- 1.3KShare sekarang!
- Email68
- Facebook1.3K
- Share
(This article has been translated from our sister’s website, Cilisos)
Pada 25 April setiap tahun, sebuah Hari Peringatan akan diadakan di Sandakan, Sabah. Seawal jam 4 pagi, orang yang datang untuk berkabung akan berkumpul di Sandakan Memorial Park, di mana terdapat sebuah tugu batu hitam yang besar terletak di tengah-tengah bulatan seluas sepuluh meter.
Menjelang pukul 5.30 pagi, Dawn Service dirasmikan, dengan pegawai Australia dan Malaysia bersama dengan keluarga dan sahabat handai membawa kalungan bunga bagi memperingati sebanyak 1,900 Tawanan Perang Bersekutu yang tewas dalam ‘kawad maut’ pada tahun 1945.
Tarikh tersebut merupakan hari rasmi dan merupakan cuti umum di Australia dan New Zealand, dan dikenali sebagai Hari ANZAC. ANZAC merupakan akronim bagi Australian and New Zealand Army Corps. 25 April dijadikan tarikh rasmi setiap tahun sejak 1916 lagi. Hari tersebut diraikan untuk askar bagi kedua-dua buah negara ini yang dah berkhidmat dan meninggal dunia dalam peperangan, konflik dan operasi pengaman, serta penderitaan dan sumbangan mereka.
Memorial yang juga diadakan di Sandakan ini adalah disebabkan ‘Kawad Maut’ yang berlaku masa pendudukan Jepun, sekitar tahun 1940-an. Majlis peringatan itu diadakan untuk memperingati kekejaman yang dialami kira-kira 1900 Tahanan Perang Australia dan Inggeris di tangan tentera Jepun.
Kisah lapangan terbang yang dimusnahkan dan orang-orang yang membinanya
Bermula pada Perang Dunia Kedua, Jepun kekurangan bekalan untuk berperang dengan musuh, terutamanya minyak untuk kapal terbang perang. Kemudiannya, mereka nampak Borneo (sekarang Sabah) sebagai tempat yang strategik untuk mendapatkan minyak, jadi mereka pun menyerang Tanah Melayu melalui Siam.
Disebabkan kekuatan tentera British pada masa tu tertumpu di tempat lain, dalam masa yang singkat, Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu dan Borneo. Tentera British dan Australia yang tak sempat melarikan diri dijadikan tahanan perang oleh tentera Jepun dan dibawa ke Sandakan untuk membina lapangan terbang kat sana.
Pada mulanya keadaan tahanan perang takdelah teruk sangat, tapi lepas dua tiga bulan, Kempeitai (polis rahsia Jepun) dapat tahu yang sesetengah tahanan perang menggunakan mesej radio untuk berhubung dengan pihak mereka (tentera British) secara senyap-senyap. Setelah kantoi, layanan tentera Jepun kat tahanan perang jadi semakin teruk. Catuan makanan pula semakin ketat, sampaikan ramai yang membina lapangan terbang tu mati akibat dari kelaparan.
Kemudian, tentera Bersekutu berjaya meletupkan landasan kapal terbang yang tahanan perang ni bina, menyebabkan Jepun rasa takde point untuk bina kalau kena serang je. Jadi pada akhir Januari 1945, pihak Jepun bercadang untuk memindahkan 455 tahanan yang masih kuat ke Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) untuk menjadi buruh. Batch pertama ni bakal menjalani apa yang kita kenal sekarang sebagai Kawad Maut Pertama.
Kawad Maut Pertama
Untuk Kawad Maut Pertama, tentera Jepun mengarahkan seorang ketua kampung untuk menyediakan laluan atau trek daripada Sandakan ke Kota Kinabalu. Ketua kampung pulak sengaja buat jalan yang jauh dan menyusahkan sebab bencikan tentera Jepun. Padahal, dia tak tahu trek tu bakal dilalui tahanan perang yang lemah dan berpenyakit. Trek yang disediakan tu adalah sejauh 192 kilometer (lebih kurang dari KL ke Ipoh) dengan melalui rintangan meredah sungai, melalui hutan tebal, curam yang berlumpur dan gaung yang dalam.
