
Masa tengah main Facebook kat pejabat haritu, kitorang terserempak dengan satu iklan ni yang buatkan kitorang terkejut sampai ke ulu hati. Ceritanya, ada satu produk teh herba tempatan bernama Biokenaf yang katanya boleh tolong korang turun 55 kilogram dalam masa empat bulan… tanpa seksa diri!

Katakanlah korang guna ubat kurus Ozempic yang viral tu pun, berat korang berkemungkinan besar takkan turun secepat tu. Kalau kena kanser pun mungkin tak secepat tu. Nak mudah bayangkankan penurunan 55kg ni, dia ibarat hilang lebih dari satu beg simen dalam masa empat bulan je. Berat tu!
Disebabkan tak leh move on dengan iklan ni, kitorang pun buat keputusan untuk siasat 🔎 teh herba yang ajaib ni. Dan satu demi satu benda yang kitorang jumpa buat kitorang letup minda. Contohnya…
- Biokenaf ni dikatakan ada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), SIRIM, dan halal JAKIM… tapi nama produk ni tak naik bila semak database ketiga-tiga pihak yang disebut ni.
- Sebuah universiti awam Kelantan dan salah satu institut bawahnya iklankan produk ni kat akaun media sosial rasmi diorang, dan siap bagi link lagi untuk beli.
- Produk ni dipamerkan kat Expo Osaka 2025 bawah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
- Zamarul Hisham dan Diana Rafar pun promote produk ni kat akaun media sosial diorang?!
Kalau ni tak cukup mindblowing lagi, banyak lagi sebenarnya yang kitorang belum sentuh. Jadi jom mula dengan soalan paling penting…
Apa benda Biokenaf ni???

Lepas dah telaah lebih 30 laman Facebook dan laman web yang jual produk ni, baca kertas kajian, dan beli sendiri untuk tengok, apa yang kami jumpa adalah… Biokenaf ni teh herba yang ada mengandungi serai, halia dan daun kenaf, atau nama saintifiknya Hibiscus cannabinus.
Kalau rasa macam pernah dengar nama kenaf, mungkin juga sebab tumbuhan ni pernah masuk berita beberapa tahun kebelakangan ni. Kerajaan nak majukan tanaman kenaf ni jadi industri, sebahagiannya sebab diorang nak berhenti tanam tembakau dan ganti dengan kenaf.
Untuk capai matlamat ni, kerajaan tubuhkan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara atau LKTN, satu nama yang korang akan selalu nampak dalam iklan-iklan Biokenaf.

Walaupun nama saintifik dia cannabinus, orang takde la hisap daun kenaf ni macam hisap weed. Tumbuhan dari Afrika ni biasanya orang guna untuk buat serat dan pulpa. Selain tu, ia juga diproses jadi makanan haiwan dan bahan untuk biofuel, atau bahan api biologi.
Daun kenaf ni selalunya bahan sisa je dalam industri kenaf. Jadi kalau dikumpulkan daun ni dan dijadikan teh herba, pastu jual dalam RM50 hingga RM95 sekotak… ada nampak tak ciri-ciri keusahawanan kat situ?
Agak ke-keusahawanan-an, sebab iklan produk ni tidak alpa dari mengingatkan yang produk ni hasil penyelidikan Dr. Maryana dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), yang juga dikenali sebagai “Universiti Keusahawanan”.

