- 1.1KShare sekarang!
- Email53
- Facebook1.1K
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)
Bila sebut PAS, ramai antara kita yang akan fikir pasal Hudud atau pun RUU 355. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) biasanya juga akan dikaitkan dengan Islam atau Muslim, jadi memang akan terkejut kalau ada calon bukan Islam yang bertanding dalam keadaan sekarang ni bawah tiket PAS.
Dan paling tergempar sekali bila ada berita seorang lelaki bangsa Cina yang muda, Dato Jonathan Lim yang muncul untuk bertanding bawah PAS di Kinrara!
Tapi sebenarnya, calon bukan Islam bawah PAS bukanlah baru. Sebab pada tahun 2008, ada seorang wanita India, Kumutha Rahman bertanding bawah PAS di Ulu Tiram, Johor.
Lagi pun, selepas PAS menggubal semula perlembagaannya pada tahun 2010 untuk menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), dah menyebabkan lebih ramai orang bukan Islam menyertainya.
Kembali kepada cerita Dato Jonathan, pada mulanya kita akan sangka yang dia ni memang calon PAS.
Benda pertama yang dia cakap bila kawan kami CILISOS interviu dia…
” Saya bukanlah calon PAS” – kata Dato Jonathan kepada CILISOS
Sekejap, apa maksud dia sebenarnya?
CILISOS sudah berhubung dengan Dato Jonathan untuk tanya pasal benda ni. Tapi, sebelum kita masuk lagi ke penerangan yang lebih dalam, mari kita jawab soalan yang lebih besar; siapa dia ni sebenarnya, siap ada Dato lagi?
Kalau korang scroll Facebook page dia, korang akan tengok Dato Jonathan macam seorang yang power jugak. Dia dilihat bersama dengan kereta mewah (walaupun lebih adil lagi, nampak macam dalam majlis Ferrari Gala Dinner, sama ada dia memiliki Ferarri tu masih tak jelas lagi), pakaian mewah, wanita glamour, dan banyak trofi.
Dato Jonathan ini sebenarnya seorang ahli perniagaan dan pengasas Syarikat MMG Group, sebuah syarikat pemaju aplikasi iOS yang membekalkan “penyelesaian aplikasi terbaik kepada pelanggannya“.
“Saya memulakan syarikat pertama (MMG) ketika berumur 26 dan berjaya menjana duit dan kejayaan. Kemudian, saya menyambung perjalanan saya untuk membentuk lebih lagi syarikat-syarikat MMG dibawah pelaburan hartanah, e-commerce dan perkhidmatan satu panggilan kecemasan.”- Dato Jonathan memberitahu CILISOS.
Disamping meniaga, dia juga aktif dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan kerja amal. Dia juga mengasaskan Hot Assist, satu aplikasi yang membantu panggilan kecemasan dan hotline untuk membantu orang awam ketika berada dalam keadaan cemas macam rumah/kereta kena pecah atau hilang anak kecil. Ia merupakan usaha sama dengan Community Policing Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tapi. mesti tertanya-tanya…macam mana dia boleh dapat gelaran Dato’ ni? Dia baru sahaja berumur 35 tahun waktu ni! CILISOS pun tanyalah dia.
“Saya dicalonkan untuk penganugerahan oleh seorang kawan rapat yang juga rapat dengan keluarga diraja.”- Dato Jonathan berkongsi kepada CILISOS.
Itulah cara dia dapatkan Dato’. Kembali kepada ceritanya bagaimana dia berkongsi kepada kami kenapa dia menyertai politik.
“Saya sangat komited untuk menjadi pemberi dan berbuat sesuatu untuk negara saya, saya percaya orang muda boleh melakukan perubahan untuk negara dengan membawa mentaliti baru, fokus kepada integriti, kepercayaan dan bebas dari rasuah.”- Dato’ Jonathan Lim to CILISOS on why he joined Parti Ikatan Bangsa Malaysia
Sekarang, ini adalah bahagian yang paling penting. Tahun lepas, apabila Ikatan menyertai PAS, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), parti-parti ini membentuk satu gabungan yang digelar Gagasan Sejahtera. Sebab itulah di awal tadi, dia cakap yang dia bukan sebenarnya calon PAS, tapi calon Ikatan akan bertanding bawah tiket PAS.
