Bini muda kena tanggung suami dan bini pertama? Realiti poligami kat Malaysia

Sekarang ni tengok kecoh pasal Dato Red yang dilihat mesra dengan pelakon muda Ruhainies di sebuah mall. Bagi sape yang tak kenal Dato Red ni, dulu dia pernah madukan isteri pertama untuk seorang artis lain. Jadi bila cerita dengan Ruhainies ni keluar, ramai la yang bertanya kalau Dato Red nak pasang tiga:

“…saya akui sukakan dia. Apabila saya merangkul pinggang dan kami berpegangan tangan, saya anggap dia juga (Ruhainies) mempunyai perasaan sama. Nak buat macam mana, tangan saya seperti automatik pulak.” – Datuk Red, dipetik dari The Malay Mail.

Gambar berpelukan yang tersebar kat media. Imej dari beautifulnara
Gambar berpelukan yang tersebar kat media. Imej dari beautifulnara

Bukan tu je berita berkaitan poligami yang keluar sekarang ni. Malah pelakon terkenal Adi Putra jugak dikatakan kahwin lagi tanpa pengetahuan isteri asalnya, dan gambar Ketua Pemuda UMNO yang dicium kedua-dua isteri pulak jadi viral.

Ini buatkan kami kat SOSCILI terfikir, selalunya bila baca berita pasal orang yang berpoligami semuanya pasal selebriti atau ahli politik. Memang orang yang berkemampuan dari segi kewangan je ke yang kahwin sampai dua tiga?

Jadi kami cuba cari statistik yang berkaitan termasuklah daripada:

  • Laporan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (fail PDF)
  • Kajian Nasional “Impak Poligami Ke Atas Keluarga Islam di Semenanjung Malaysia” yang dibuat oleh Sisters in Islam bersama penyelidik dari UKM, USM dan UM (video YouTube). Kajian dibuat sepanjang 2007-2011 di sekitar Lembah Klang, Pantai Timur, Utara dan Selatan.
  • Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia sepanjang tahun 2000 hingga 2004 (fail PDF)

1. Suami yang mempunyai pendapatan bawah RM3000 dan tak bekerja pun turut berpoligami!

Macam yang kami cakap tadi, biasanya bila dengar pasal cerita artis yang berpoligami, dah tentulah mereka nia agak berkemampuan kan untuk menampung isteri dan anak yang lain.

Tapi bila kami tengok laporan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kami perasan peratusan paling banyak berpoligami ni gaji dia antara RM3K ke RM4K je!

Imej dari

    Imej dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bila kami refer pada kajian Sister In Islam pulak, 70% lelaki yang berpoligami ni mempunyai pendapatan bawah RM3000 sebulan yang bekerja sebagai ‘blue collar’ dan bekerja sendiri je! Maksudnya mereka yang bekerja sebagai pemandu lori, kerani ofis kerajaan, tukang kayu atau mekanik kereta.

Dan ni adalah antara luahan sang isteri mengenai suami yang tak mampu dari segi kewangan tapi nak berpoligami dan menganggap ia sebagai hak mutlak suami (untuk berpoligami):

Imej dari Sister In Islam.
Imej dari Sister In Islam.
Imej dari sisi kehidupan.
Imej dari sisi kehidupan.

“…tak mampu pun menggatal nak menikah lagi, duit takde pun nak menikah lagi, hutang berlambak-lambak pun nak bernikah jugak, ilmu tak ada pun nak bernikah jugak…”- Ustaz Kazim Elias. Dipetik dari Kahwin dan Poligami.

Bukan je setakat pendapatan bawah RM3000, tapi ada jugak yang tak bekerja!

Makin terkejut bila dapat tau ramai jugak lelaki berpoligami ni terdiri daripada golongan yang tak bekerja! Kalau korang pikir secara logiknya, macam mana seorang suami mampu membahagikan nafkahnya kepada dua orang isteri dan anak-anak serta komitmen tetap bagi dirinya sendiri setiap bulan (kereta, bil air, elektrik, kad kredit dll).

“…wajib bagi suami menyediakan bagi setiap isteri-isterinya tempat tinggal, pakaian dan makanan pada isteri.” – Dr Asri, Mufti Perlis. Dipetik dari poligami dan nafkah kepada isteri.

Imej dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Imej dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Hmm kitaorang pun tertanya-tanya macam mana dorang dapat statistik ni. Adakah ia dikira mengikut negeri? Kalau ia mengikut negeri, negeri mana yang paling banyak berpoligami agaknya ye?

