- 1.4KShare sekarang!
- Email10
- Facebook1.4K
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 23 Januari 2019
UPDATE 13/2/2020: Buat pertama kalinya dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pahang, seekor anjing baka German Shepherd menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’. Anjing bernama Lao Wu itu adalah salah satu Unit Anjing Pengesan (K9).
Penghargaan itu diberikan atas kejayaannya mengesan seorang suspek curi kenderaan yang melarikan diri sejauh lebih empat kilometer di ladang kelapa sawit di Felda Sungai Tekam, Jerantut, pada 14 November tahun lepas.
Unit Anjing Pengesan PDRM ditubuhkan dengan pembelian anjing yang dari luar
Unit Anjing Pengesan PDRM atau Unit K9 dah ditubuhkan sejak tahun 1968 lagi. Jumlah keseluruhan anjing yang wujud adalah sebanyak kira-kira 569 ekor anjing yang bekerja seiring dengan pasukan polis. Nama K9 ni adalah nama standard kat seluruh negara. K9 ni berasal dari sebutan canine yang membawa maksud sesuatu yang berkaitan dengan anjing.
Menurut Metro, anjing-anjing yang digunakan ni bukanlah anjing yang kita selalu nampak tepi jalan tu, tapi ianya dibeli dari Jerman, Republik Czech, China dan UK. Kebiasaannya, harga setiap ekor anjing mencecah RM33,000 yang dibuat secara tender terbuka.
Kalau nak tahu, proses pembelian dan melatih juga adalah ketat. Anjing yang dah dibeli dari luar negara ni akan dikuarantin selama sebulan di negara ni. Kemudian, anjing ni akan dilatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) sebelum dihantar kepada pengendalinya. Dengan pengendali pula akan berlatih bersama-sama anjing selama 4 bulan.
Hanya seorang sahaja dibenarkan mengendalikan seekor anjing. Setiap latihan pula berbeza mengikut kepakaran apa yang ditetapkan. Selepas semua latihan selesai, pengendali anjing akan dihantar ke kontinjen di seluruh negara. Selepas enam bulan sampai setahun, pengendali dan anjing itu akan dipanggil ke Unit K9 semula untuk tengok kalau masih ada kelemahan atau tak. Kalau ada, mereka akan berlatih semula untuk memperbaiki kelemahan tersebut.
Macam yang disebut sebelum ni, anjing yang dipakai ni bukan anjing biasa-biasa atau anjing yang korang tengok macam dalam cerita Chihuahua: The Movie. Ada tiga jenis anjing yang digunakan oleh Unit K9 di Malaysia. Anjing-anjing tu adalah…
1) German Shepherd: Dulu kegunaan pengembala, kini bantu polis seluruh dunia
Anjing ni berasal dari Jerman yang digunakan oleh pengembala kambing di sana suatu ketika dahulu. Kemudian digunakan di seluruh dunia. Menurut American Kennel Club, German Shepherd adalah seekor anjing yang biasanya dikenali sebagai anjing yang boleh buat semua kerja. Ia mempunyai kelebihan dari segi saiz, ketangkasan, berotot dan kepintaran.
Penulis buku The Intelligence of Dogs ada menyatakan bahawa pintarnya anjing ni sampai boleh menguasai sesuatu tugasan yang mudah dengan hanya mengulanginya lima kali sahaja. Kira berbaloi lah beli dengan harga mahal pun. Setakat 2016, PDRM ada 71 ekor anjing jenis ni yang digunakan dan jumlahnya dah pun bertambah saban tahun.
2) Belgian Shepherd: Sensitif dengan keadaan sekeliling
Nama pun lebih kurang macam anjing sebelum ni. Cumanya, anjing ni berasal dari Belgium. Anjing ni memang terkenal dengan legenda anjing taring yang pintar dan serba boleh. Cumanya, anjing ni sangat sensitif dengan keadaan sekeliling serta boleh membentuk hubungan yang kuat dengan manusia.
Anjing ni juga perlu mendapat perhatian yang lebih serta tak boleh diabaikan. Setakat 2016, PDRM dah menggunakan 55 ekor anjing jenis ini.
