- 1.2KShare sekarang!
- Email6
- Facebook1.2K
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Kat Malaysia ni, senang sangat nak cari makan. Tak kisah la sampai lewat malam pun, mesti ada je tempat yang kita semua boleh pergi. Dan disebabkan tabiat kita yang makan tak kira masa ni jugalah, Malaysia jadi negara yang tergemuk di Asia Tenggara.
Cuba pegang perut korang. Kebarangkaliannya, 38.5% dari korang ada berat badan berlebihan, manakala 13.3% lagi siap boleh tenggelamkan tangan dalam lemak ada obesiti.
Tak perlu la nak kurus dan berotot macam Aaron Aziz. Cukuplah dengan jaga kesihatan. Contohnya macam Sammo Hung yang berisi tapi sihat dan siap boleh buat backflip lagi!
Walaupun tak berjangkit, 73% daripada kematian kat Malaysia adalah disebabkan penyakit- penyakit ni. Maknanya, lebih kurang 7 daripada 10 orang kat Malaysia mati akibat penyakit kencing manis, serangan jantung atau tekanan darah tinggi.
Kerajaan juga dah membelanjakan lebih kurang RM4-8 billion, iaitu lebih kurang 4 buah Boeing 747-8s yang baru untuk merawat penyakit ni. Kita kehilangan beberapa tahun yang produktif disebabkan obesiti, di mana beberapa orang obese jatuh sakit dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Kerajaan sedar yang mereka takde dasar untuk membanteras NCD ni dari terus berlaku. Jadinya, mereka buat bukan satu, tapi 13 dasar untuk memerangi masalah ni dari terus berlaku. Antaranya adalah:
- Mengehadkan waktu operasi tempat-tempat yang menjual makanan hingga tengah malam.
- Minuman manis dicukaikan.
- Memansuhkan duti import untuk peralatan sukan.
- Menawarkan pengecualian cukai ke tempat-tempat yang menggalakkan sukan, seperti gym dan kolam renang peribadi.
- Tahap kesihatan akan diambil kira buat pekerja gomen termasuklah dalam pengambilan pekerja, naik pangkat, dan penilaian dorang.
- Melarang iklan makanan berlemak, masin dan manis.
- Kawasan perumahan yang baru dibina kena ada lorong basikal.
- Lebih banyak aktiviti pemeriksaan kesihatan diadakan.
- Kawasan pendaki yang belum diwartakan, akan diwartakan.
- Memupuk tabiat makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kalangan rakyat Malaysia.
- Pengharaman lebih ketat terhadap rokok seludup.
- Menjalankan program mQuit (program untuk berhenti merokok) di universiti.
- Lebih banyak kempen yang memberi tumpuan kepada NCD akan dijalankan.
Kesimpulannya, iklan makanan akan dikurangkan, aktiviti sukan akan jadi lebih murah, minuman manis akan naik harga, akan ada lebih banyak kempen yang mempromosikan kehidupan yang sihat, rokok seludup susah nak jumpa, ramai orang berbasikal, dan takde lagi tempat untuk korang makan lepas tengah malam.
Ni bukan kali pertama mamak 24 jam nak dijadikan 18 jam je
Peminat makanan mamak mungkin ingat lagi kes masa tahun 2015, di mana Datuk Seri Shahidan Kassim, menteri di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan supaya gerai mamak dan kedai makan 24 jam ditutup selepas tengah malam. Tapi masa tu sebabnya bukan untuk bendung obesiti, tapi sebab nak bendung masalah sosial.
“Malaysia mungkin satu-satunya negara di dunia di mana seseorang boleh mencari kedai makan dan restoran yang dibuka 24 jam. Tetapi di sini ia berbeza kerana ramai memerlukan perkhidmatan seperti ini, seperti pelancong, pendatang asing dan sebagainya. Kelonggaran ini telah menyumbang kepada masalah sosial.
“Terdapat kebimbangan bahawa anak muda menghabiskan masa terlalu banyak di tempat-tempat seperti ini dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat,” Datuk Seri Shahidan Kassim, dipetik dari mStar.
Tapi, mestilah rakyat Malaysia tak setuju dengan perkara ni. Mana nak dapat nasi goreng ayam atau burger pukul 3 pagi?
Jadinya, banyak mamak dan peminat mamak buat bantahan beberapa hari lepas pengumuman tu. Perdana Menteri, Najib Razak pun kemudiannya umumkan yang mamak boleh buka kedai selama mana mereka nak.
