Dengan guna 3D printer je, Malaysia dah boleh cipta organ tiruan! Apa lagi kita boleh buat dengan pencetakan 3D?

(This article has been translated from our sister’s site, Cilisos)

Dua tahun lepas, kita pernah viral dengan video adik Ainaa yang memang pandai berceloteh. Apa yang buat kami sebak adalah bila dia cerita macam mana kawan-kawan dia kata dia “takde tangan”.

https://www.youtube.com/watch?v=I29jb_rcTRM

Menurut The Rakyat Post, Ainaa Amanda Shahzali lahir tanpa tangan kanan dan baru berumur 7 tahun pada masa tu. Dia kemudiannya dihadiahkan tangan 3D oleh seorang bekas cikgu Bahasa Inggeris, Sujana Mohd Rejab. Sujana merupakan pengasas dan CEO syarikatnya yang dinamakan 3D Printer c3d.my.

Cerita tak habis kat situ je, tak lama lepas tu sebuah syarikat bernama Pebblereka 3D Print terus hubungi mak dia dan mencadangkan sesuatu yang sangat menarik:

Ketua Pegawai Eksekutif Pebblereka, Ahmad Hilmi Muhammad, menghubungi Ainaa di Facebook. Imej dari The Rakyat Post.

Diorang bagi Ainaa bukan satu, tapi DUA tangan mekanikal yang diperbuat daripada teknologi percetakan 3D. Berdasarkan laporan daripada The Rakyat Post, tangan tu diperbuat daripada plastik, di mana jari-jarinya boleh digerakkan, dan membantu Ainaa untuk pegang pensel dan cawan. Power gila! Sampaikan ada netizen yang prihatin pun komen yang Ainaa ni nampak macam Ironman versi kecik.

Imej dari Facebook Ainaa

Korang juga boleh tengok video:

Kitorang rasa kagum gila dengan apa yang teknologi sekarang ni boleh buat.

“Tak sabar rasanya nak ke sekolah esok, nak tunjuk dekat kawan-kawan dan cikgu. Adik dah dapat tangan baharu,” – kenyataan gembira Ainaa yang dipetik dari Utusan.

Kitorang pun tumpang gembira sebab nanti Ainaa dah boleh berdikari. Nanti takdelah masalah nak lukis garis lurus dengan pembaris, main rekorder, jahit batu seremban, ataupun nak ikat tali kasut.

Ada juga yang berkongsi skema lengan robot Ainaa kat Facebook, tapi tak pasti la tu model yang sama digunakan oleh Pebblereka ataupun tak. Ni lah gambar lukisan tu.

Imej dari Facebook Ainaa

Jadi kes Ainaa ni yang pertama ke kat Malaysia? TAK!

Satu lagi kejayaan percetakan 3D Malaysia dalam bidang perubatan!

Pada bulan Oktober 2014, Profesor Peter Choong, seorang pakar bedah ortopedik KL mengetuai pasukan perubatan di St. Vincent’s Hospital di Melbourne, Australia. Diorang kena pasang replika tumit pertama yang menggunakan pencetak titanium 3D kepada Len Chandler yang berusia 71 tahun. Len mengalami kanser rawan dan terpaksa menggantikan tumit kanannya. Profesor Peter agak ragu-ragu pada mulanya, tapi lepas tu dia kata:

“Kemajuan sains membolehkan kita untuk mempertimbangkan pencetakan tulang secara 3D. Dengan menggunakan komputer, kita boleh tahu secara tepat saiz kakinya dan kita dapat hasilkannya semula menggunakan teknologi 3D yang baru.” -Profesor Peter Choong , Pakar Bedah Ortopedik, The Malay Mail Online

Replika tumit titanium yang dicetak 3D (kanan) dan Len Chandler (kanan). Imej dari ABC News.

Tapi, macam mana benda ni berfungsi?

Cetakan 3D boleh mengubah kehidupan kita macam ni…

Secara ringkas, pencetakan 3D ialah… (tengok je la video ni)

Gilaaalahhhh! Kita dah ada lengan mekanikal, tumit titanium … Apa lagi yang kita boleh cetak lepas ni?