Setelah diselidik, Dr. Maryana ni memang betul-betul pensyarah kat UMK. Beliau pakar dalam bidang pemprosesan biologi, keselamatan makanan, dan makanan berfungsi. Dan sehingga baru-baru ni, beliau juga pengarah bagi Institut Keselamatan Makanan dan Pertanian Lestari (IFFSA) kat UMK.
Tapi walaupun maklumat Dr. Maryana dan UMK ni mudah dicari…
Kitorang gagal jumpa kajian untuk sokong dakwaan pelangsingan Biokenaf ni

Macam contoh dari permulaan artikel ni, Biokenaf sering dipasarkan sebagai suplemen untuk menurunkan berat badan, selalunya dengan dakwaan-dakwaan yang kurang realistik.
Selain daripada dakwaan boleh turun 55kg dalam empat bulan, iklan-iklan Biokenaf pun kerap keluarkan angka tertentu macam boleh turun 10kg dalam 60 hari, dan “tunjuk peningkatan keberkesanan hingga 24x bantu rawat masalah obesiti & kolesterol”. Namun, 24x peningkatan dari apa, wallahua’lam bissawab sebab tak dinyatakan.

Sifat pelangsingan ni sering dikaitkan dengan keupayaan Biokenaf untuk “halang alpha-amylase dari memecahkan karbohidrat kepada gula & hentikan pembentukan lemak”, juga dikatakan hasil penyelidikan Dr. Maryana kat UMK. Dalam kata mudahnya, Biokenaf ni didakwa boleh halang badan korang daripada hadam karbohidrat.
Walau bagaimanapun, takde penyelidikan yang macam tu dalam sistem jurnal terbuka UMK, atau di bawah nama Dr. Maryana. Penyelidikan Dr. Maryana sendiri, yang selalu disertakan dalam iklan, lebih kepada macam mana cara terbaik nak keluarkan sebatian kimia dari daun kenaf. Takde langsung sebut pasal perencatan alpha-amylase.

Menurut laporan berita dari Kosmo! (yang kena bayar untuk baca), penyelidikan untuk Biokenaf dah mula sejak 2017 lagi. Kajian masa tu yang bertajuk ‘iKenaf’: Validation and Optimization for Food Industry’, fokus pada sebatian aktif yang ada dalam daun kenaf, yang dulu dianggap sisa buangan industri kenaf. Nampaknya, penyelidikan tu juga melibatkan usaha jadikan teh kenaf lebih sedap diminum, sebab kenaf sendiri rasanya masam.
“Kajian awal produk ini merangkumi penghasilan beberapa formulasi daun kenaf bersama gabungan herba berbeza. Namun, setelah pelbagai inovasi dibuat, gabungan daun kenaf bersama serai dan halia mempunyai kesan yang optimum, selain mendapat sambutan hebat pengguna,”
– Dr. Maryana, dipetik dari IFFSA UMK.
Mungkin penyelidikan iKenaf ni boleh buktikan yang Biokenaf berfungsi, tapi nampaknya laporan penyelidikan ni tak ada online. Namun, jika kajian iKenaf ni membuktikan keberkesanan Biokenaf, jadi persoalan kenapa pengiklan pilih untuk gunakan kajian lain yang kurang relevan dalam iklan diorang?

Kajian paling hampir kitorang jumpa yang mungkin boleh sokong dakwaan Biokenaf ni datang bukan dari UMK, tapi dari penyelidik di Universiti UCSI, sebuah universiti swasta tempatan. Dalam kajian 2021 tersebut, diorang cuba tambah baik teh kenaf dengan campur infusi (air rendaman) buah goji dan kurma merah.
Tapi apa yang diorang jumpa, perencatan alpha-amylase paling rendah dalam campuran 100% teh kenaf, dan lebih tinggi bila dicampurkan buah goji dan kurma merah. Takde dikatakan sama ada serai dan halia akan bagi kesan sama ke tak.
“Teh daun kenaf (KLT) yang diperasakan dengan buah goji dan kurma merah boleh tunjuk kesan perencatan enzim a-amilase secara sinergi sebab tak ada perbezaan ketara antara sampel KLT 60% dan 0%.”
– terjemahan petikan dari Goh, K.M., Ng, S.Y., Nyam, K.L., 2021.
Jadi, ringkasnya untuk keseluruhan bahagian ni, walaupun Biokenaf dipasarkan sebagai produk pelangsingan berdasarkan penyelidikan Dr. Maryana dan UMK, takde pun penyelidikan macam tu yang boleh dijumpai secara umum. Selain itu, kajian lain ada mencadangkan yang teh kenaf sendiri mungkin tak begitu efektif untuk buat korang kurus.

