5 tragedi maut yang pernah menggemparkan Malaysia

Ramai yang takkan lupa dengan tragedi runtuhan Highland Towers yang pernah menggemparkan dunia pada tahun 1993. Tragedi tersebut adalah satu-satunya tragedi bangunan runtuh yang pertama dan terburuk selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Ia telah mengorbankan seramai 48 orang.

Masa pertengahan 2015 pulak, Malaysia dilanda kejadian gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter di daerah Ranau, Sabah. Bencana ini menyebabkan berlakunya runtuhan bongkah batu di Gunung Kinabalu yang selama ini menjadi kebanggaan penduduk Sabah dan salah satu ikon pelancongan Malaysia. Seramai 19 orang terkorban akibat kejadian tersebut.

Malim Gunung Kinabalu membawa turun kanak-kanak yang cedera akibat gempa bumi di Ranau, Sabah. Imej dari Awani.

Tapi kali ni SOSCILI nak mengimbas kembali beberapa tragedi serta bencana yang pernah melanda Malaysia sebelum ini yang mungkin korang tak pernah tahu. Antaranya ialah….

1. Tragedi Empangan Kuala Kubu, 1883

Kuala Kubu dibuka pada kurun kelapan belas oleh orang-orang Melayu dan mereka merupakan perintis kepada kegiatan melombong bijih di daerah itu, sehingga dapat membina empangan besar untuk kerja-kerja mendulang bijih.

Tapi pada 23 Ogos 1883, telah berlaku satu kejadian banjir besar kat Sungai Selangor. Banjir ni telah menyebabkan robohnya Empangan Kuala Kubu sehingga menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu dan kawasan di sekitarnya.

Empangan yang roboh itu panjangnya kira-kira 1.6 kilometer dan lebarnya melebihi 91.4 meter. la dibuat dari batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah merentangi Sungai Kubu iaitu anak Sungai Selangor.

Sungai Selangor ni pun memang dah jadi cetek akibat dari takungan tanah dan pasir yang mengalir apabila hujan. Ditambah pulak dengan kegiatan melombong. Jadi lama-kelamaan Sungai Selangor ni pun menjadi melimpah dan empangan pun dah tak mampu nak membendung arus air yang deras, tu yang sampai empangan pecah.

Gif dari giphy.

Kejadian ini telah memusnahkan harta benda dan mengorbankan seramai 33 nyawa termasuk Pegawai Daerah dan Majistret pertama berbangsa Inggeris kat daerah tersebut. Tak cukup dengan tu, terdapat sebanyak 38 buah rumah turut hanyut dan satu-satunya mata pencarian penduduk kawasan itu iaitu mendulang bijih timah juga turut terjejas.

Tinggalan rangka kereta api penjajah membuktikan Kuala Kubu pusat perlombongan bijih timah utama kat negara ini. Imej dari Kosmo.

Tapi ada jugak yang mengaitkan kejadian empangan pecah ni dengan kisah legenda Buaya Putih. Tragedi bermula apabila seorang pegawai Inggeris yang bernama Cecil Ranking ni telah menembak seekor buaya putih yang kononnya dianggap oleh penduduk kampung sebagai ‘penunggu’ (spirit guardian of the river) kat situ. Lepas je dia bunuh buaya tu, maka terjadilah banjir besar.

Dalam tragedi itu, tangan kiri Cecil Ranking putus dibaham buaya putih berkenaan dan mayatnya dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran Rumah Rehat Kuala Kubu.

Adakah kematian buaya putih ni penyebab empangan tu pecah? Imej dari pohon hidup.

Disebabkan dari peristiwa inilah lahirnya pekan Kuala Kubu Bharu yang ada sehingga sekarang ni. Ianya jugak masih kekal sebagai pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor, menggantikan Kuala Kubu Lama yang kini tinggal dalam kenangan.

Beberapa info menarik mengenai Kuala Kubu Baru. Imej dari Kosmo

2. Tragedi bah besar sehingga diisytiharkan darurat, 1971

Banjir besar yang berlaku pada tahun 1971 ni telah menenggelamkan hampir 50 peratus kawasan Kuala Lumpur dan merupakan banjir kedua terburuk di Malaysia. Banjir pertama terburuk ialah pada tahun 1926 yang dah meranapkan Istana Sri Sayong. Tapi tak banyak rekod diperoleh mengenai bencana ni sebab waktu tu Tanah Melayu diperintah oleh British lagi.