Sepanjang perjalanan tu, mana-mana tahanan yang terlalu lemah untuk berjalan atau cuba untuk melarikan diri,akan dibunuh oleh tentera Jepun dan mayatnya dibuang begitu sahaja di dalam hutan. Tapi kebanyakan tahanan mati sebab kepenatan. Bukan saja perjalanan yang mencabar, tapi mereka juga dipaksa bawak bebanan yang berat.
Oleh kerana tentera Jepun sendiri pun tak larat nak berjalan sampai ke Kota Kinabalu, akhirnya mereka semua berhenti kat Ranau je dan menubuhkan terus kem kat situ.
Akhirnya yang berjaya melepasi trek kawad maut pertama ni hanya seramai 190 orang je daripada 455 orang.
Kawad Maut Kedua
Beberapa bulan lepas tu, tentera Jepun bercadang untuk memindahkan saki-baki tahanan (seramai 536 orang) yang ada kat Sandakan ke Ranau. Masa ni lah Kawad Maut kedua berlaku dan ianya lebih teruk berbanding yang pertama kerana tentera Jepun sengaja menyekat semua makanan dan ubat-ubatan hanya untuk melemahkan mereka.
Disebabkan ramai yang cuba melarikan diri masa Kawad Maut pertama tu, pada Kawad Maut kedua ni tahanan perang diarahkan untuk berjalan dalam satu kumpulan yang ada 50 orang. Setiap kumpulan tu pulak, ada tentera jepun yang jadi pengawal di depan, kiri, kanan dan belakang kumpulan tersebut. Sesiapa yang jatuh, terlalu lemah atau cuba untuk larikan diri akan ditembak atau dipukul sampai mati dengan hulu senapang.
Dalam 536 tahanan Kawad Maut Kedua, cuma 183 orang je yang sampai ke Ranau.
Macam mana pulak dengan 250 orang tahanan lain di Sandakan? Pada mulanya tentera Jepun nak lepaskan saja atau biarkan mereka mati kelaparan. Bagaimanapun, peperangan akan tamat tak lama lagi dan pihak Jepun tahu kalau sesiapa yang masih hidup ceritakan pasal penyeksaan yang berlaku, nanti mesti ada masalah lain.
Kawad Maut Ketiga
Akhirnya, tentera Jepun pilih 75 orang yang masih bertenaga untuk berjalan ke Kawad Maut terakhir. Manakala yang lain pula dibunuh. Tapi tahanan perang yang terakhir ni terlampau lemah dan mereka boleh berjalan sampai 30 kilometer je. Akhirnya mereka semua pun dibunuh dan ditinggalkan dalam hutan.
Daripada 1,900 tahanan perang di Sandakan, cuma 6 orang yang terselamat
Jepun kemudiannya menyerah diri pada 15 Ogos 1945. Daripada 1,900 tahanan perang, cuma 6 orang je tentera Australia yang terselamat dengan melarikan diri.
- Gunner Owen Campbell
Kumpulan pertama yang melarikan diri adalah kumpulan Gunner Owen Campbell, pada 7 Jun. Mereka berjalan melintasi hutan dan ketika itu berlaku serangan udara terhadap tentera Jepun. Masa huru-hara tu, Campbell dan beberapa tahanan lain berjaya mencuri beberapa bekalan dan lari ke dalam hutan.
Mereka kemudiannya berpecah kepada dua kumpulan: Campbell melarikan diri dengan Private Skinner, manakala Koperal Emmet lari dengan Signalman Webber dan Private Austin.
Setelah beberapa hari menjadi pelarian, Skinner menjadi semakin lemah disebabkan jangkitan kuman (dyssentery) dan perlu berehat. Skinner kemudiannya merayu pada Campbell supaya tinggalkan dia sebab tak nak jadi beban, tapi Campbell nak terus menjaganya.
Satu hari, masa Campbell baru balik daripada cari makanan, dia terkejut yang Skinner mengelar lehernya sendiri dengan penutup tin daripada makanan tin yang mereka curi. Lalu Campbell pun teruskan mengembara ke sungai dan terjumpa Koperal Emmet dan Private Austin. Tapi waktu tu Austin dah dijangkiti Malaria, dyssentery dan tak boleh bergerak.