Jadi macam mana produk Biokenaf ni didakwa boleh turunkan berat badan? Kitorang habiskan duit sebulan sewa untuk beli produk ni dan hantar buat ujian makmal, mana tahu ada ubat pelangsing macam sibutramine atau sebagainya. Tapi keputusannya negatif, tak jumpa lima jenis ubat pelangsing yang selalu orang gunakan.

Jadi entahlah macam mana boleh kurus. Tapi kurus bukanlah satu-satunya perkara yang Biokenaf ni didakwa boleh tolong…
Iklan-iklan Biokenaf ni sarat dengan dakwaan kesihatan lain yang tak terbukti

Selain manfaat berkaitan pelangsingan (contohnya kawal selera makan dan tingkatkan metabolisme), Biokenaf pun dikatakan boleh:
- Bantu kawal tahap gula darah dan kencing manis korang
- Turunkan kolesterol jahat, tingkatkan kolesterol baik
- Detoks badan, bersihkan usus dan mudahkan membuang
- Bantu ‘aktifkan semula fungsi insulin dan hati‘
- Cegah serangan jantung, turunkan tekanan darah dan rawat darah tinggi
- Jadi ‘anti-kanser‘
- Kuatkan sistem imun korang
- Hilangkan vertigo dan migrain
- Kurangkan kebas pada tangan dan kaki
- Kurangkan keradangan dan rawat masalah sendi serta sakit
- Stabilkan hormon, mood, dan tenaga korang
- Tingkatkan kesihatan buah pinggang, kurangkan kencing malam dan sakit masa kencing
- Buat kulit korang lebih glowing, dan kekalkan muka muda, elastik, serta licin
- …dan banyak lagi!
Kendatipun begitu, selain dari testimoni, takde cara lain nak tahu sama ada dakwaan ni semua betul ke tak. Dengan segala manfaat kesihatan yang diorang sebutkan ni, mungkin korang akan fikir yang Biokenaf ni ubat atau suplemen, tapi bukan.
Kalau menurut dokumen KKM yang selalu ditunjuk dalam iklan-iklan diorang, Biokenaf TIDAK DIKAWAL oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM. Maknanya, dia kategori ‘makanan’.

Ni penting, sebab kalau Biokenaf dikategorikan sebagai ‘dadah’ atau ‘ubat’, dia kena betul-betul lulus pemeriksaan KKM dan ada dalam pangkalan data produk berdaftar diorang. Iklan-iklan dia pun akan dikawal ketat, dan sebarang dakwaan kesihatan atau perubatan pasal produk tu kena betul-betul ikut garis panduan KKM.
Bila Biokenaf ni dikategorikan sebagai makanan, maksudnya sebarang akuan kesihatan dalam pembungkusan mahupun iklan memang TAK BOLEH ikut undang-undang. Malah, ada beberapa nama besar yang pernah kena tindakan sebab ni.

Dulu tahun 2017, Aliff Syukri D’Herb kena saman sejumlah RM11,000 dibawah Akta Makanan 1983 lepas dia dakwa dua produk dia, Jus Perawan Gold dan Air Mahsyur, boleh kuatkan sistem imunisasi dan bantu lancarkan aliran darah dan oksigen.
Tahun yang sama jugak, Datuk Seri Vida dari Vida Beauty kena denda RM4,800 di bawah Akta Ubat-Ubatan (Iklan dan Penjualan) 1958 sebab dakwa produk dia, iaitu minuman berasaskan delima dipanggil Pamoga, boleh rawat kulit melecur, sakit lutut dan sakit sendi.
Masuk 2019, susu pisang Neelofa pulak viral kat Twitter. Iklan untuk susu tu dakwa boleh bantu turunkan berat badan, turunkan tekanan darah dan kawal insulin, membuatkan netizen tak puas hati.

