Kanak-kanak 10 tahun cuba membunuh diri. Tapi kenapa?

Baru-baru ni berlaku satu kes di mana bapa kandung sanggup menoreh dan mencucuh api rokok kat badan anak perempuannya yang berusia 8 tahun hanya kerana anak dia seiras dengan bekas isterinya. Menurut kenyataan dari Awani, si bapa bertindak demikian kerana menyimpan dendam pada bekas isteri setelah bercerai tiga bulan lalu.

Kanak-kanak ni dijadikan punching bag oleh bapa kandung sendiri. Imej dari Awani.

Sebenarnya kes penderaan kanak-kanak ni bukanlah satu isu yang baru kat Malaysia. Untuk pengetahuan korang, kes ni mula diterima sebagai permasalahan sosial pada tahun 1990 selepas berlakunya penderaan fizikal dan seksual (diliwat) sehingga membawa kematian seorang kanak-kanak bernama Balasundram.

Malah kalau diselak dada akhbar, korang akan perasan bilangannya semakin meningkatdari tahun ke tahun.

Kanak-kanak mangsa dera, S.Balasundram ini ditemui berdekatan tandas HKL pada 13 Mei 1990. Imej dari harith sidek

Sebanyak 4,652 kes pende­raan dicatatkan kat Malaysia sehingga 2016

Anak-anak merupakan penyambung zuriat dan kita perlu menjaga dorang bagai menatang minyak yang penuh. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Menurut kenyataan dari Timbalan Menteri Pemba­ngunan Wa­ni­­ta, Keluarga dan Ma­­syarakat, pada tahun 2015 hingga 2016 je kerajaan telah mencatatkan sebanyak 4,652 kes penderaan membabitkan kanak-kanak. 

Rekod ni diambil dari Utusan.

“Statistik tersebut membimbangkan. (Pasti) terdapat lagi kes-kes terpencil di kawasan pedalaman, atau pun ada sebab-sebab lain mengapa ia tidak dilaporkan.” – Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Kulai. Dipetik dari RoketKini.

Menurut rekod, penderaan fizikal merupakan yang paling tinggi, diikuti oleh penderaan seksual dan penderaan emosi. Apa yang memilukan ialah kes penderaan kanak-kanak ni bukan je melibatkan pengasuh, tapi turut melibatkan ibu bapa kandung sendiri. Bukan sekadar kecederaan ringan, malah ada yang sampai membawa kepada kecacatan kekal dan kematian! 

Kanak-kanak 5 tahun ni didera sehingga patah 13 tulang

Usus kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang dikenali sebagai Yaya ni berpintal sehingga mengakibatkan makanan tak dapat bergerak dengan betul dan perlu menjalani pembedahan usus dengan segera. Menurut Berita Harian, ia terjadi kerana didera oleh ibu tiri dan bapa kandungnya sendiri.

Yaya di bawa ke Hospital Golok sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu. Imej dari Says.

“Keadaannya stabil dan dalam masa terdekat ini, dia tidak boleh makan apa-apa sehingga saluran usus itu pulih.” – Datuk Dr Ghazali Hasni, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II. Dipetik dari Berita Harian.

Bukan setakat usus je berpintal, malah 13 tulangnya turut patah merangkumi tulang rusuk, pinggul, dan lengan‎. Tulang belakang, bahu kanan dan tulang pinggulnya turut berubah kedudukan. Mangsa jugak dikatakan mengalami radang paru-paru dan kesan trauma di hati serta lebam-lebam di beberapa bahagian badan.

Badannya dipenuhi kesan parut akibat didera. Imej dari Berita Harian.

“Hasil pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa mengalami beberapa kecacatan kekal seperti bongkok akibat masalah tulang belakang yang patah serta tempang kerana perbezaan panjang tulang paha kiri dan kanan.” –  Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II.  Dipetik dari Utusan. 

Yaya jugak tak diberikan makanan yang cukup sehingga menyebabkan dia kekurangan nutrisi. Pembesarannya terbantut seperti kanak-kanak berumur 3 tahun. Tak cukup dengan tu, kemaluannya jugak turut dicucuh dengan api puntung rokok.