Benda-benda hebat yang kita boleh cetak untuk rakyat Malaysia

1. Jantung yang dicetak secara 3D (untuk penyakit jantung koronari)

Seriuslah boleh cetak jantung ni?

Pembunuh nombor satu kat Malaysia ni ialah penyakit jantung koronari (boleh kata penyakit seluruh dunia juga sebenarnya). Lepas tu penyakit paru-paru di no.8, buah pinggang no.11, kanser hati no.19, dan kanser pankreas no.33. Jadi, bayangkanlah yang ia akan jadi satu kejayaan perubatan untuk atasi pelbagai masalah penyakit orang Malaysia ni.

Para penyelidik juga cuba untuk mencetak fungsi buah pinggang, jantung, hati dan pankreas manusia. Sekarang ni mereka berjaya mencetak tisu, seperti mana firma bioteknologi California Organovo yang telah bersedia untuk menjual tisu hati hasil percetakan 3D pada 2014

Idea asalnya ialah organ buatan mampu berfungsi, malah menghapuskan risiko daripada ‘ditolak’ oleh badan penerima ketika menerima organ dari penderma yang lain, kata Dr. Michael Yost, ketua penyelidik dari South Carolina, Amerika Syarikat. Secara teorinya,

Kalau betul-betul jadi, kita boleh turunkan kadar kematian di Malaysia (5 kematian bagi 1,000 populasi, kalau korang tak tahu) DAN di mana-mana di seluruh dunia!

Macam real gila barangan prostetik ni. Imej dari The Japan Times.

Perkara ni bukan saja boleh menyelamatkan nyawa, tapi dapat meningkatkan kualiti hidup kita juga. Ainaa dah dapat tangan baru dan Len juga dah dapat tumit. Tu tak masuk lagi orang cetak anggota prostetik lain macam telinga dan hidung, malah muka! Perkara ni boleh ubah kehidupan orang yang dilahirkan cacat ataupun yang kehilangan organ dalam kemalangan.

2. Pencetakan 3D untuk model wayar dan juga batuan

Kita juga boleh gunakan pencetakan 3D untuk pengeluaran penyambung, terminal dan pendawaian untuk barangan elektrik yang secara kebetulannya adalah eksport dan import utama Malaysia! Kalau kita dapat majukan teknologi ni, kita boleh hasilkan permintaan yang cukup, malah, siap ada bekalan yang lebih lagi untuk pasaran di peringkat antarabangsa (Brunei, Singapura, China)!

Kita adalah pengeksport Gas Asli kedua terbesar dunia. Dengan adanya teknologi 3D printer ni, kita boleh menjimatkan proses mendapat gas asli. Caranya, ahli Geologi boleh kaji dulu cara satu batuan tu retak dengan buat model batu menggunakan 3D printer. Bila dah dapat study macam mana batu tu retak, analisis tu boleh digunakan pada batuan yang betul, di mana mesti kita pecahkan untuk mendapat gas asli darinya.

Nampak macam gula-gula getah yang dah dikunyah dan diludah keluar, kemudian dipotong menjadi segi empat. Tak, ni sebenarnya model pembentukan batu 3D. Imej dari 3dprint.com

3. Pencetakan 3D dalam bidang seni bina

Korang tahu kan ‘rumah patung’ yang korang selalu tengok kat pameran hartanah? Sekarang ni, kita boleh buat model seni bina dengan teknologi percetakan 3D! Pencetakan tu boleh menjimatkan masa, duit dan boleh tahan lebih lama daripada yang dibuat secara manual/tradisional.

Sebelum ni, diorang kena bina rumah patung tu daripada kadbod, blok kayu, kad manila, dan juga gam. Lepas tu macam kelas seni la, kena gunting lepas tu gam. Rumit betul. Lepas tu pulak kalau salah potong ukuran yang sepatutnya, dah buang masa kat situ. Tapi dengan pencetak 3D ni, model tu boleh dihasilkan dengan ketepatan simulasi komputer!