3) Labrador: Kepala lebar, deria bau kuat
Nama anjing ni Labrador sebab ada kaitan dengan sejarah penemuannya di Lautan Labrador (antara Kanada dan Greenland). Anjing ni kepala dia jenis lebar dengan mata yang berkilau-kilau serta punyai kelebihan yang tersendiri.
Deria bau anjing ni juga sangat kuat sehinggakan dia boleh tahu dari mana datangnya bau tu. Bila ada bau sesuatu, dia akan cari sampai dapat. Setakat 2016, PDRM dah menggunakan 2 ekor anjing jenis ni.
Empat fungsi utama anjing pengesan yang ramai tak tahu
Jenis-jenis anjing pun dah tahu. Sekarang ni, kita nak sembang, apa kepakaran-kepakaran yang dilatih untuk ketiga-tiga jenis anjing ni. Anjing-anjing K9 ni akan dibahagikan kepada empat kategori berdasarkan fungsinya. Menurut Ketua Unit Pengesan (K9), Deputi Superintendan Har Mun mengatakan bahawa fungsi anjing pengesan berkenaan dibahagikan kepada empat kategori.
1) Anjing ‘Cadaver’
Cadaver ni maksudnya adalah mayat. Maka, salah satu fungsi anjing pengesan adalah untuk mengesan mayat. Sama ada mayat tu ditanam atau pun tenggelam dalam air. Ia juga berfungsi untuk mencari mayat atau saki bakinya di tempat kejadian letupan bom, bangunan runtuh, kebakaran dan tanah runtuh. Selain tu, untuk mencari orang hilang yang disyaki mati sama ada dalam hutan atau tempat-tempat lain.
2) Anjing Pelbagai Guna (GPD)
Anjing pelbagai guna atau General Purpose Dog (GPD) berfungsi untuk mengesan jenayah. Ia juga digunakan untuk kesan barang kes dan orang hilang. Bagitu juga digunakan sebagai kawalan orang ramai dan pengiring operasi. Contohnya digunakan dalam mana-mana perhimpunan untuk menakutkan orang ramai dan mengawal keadaan waktu perlawanan bola sepak berlangsung. Kalau korang nak tau, anjing German Shepherd biasanya digunakan untuk fungsi ni.
3) Anjing pengesan narkotik
Sebut narkotik, kita pun tahu ia berkaitan dengan dadah kan. Jadinya, anjing pengesan narkotik akan mengesan dadah yang disimpan suspek sama ada dibahagian sulit atau tempat mana-mana yang sukar dikesan. Kalau nak tengok aksi anjing-anjing ni. boleh tengok video kat bawah:
4) Anjing pengesan bahan letupan dan senjata api
Tugas ni adalah untuk mengesan kedudukan mana-mana senjata api dah bahan letupan seperti bom. Untuk tugas ni, anjing jenis Labrador dah diguanakan sebab deria baunya yang lebih kuat berbanding anjing lain.
Bukanlah semudah ABC nak latih anjing-anjing ni untuk mengikut arahan pengendali. Semuanya ada cabaran tersendiri yang hanya sesuai untuk mereka yang jenis bersabar. Sebab apa kena bersabar? Kita fahamkan sikit apa cabaran-cabaran mereka yang menjadi pengendali anjing.
“Kesabaran anda juga akan diuji. Malah, saya pernah rasa hampir menyerah kalah”
Pengalaman yang biasa disebut oleh setiap pengendali anjing adalah lebih kurang sama sahaja. Untuk pengendali yang anjingnya memenangi pingat ‘Jasamu Dikenang’ ada berkongsi pengalamannya dengan mengatakan,
“Melatih Murat (nama anjing) tidak susah kerana sifat anjing ini manja, cuma bulan pertama bersama Murat atau mana-mana anjing sekalipun digigit adalah satu kebiasaan,”- Petikan dari Berita Harian
Salah seorang anggota Unit K9, Hilda Wilson yang merupakan satu-satunya wanita dalam unit ni juga ada banyak berkongsi pengalaman mengenai pahit getir melatih anjing pengesan. Memang kena gigit anjing adalah benda biasa termasuklah anjing tu sendiri tak nak mendengar arahan.
