Solat terawih ekspres di Kuala Terengganu, dan 4 lagi benda pelik sepanjang Ramadhan

*Artikel ini pada asalnya ditulis pada 12 November 2017*

“Ramadhan tiba, ramadhan tiba, marhaban yaa ramadhan, marhaban yaa ramadhan” – Lirik lagu Ramadhan Tiba oleh Opick.

Tiap kali puasa, memang lagu ni la yang akan berkumandang dalam radio selain lagu-lagu Raihan yang lain.

Selain dari lagu-lagu ni, SOSCILI nak mengenang balik beberapa peristiwa dan kejadian yang pernah berlaku di bulan puasa sebelum ni. Jom kita tengok 5 cerita yang kadang-kadang buat kita rasa nak tergelak, kadang-kadang nak menangis pun ada…

1. Tau tak kenapa van jenazah digunakan untuk tangkap yang tak puasa?

Setiap kali bulan Ramadhan mesti ada kes orang yang ditangkap dan dimasukkan dalam van jenazah sebab tak berpuasa. Kes-kes macam ni sebenarnya bukanlah benda baru, malah dah lama dipraktikkan.

Berdasarkan artikel yang dipetik daripada SelangorKini, punca diorang gunakan van jenazah bermula pada tahun 90-an apabila agensi kerajaan buat satu operasi besar-besaran untuk tangkap orang awam yang tak puasa. Disebabkan ramai yang ditangkap dan tak muat van, diorang tambah kenderaan dengan menggunakan van jenazah. Jadi, sejak kes tu la diorang gunakan van tersebut untuk tujuan menginsafkan mereka yang uzur olok-olok ni.

Acah-acah ambik bau je. Gif dari giphy

Van jenazah digunakan sebagai simbolik kepada kematian. Sebabnya tak kira la tua atau muda, miskin atau kaya, van jenazah ni la akan jadi kenderaan terakhir yang akan bawa kita ke kubur. Jadi rasanya sebab tu juga  pihak yang terlibat buat aktiviti ni untuk timbulkan kesedaran kepada orang yang tak puasa.

Bagaimanapun Khairy Jamaludin ada keluarkan kenyataan pasal dia kurang setuju dengan aktiviti penangkapan di bulan puasa. Dia cakap yang jabatan agama tak perlu pantau dan tahan orang tak puasa sebab benda tu tak wajib pun dalam agama. Dia juga cakap yang sumber penguatkuasaan tu sepatutnya digunakan untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan.

Rasa terpanggil untuk jelaskan isu ni, pendakwah dan penceramah bebas, Ahmad Dusuki Rani bagi respon untuk kenyataan Khairy,

“Ia dipanggil amar makruf nahi mungkar (menyeru kebaikan dan menghalang kemungkaran). Apa yang disebut Khairy hanyalah amar makruf tetapi apa yang dibuat jabatan agama termasuk nahi mungkar.

Kedua-duanya mesti serentak. Tak bolehlah hanya suruh orang berbuat baik tetapi yang mungkar tidak dicegah, itu konsep liberal dalam kalangan masyarakat,”- Ahmad Dusuki Abd Rani

Jadi, jelas lah kenapa pihak jabatan agama buat macam tu iaitu sebab nak mencegah. Yela, kalau ada orang Islam yang makan atau minum kat tempat awam, yang lain pun boleh ikut. Sebabnya, benda tak baik ni lagi senang nak ikut daripada benda baik.

Kalau korang nak tahu, korang yang tak puasa tu boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, orang Islam yang didapati makan, minum atau merokok secara terbuka pada bulan Ramadan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya.

2. Trending #doneterawih, #donesahur, #doneberbuka di media sosial

Zaman teknologi di hujung jari ni, kalau boleh nak semua orang tahu semua benda yang kita buat. Semua benda nak kena upload supaya orang tahu siapa korang dan macam mana hidup korang. Rasanya korang pun familiar kot dengan semua jenis hashtag ni sebab dah banyak orang buat parodi, contohnya macam kat bawah ni.