Semasa dalam perjalanan, mereka ternampak sebuah bot yang mereka sangkakan tu bot nelayan tempatan. Lalu Emmet dan Webber pun melambai kat bot tersebut tapi rupa-rupanya, tu bot peronda Jepun dan akhirnya mereka (Emmett dan Webber) mati ditembak meninggalkan Campbell dengan Austin. Lepas beberapa hari kemudian, Austin pula meninggal dunia.
Campbell kemudiannya berjalan ke hutan seorang diri dan hidup dengan menangkap ikan, ketam dan kulat yang dia jumpa. Dia dijangkiti malaria dan berhalusinasi, sampailah ada beberapa orang penduduk tempatan yang jumpa dia. Campbell dirawat sementara, sebelum dibawa ke kem tentera Australia. Dia diselamatkan dan dibawa naik ke atas kapal USS Pocomake.
- Bombardier Braithwaite
Seorang lagi yang terselamat ialah Bombardier Braithwaite. Walaupun dia terselamat dari insiden yang sama macam Campbell, tapi dia ambik jalan lain dan berseorangan. Dia selepas itu dijumpai penduduk tempatan dan diselamatkan.
“Saya cuma meminta makanan daripada mereka dan saya akan meneruskan perjalanan. Tapi mereka kata saya takkan berjaya jadi mereka akan bawa saya dengan menggunakan bot pada waktu malam. Saya tanya mereka, apa yang mereka akan buat kalau jumpa tentera Jepun di sungai, dan mereka jawab mereka akan lawan”- Bombardier Braithwaite, untuk borneopow.info.
- Lance Bombardier Moxham & Private Botterill (Kawad Maut Pertama) dan Private Short dari Kawad Maut Kedua
Selain itu, ada juga mangsa yang terselamat seperti Lance Bombardier Moxham dan Private Botterill daripada Kawad Maut Pertama. Mereka dapat melepaskan diri dari Ranau dengan dua orang yang lain, iaitu Private Short dan Anderson dari Kawad Maut Kedua.
Mereka bernasib baik bila penduduk tempatan menjumpai dan menyorokkan mereka selama 40 hari untuk mengelak daripada ditangkap Jepun. Selepas itu, barulah mereka dihantar ke kem tentera Australia. Tapi, salah seorang daripada mereka iaitu Anderson mati sebelum mereka sempat dihantar ke kem tentera.
“Tiada usaha untuk tanam mereka (tahanan perang). Tentera Jepun cuma tarik mereka lima hingga lima belas meter daripada trek kemudian tikam atau tembak, bergantung kepada keadaan mereka. Kalau mereka masih sedar, dan kalau pengawal tu ‘baik’, mereka akan tembak saja tahanan tu. Kami tak mampu buat apa-apa”- Keith Botteril, dalam Laden, Fevered and Starved.
- Warrant Officer Sticpewich
Mangsa terakhir yang terselamat pula berjaya melepaskan diri pada 28 Julai. Warrant Officer Sticpewich diberi tips oleh seorang pengawal Jepun yang memberitahu, kalau mereka tak keluar daripada situ sebelum malam, semuanya akan terbunuh.
Sticpewich kemudiannya menyebarkan berita tersebut kepada tahanan perang yang lain, tapi hanya Private Reither sorang je yang nak melepaskan diri dengannya. Mereka keluar daripada kem dan masuk ke dalam hutan sejauh yang boleh sampailah orang kampung menjumpai dan menjaga mereka. Reither mengalami jangkitan kuman dysentery dan meninggal sehari sebelum pasukan penyelamat sampai.
Mangsa yang tak terselamat mengalami nasib yang buruk
Walaupun kebanyakan mangsa yang melarikan diri dibunuh, ada juga yang kurang bernasib baik. Gunner Albert Neil Cleary adalah salah seorang daripadanya. Dia merupakan antara yang terselamat dalam Kawad Maut pertama. Masa dia cuba melepaskan diri dengan Wally Crease, dia telah ditangkap balik oleh tentera Jepun dan dibawa balik semula ke Ranau di mana dia kemudiannya diseksa teruk.