Beliau disiasat KKM pasal tu, tapi akhirnya tak jadi apa sangat sebab Neelofa kata iklan tu diserahkan kat syarikat iklan, dan pembungkusan susu tu sendiri tak ada masalah pun.
“Bagi mempromosikan produk ini saya menggunakan tenaga kerja luar termasuklah bahagian pemasaran, operasi dan penjenamaan. Sewaktu hari persidangan dijalankan, mereka yang hadir menerima risalah menceritakan kebaikan susu ini. Bagaimanapun, risalah itu tidak merujuk atau mendapat kelulusan kilang dan ibu pejabat. Andai saya dapat tahu perkara ini, pasti saya akan hentikan pengedarannya,”
– Neelofa, dipetik dari Harian Metro, 2019.
Boleh kata, Neelofa lepas sebab dia tak tahu produk tu dipromosikan macam mana, jadi dia tak bertanggungjawab atas kandungannya. Yang bawa kita ke persoalan…
Adakah Dr Maryana dan UMK sedar kewujudan iklan-iklan ni?
Untuk komersialkan Biokenaf, UMK berkerjasama dengan syarikat Aura Biocare Sdn Bhd, yang diasaskan oleh alumni Bukharie Che Harun. Jadi untuk menjawab soalan di atas, kami tanya Aura Biocare dan Dr Maryana sendiri melalui e-mel.
Setakat ni, Dr Maryana telah membalas e-mail kami selepas artikel dan video Bahasa Inggeris diterbitkan, namun beliau tak menjawab persoalan kami, hanya untuk bertanyakan motif kami dan mengarahkan Aura Biocare untuk terangkan keadaan. Kami masih menanti balasan dari pihak Aura Biocare.
Apapun, walaupun nampak macam pengkomersialan Biokenaf memang diserahkan kat syarikat lain, berdasarkan pemerhatian kitorang, susah nak kata yang Dr Maryana dan UMK tak sedar apa yang tengah jadi.
Contohnya, kami jumpa video-video Dr Maryana promosi Biokenaf sebagai produk turun berat badan, dan dalam sesetengah video, dia kongsi pengalaman sendiri macam mana kolesterol dia turun lepas minum:
Sementara tu, UMK pula dah post kat laman Facebook rasmi diorang bulan April, ucap tahniah kat Biokenaf sebab jualan cecah RM3.7 juta dalam tujuh bulan lepas. Pos tu siap tag Naib Canselor UMK, dan ada petikan dari pegawai UMK yang tunjuk diorang memang tahu Biokenaf ni dipromosikan sebagai teh kurus badan.
“Biokenaf dihasilkan bertujuan meningkatkan proses metabolisme dalam badan dengan menumpukan pencernaan karbohidrat dan membantu pengawalan penyerapan gula dalam darah. Produk ini dapat membantu memperbaiki fungsi insulin dan membantu mengawal selera makan secara efisien.
Ia terbukti berkesan sejak dikomersialkan pada September 2024 dan sehingga kini menerima permintaan tinggi daripada pengguna sehingga jualan mencecah RM3.7 juta dalam tempoh tujuh bulan di pasaran,”
– Ts. Dr. Mardawani Mohamad, Pengarah Bahagian Komersialan dan Harta Intelek, RMIC, UMK, dipetik dari Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi).
Tak cukup dengan tu, bulan Jun lepas, Biokenaf ni ke pentas antarabangsa bila dipamerkan kat Expo Osaka 2025 di bawah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN). Kita tahu dakwaan kesihatan tu dah sampai Jepun, sebab bila scan kod QR untuk risalah Biokenaf (yang korang boleh nampak kat awal video ni), dakwaan kesihatan tu ada jugak.

