- 2.7KShare sekarang!
- Email196
- Facebook2.5K
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 2 Disember 2017
Semua orang tahu yang kita dah lebih 60 tahun merdeka. Tapi jarang yang tahu pasal macam mana usaha kita nak mencapai kemerdekaan itu. Dalam waktu yang sama, banyak polemik sejarah yang sampai ke hari ini dibincang dan diperdebatkan.
Antaranya adalah perjuangan kiri seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan paling kontroversi – Parti Komunis Malaya (PKM). Sejarah PKM ni panjang sebab parti ni sendiri ditubuhkan lebih awal dari PKMM (1945) dan UMNO (1946), iaitu pada April 1930.
Pada 2 Disember ini, maka genaplah ulang tahun ke 28 Perjanjian Damai Haadyai (1989), di antara kerajaan Malaysia dengan PKM. Pada tarikh tu jugaklah, PKM dibubarkan dan meletakkan senjata. Maka tamatlah penentangan PKM ke atas negara merdeka Malaysia.
Apa yang pasti, menuju ke perjanjian damai tu bukannya senang. Macam-macam peristiwa pahit manis yang ditempuh. Oleh itu, kali ini kami nak menceritakan tentang orang-orang penting di sebalik kejayaan perjanjian damai ini. Sebabnya, pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman pernah berunding dengan Chin Peng, tapi hasilnya gagal.
Rundingan Baling gagal, tapi Chin Peng tak ingat kenapa boleh gagal
Lepas kedatangan Jepun ke Tanah Melayu, PKM mula berkerjasama dengan British sebab nak menentang Jepun. Maka wujudlah Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA). British bagi banyak sponsor segi senjata dan latihan pada MPAJA. Akhirnya, pada 15 Ogos 1945, Jepun menyerah kalah kerana jatuhnya dua bom di Hiroshima dan Nagasaki.
Lepas Jepun menyerah kalah, Tanah Melayu masa tu dalam keadaan kekosongan politik sebab tunggu British datang balik. Makanya, pihak komunis pun isi lah kekosongan tu – sampai jadinya keganasan komunis selama 14 hari. Masa tu, komunis tunjukkan kesombongan diorang. Salah seorang pejuang kiri, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) juga berdepan dengan perkara yang sama.
“Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) turut berhadapan dengan gelagat gerombolan MPAJA yang angkuh di Temerloh sekitar Ogos-September 1945 apabila 20 orang daripada mereka yang lengkap bersenjata cuba menunjukkan cauvinisme Cina dengan menangkap orang Melayu dan India atas kesalahan yang kecil yang kemudiannya disumbat di balai polis Temerloh.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abu Talib Ahmad.
Tapi lepas British datang balik, keadaan negara kembali stabil dan gerakan komunis mula diperangi. Sampailah pada tahun 1948, bila Undang-Undang Darurat diisytiharkan. Masa ni semua parti-parti kiri diharamkan termasuklah PKM, PKMM, AWAS, API dan sebagainya. Ramai ahli-ahli PKMM, AWAS dan API yang lari masuk ke hutan dan sertai komunis. Antara nama yang terkenal adalah Shamsiah Fakeh.
Di pihak lain pulak, Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) mula mengorak langkah untuk berunding dengan British bagi memerdekakan negara ini. Disebabkan hendakkan keamanan, rundingan dengan PKM kena dibuat. Maka berlakulah perjumpaan bersejarah di antara pemimpin Parti Perikatan dengan pemimpin PKM.
Rundingan tu diadakan kat sebuah sekolah di Baling, Kedah. Tapi rundingan ni gagal sebab dua-dua pihak tak sependapat. Tunku nak PKM letak senjata dan dibubarkan, tapi Chin Peng pulak kata yang PKM hanya akan letak senjata kalau PKM diakui sebagai sebuah parti politik yang sah.
Jadi itulah kali terakhir Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng bersemuka depan-depan. Chin Peng dengan anggota PKM yang lain kemudiannya masuk hutan dan teruskan gerakan bersenjata. Hal ni berterusan, walaupun lepas kita merdeka. Tapi lepas berpuluh tahun peristiwa tu berlaku, Chin Peng pernah bagitahu yang dia tak ingat dengan tepat kenapa rundingan tu gagal.
“Bekas gerila berusia 85 tahun itu berkata beliau tidak boleh ingat kerana ia berlaku kira-kira 54 tahun lepas, yang juga kali terakhir beliau menjejakkan kaki di bumi Malaysia.