Dia dipaksa melutut dengan sebatang kayu di belakang lututnya sementara tentera Jepun menumbuk dan memukulnya dengan hulu senapang secara bertubi-tubi. Setiap lebih kurang setengah jam, dia dipaksa untuk berdiri yang menyebabkan kesakitan yang terlampau disebabkan pengaliran darah semula di kakinya. Tentera Jepun menjadikan Cleary sebagai contoh seksaan kepada tahanan yang lain. Kalau mereka cuba untuk melarikan diri, mereka akan menerima hukuman yang sama.
Wally Crease ditangkap balik keesokan harinya. Dia menerima nasib yang sama macam Cleary, dan dipukul sampai lewat malam. Crease berjaya melarikan diri lagi keesokan harinya, tapi ditangkap semula dan ditembak. Cleary terus diseksa dan lehernya diikat pada pokok. Dia mengalami kecederaan teruk menyebabkan dia berbaring di atas najisnya sendiri.
Seksaan yang dialami Cleary berlanjutan sampai dua minggu. Cleary akhirnya meninggal dalam sebuah pondok dalam kem tersebut selepas dibersihkan kawan-kawannya. Di Ranau sekarang, ada tugu peringatan untuknya, dipanggil Cleary Memorial bagi mengingati kematiannya yang mengerikan.
Kisah Cleary disaksikan sendiri oleh Private Botterill, antara salah seorang yang terselamat. Kawad Maut tu sendiri pun merupakan penderaan buat mereka semua di mana mereka cuma memakai sehelai kain, membawa bebanan yang berat tanpa kasut di kawasan berbatu yang kasar dan juga dibiarkan kelaparan.
Kempeitai dan Bashers sangat ditakuti oleh tahanan perang. Kempeitai merupakan polis rahsia untuk Jepun, dan mereka memang popular dengan cara seksaan yang teruk. Malah antara kesalahan yang mengundang seksaan adalah mangambil makanan lebih daripada bahagian sepatutnya, menyeludup ubat-ubatan, membuat senjata atau radio sementara, juga mengesat peluh lepas keluar daripada sangkar, dan macam-macam lagi.
Contohnya, tahanan akan diletakkan dalam sangkar seksaan yang kecil, dan sempit, kemudiannya ditinggalkan di bawah terik matahari selama berhari-hari tanpa makanan. Mereka cuma akan dikeluarkan untuk aktiviti harian, iaitu dipukul. Cara seksaan lain termasuklah meletakkan pin besi di bawah kuku tahanan, memaksa tahanan minum air sampai kembung perut dan lepas tu dipijak, dan membakar kulit tahanan dengan rokok dan api.
Basher pula merupakan tentera Jepun yang lebih tua, ditugaskan untuk meningkatkan lagi produktiviti pekerja yang juga merupakan tahanan mereka. Mereka akan berjalan dan membawa kayu atau buluh, memukul sesiapa saja yang bekerja dengan perlahan, yang nampak kepenatan, atau apa saja kesalahan kecil. Pukulan diorang pulak bukan gitu-gitu je, tapi sampaikan patah lengan atau kaki tahanan dan diorang cuma akan berhenti sebelum tahanan pengsan.
Jadi sekarang korang tahu tentang kisah disebalik Hari Peringatan di Sandakan
Berdasarkan pendapat beberapa laman web yang menceritakan hal ni, Kawad Maut Sandakan adalah kekejaman terbesar yang pernah berlaku kepada tentera Australia. Penderitaan mereka tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Walaupun Jepun dah menandatangani Konvensyen Geneva 1929 yang mencadangkan adanya perikemanusiaan untuk tahanan perang, tapi mereka tak sahkan perkara tu.
Jenayah perang yang dilakukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua bukan saja kepada tentera Australia, malah kepada penduduk Sabah juga. Dianggarkan seramai 16% populasi di Sabah dibunuh semasa pendudukan Jepun, tak termasuk negeri-negeri lain. Jadi, kita boleh mengingati ngerinya perang supaya kita tak mengulangi kesilapan sama yang dilakukan oleh nenek moyang kita.
- 1.3KShare sekarang!
- Email68
- Facebook1.3K
- Share