Dari Empayar Uthmaniyyah ke Turkiye – Garis masa ringkas Turki

Minggu lepas, PM Anwar Ibrahim membuat lawatan ke Turkiye untuk memberi sokongan moral kepada negara tersebut yang dilanda gempa bumi besar baru-baru ini.

Hubungan Malaysia dan Turkiye (dulunya dikenali sebagai Turki) dah lama terjalin sejak zaman Empayar Uthmaniyyah lagi. Lawatan terakhir Presiden Erdogan ke Malaysia adalah pada tahun 2018 sewaktu pentadbiran Dr Mahathir.

Dalam artikel ini, kita akan mengimbas sejarah ringkas negara sekutu ini daripada segi pemerintahan, pergolakan politik serta hala tuju mereka. Bermula dengan…

Empayar Uthmaniyyah: Tamadun paling berpengaruh abad ke-16

Gambara Empayar Uthmaniyyah. Imej daripada Blogspot.

Empayar Uthmaniyyah merupakan salah satu empayar terbesar serta paling lama bertahan dalam sejarah dunia.

Ditubuhkan oleh Osman Ghazi pada tahun 1923, empayar ini meluaskan kuasanya ke sekitar Eropah dan Timur Tengah, termasuklah penaklukan kota Constantinople pada tahun 1453.

Ketika zaman kemuncaknya, Empayar Uthmaniyyah telah banyak menyumbang kepada sains dan teknologi. Antara tokoh dan ilmuwan terkenal yang terlahir daripada tamadun itu termasuklah:

  • Ibnu Sina: Juga dikenali sebagi Bapa Perubatan Moden Awal, di mana hasil tulisannya menjadi rujukan di universiti-universiti perubatan
  • Taqi al-Din: Banyak menyumbang kepada bidang astronomi termasuklah mencipta sextant, alat untuk mengukur jarak antara bintang.
  • Ibn Khaldun: Ahli falsafah Muslim paling berpengaruh pada Zaman Pertengahan

Pengaruh empayar ini berterusan sepanjang enam abad. Sepanjang abad ke-17 dan 18, ia melalui pelbagai perang, pemberontakan dan pergolakan politik.

Apabila Perang Dunia Pertama berakhir, Perjanjian Sevres pada tahun 1920 antara Pihak Berikat (Itali, Britain dan Perancis) dan Empayar Uthmaniyyah telah menandakan tamatnya kuasa empayar tersebut.

Namun, Perjanjian Sevres dibantah keras oleh pemimpin nationalis Turki kerana ia dikatakan menghukum rakyat Turki, bukannya pemerintah yang bertanggungjawab ke atas perang tersebut. Pemimpin ini dikenali dengan nama…

Kamal Atatürk: Era Turki moden dan sekular

Kamal Ataturk sewaktu Perang Gallipoli. Gambar daripada Aqil Ghani.

Setelah Empayar Uthmaniyyah dipecahkan, Kemal Ataturk adalah antara figura utama yang memperjuangkan kemerdekaan Turki sebagai sebuah negara bebas.

Mustafa Kemal Ataturk bermula sebagai seorang pegawai tentera di bawah Empayar Uthmaniyyah. Sewaktu Perang Dunia Pertama, dia merupakan komander dalam pertempuran berdarah di Gallipoli. Setelah Turki merdeka, dia menjadi Presiden Republik Turki yang pertama sehinggalah kematiannya pada tahun 1938.

Kemal Ataturk paling dikenali olah masyarakat Islam sedunia kerana gerakannya menjadikan Turki negara sekular. Di bawah pentadbiran Kemal Ataturk, undang-undang agama dihapuskan dan diganti dengan sistem perundangan sekular dari Barat. Tudung diharamkan, poligami dimansuhkan, dan wanita diberi hak untuk mengundi.

Kemal Ataturk juga membubarkan sistem khalifah, yang secara tidak langsung memberi kesan kepada seluruh dunia Islam kerana tiada khalifah baru yang dilantik selepas itu.

Daripada segi pembangunan, perubahan yang dibawa oleh Ataturk adalah sangat drastik dan efektif. Antara negara-negara serpihan Empayar Uthmaniyyah, Turki mendapat kemerdekaan paling awal serta mempunyai ekonomi dan populasi yang terbesar.

Sehingga kini, ideologi Kemalism masih mempunyai pengaruh di kalangan ahli-ahli politik dan rakyat Turki. Pada masa yang sama, gerakan sekular ini juga mula membuatkan penduduk Turki yang rata-rata bergama Islam rasa terasing, termasuklah pemimpin besar Turki yang seterusnya…

Erdogan: Kembalinya Turki kepada gerakan Islam

Erdogan memantau kesan gempa bumi. Gambar daripada NYTimes.

Setelah kematian Ataturk, Turki mengalami pelbagai pergolakan politik termasuklah siri rampasan kuasa bertentera sepanjang tahun 1960-1997. Dalam tempoh itu juga, Turki ditadbir oleh pelbagai kerajaan gabungan kerana tiada satu parti yang mendapat sokongan majoriti, sehinggalah Erdogan muncul.

Recep Tayyip Erdogan mula berkhidmat sebagai Datuk Bandar Istanbul pada tahun 1994. Dia digelar “Mayor Islamis Pertama” kerana polisinya yang cenderung kepada Islam. Erdogan pernah dipenjara kerana membaca puisi yang berunsur Islam dalam sebuah perhimpunan, dan partinya diharamkan.

Setelah bebas, Erdogan menubuhkan parti baru dan menang besar pada pilihanraya tahun 2002. Erdogan menjadi Perdana Menteri sepanjang 2003-2014, dan kemudiannya menggalas jawatan Presiden sehingga kini.

Ekonomi berkembang pesat di bawah pentadbiran Erdogan. Pada masa yang sama, dia juga dikritik kerana memerintah secara kuku besi termasuklah menahan dan memenjara ribuan pegawai kerajaan, ahli tentera, serta wartawan, terutamanya selepas cubaan kudeta pada tahun 2016.

Di peringkat antarabangsa, Erdogan memainkan peranan yang rumit di mana dia masih perlu tampak sekular untuk mendapat sokongan negara barat terutamanya Kesatuan Eropah. Namun tidak dinafikan bahawa Erdogan adalah antara pemimpin negara majoriti Islam paling berpengaruh pada zaman ini.

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.