Kepada soalan sama ada beliau menyesal terhadap tindakannya yang lepas atau mahu meminta maaf kepada mereka, Chin Peng terpaksa memikirkan seketika, sebelum menjawab, “jika saya kata menyesal, sesetengah orang akan menterjemahkannya dalam cara berbeza.”
“Tetapi jika orang yang tidak bersalah yang benar-benar kita bunuh, tersalah bunuh oleh kita, tentulah saya akan,” kata beliau” – Dipetik dari mStar.
Pada tahun 1989, Chin Peng juga antara pemimpin PKM yang menyaksikan dan menandatangani perjanjian damai di antara kerajaan Malaysia dan PKM. Tapi menuju ke arah perjanjian damai tu bukannya mudah. Ia mungkin tak akan tercapai tanpa sumbangan beberapa orang tokoh yang berani dan kental.
Mokhtar Mahmud Baginda – Bukan sekadar ‘Ejen Rahsia’
Ia bukanlah satu nama yang ada dalam buku teks sejarah atau popular dalam sejarah negara. Tapi sebenarnya, orang ini dah bagi sumbangan yang sangat besar dalam merintis perdamaian di antara kerajaan Malaysia dan PKM. Itulah sumbangan besar insan bernama Datuk Mokhtar Mahmud Baginda.
Segalanya bermula bila kakak Mokhtar, Siti Norkiah Baginda meninggalkan keluarganya untuk masuk ke hutan bersama dengan PKM. Masa Norkiah pergi tu, Mokhtar baru je berumur 10 tahun. Setelah bertahun-tahun, Mokhtar tak cuba untuk cari kakaknya dalam hutan, atas faktor keselamatan. Sampailah satu hari tu Mokhtar dapat maklumat kakaknya ada kat mana.
“Pada tahun 1984, Mokhtar didatangi oleh seorang yang mendakwa diri sebagai utusan kakaknya bernama Pak De…Mokhtar tidak begitu percaya kecuali setelah Pak De membawa sepucuk surat daripada kakaknya.” – Dipetik dari buku: Hari itu sudah berlalu.
Jadinya, Mokhtar pun ikut Pak De ni masuk ke hutan kat wilayah Thailand. Akhirnya bertemulah Mokhtar dengan kakaknya yang dah 40 tahun tak berjumpa.
“…Siti Norkiah memegang tangan Mokhtar dan mengurut satu demi satu jarinya dan apabila tiba ke jari telunjuk sebelah kanan, dia bertanya tentang risa (ketumbuhan) di jari itu dan Mokhtar memberitahu bahawa ia telah ada sejak dia dilahirkan.
Maka barulah Siti Norkiah memeluk adiknya dan menangis panjang kerana itulah tanda pengenalan yang dicarinya. ” – Dipetik dari buku: Hari itu sudah berlalu.
Sejak hari itu, Mokhtar masuk hutan beberapa kali sebab nak jumpa dengan kakaknya. Tapi sebelum masuk, Mokhtar akan bagitahu polis dulu. Mokhtar sebenarnya pernah jadi wartawan kat Utusan Melayu. Jadinya, dengan pengetahuan yang dia ada, Mokhtar cuba beritahu perkembangan negara kat ahli-ahli PKM ni.
“Suatu perkara yang meyakinkan mereka ialah apabila beliau menyatakan Dr. Mahathir Mohamad telah mengamalkan dasar ‘Pandang ke Timur” dan “Beli Barangan British Terakhir’. Mengenai tuduhan mereka bahawa kerajaan menindas para petani,
Mokhtar memberitahu, Tun Abdul Razak Hussein selepas kunjungan ke China telah memperkenalkan dasar sosialisme dengan memberi tanah kepada rakyat miskin di bawah skim rancangan pembukaan beribu ekar tanah secara teratur.” – Dipetik dari buku: Hari itu sudah berlalu.
Bila Abdullah CD (Pengerusi PKM) dengar tu, Abdullah minta Mokhtar bagi ucapan kat lebih 400 orang anggota Rejimen ke-10 untuk jelaskan kenapa diorang mesti letakkan senjata. Abdullah juga minta Mohktar sampaikan suratnya kepada Tun Ghafar Baba (Timbalan Perdana Menteri masa tu), yang menyatakan persetujuannya untuk menamatkan perang.
Inilah antara permulaan bermulanya rundingan damai di antara kerajaan Malaysia dengan PKM.
