- 21Share sekarang!
- Email0
- Facebook21
- Share
Sekarang ini, sudah tersebar luas Menu Rahmah di seluruh Malaysia, hingga ramai peniaga yang tidak terlibat dalam inisiatif ini pun turut mencipta sendiri ‘Menu Rahmah’ mereka. Sesiapa yang tak tahu lagi, Menu Rahmah ialah satu hidangan seimbang yang mengandungi karbohidrat, protein dan fiber, tetapi harga murah.
Ia merupakan satu usaha oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Akan tetapi, timbulnya satu persoalan, boleh ke konsep ini diaplikasikan pada perkara lain, seperti…sukan?
Setelah membuat kajian tempatan dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), kami rasa ini antara sukan yang boleh di’rahmah’:
1. Boling
Sukan yang paling diminati oleh semua orang, walaupun tak pernah menyertai apa-apa pertandingan pun, kita mesti boleh main. Dulu-dulu, boling fenomena juga, selain tengok wayang, ia juga menjadi sukan bagi anak-anak metropolitan.
Buat masa sekarang, harga untuk bermain boling ada yang mahal dan murah. Kalau mahal, ada yang sampai mencecah RM17.00 (hari minggu) dan RM32.00 (hujung minggu) (set-set harga anak kayangan), manakala paling murah, RM6.50 (hari minggu) dan RM8.00 (hujung minggu).
Sebenarnya, kita boleh me’rahmah’kan sukan ini, kerana dulu kami pernah bermain boling dengan harga RM5.00 (tapi yang ni 6 tahun lepas la). Eh tapi… kita boleh usahakan dengan meletakkan harga RM5.00 sahaja. Mungkin ada hari istimewa ‘Rahmah’ untuknya, dan pastikan peralatannya berkualiti seperti bola boling.
2. Badminton
Antara sukan yang mendapat sambutan hangat oleh orang Malaysia. Setiap kali pertandingan atau perlawanan, seperti Piala Thomas dan Piala Uber, mesti kita antara kaum akan menontonnya bersama-sama.
Di Malaysia pun, bisnes gelanggang badminton ni dah macam ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, seluruh negara kita ada. Akan tetapi boleh ke ia di’rahmah’?
Sekarang kadar harga untuk bermain di gelanggang badminton dalam RM10 hingga RM15 macam itu (paling murah kami jumpa). Agak sukar sebenarnya untuk me’rahmah’kan sukan ini.
Namun, Majlis Sukan Negara boleh usahakan satu perkara untuk mereka yang mungkin tiada duit untuk bersukan. Contohnya, membina gelanggang badminton dengan harga sebanyak RM5 sahaja, ataupun percuma (tapi kena pastikan ada orang yang memantau keadaan gelanggang tersebut).
3. ‘Workout’ di gim
Ye, kami tahu, ada antara awak semua yang memang kaki gim. Maksudnya, awak ada mendaftar keahlian atau membership di mana-mana gim yang disukai. Ia adalah salah satu perkara positif yang perlu dicontohi.
Akan tetapi, ada juga kalangan kita yang tidak mampu untuk melanggan keahlian di gim kerana masalah kewangan, ataupun duit gaji banyak habis untuk komitmen sahaja. Tidak hairanlah mengapa rakyat kita mengalami obesiti. Eh bukanlah itu sebabnya semata-mata, sebab boleh je keluar bersukan secara percuma, seperti berjogging.
Mungkin, kita boleh ‘rahmah’kan harga gim ini, supaya golongan rakyat marhaen atau B40 boleh pergi ke gim. Hmmm… boleh ke?
Sebenarnya, tak ‘rahmah’ pun, ada sahaja gim yang menawarkan harga kemasukan dalam lingkungan RM5 hingga RM7 (kiranya murah la juga).
Apa lagi awak semua rasa sukan yang boleh di’rahmah’? Setakat ini, sukan-sukan di atas ini sahaja yang boleh kami rasa ia relevan, kalau Majlis Sukan Negara mahu melancarkan program ‘Sukan Rahmah’.
- 21Share sekarang!
- Email0
- Facebook21
- Share