Secara asasnya, semua parti dalam gabungan ini akan bertanding bawah tiket PAS dan menggunakan lambang itu kerena diketuai PAS. PAS mengumumkan calon bukan Islam mereka bawah gabungan ini. Secara totalnya ada lima calon bukan Islam bawah gabunga PAS. Calon yang sama statusnya macam Dato Jonathan adalah Dato’ Seri David Sew (Bukit Gasing).
Ini menjadikan kedua-duanya Dato Jonathan dan Dato Seri David (bendahari parti Ikatan) adalah calon Ikatan yang akan bertanding bawah tiket PAS.
Dan disebabkan bila sebut PAS, semestinya kita akan terfikir mengenai hudud. Jadi oleh kerana dia seorang bukan Islam dan bangsa cina, orang akan tertanya-tanya apa pendiriannya mengenai perlaksanaan hudud. Dia menerangkan bagaimana undang-undang itu hanya akan dikenakan kepada orang Islam dan oleh kerana Malaysia ini pelbagai bangsa, kita takkan jadi macam hudud di Brunei…
Jadi, kenapa PAS mahu ada calon seperti dia?
Parti-parti besar memang tengah cuba dapatkan sokongan anak muda PRU kali ni
“Kami bukanlah parti untuk pilihan raya yang seterusnya, kami adalah parti untuk generasi mendatang.”- Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, diambil dari artikel Cilisos mengenai IKATAN.
Apabila ditanya mengenai pendiriannya mengenai pilihan raya yang tak lama lagi ini, Dato Jonathan mengatakan;
“Saya nampak ianya sebagai satu peluang untuk calon muda menarik perhatian pengundi-pengundi muda.“
Sebagaimana dia menegaskan pendiriannya untuk sebuah negara yang bersih, dipercayai dan punyai integriti dan adil tanpa rasuah, dia juga percaya bahawa orang muda adalah satu-satunya yang boleh bawa perubahan.
Dia juga menambah dengan bertanding di Kinrara, dia boleh mewakili orang Cina di kawasan tersebut dengan menjadi suara mereka. Dia juga menerangkan dengan menyertai Ikatan menjadikan dia percaya yang Malaysia mesti didahulukan berbanding bangsa kerana Ikatan percaya untuk menjadi parti pelbagai bangsa yang melihat semua bangsa sebagai satu Malaysia.
Dan ianya masuk akal apabila dia menyatakan sedemikian sebab pengundi Kinrara terdiri dari 55% orang Cina, 25% orang Melayu, 18% orang India dan 1% lain-lain. Oleh kerana majoritinya adala hpengundi Cina, calon-calon yang bertanding mestilahCina. Dia akan berlawan dengan bekas ADUN, Ng Sze Han (sebelum ini DAP yang akan bertanding bawah tiket PKR) dan Chiew Kai Heng (BN).
Dato’ Seri David, sebaliknya, akan bertanding dengan bekas ADUN Rajiv Riyashkaran (DAP) dan Chai Ko Thing (Gerakan/BN). Kawasan Bukit Gasing juga terdiri daripada majoritinya pengundi Cina (67% daripadanya).
Bercakap mengenai pemuda, dia mendapat sokongan yang diperlukan dari Pemuda PAS! Kalau korang tengok kedua-dua Dato’ punya akaun Facebook, korang akan jumpa komen macam ni:
Bekas Setiausaha MIC juga bertanding bawah tiket PAS
(Subtopik ini telah ditambah oleh kami di SOSCILI)
Disebabkan artikel fokus satu je calon bukan Islam bawah tiket PAS. Sebenarnya, banyak je lagi calon bukan Islam lain yang ada. Ada beberapa kami jumpa. Kalau di Perak, ada tiga calon bukan Islam bawah PAS iaitu S. Kumaresan merangkap Timbalan Pengerusi DHPP Perak di DUN Pasir Berdamar, J. Applasamy pula di DUN Sungkai dan M. Yougan di Parlimen Kampar.