“Berkenaan operator restoran 24 jam, kita akan kekalkan waktu operasinya. Kerajaan ada keputusan sendiri iaitu tidak mengubah apa yang sedia ada. Kalau kita menyekat waktu operasi restoran ini, ia akan menimbulkan lebih banyak kesulitan kepada orang ramai,”– Datuk Seri Najib Tun Razak, dipetik dari MalaysiaKini.
Jadi, mamak dan peminatnya hidup bahagia selama-lamanya… sampailah…
Tempat makan 24 jam termasuklah mamak, sekali lagi dicabar
Dua tahun lepas hidup gembira dengan keputusan yang dibuat PM, gerai mamak sekali lagi menghadapi ancaman penutupan (lepas tengah malam je pun), kali ini dari Menteri Kesihatan.
Syed Ibrahim Kader, presiden Kongres Islam India Malaysia (Kimma), menyatakan ketidak setujuannya dengan dasar yang dicadangkan ni. Menurutnya, kedai mamak tempat lepak popular untuk pelajar, terutamanya yang datang gunakan Wi-Fi untuk buat assignment dan perbincangan.
“Pelajar-pelajar ini, mereka mengadakan perbincangan dan membuat tugasan di kedai mamak kerana kebanyakannya dilengkapi kemudahan wifi. Jika kedai mamak hanya boleh beroperasi sehingga tengah malam, ke mana mereka harus pergi?”
“Untuk pelajar Islam, adakah mereka akan ke rumah rakan dengan lelaki dan perempuan bercampur tanpa diawasi?”– Syed Ibrahim Kader, untuk FMT.
Selain daripada anak-anak muda yang mungkin melakukan perkara-perkara lagha di rumah, tarikan Malaysia sebagai destinasi makanan global mungkin terjejas jika dasar tu dilaksanakan. Lagipun, Malaysia terkenal disebabkan makanan yang senang nak dapat tanpa kira masa dan tempat. Jadi, perkara ni boleh menjejaskan pelancongan Malaysia.
“Kita terkenal dengan makanan kita di seluruh dunia. Pelancong ke sini dan tertarik melihat makanan boleh didapati 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Sudahkah mereka fikir bagaimana ini akan menjejaskan industri pelancongan?” – Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, dipetik dari FMT.
Dr. Jacob George, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Casa), menegaskan yang bukan semua orang kerja siang, jadi penutupan kedai mamak selepas tengah malam akan memberi kesan kepada mereka yang bekerja pada waktu malam. Dia juga mengkritik dasar-dasar baru Kementerian Kesihatan, Sebab bagi dia, dasar tu dibuat tanpa kajian atau perbincangan yang wajar dengan badan, persatuan atau kementerian yang berkaitan.
“Apabila anda mengehadkan jam operasi restoran, anda memberi kesan kepada perniagaan mereka. Apabila anda membuat keputusan dasar yang boleh mengganggu aktiviti ekonomi, anda mengundang masalah dan kemarahan orang awam . “- Dr Jacob George, untuk FMT.
Adakah Datuk Seri Najib akan jadi penyelamat lagi dalam isu mamak 24 jam ni?
Makan tengah malam boleh menyebabkan kegemukan ke?
“Makan sarapan macam seorang raja, makan tengah hari macam seorang putera, dan makan malam macam orang miskin,” – Adelle Davis, pakar pemakanan yang terkenal.
Korang mungkin pernah dengar pepatah ni untuk misi kurangkan berat badan. Maknanya korang kena makan banyak pada waktu siang, dan kurang pada waktu malam. Sebabnya, kita guna banyak tenaga pada waktu siang berbanding waktu malam. Tapi sejauh mana makan kat mamak dah menyumbang kepada kenaikan berat badan?
Sebuah kajian yang dilakukan oleh American Journal of Clinical Nutrition mendapati orang yang makan pada waktu malam memang naik berat badan. Tapi disebabkan batas kajian, kita tak tahu yang mereka ni naik berat badan sebab makan malam atau sebab mereka ni memang makan lebih.
Berdasarkan kajian Journal of the American College of Nutrition pulak, kita sebenarnya boleh kurangkan berat badan dengan makan pada waktu malam, tapi itu pun tengok la apa yang kita makan. Dalam kajian yang dilakukan, responden diberi makan bijirin dan susu rendah lemak sejam setengah sebelum makan malam. Hasilnya, mereka lagi senang turun berat badan berbanding yang tak amalkan snek.
Kajian British Journal of Nutrition pulak mendapati responden yang minum protein sebelum tidur akan bakar lemak lagi mudah walaupun tengah berehat (tak exercise), dan selera makan pun berkurangan.