Imej dari deskgram

Penceramah bebas, Mohd Fakhrurrazzi Mohd Hanapi ada buat kupasan pasal hal ni:

“Lebih baik kalau tak dipost ke mana-mana media sosial bagi mengelakkan fitnah atau salah faham. Tapi sebaik-baiknya, lagi baik kalau kita berpuasa dari media sosial juga”- Mohd Fakhrurrazzi Mohd Hanapi.

Korang boleh tengok dan fahami lebih lagi kat sini.

Mashallah sisturrrrrrrrrrrrrrrrrrrr

3. Solat terawih ekspres di Kuala Terengganu

Berapa lama masa yang digunakan kat tempat korang untuk buat solat sunat Terawih? Biasanya kalau kat area Kuala Lumpur ni lebih kurang daripada pukul 9 malam sampai la 10.30 malam, jadi lebih kurang satu jam setengah.

Lain pula di sebuah masjid di daerah Kuala Terengganu, solat sunat Terawih lapan rakaat beserta solat sunat Witir di Masjid Buluh Gading adalah yang paling cepat iaitu antara 25 hingga 30 minit je!

Macam mana pula boleh jadi cepat? Sebabnya, imam di masjid tersebut cuma baca satu ayat daripada surah al-Baqarah atau surah lain pada setiap rakaat selepas selesai surah al-Fatihah.

Perkara ni bukanlah perkara baru sebenarnya sebab ianya memang dah menjadi tradisi arwah datuk kepada imam tersebut sejak tahun 1980-an lagi sebelum diteruskan ayahnya pada 2004, dan akhirnya turun kepada imam tersebut, Ustaz Mastura Mohamad, yang kini berumur 47 tahun.

Tapi sebenarnya, ni bukanlah solat terawih paling laju dalam dunia sebab kat Jawa Timur, Indonesia, solat sunat Terawih yang paling laju ialah 23 rakaat termasuk witir selama hanya 7 minit je! Malah, ianya juga dah diamalkan selama 115 tahun dulu lagi.

Menurut penjaga masjid tersebut, solat terawih ditempatnya sangat ekspres sebab imamnya cuma mengerjakan benda yang wajib semata-mata contohnya seperti niat, takbiratul ihram, bacaan Al-fatihah, cuma ayat pendek dalam Al-Quran.

Malah, masa rukuk pun diorang cuma sebut Subhanallah, dan lain-lain cuma menyebut Allah saja manakala tahiyat akhir diganti dengan selawat kepada nabi dan memberi salam.

https://www.youtube.com/watch?v=W5EByu7WXgY

Ni lagi laju! Malah, perkara ni dibahaskan oleh tokoh agama dan mufti di negara tersebut sebab terawih ‘kilat’ tu takde toma’ninah, iaitu rehat seketika antara dua perbuatan.

4. Trend fesyen Baju Melayu yang semakin lama semakin tak masuk akal?

Baju Melayu tradisional vs Baju Melayu Hipster. Mana yang jadi pilihan hati? Klik untuk baca pasal sejarah Baju Melayu. 

Sebulan berpuasa, raya pun bakal tiba. Masa nak dekat-dekat raya ni la orang akan sibuk cari baju raya, sebab semua orang pun nak melaram. Sebenarnya, memakai pakaian baru pada pagi hari raya ni memang sunnah. Malah, ada dua hadis yang menyokong perkara ini.

