Utusan Melayu itu oleh seorang yang tidak dapat mengawal perasaannya, tetapi telah disekat oleh pemberita Utusan Melayu Taib Ahmad.” – Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu.

Gambar Tunku dibakar ketika demonstrasi. Imej dari The Patriots.

Kemuncaknya adalah bila Keranda 152 diusung ke rumah rasmi Perdana Menteri (Tunku Abdul Rahman) dan Parlimen. Bagaimanapun, kerajaan selepas tu masih tegas dengan kekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Tapi lepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dibuat balik. Antara hasilnya, Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris) dah dimansuhkan dan dijadikan Sekolah Kebangsaan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pun ditubuhkan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Keranda 152 diarak ke Parlimen. Imej dari puisikabur.blogspot

Tapi isu bahasa Melayu ni masih tak habis, bila ia muncul balik 40 tahun kemudiannya. Kali ni para pejuang bahasa membantah pulak dasar pendidikan yang dikenali sebagai PPSMI.

Pelaksanaan PPSMI jadi masalah sebab cikgu sendiri masih tak menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris

Kalau ada yang dah lupa, PPSMI ni sebenarnya satu polisi dari idea Dr Mahathir masa dia jadi Perdana Menteri. Dengan polisi ni, subjek Sains dan Matematik akan diajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Pelaksanaannya pulak kat semua peringkat sekolah, termasuk rendah dan menengah. 

Siapa yang datang kelas ni hari tu? Imej dari @chedetofficial

Tapi dalam tempoh tu jugak, ada banyak kajian yang dibuat pelbagai pihak khususnya dari ahli akademik, NGO dan sebagainya. Contohnya macam kajian yang dibuat oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dari UKM. Dalam kajian tu, dia dapati…

Reaksi dari cikgu:

  1. 96% setuju murid tak minat belajar Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris.
  2. 98% setuju pelajar ada masalah untuk faham Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris.
  3. 81% kata ilmu dalam Sains & Matematik dapat disampaikan dalam bahasa Melayu.
  4. 72% yakin yang keputusan SPM murid akan lebih baik kalau Sains & Matematik diajar dalam bahasa Melayu.
  5. 79% setuju pelajar boleh tumpukan perhatian dalam subjek kalau diajar dalam bahasa Melayu.

Reaksi dari murid:

  1. 75% kata susah nak faham kalau belajar Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris.
  2. 71% bertambah minat nak belajar Sains & Matematik dalam bahasa Melayu.
  3. 77% kata bahasa Melayu berkesan dalam dalam sampaikan ilmu Sains & Matematik.
  4. 70% kata diorang boleh dapat markah cemerlang kalau belajar dalam bahasa Melayu.
  5. 84% tak setuju kalau semua subjek (kecuali bahasa Malaysia) diajar dalam bahasa Inggeris.

(klik sini untuk baca kajian yang penuh)

Selain tu, masalah dalam nak laksana PPSMI ni juga dikaitkan dengan kelemahan para cikgu dalam bahasa Inggeris.

“…kebanyakan guru sendiri lemah penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris untuk menerangkan dengan jelas dan selesa konsep, ilmu dan kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.” – Hasil kajian kumpulan Prof Emeritus Dato’ Dr Isahak Haron.

Macam ni lah jadinya. Imej dari syahrilkadir.wordpress

Apa yang lebih merisaukan, pelaksanaan PPSMI juga buatkan pelajar Bumiputera (Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah/Sarawak) ketinggalan dari pelajar Cina dan India. Ini kerana, kebanyakan dari mereka datang dari kawasan luar bandar dan lemah dalam bahasa Inggeris. Hal ni bertambah payah, bila mereka ni tak ada kemampuan untuk pergi tuisyen dan beli buku rujukan.

PPSMI mula dibantah, tapi ada juga yang masih menyokong

Dalam jangka masa beberapa tahun lepas PPSMI dilaksanakan, bantahan terhadap polisi ni mula kedengaran. Antara yang paling lantang dah tentulah para pejuang bahasa yang nampak usaha ni sebagai melanggar Perkara 152 – Perlembagaan Persekutuan. Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dah ancam untuk saman kerajaan dalam kes ni.

Pemansuhan PPSMI juga disokong oleh cendikiawan ulung negara – Prof Diraja Ungku Aziz. Malah, lima orang Sasterawan Negara (SN) masa tu sanggup lepaskan gelaran diorang, dalam membantah polisi ni.

“Kami memang sanggup (lepaskan gelaran), kalau dikiranya sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya.” – A. Samad Said, dipetik dari mStar.

Pak Samad dalam Perhimpunan Bantah PPSMI. Imej dari yuseriyusoff.blogspot

Selain dapat bantahan dari NGO-NGO Melayu, banyak juga NGO Cina yang bantah PPSMI. Sebabnya, bagi diorang kalau Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris ia akan jejaskan prestasi pelajar. PPSMI juga dilihat boleh membebankan para pelajar kat SJKC yang terpaksa belajar bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris.

Seorang Profesor Matematik – Prof Emeritus Dr. Shaharir Mohamad dengan tegas kritik PPSMI. Berdasarkan kajiannya, pelajar kat sekolah rendah lebih mudah faham kalau subjek tu diajar dengan bahasa ibunda diorang. Dan sekali lagi, penguasaan guru dalam bahasa Inggeris dikatakan menjadi masalah.

Keranda 152 diarak sekali lagi pada tahun 2009. Imej dari Wikipedia.