Rahim Nor dan Yau Kong Yew – Wira tak didendang di sebalik rundingan damai
Kita dah ceritakan peranan besar Mokhtar tadi, tapi masih ada berjasa. Sebab Polis juga mainkan peranan yang sangat besar dalam rundingan damai ni. Maka, antara nama yang berjasa besar dalam rundingan ni adalah Tan Sri Rahim Noor (Pengarah Polis Cawangan Khas) dan Senior Assistant Commissioner (SAC) Yau Kong Yew.
Pada akhir tahun 1980-an, dunia menampakkan kejatuhan komunisme. Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur akhirnya runtuh pada November 1989. Perang Dingin antara negara-negara pasaran bebas dan komunis juga menampakkan berpihak kepada pasaran bebas.
Dekat Malaysia pulak, PKM masa tu semakin lemah dan hampir dilupakan. Jadinya, Rahim dah memikirkan jalan untuk tamatkan perjuangan PKM. Disebabkan kos memerangi komunis yang mahal, maka Rahim pun cadangkan supaya rundingan damai dibuat dengan PKM.
“Menurut perkiraan terperinci PCK (Polis Cawangan Khas), untuk menghapuskan seseorang anggota komunis memerlukan tidak kurang dari 1 juta ringgit yang meliputi perbelanjaan perisikan dan operasi pemburuan.” – Dipetik dari buku: Wira tak Didendang.
Jadinya, Rahim pun pilih Yau Kong Yew sebagai timbalannya. Yau sebenarnya banyak pengalaman sebab pernah jadi pegawai soal siasat komunis sejak zaman British lagi. Mereka berdua kemudiannya siapkan rangka kerja untuk menjayakan rundingan damai ini.
Mereka pun ada jumpa dengan Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir untuk terangkan rancangan tu. Tunku pada mulanya tak berapa yakin, tapi tak halang buat rundingan. Dr Mahathir pulak bagi green light. Dengan bantuan perisik Thai, Yau akhirnya dapat berhubung dengan Chang Lin Yun (orang kepercayaan Chin Peng).
“Dengan bantuan Ketua Polis Negara – Hanif Omar, Rahim dan Yau telah menemui Robert Kuok, seorang hartawan Malaysia terkemuka, yang beroperasi di Hong Kong dan mempunyai hubungan dengan pemimpin besar di China.
Rahim menganggap Robert Kuok sebagai orang yang boleh membisikkan hasrat beliau itu kepada pemimpin tertinggi di China untuk mengetahui pandangan mereka.” – Dipetik dari buku: Wira tak Didendang.
Tapi pihak PKM bagi reaksi yang rundingan ni tak akan melibatkan mana-mana pihak dari China. Jadinya, rundingan ni tak patut diadakan kat negara China. Disebabkan ramai anggota PKM tinggal kat Thailand, jadinya rundingan dengan kerajaan Thailand pun dibuat. Antara yang dibincangkan adalah bagi kerakyatan kepada anggota komunis yang nak terus tinggal kat Thailand bila perjanjian damai tu selesai nanti.
Selepas banyak pertemuan sulit, akhirnya rundingan dengan pimpinan tertinggi PKM dimulakan. Tapi, ada juga perkara-perkara yang menyusahkan rundingan. Antaranya, bila ahli PKM minta:
- Mereka tak ditahan bila balik ke Malaysia nanti.
- Tugu Negara dimusnahkan.
- Bagi tanah kepada bekas-bekas anggota PKM.
- Mahu mereka diiktiraf memberikan sumbangan dalam kemerdekaan tanah air.
Tapi nampaknya Rahim tolak semua permintaan PKM ni, kecuali permintaan tak ditahan bila balik ke Malaysia nanti. Persetujuan akhir yang dicapai adalah PKM tetap diharamkan dan bekas-bekas anggotanya yang nak masuk politik kena dapatkan kebenaran kerajaan Malaysia dulu.
“Kerajaan bersetuju membatalkan waran tangkap anggota-anggota PKM. Ketua Polis Negara, Hanif Omar terpaksa menandatangani beratus-ratus waran tangkap yang telah pun dikeluarkan terhadap mereka…
Dengan kerjasama kerajaan Thai, bekas anggota PKM diberi peluang untuk memilih sama ada terus tinggal di kawasan Thailand ataupun kembali ke Malaysia.” – Dipetik dari buku: Wira tak Didendang.
Termetrainya Perjanjian Damai Haadyai 1989
Akhirnya pada Disember 1989, Perjanjian Damai antara kerajaan Malaysia dan PKM termetrai di Hotel Lee Gardens Haadyai, Thailand. Hasilnya, PKM menghentikan perjuangan diorang dan meletakkan senjata. PKM juga berikrar akan taat setia kepada Yang Di-pertuan Agong.