Menurut Hilda Wilson lagi, menjadi pengendali anjing pengesan narkotik memang mencabar sebab kena buat latihan berulang kali. Tujuannya untuk bagi anjing tu berjaya kesan dadah walaupun disorok kat tempat yang susah sekalipun. Untuk Hilda Wilson, anjing yang dilatih adalah dari jenis Labrador diberi nama Dahei.
“Kesabaran anda juga akan diuji. Malah, saya pernah rasa hampir menyerah kalah. Saya digigit dan Dahei tidak mahu mendengar arahan.”- Petikan dari Harian Metro
Akhirnya, latihan berterusan serta bantuan dari jurulatih selama beberapa bulan dah menyebabkan wujudnya keserasian antara dia dan Dahei. Kalau korang nak tau, Dahei ni antara anjing K9 yang popular di PULAPOL. Untuk korang yang bercita-cita nak jadi pengendali anjing kena ingat satu benda, KENA GIGIT ANJING BENDA BIASA.
“Selepas kami gagal temui Datuk Sosilawati dan tiga rakannya kami gunakan khidmat anjing”
Pada tahun 2011, ada kes pembunuhan seorang lelaki yang dilaporkan diculik di Johor Bahru. Mayatnya dah ditanam di kawasan kebun getah kat Kajang, Selangor. Selepas enam bulan, polis berjaya tahan suspek pembunuhan sertai bawa ke tempat mayat ditanam. Tapi, suspek tak dapat bagi jawapan untuk lokasi mayat. Dengan bantuan anjing pengesan Unit K9, mayat tadi berjaya ditemui.
Kalau korang ingat lagi kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Waliya serta tiga individu lain, ianya satu kes pembunuhan yang agak rumit. Waktu mencari mayat mangsa di tempat kejadian, pasukan polis gagal menemui mayat kesemua mereka. Maka…
“Selepas kami gagal temui Datuk Sosilawati dan tiga rakannya kami gunakan khidmat ‘cadaver dogs’ iaitu anjing yang dilatih untuk mengesan bau mayat bagi membantu mengesan sama ada terdapat mayat ditanam di kawasan ladang itu.”- Petikan dari Malaysia Kini
Sewaktu pencarian tu, pengendali anjing melihat reaksi ‘cadaver dogs’ yang seolah-olah menghidu sesuatu. Pihak polis pun mula menggali, tetapi gagal menemui mayat atau tulang manusia pada masa tu.
Pada tahun 2014 pula pernah ada kes pembunuhan di tapak pembinaan hospital di Kuching. Kes ni bermula apabila ada seorang pengawal keselamatan dilaporkan hilang serta terdapat kesan darah di tempat kejadian. Bantuan unit K9 diperlukan yang membawa kepada penemuan mayat lelaki tersebut yang ditanam.
Pada November 2016, ahli kumpulan Geng Kapak dah berjaya ditangkap di Kluang. Kejayaan ni adalah sumbangan bersama seekor anjing K9 yang digelar sebagai Murat. Susulan kejayaan ni, ia dah dikurniakan pingat ‘Jasamu Dikenang’ .
Unit Pengesan Anjing K9 ada jasanya yang tersendiri
Pada tahun 2018, sempena 50 tahun penubuhan unit K9 bersama anjing-anjing pengesan yang setia, sebuah tugu peringatan telah dibina atas nama Memorial K9. Kat situ adalah senarai nama-nama anjing pengesan yang pernah dan sedang bersama PDRM.
“Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membina satu tugu peringatan sebagai penghormatan kepada ‘rakan-rakan’ yang telah banyak berjasa kepada jabatan tersebut.”- Petikan dari Free Malaysia Today
Kita semua kena sedar, dalam dunia ni bukan manusia je yang hidup. Ada makhluk-makhluk lain turut berkongsi tempat berpijak dengan kita yang perlu kita hargai dan manfaatkan. Buat Anjing Pengesan Unit K9, kami dari SOSCILI bagi tabik spring!
- 1.4KShare sekarang!
- Email10
- Facebook1.4K
- Share