Tapi di sebalik banyak bantahan ni, masih ada pihak yang sokong PPSMI, macam Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE). Menurut kajian diorang, 95% ibu bapa sokong pelaksanaan PPSMI. Selain tu, ada juga pihak yang bagi pandangan diorang kat akhbar-akhbar, macam seorang pembaca kat Utusan Malaysia ni.

“Tanpa paksaan orang Melayu tidak akan berjaya…Orang Melayu terutama di luar bandar harus dipaksa untuk menguasai bahasa Inggeris. Tidak ada yang tidak kena dalam pelaksanaan PPSMI. Tentunya setiap pembaharuan akan wujud kelemahan dan kekurangannya!” – Norhisyam Mohamad, katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, ada juga kata yang kita tak boleh bandingkan negara ni dengan Jepun dan Korea yang guna 100% bahasa diorang sendiri.

“Kita selalu bandingkan keupayaan Korea dan Jepun dalam menggunakan bahasa mereka sendiri, tetapi kita lupa siapa kita, adakah kita bangsa yang bersejarah tua dan bertamadun lama seperti Jepun. Adakah kita bangsa pencipta teknologi, pencipta internet?.” – Zainuddin Maidin, dipetik dari Zamkata

Masih ada pihak yang tengok PPSMI dari sudut positif. Imej dari malaysianaccess.com

Itulah antara pandangan-pandangan yang diberikan terhadap PPSMI. Disebabkan bantahan lebih banyak dari yang sokong, akhirnya pada tahun 2009 kerajaan ambil keputusan untuk mansuhkan PPSMI, secara berperingkat sampai tahun 2012. 

Habis PPSMI, DLP pulak diperkenalkan

Bila PPSMI dimansuhkan, kerajaan perkenalkan dasar baru iaitu Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Panjang betul nama dasar ni. Apa yang ada kat dasar ni pulak adalah dua program iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP). Apa pulak dua program ni?

HIP ni adalah program yang nak tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar kat sekolah. Caranya, sekolah akan adakan banyak acara dan aktiviti yang gunakan bahasa Inggeris. DLP pulak – program yang bagi pilihan kat sekolah sama ada nak gunakan bahasa Inggeris dalam ajar subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi.

PPSMI dimansuhkan masa Muhyiddin jadi Menteri Pelajaran. Tapi sekarang Pengerusi Bersatu nak kembalikan PPSMI. Imej dari drshafie.blogspot

Walaupun macam tu, program ni masih lagi dibantah pihak tertentu, terutamanya NGO-NGO Melayu dan Cina. Bagi NGO-NGO Melayu, program DLP ni bercanggah dengan Perlembagaan (Perkara 152) dan tak adil sebab hanya dibuat kat Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Manakala, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK Cina dan Tamil) pulak tak terlibat.

Tapi bagi NGO Cina pulak, ada beberapa SJKC yang dah dapat tawaran untuk buat DLP tahun lepas. Diorang pun rasa tak puas hati dan anggap tindakan ni akan bagi ancaman kat bahasa ibunda diorang.

Ada yang kata DLP ni sama je dengan PPSMI. Imej dari Malay Mail Online.

Walaupun program ni dapat bantahan ramai pihak, tapi nampaknya kerajaan masih bertegas nak teruskan DLP. Untuk tahun ini je, 1,303 sekolah dah dipilih untuk laksanakan DLP.

PPSMI satu kesilapan, tapi kita juga kena terima realiti

PPSMI adalah salah satu contoh polisi pendidikan yang dah membangkitkan banyak polemik dan kontroversi. Tapi nampaknya, isu ni dibangkitkan balik sekarang ni oleh pencetus ideanya dulu – Dr Mahathir Mohammed. Bagaimanapun, Prof Diraja Ungku Aziz pernah mengatakan yang PPSMI adalah satu kesilapan.

Menurutnya, hanya ada satu bahasa yang boleh membentuk perpaduan di negara ni dan bahasa itu adalah bahasa Melayu. Kerana itu, memartabatkan bahasa Melayu perlu ada kat peringkat sekolah lagi.

“Universiti Malaya pernah melakukannya pada tahun 1974-1975 para pelajar boleh belajar dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar jurusan kejuruteraan dan kedoktoran.

Semua ini dilakukan dalam bahasa Melayu dan contoh lain kita boleh ambil Pusat Asasi Sains dan ia terbukti berjaya. Namun datang pula kelompok lain 10 tahun kemudian menukar sistem pembelajaran kepada bahasa Inggeris.” – Prof Diraja Ungku Aziz, katanya kepada Utusan Malaysia.

Ungku Aziz & Dr Mahathir. Imej dari UM Memory.

Walaupun begitu, masih ada pihak yang minta kita supaya terima realiti yang ada pada hari ini. Pada tahun 2015, dianggarkan 1,000 graduan perubatan tak dapat jadi doktor sebab lemah dalam bahasa Inggeris. Malah, seorang pakar ekonomi – Nor Zahidi Alias ada kata – lemah dalam bahasa Inggeris jadi antara punca utama kenapa banyak graduan kita menganggur. Perkara ni juga disokong oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Laporan Berita Harian.

Disebabkan perkara macam ni, ada juga yang cadangkan supaya bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib lulus dalam SPM. Walau apa pun, nampaknya sekali lagi isu pendidikan diperdebatkan. Sama ada ia hanya satu permainan politik atau tidak, ia terserah kepada kita semua untuk menilainya. Macam mana pulak pendapat korang dengan cadangan kembalikan PPSMI ni? Bagitau la kitorang kat bahagian komen!

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.