Sepanjang didera, dia tak pernah diberikan sebarang rawatan. Imej dari Utusan.
Baru-baru ni jugak berlaku satu lagi kejadian dera terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun di Kuantan.

“Bapa kanak-kanak itu adalah anggota tentera bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang. Hasil siasatan awal mendapati dia mengikat leher anaknya menggunakan rantai dan mengunci pada tong gas sebelum ditinggalkan di ruang dapur rumahnya.” – Abdul Aziz Salleh, Ketua Polis Daerah Kuantan. Dipetik dari Berita Harian. 

Difahamkan perkara ni terjadi sebab mangsa tak nak ke sekolah pada hari tersebut dan bapanya tak dapat nak kawal kemarahan. Kejadian disedari oleh jiran rumahnya dan ketika polis sampai ke rumah, mangsa sedang terlantar baring tak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital.

Ketika ditemui, mangsa tak sedarkan diri. Imej dari Berita Harian

Kat Terengganu, sorang budak lelaki berusia tujuh tahun ni pulak telah dikurung, ditinggalkan kelaparan dan turut didera secara fizikal oleh bapa tirinya. Menurut Utusan, terdapat kesan cucuhan puntung rokok di sekitar perut, kesan melecur serta lebam di bahagian mata.

Pemeriksaan lanjut turut menemui kesan bengkak di kedua-dua belah kaki mangsa dan melecur pada bahagian kaki sehingga bernanah serta dijangkiti kuman. – Dipetik dari Sinar Harian. 

Imej dari Amalfm

Penderaan ni bukan hanya membabitkan penderaan fizikal dan seksual je, malah terdapat jugak beberapa penderaan emosi/mental yang mungkin korang sendiri pun selalu lakukannya tanpa sedar.

Kanak-kanak 10 tahun menghidap masalah mental dan cuba bunuh diri

Macam mana lah mak bapak ni boleh tergamak nak dera anak sendiri kan? Tapi sure ke yang korang tak pernah dera anak korang?

Haa kalau korang nak tahu, walaupun korang tak meninggikan suara ataupun naik tangan, tapi MUNGKIN ada sikap korang tu yang boleh dikatakan sebagai mendera jugak tau. Ia dipanggil sebagai penderaan senyap-senyap. Penderaaan senyap? Macam mana tu??

Nak tahu camne? Cuba korang tengok beberapa contoh penderaan secara senyap kat bawah ni, korang ada tersenarai tak:

  • Mengejek dan merendahkan anak-anak depan orang lain.
  • Terlalu banyak sangat komen. Korang bila anak comot sikit je marah, bila time exam, anak tak dapat num 1 kat kelas pun nak marah. Bila anak terlanggar korang je sikit, korang dah terus melenting.
  • Kurang memuji dan tak memberi sokongan kat anak-anak.
  • Tak benarkan anak-anak bermain dan bersuka ria.
  • Mengabaikan dan tak memberi ekspresi. Selalu tak bila anak tengah bercerita atau menunjukkan sesuatu, korang buat dekk je dan langsung tak berikan apa-apa reaksi macam takde apa yang berlaku. Pastu bila anak menyuarakan pendapat, korang pulak terus deny.

Menurut kajian, anak yang selalu mendapat layanan macam ni,
takde keyakinan diri dan selalu membuat keputusan yang salah dalam hidupnya. Sebab keputusan mereka tak pernah didengari dan selalu kena akur dengan keputusan orang lain. – Dipetik dari Facebook Ustazah Fatimah Syarha.

Korang selalu tak camni? Sibuk dengan handphone bila bersama anak. Imej dari The Asian Parents.

Apabila kanak-kanak ni didera secara emosi, dorang mula menunjukkan tingkah laku (tak baik) atau tabiat pelik. Menurut pakar runding psikiatri, penderaan emosi dalam tempoh yang lama akan menyebabkan perkembangan anak terencat.

Lebih teruk lagi, dorang akan cenderung mendapat penyakit mental yang boleh membawa kepada cubaan membunuh diri seperti yang terjadi kat kanak-kanak berusia 10 tahun ni.

“Hasil soal selidik mendapati kanak-kanak itu tertekan akibat rasa tersisih, kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapanya.