Keratan akhbar mengenai banjir besar di Kuala Lumpur pada tahun 1971. Imej dari The Patriot.

Punyalah teruk banjir yang berlaku pada Januari 1971 hingga menyebabkan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terpaksa mengisytiharkan darurat kerana bekalan makanan semua terputus dan turut menubuhkan dua jawatankuasa Kabinet yang berperanan memberi bantuan dan melaksanakan pemulihan banjir.

Banjir hanya surut seminggu kemudian selepas mengorbankan sebanyak 57 orang dan menyebabkan kerugian harta benda kira-kira RM84.7 juta. Menurut Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim yang dipetik dari Utusan, banjir ni berlaku kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak.

Lepas dari bencana ni, kerajaan terus menubuhkan Suruhanjaya Tetap Kawalan Banjir sebagai pelan induk saliran untuk bandar-bandar utama dan memperkenalkan sistem amaran banjir.

Keadaan banjir di Kuala Lumpur tahun 1971. Imej dari Zaini.
Kuala Lumpur ku ditenggelami air. Imej dari pekhabar.

3. Tragedi terminal feri runtuh, 1988

Keratan akhbar mengenai kejadian terminal feri runtuh. Imej dari darkofmystery

Pada 3 Julai 1988, Pulau Pinang telah jadi tumpuan kerana terdapat dua perayaan serentak melibatkan kaum Cina iaitu Pesta Dewi Kwan Yin di Georgetown dan sambutan ulang tahun Gereja St Anne kat Bukit Mertajam.

Suasana ketika terminal feri runtuh. Imej dari darkofmystery.

Time tu ramai pelancong yang datang ke Pulau Pinang termasuklah dari Singapura, Hong Kong dan Taiwan. Jadi keadaan ni telah menyebabkan Jambatan Pulau Pinang ditutup kepada kenderaan awam untuk mengelakkan kesesakan ketika perarakan berlangsung. Bila dah ditutup, satu-satunya pintu masuk ke Georgetown adalah dengan menaiki feri je.

Kehadiran pengunjung pada waktu tu dianggarkan lebih 10,000 orang sehingga pihak berkuasa terpaksa menutup pintu masuk ke kawasan pangkalan dan pihak keselamatan turut mengawal keadaan yang terlalu sesak. Tapi punyalah ramai sampaikan pihak polis tak dapat nak kawal kemasukan pengunjung yang datang menyerbu berduyun-duyun.

Kalau dah ramai serang, memang tak dapat lah den nak mengawalnya. Gif dari giphy

Malang tidak berbau. Akhirnya pelantar jeti setinggi lima meter yang dibina pada 1956 tu runtuh dipercayai akibat terlalu berat untuk menampung beban kemasukan ribuan pengunjung yang ingin menyeberang ke Pulau Pinang.

Semasa kejadian, dua buah feri sedang merapati pangkalan jeti untuk menurunkan penumpang. Masa sebahagian penumpang sedang bergerak nak naik ke feri, tiba-tiba terminal tu pun runtuh. Lalu ribuan penumpang pun tergelongsor jatuh ke dalam laut manakala tiang dan kayu binaan berat menghempap jasad mereka. Sebanyak 32 nyawa terkorban manakala kira-kira 1,700 orang lagi cedera.

4. Tragedi banjir lumpur di Pos Dipang, 1995

Tragedi banjir lumpur di Pos Dipang berlaku pada 29 Ogos 1996. Kejadian berlaku lebih kurang jam 6 petang di Perkampungan Penempatan Orang Asli Pos Dipang yang terletak di sebuah kawasan pedalaman dalam daerah Kampar, Perak.

Kalau korang perasan, tragedi ni berlaku dua hari sebelum menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-39. Banjir lumpur yang berlaku ni telah meragut 44 nyawa. Daripada jumlah itu, 39 mayat ditemui manakala lima lagi gagal dikesan sehingga kini. Selain masyarakat Orang Asli, turut menjadi mangsa ialah empat sekeluarga berketurunan Tionghua.

Keadaan Pos Dipang ketika dilanda banjir lumpur. Imej dari Berita Harian.

Tragedi Pos Dipang yang mencatatkan korban terbesar akibat banjir lumpur itu dilaporkan berkait rapat dengan aktiviti pembalakan berleluasa oleh pihak yang mementingkan diri sendiri.