Menurut Bukharie, Aura Biocare ni dijemput secara rasmi oleh LKTN sebagai sebahagian usaha nak luaskan pasaran industri kenaf negara ke peringkat antarabangsa.
“Penghasilan produk ini adalah dibawah agenda nasional dalam dalam [sic] bidang penyelidikan dan inovasi dan peningkatan jualan ini [RM7.7 juta setakat Jun 2025] diharap produk biokenaf [sic] berasaskan daun kenaf ini dapat menembusi pasaran global dan menyokong agenda inovasi serta kelestarian negara …
Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik bersepadu bagi memperkukuh promosi dan memperluas pasaran industri kenaf negara ke peringkat antarabangsa, dengan penekanan khusus terhadap pasaran Jepun dan rantau Asia Timur,”
– Bukharie Che Harun, dipetik dari Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi).
Jadi nampaknya bukan Dr Maryana dan UMK je yang tahu pasal dakwaan kesihatan Biokenaf ni. Ada kemungkinan semua yang terlibat pun sedikit sebanyak tahu, termasuk LKTN, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, dan mungkin beberapa orang Jepun random yang tertarik ke booth expo tu ingat jual ganja.

Lepas tahu semua ni, mungkin korang tertanya-tanya…
Macam mana Biokenaf boleh sampai ke tahap ni?

Sejujurnya, mula-mula kitorang macam curiga dengan produk ni. Tapi makin diselidik, makin kitorang tak pasti. Kalau dah sampai universiti awam dan kerajaan macam sokong produk ni, mungkin ia berkesan? Dan kat sinilah masalahnya. Kalau kitorang pun tak pasti, tak mustahil untuk orang ramai yang nampak iklan-iklan Biokenaf ni pun boleh teragak-agak.
Dengan iklan-iklan yang menggunakan personaliti bergelaran ‘Dr.’, imej-imej saintis pakai lab coat, jargon saintifik, petik nama anugerah-anugerah, pensijilan, dan kaitkan produk dengan badan-badan kerajaan, tak mustahil ramai orang yang keliru sama ada produk ni sebenarnya boleh selesaikan masalah kesihatan diorang ataupun tak.

Tapi itu cuma benda-benda yang kita nampak dalam iklan je. Belum lagi sentuh benda-benda mencurigakan lain yang kitorang perasan dalam pemasaran Biokenaf ni, macam dakwaan ada barang tiruan berlegar di pasaran, review positif yang berkemungkinan besar palsu, perbezaan harga yang wow antara beli satu kotak dengan enam, malah ada 30+ laman web yang lebih kurang serupa yang jual produk ni, tapi bayaran semuanya pergi ke hanya 5 syarikat je.
Pendek kata, memang berkemungkinan besar pengguna yang nampak iklan-iklan Biokenaf ni akan dikelirukan. Kurangnya ketelusan dan bukti, ditambah dengan perkaitan dengan nama-nama rasmi, akan bina harapan pengguna terhadap produk yang mungkin tak selari dengan pengalaman diorang lepas beli.

Walaupun banyak iklan Biokenaf dan ramai orang berkepentingan dah tahu pasal pemasarannya, tak ada apa-apa tindakan yang diambil. Adakah sebab orang ramai sebenarnya tak tahu benda ni salah? Atau adakah sebab tutup sebelah mata demi kebaikan sesetengah pihak? Kitorang pun tak tahu.
Kitorang dah cuba hubungi Dr Maryana dan Aura Biocare nak tanya apa kata diorang pasal isu ni, tapi setakat masa artikel ni diterbitkan, kami masih menantikan jawapan mereka. Kitorang akan update jika ada balasan.
Sementara tu, kalau korang ada pengalaman dengan Biokenaf, sama ada sebagai penjual atau pembeli, kitorang nak dengar pengalaman korang! Hantar je e-mel kat [email protected].