2. Rakyat Kelantan paling banyak berpoligami

Ok sebenarnya statistik yang kami dapat ni dah lama dah sebab ia mengambil kira data dari tahun 2000 ke 2004 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (rujuk fail PDF). Dah puas kami carik kat Internet tapi takde statistik yang terbaru. Kami jugak cuba menghubungi JAKIM tapi tiada sebarang respon.

Apa pun, statistik yang kami ada ni agak menarik bila dilihat…

Imej dari Jabatan Perangkaan Malaysia.
Imej dari Jabatan Perangkaan Malaysia.

Memanglah kalau nak diikutkan, statistik kat atas ni tak berapa lengkap sebab terdapat beberapa maklumat yang tak diperolehi nombornya terutama pada tahun 2004. Tapi walaupun nombornya tak lengkap, Kelantan masih mendahului kedudukan tertinggi dengan 1,955 pasangan poligami dalam tempoh tersebut. Manakala yang paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Labuan dengan mencacat 15 pasangan je.

Kelantan negeri paling tinggi poligami? Tapi kenapa…

Berdasarkan dari Felo Penyelidikan Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa UKM, dorang kata Kelantan merupakan negeri yang tinggi poligami sebab peraturan berpoligami kat negeri tu sangat rendah. Rendah macam mana tu…

Imej dari Galucu.
Imej dari Galucu.

Kalau kat Kelantan, dorang yang nak poligami ni tak perlu minta pandangan isteri sama ada dorang ni layak atau tak untuk berpoligami. Syarat utamanya, dorang hanya perlu dapatkan kebenaran bertulis daripada Qadi atau Hakim Syar’ie je dan keputusan terletak kat tangan hakim sepenuhnya. Syarat-syarat lain macam kemampuan suami dari segi kewangan, keizinan atau pandangan isteri pertama samada suami boleh berlaku adil terhadap semua isteri, ianya langsung tak diperuntukan pun dalam prosedur poligami kat Kelantan. Hmmm mungkin sebab tulah jumlah poligami kat Kelantan sangat tinggi.

Selain tu, menurut Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa UKM, ia jugak turut dipengaruhi oleh bilangan penduduk Melayu beragama Islam yang ramai kat Kelantan sebab penduduk bukan Islam kat Malaysia tak dibenarkan untuk berpoligami. Tapikan golongan macam mana yang lebih ramai berpoligami biasanya?

3. Lelaki berusia mempunyai rekod yang paling tinggi berpoligami

Melalui analisis dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2004, (rujuk fail PDF) kalau nak ikut umur, peratus suami yang berpoligami adalah suami yang lebih berusia umurnya.

Imej dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Imej dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Korang pernah dengar tak pepatah ‘lelaki semakin tua, semakin miang’? Haaa mungkin ni lah salah satu faktornya. Menurut Pakar Psikiatri dan Naib Presiden Kanan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohd Hatta Shaharom, teori yang mengatakan lelaki berusia lebih gatal ni memang tak dapat dinafikan.

“Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan faktor sakit jiwa yang mana seseorang lelaki itu menghidap demensia iaitu penyakit nyanyuk. Mereka akan hilang kawalan malu dan mula menggatal dengan mengacau perempuan muda…”- Pakar Psikiatri dan Naib Presiden Kanan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohd Hatta Shaharom. Dipetik dari Dunia Perkahwinan.

lelaki tua makin gatal

Menurut Dr Mohd Hatta lagi, dalam usia 40 ni jugaklah sebenarnya lelaki ni dikatakan dah cukup kaya serta stabil dari segi kewangan. Sebab tulah dorang mula mencari pasangan baru yang muda dan cantik. Selain tu,beliau jugak menyatakan perkara ni kadang berpunca dari sikap isteri sendiri yang tak menitik beratkan soal penampilan diri dan akhirnya si suami tadi pun carilah perempuan lain yang lebih cantik.

Tapi adakah nasib isteri muda ni akan terbela? Adakah isteri muda ni dapat kemewahan daripada suaminya tu?

4. Isteri muda terpaksa menampung keluarga

Korang mesti biasa dengarkan yang isteri muda akan hidup senang dan dapat kemewahan dari suaminya tu tapi bila kami dapat statistik daripada SIS (yang dibuat di sekitar Lembah Klang, Pantai Timur, Utara dan Selatan):

  • 42% isteri terpaksa kerja lebih masa bagi tampung perbelanjaan keluarga.
  • 32% daripada mereka ni terpaksa tolong perbelanjaan suaminya tu dengan isteri pertamanya dan anak-anaknya (anak tiri) sekali
  • Paling menyedihkan, 56% suami yang berpoligami ni tak beri nafkah yang cukup kat isteri muda dan ada jugak yang langsung tak beri nafkah!