Dia tidak pernah dibenarkan bermain di taman kerana diarah menjaga dua adiknya dan sentiasa dipersalahkan jika adik-adiknya terjatuh atau sakit.” – Dr Robiah K Hamzah, Pakar kaunselor keluarga. Dipetik dari Berita Harian.

https://youtu.be/A7apyDUXHEg

Menurut Menteri Kesihatan, lebih 20 peratus kanak-kanak lingkungan umur lima hingga 15 tahun di negara ini menghadapi masalah mental yang berpunca daripada tekanan hidup serta diskriminasi keadaan persekitaran.

Perceraian merupakan penyumbang utama bagi penderaan kanak-kanak

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, perceraian merupakan faktor utama bagi kes penderaan kanak-kanak. Ramai ibu bapa yang jadikan anak sebagai punching bag untuk melepaskan kemarahannya.

Tangan anak dicucuh rokok dan ditoreh oleh bapa kandung akibat dendam dengan bekas isteri. Imej dari Awani.

Tekanan dan bebanan kerja jugak merupakan faktor kepada terjadinya kes penderaan. Ibu bapa tengah stress dan sibuk pasal kerja tapi anak yang masih kecik tu pulak kuat merengek sebab nak kan perhatian.

Dah lah kos sara hidup makin meningkat sekarang ni, barang-barang keperluan pulak serba mahal, ditambah lagi dengan kewujudan GST. Hmmm belum lagi keperluan anak-anak. Gaji pulak camtuuuu je! Jadi, ibu bapa terlalu stress dengan bebanan yang ditanggung ni, sampai buatkan dirinya jadi tak waras tu yang sampai naik hantu kat anak-anak.

Saya tak dera pun, saya cuma nak menguji tahap ketahanan fizikal anak je.

Walau bagaimanapun, tunjang utamanya adalah didikan agama. Dengan berteraskan agama, ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Korang jugak perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak.

Mangsa dera berpotensi untuk jadi pendera

Menjadi kewajipan ibu bapa untuk membesarkan anak dengan kasih sayang serta mendidiknya untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi, beradab dan berilmu. Bukannya sebagai pendera.

Kajian menunjukkan biasanya ibu bapa yang pernah didera berpotensi untuk menjadi pendera anak mereka.- Dipetik dari Utusan.

Tergamaknya si ibu buat anak sampai macam ni :'( Imej dari kickstory

Untuk mengelak perkara ni dari terus berleluasa, ibu bapa atau penjaga yang disabitkan kesalahan perlu diwajibkan menghadiri kursus mengenai keibubapaan agar ianya tak berulang lagi.

Majikan juga harus memainkan peranan membantu pekerja yang menghadapi tekanan di tempat kerja dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling atau pakar psikologi agar ibu bapa tak lepaskan kemarahan kat anak-anak bila pulang rumah.

Pihak sekolah pun tak terlepas memainkan peranannya;

“Kementerian Pendidikan perlu menyediakan program lawatan dan rawatan pakar psikiatri secara berkala ke sekolah bagi mengesan masalah kesihatan mental pelajar di peringkat awal.” – Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional . Dipetik dari Berita Harian.

Masyarakat perlu lebih peka dengan kes penderaan kanak-kanak

Ishhh menyirap pulak tengok rakaman ni!

Dalam hal ni, masyarakat perlu lebih sensitif dan peka. Sekiranya korang ternampak atau mengetahui ada berlakunya penderaan kanak-kanak, korang haruslah melaporkannya kat Jabatan Kebajikan Masyarakat atau menghantar kanak-kanak tersebut ke hospital yang berdekatan.

Korang jugak boleh hubungi Talian Nur di 15999 atau mana-mana balai polis. Korang jugak tak perlu risau kerana undang-undang dah menetapkan, orang yang melaporkan penderaan kanak-kanak tak boleh didakwa. 

“Jika mereka tidak membuat laporan atau membiarkan kanak-kanak ini berada dalam begitu (didera), maka mereka sudah melanggar undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak. Jangan sekali-kali ambil perkara ini sambil lewa.” – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dipetik dari Utusan.

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)