Perkampungan Orang Asli Pos Dipang ni dibuka pada tahun 1978 dan mempunyai kira-kira 60 rumah dengan penduduk seramai 1,500 orang. Apa yang menariknya, dorang mula buat penempatan kat sini lepas dusun buah-buahan yang dorang usahakan kat kawasan tu mengeluarkan hasil dan dorang terus buat perkampungan kat situ.

Misi mencari mangsa banjir. Imej dari Utusan.

5. Tragedi Ribut Greg, 1996

Tragedi Ribut Greg kat Sabah ni merupakan antara bencana alam negara yang terburuk. Kejadian berlaku pada 26 Disember 1996 di beberapa daerah Sabah. Antara daerah yang terjejas ialah Keningau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Papar.

Menurut Kosmo, semasa kejadian, Ribut Greg tu dah berlalu di barat laut perairan Sabah, tapi tiba-tiba ianya berpatah balik selepas bertembung dengan Taufan Fern berdekatan Kepulauan Filipina sehingga menyebabkan banjir besar.

Walaupun ribut tu hanya berkelajuan 50 kilometer sejam, tapi ia telah memusnahkan beratus-ratus kediaman. Bukan tu je, ia jugak telah mengorbankan lebih 200 nyawa dan102 orang lagi dilaporkan hilang dan tak ditemui sehingga ke hari ini.  Seramai 7,600 penduduk jugak hilang tempat berteduh. Ribut yang hanya berlaku kira-kira empat jam je ni telah menyebabkan kerugian mencecah RM150 juta.

Kesan daripada Ribut Greg. Imej dari nourayuadieb.

Tapi menurut Utusan, beberapa hari sebelum kejadian, kawasan tersebut dilanda hujan lebat menyebabkan air bertakung di puncak Bukit Kimanis yang menjadi latar beberapa  perkampungan kat kawasan tersebut. Tapi malangnya, penduduk tak pernah tahu pun tentang kewujudan takungan air tu.

Gambaran penduduk mengenai tragedi itu amat dramatik. Ia seperti air ditakung penuh dalam baldi besar, sebelum dicurah kesemuanya sekali gus! – Dipetik dari Utusan. 

Namun menurut penduduk yang terselamat, kejadian yang berlaku tu kekal misteri. Ada yang kata kejadian tu berlaku kerana ada penghuni kat kawasan tu tak nak berikan air kepada seorang tua yang tiba-tiba muncul meminta air. Bukan setakat tak berikan air je, malah penduduk kat situ turut mengejek lelaki tua tu.

Lalu lelaki tua tu pun menjawab akan memberikan air yang banyak jika benar penghuni rumah tu takde air. Maka lepas tu terjadilah limpahan air yang sangat banyak kat sungai tu.

Pada peringkat awal, air naik mengejut dan surut secara tiba-tiba, sebelum datang arus deras kali kedua bersama batu besar dan kayu balak. – Dipetik dari Utusan. 

https://youtu.be/6hHoWYth0aw?t=5s

Walaupun tragedi tak boleh dijangka tapi kita masih boleh ambil langkah persediaan

Berdasarkan tragedi yang sering melanda negara, adalah penting untuk adanya perancangan rapi dan kesedaran mengenai kepentingan rangkaian kecemasan sebagai persediaan untuk menghadapi bencana, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Sebagai contoh, terdapat banyak sistem amaran kecemasan yang mampu memberikan amaran awal sebelum kejadian bencana berlaku. Di Malaysia, sistem pengesanan bencana pertama, iaitu sistem pengawasan tsunami, telah diperkenalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Sistem pengawasan tersebut turut dikenali sebagai Malaysia National Tsunami Early Warning System (MNTWES).

Jangan nak main tekan ye kalau takde kebakaran. Gif dari giphy

Walau apa pun yang menimpa negara kita, apa yang pasti setiap tragedi sama ada disebabkan bencana alam atau kecuaian manusia perlu dijadikan iktibar oleh kita semua. Ini kerana terdapat jugak bencana alam yang mempunyai kaitan rapat dengan aktiviti manusia seperti tragedi Pos Depang yang berpunca dari pembalakan. Kerakusan manusia terhadap khazanah alam pasti akan membawa padah kepada sesiapa sahaja.

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)