Berhias dengan memakai pakaian baharu atau pakaian yang paling elok, memakai wangi-wangian (bagi lelaki) dan seumpamanya. Ibn al-Qayyim berkata: “Nabi shallallahu’alaihiwasallam selalu memakai pakaian Baginda yang paling elok untuk hari raya”-
(Zad al-Ma’ad, jld 1 m/s 151)

Ibn Abi al-Dunya dan al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar radhiallahu’anhuma bahawa baginda sentiasa memakai pakaiannya yang terbaik ketika hari raya”-
(Dinilai shahih sanadnya oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani)

Setiap kali bulan puasa juga la kita akan tengok pelbagai fesyen baju raya sama ada kat kedai ataupun dalam website untuk fesyen terbaru pada tahun tu. Rasanya setiap kali nak raya juga la akan munculnya pelbagai fesyen daripada yang tradisional sampai moden.

Baju kurung perempuan memang pelbagai fesyen sejak dulu, contohnya macam Baju Kurung Teluk Belanga (yang paling common), Baju Kurung Pesak, dan Baju Kurung Kedah. Lepas tu beberapa tahun kebelakangan ni bertambah lagi macam Baju Kurung Peplum, Jubah Abaya dan macam-macam lagi la.

Eh, pinjam baju kurung mak? Imej dari Pinterest

Untuk kaum lelaki, baju melayu diorang simple je, sama ada Baju Melayu Teluk Belanga atau Baju Melayu Cekak Musang. Tapi beberapa tahun kebelakangan ni baju melayu kaum lelaki pun tak nak kalah langsung dengan baju kurung perempuan. Korang boleh tengok perbezaan fesyen baju raya dulu dan sekarang yang kawan kitorang kat Cilisos ada tulis.

Ni fesyen Jubah Sado masa tahun lepas. Tak tahu la lelaki sekarang ramai yang metroseksual ke macam mana?

Jubah sado yang pernah jadi isu pada tahun lepas. Imej dari mediacorp.sg

Adakah fesyen sekarang yang semakin tak masuk akal atau kitorang yang tak ada sense of fashion? Tepuk dada tanya selera.

5. Perkataan-perkataan baru wujud dan di-arab-kan

Beberapa tahun kebelakangan ni, banyak je perkataan baru yang wujud, sama ada disingkatkan mahupun diarabkan. Contohnya perkataan yang jadi singkatan macam goreng pisang jadi gorpis, nasi lemak jadi naslem, dan baru-baru ni, pasar ramadhan jadi PARAM?

Aduh, berdarah telinga. Bukan ke bazar ramadhan tu lagi sedap didengari?

Bukan tu je, perkataan lain juga ada diarabkan contohnya macam perempuan berpurdah jadi NIQABIS, tudung jadi HIJAB, kurma jadi TAMAR, selamat hari jadi pula jadi SANAH HELWAH, dan buka puasa jadi IFTAR!

Awak cakap apa? Imej dari Twitter

Tak lama lagi nak raya. Confirm ada yang akan pendekkan “Selamat Hari Raya” kepada “SHRMZB”. Dorang ni masih guna SMS lagi kot, kena jimat perkataan.

Bulan puasa ni sepatutnya jadi bulan yang dimanfaatkan

Bulan Ramadhan ni setahun je sekali, jadi lebih baik kalau kita manfaatkan bulan ni dan perbanyakkan amal ibadah, dan banyak ikut sunnah. Selain tu juga, kita kena la banyak bersederhana dan banyak bersabar dengan pelbagai dugaan sebab bulan puasa mengajar kita tentang kesabaran.

Rasulullah saw pernah bersabda, “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Semua amal anak Adam adalah baginya kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu bagiKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya.

Puasa adalah perisai, apabila kamu sedang puasa janganlah berkata keji (memaki), janganlah berteriak-teriak dan janganlah berbuat perkara yang bodoh. Apabila ada seseorang yang mencacinya atau memeranginya maka katakanlah ‘Sesungguhnya aku sedang puasa…” (HR Bukhari dan Muslim)

Semoga amalan puasa kita pada tahun ni lebih baik dari sebelum ni. Bersama-samalah berdoa agar diberi peluang untuk bertemu Ramadhan akan datang. Amin.