Jelas SIS lagi, sebenarnya sebelum berpoligami lagi, 63% suami mereka ni memang tak mampu pun dari segi kewangan. Tapi disebabkan dorang nak teruskan jugak berpoligami ni akhirnya suami mereka tadi telah kurangkan perbelanjaan nafkah anak-anak dan isteri. Kesan daripada tu jugak, isteri terpaksa mencari kerja lain bagi perbelanjaan harian.

“Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah”. – Hadis Riwayat Ahmad bin Hanbal. Dipetik dari Jabatan Agama Islam Selangor.

Antara sebab-sebab kat atas ni lah yang membuatkan poligami tu jadi buruk dan mungkin dipandang serong oleh masyarakat mengenainya. Dan ia jugak menyebabkan wanita menjadi takut dan tak suka dengan poligami.

Imej dari ukhti sarah.
Siapa nak jadi SUPERMAN? Imej dari ukhti sarah.

“Poligami tu tak buruk tapi si pelaku tu yang membuatkan poligami tu nampak buruk dan tak elok…”- Ustaz Kazim Elias. Dipetik dari Kahwin dan Poligami.

Tapi bila cakap pasal poligami je, mesti korang akan cakap ia adalah harus dan korang pun kaitkan ia dengan sunnah. Tapi adakah ia benar-benar mengikut sunnah? Dan bagaimana dengan undang-undang berpoligami kat Malaysia ni?

5. Undang-undang Keluarga Islam Malaysia dianggap lemah

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh SIS, penguasaan Undang-undang Keluarga Islam kat Malaysia sangat lemah kerana 60% isteri pertama tak dipanggil ke mahkamah Syariah untuk memberi pandangan tentang kemampuan suami sebelum hakim membenarkan suaminya berkahwin lagi. Pihak mahkamah jugak jarang menyelidik keupayaan lelaki dari segi material. Malah langsung tak meminta suami untuk menunjukkan bukti sama ada dia boleh menampung dua atau lebih keluarga.

Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 telah dipinda pada tahun 2005. Di mana undang-undang pertama perkahwinan (poligami) yang dicadangkan itu adalah ‘patut dan perlu’ telah dipinda kepada ‘patut atau perlu’ ; ini bermaksud suami hanya perlu membuktikan salah satu syarat je PATUT ATAU PERLU.

Syarat kelima juga telah dipotong pada tahun 1985 iaitu perkahwinan (poligami) tak akan merendahkan taraf kehidupan seorang isteri. Kalau nak lebih jelas rujuk video ni:

 

Bagaimana pulak jika nikah di Thailand?

Perkahwinan di luar negara tanpa persetujuan wali bagi perempuan dan persetujuan Jabatan Agama, ia boleh dikenakan denda seperti:

  • Nikah kat luar kawasan tanoa kebenaran (penjara tak melebihi enam bulan atau denda tak melebihi RM 1,000 atau kedua-duanya sekali)
  • Poligami tanpa kebenaran (penjara tak melebihi enam bulan atau denda tak melebihi RM 1,000 atau kedua-duanya sekali)
  • Mendaftar pernikahan selepas enam bulan (penjara tak melebihi enam bulan atau denda tak melebihi RM 1,000 atau kedua-duanya sekali)

Dikenakan denda hanya sebanyak RM1,000 sahaja?? Dan SIS ada menyatakan bahawa 32 peratus perkahwinan kat Thailand ni tak didaftar bila pulang kat Malaysia dan ia telah memberi kesan kat isteri muda tersebut (tak dapat hak sebagai isteri seperti tuntutan nafkah, harta sepencarian mahupun pembahagian harta pusaka dan anak hasil perkahwinan tu jugak tak disah taraf).

jom kita kawen

Poligami boleh membawa kebahagiaan jika dibuat dengan betul

Poligami seharusnya membawa kebahagiaan semua pihak, daripada suami, isteri-isteri, dan anak-anak. Sebab itulah kita kena selalu merujuk kepada cara poligami Rasulullah S.A.W. agar ianya tak berlandaskan nafsu semata-mata.

“Nak poligami kena ada ilmu… ikut sunnah Rasulullah yang betul-betul…”- Ustaz Rasul Dahri, dipetik dari ilmu salaf.com

Moga masyarakat kita lebih terdedah dengan makna sebenar poligami dan takdelah lelaki yang cuba amik kesempatan lagi atas nama ‘mengikut sunnah‘ tetapi tak mengamalkan secara sunnah Rasulullah S.A.W.

“Tujuan perkahwinan adalah supaya manusia hidup mesra bersama pasangan masing-masing, saling berkasih sayang dan berbelas kasihan.” – (Ar-Ruum 30:21)

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)