Sebuah kajian yang diterbitkan oleh American Journal of Physiology mendapati snek pada waktu malam (11 malam) mengurangkan pengoksidaan lemak dan meningkatkan kolesterol, terutama kolesterol LDL (yang buruk), berbanding peserta yang makan snek yang sama pada waktu pagi (10 pagi). Ini menunjukkan yang makan pada waktu malam sebenarnya meningkatkan risiko obesiti tanpa mengira jumlah yang dimakan. Walau bagaimanapun, semasa tempoh pendek kajian (2 minggu), tiada penambahan berat badan direkodkan.
Banyak pendapat yang dikeluarkan oleh nutritionist dalam pelbagai website pasal naik turun berat badan ni. Tapi apa yang pasti, nasi lemak ayam goreng kat mamak memang boleh tambah lemak. Jadi kalau nak makan makanan sihat tu, mungkin susah sikit kot nak cari kat mamak ni.
Dasar-dasar baru ni mungkin satu idea yang baik, tapi masih ada masalah
Rupa-rupanya, tak semua orang bangkang perkara ni. Datuk Dr Marimuthu Nadason, presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kes NCD di Malaysia. Dengan gaya hidup rakyat Malaysia yang membawa kepada obesiti dan masalah kesihatan yang berkaitan, dia puji dasar yang mengehadkan waktu operasi 24 jam restoran, iklan makanan dan minuman dikurangkan, dan minuman manis dicukaikan. Baginya, penguatkuasaan ni berani dan perlu dilaksanakan.
“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati dan ini adalah inisiatif yang baik. Jika kerajaan tidak mengambil tindakan sekarang, ia akan menjadi beban pada masa akan datang kerana generasi muda akan terus jatuh sakit dan ini boleh menjejaskan produktiviti negara, ” – Datuk Dr Marimuthu Nadason,dipetik dari New Straits Times.
Walaupun Marimuthu mengakui yang kesihatan seseorang tu adalah hak masing-masing, tapi dia rasa kerajaan juga bertanggungjawab untuk kesihatan rakyat, dan kerajaan perlu buat satu dasar kesihatan yang sesuai untuk rakyat.
SM Mohamed Idris, presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata penutupan restoran awal adalah idea yang baik untuk pihak kerajaan, sebab orang ramai tak tahu masa yang betul untuk makan. Jadi, mereka makan je sesuka hati dan bila-bila je mereka nak.
“Sekiranya mereka makan lewat tengah malam, mereka mungkin tak makan sarapan pagi esok, dan ia tak baik untuk kesihatan mereka,” – SM Mohamed Idris, dipetik dari FMT.
Dasar baru ni dengar macam idea yang baik, tapi masih ada juga pertikaian yang berlaku. Contohnya macam apa yang Datuk Azih Musa daripada Cuepacs kata, dasar tu bagus untuk mempromosikan kesihatan, tapi macam tak relevan je untuk tetapkan pembangunan kerjaya kakitangan awam berdasarkan tahap kesihatan mereka (tengok dasar no. 5).
Dia tambah lagi, ramai je orang yang ada dalam Kementerian Kesihatan yang nampak kurang sihat dan tak fit. Jadi dia minta kementerian tu mulakan dasar yang dibuat tu dalam kementerian mereka terlebih dulu.
Datuk Wan Hashimi Albakri dari Rehda dan Sime Darby Property Bhd, bersetuju dengar dasar Kementerian Kesihatan, terutamanya yang membawa kepada ‘kejiranan hijau’ (#7, lorong basikal untuk kawasan perumahan baru), tapi dia mempersoalkan, boleh ke pemaju kecil dan sederhana laksanakannya, dengan bajet yang kurang?
Dan itulah masalah dasar yang disebutkan oleh Datuk Azih Musa, Datuk Wan Hashimi dan Dr. Jacob tadi, iaitu kerajaan buat polisi tanpa berbincang dengan pihak yang terlibat. Walaupun dasar ni masih dalam peringkat perancangan, pengumumannya mengejutkan ramai pihak, dan tak semua orang boleh terima. Sepatutnya, Kementerian Kesihatan kena buat perancangan dan berbincang dulu dengan pihak yang terlibat, supaya mereka dapat bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku.
Jadi dalam masa yang sama, korang tak nak ke makan nasi kandar pukul 2,3 pagi sebelum dasar ni dilaksanakan?
- 1.2KShare sekarang!
- Email6
- Facebook1.2K
- Share