Di Pulau Pinang, PAS meletakkan Jay Kumar Balakrishnan di kerusi parlimen Batu Kawan, Datuk Dr. M. Vikneswaran di DUN Batu Uban dan A. Kumaravelu di Bukit Tambun. Di Pahang, calon Parti Generasi Baru yang merupakan bekas Setiausaha MIC, Datuk Kumar Silambaran bertanding di DUN Tanah Rata. Manakala Ketua DHPP iaitu M. Balasubramaniam akan bertanding di Parlimen Bentong.
Di Selangor, selain Dato Jonathan, ada wakil bukan Islam di DUN Rawang iaitu Kong Ruck Wah. Pengarah Pilihan Raya Selangor, M. Rajan akan bertanding di DUN Sentosa dengan moto ‘Sentosa Sejahtera’. Pada PRU kali ni juga, ada wakil bukan Islam pertama PAS di Sabah, iaitu seorang petani, Satail Mojungkat akan bertanding di kerusi DUN Kadamaian.
Namun begitu masih ada lagi pengkaji yang skeptikal dengan pendekatan PAS membawa calon bukan Islam dengan mengatakan,
“Bagi saya bila PAS ini nak memberi ruang kepada calon bukan Islam, ia lebih untuk mempopularitikan Pas, dan menunjukkan seolah-olah ia bukan menolak bukan Islam,”- Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, petikan dari TV14.
Hubungan parti-parti politik yang kita nampak pelik ini ada tujuannya
Perikatan yang nampak pelik antara parti macam yang berlaku antara PAS dan Ikatan bukanlah sesuatu yang baru.
“Ini pernah berlaku sebelum ini di dalam pilihan raya lepas. Contohnya, apabila PAS membentuk perikatan dengan DAP.”- Dato Jonathan memberitahu CILISOS.
Dia tak salah dalam bab ini. Pada tahun 1999, PAS, DAP dan Parti Keadilan sudah membentuk gabungan pilihan raya and membawa manifesto bersama bawah Reformasi. Tapi oleh kerana keputusan yang mengecewakan pada PRU tahun 1999, DAP mengkaji semula hubungannya dengan PAS dan selepas insiden 9/11 melibatkan kumpulan Islamis, DAP ambil keputusan tinggalkan gabungan itu.
Walau apa pun, Malaysia bukanlah baru dalam hubungan politik yang pelik ini. Kita dah saksikan parti-parti politik dan ikon politik bergabung. PAS dan UMNO adalah salah satu contoh bagaimana hubungan bencinta mereka terjadi sebelum Malaysia merdeka apabila PAS tidak bersetuju UMNO ketika kemerdekaan Malaysia. Hubungan pelik yang terjadi terbaru adalah episod bagaimana pemimpin UMNO menunjukkan sokongan terhadap PAS dalam RUU 355.
Kita juga lihat macam musuh pada masa dulu menjadi teman rapat hari ini macam Tun Mahathir dan Lim Kit Siang yang mana Tun M menghumban Lim Kit Siang ke dalam ISA kerana anti-Melayu dan anti-Muslim dan Lim Kit Siang mendakwan Tun M akan mendakwa sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengannya. Tapi, lihat mereka sekarang?!
Kami sebenarnya dah banyak tulis kisah hubungan politik ni kat sini. Ada jugalah kebaikan hubungan dan gabungan macam ini sebab bagai peluang dekat calon macam Dato Jonathan bertanding bawah tiket PAS. Walaupun ianya nampak seperti mengelirukan untuk sesetengah orang, gabungan ini sebenarnya nak bantu parti untuk memaksimakan sokongan dan keputusan pilihanraya.
- 1.1KShare sekarang!
- Email53
- Facebook1.1K
- Share