Chin Peng lepas tu pergi melawat Rejimen ke-10, selama empat hari untuk beritahu kat ahli-ahli PKM yang PKM dah dibubarkan. Tapi Chin Peng ada bagitahu – tak ada pihak yang menang dalam perjanjian ni. Bagaimanapun, di pihak Malaysia, kita mengisytiharkan yang kita menang.
“Kita sudah menang, moral tentera tidak terjejas kerana perjanjian itu. Ia tidak akan merendahkan moral tentera tetapi meningkatkan moral kerana kita sudah menang. Kita mahu perdamaian dan kita perdamaian.” Tun Hanif Omar, Ketua Polis Negara. (Berita Harian 3 Disember 1989).
Sebahagian ahli-ahli PKM balik ke Malaysia lepas perjanjian tu. Tapi ada juga yang tak balik dan pilih untuk terus tinggal kat Selatan Thailand. Antara yang tak balik adalah Abdullah CD dan Rashid Maidin, diorang dibagi tanah oleh kerajaan Thailand untuk bertani dan berniaga.
Shamsiah Fakeh yang berada kat China, dah lama nak balik ke Malaysia. Bila dapat tahu ada berjanjian damai, dia buat permohonan untuk balik. Akhirnya, permohonannya tu berjaya dan dia akhirnya balik ke tanah air pada tahun 1994.
Rundingan damai: Tunku Abdul Rahman memulakan – Dr. Mahathir menamatkan
Pada tahun 1955, Ketua Menteri Malaya – Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng dah berunding di Baling. Tapi rundingan itu gagal. Komunis selepas itu terus menjadi ancaman kepada negara ini. Hal ni bertambah lagi bila terjadinya Konfrontasi Malaysia-Indonesia (1963-1966). Walalupun konfrontasi ini gagal, tapi harapan komunis muncul balik bila Vietnam Selatan jatuh ke tangan komunis pada tahun 1975.
Tapi kita juga kena tahu yang Tun Abdul Razak dah pun melawat ke China dan berjumpa dengan Mao Tse-tung pada tahun 1974. Antara puncanya adalah nak pengaruh PKM menurun. Tahun-tahun seterusnya juga menyaksikan PKM dalam masalah, parti tu mula berpecah dan hampir berperang sesama sendiri.
Ahirnya, di zaman Dr Mahathir lah masa yang terbaik menamatkan peperangan dan mencari jalan perdamaian. Di pihak PKM pula, Chin Peng sebenarnya boleh je minta ahli PKM untuk berjuang sampai ke titisan darah terakhir, tapi ada yang kata yang dia juga nak namanya dicatatkan dalam sejarah sebagai antara orang yang bagi sumbangan dalam perdamaian Malaysia.
“Chin Peng juga nampak kesungguhan dan keikhlasan dari pihak Datuk Seri Dr Mahathir untuk berdamai dengan PKM semata bagi kepentingan pembangunan rakyat.
Menurut salah seorang pegawai Malaysia yang memainkan peranan penting di dalam rundingan dengan Chin Peng. Setelah beberapa perundingan diadakan, Chin Peng memberitahunya bahawa: ‘Dr Mahathir adalah penyelesai masalah’.” – Dipetik dari buku: Wira tak Didendang.
Maka jelaslah di sini rundingan dengan Chin Peng yang dimulakan oleh Tunku Abdul Rahman, akhirnya ditamatkan oleh Dr Mahathir.
Walaupun begitu, Chin Peng masih tidak pernah dibenarkan balik ke negara ini sehinggakan abu mayatnya juga tak dibenarkan sampai ke negara ini. Tapi, Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Musa Ahmad dan sebagainya masih lagi dibenarkan masuk ke negara ini.
“Sejarah Malaysia pula terbukti tidak begitu kejam kepada setiap pejuangnya sekalipun mereka telah tersesat. Malah mereka yang telah dihukum oleh sejarah tetap diberikan penghargaan dan penghormatan dan masih diberikan tempat di negara ini.
Ini adalah berbanding dengan sesetengah negara di mana pejuang-pejuang yang tidak sealiran telah dilupakan malah dibunuh dengan kejam.” – Dipetik dari buku: Wira tak Didendang.
[Artikel ini banyak merujuk buku: Wira Tak Didendang dan buku: Hari itu Sudah Berlalu. Kedua-dua buku ini adalah karya Tan Sri Zainuddin Maidin (Tokoh Wartawan Negara)]
- 2.7KShare sekarang!
- Email196
- Facebook2.5K
- Share