Imej dari Stratasys.
Tambahan pulak industri pelancaran hartanah vs hartanah terjual ni agak teruk, kita kena la jimat duit kan? Jadi pemaju boleh la beralih ke pencetak 3D.

4. Model bercetak 3D untuk ujian tekanan

Percetakan 3D juga boleh digunakan untuk ujian tekanan sekarang. Penyelidik dari Lawrence Livermore National Laboratory dah menghasilkan satu kaedah yang lebih tepat dan cekap untuk mengesan sisa tekanan untuk bahagian logam. Pada masa ni, ujian hanya dapat mengesan tekanan permukaan.

Penyelidik Lawrence Livermore National Laboratory, Amanda Wu melakukan ujian tekanannya. Imej dari Industri Percetakan 3D.

Kalau kita boleh perbaiki lagi teknologi ni, ia akan jadi canggih dan mengurangkan risiko kerosakan infrastruktur dan kemalangan macam LRT Ampang yang runtuh tu supaya tak berlaku lagi.

5. Mencetak barangan seni antarabangsa sebagai hiasan

Pencetak 3D ni boleh buat macam-macam untuk industri, mesti la untuk rumah korang pun boleh. Disebabkan orang Malaysia ni kreatif. korang juga boleh guna untuk buat balik pelbagai hasil seni untuk menghiasi rumah.

Ada sorang artis kat Amerika ni gunakan beribu-ribu gambar yang diambil dekat muzium-muzium besar di seluruh negara dan menghasilkan salinan seni yang sama tepat, tapi plastik la. Salah satunya adalah patung Greek kuno Venus de Milo. Korang boleh tengok semua ciptaan tu dalam website dia.

Imej dari Cosmo Wenman.

Nak buat berniaga percetakan 3D ni senang je!

Untuk rakyat biasa macam kita, mungkin kita boleh melabur dalam perniagaan yang menguntungkan macam percetakan 3D, kata Pengarah Urusan 3D Printers, Owen Poh.

“Bayangkan anda kini boleh mula bekerja dengan prototaip dan membuat pengubahsuaian tanpa perlu berjumpa dengan pelabur, dengan hanya sebahagian sahaja kos yang biasanya diperlukan. SME kini boleh mengambil risiko dalam membuat rekaan mereka sendiri tanpa bebanan pelaburan yang besar”– Owen Poh, Pengarah Urusan 3D Printers, The Star

Korang juga boleh buka kedai sendiri. Serius tak tipu, sebab harganya murah. Pebblereka 3D Print, syarikat yang bagi tangan mekanikal kat Ainaa ada satu model berharga RM3,900 dan satu lagi yang lebih mahal iaitu RM8,250. Syarikat Owen pula menjual pencetak bermula dari RM4,000 hingga RM6,800. Kalau nak cari harga yang lebih berpatutan, korang try la Google Search.

Pencetak RM8,250 Mankati dari Pebblereka.

Owen kata teknologi ni bukanlah sesuatu yang baru sebenarnya. Syarikat dia dah mengedar dan menjual pencetak dan bahan-bahannya sejak 2 tahun lepas lagi. Tapi, masih ramai lagi yang tak faham konsep ni. Jadi dengan pelancaran syarikatnya, dia berharap yang dia dapat mendidik para pelajar dan ahli perniagaan tentang teknologi.

Disebabkan pasaran ni belum diterokai, korang boleh jadi salah satu daripada orang yang paling awal untuk mula menjual produk ini! Jadi, baik korang mula cepat sebab teknologi ni cepat je berkembang sebab syarikat percetakan 3D Stratasys dah mensasarkan Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain, termasuk Singapura

Korang boleh cetak watak Transformer TARDIS juga, tau! Imej dari Pencetak 3D.

Potensi teknologi 3D ni memang nampak tak terbatas untuk memperbaiki hidup rakyat Malaysia

Selain daripada digunakan untuk perniagaan, korang juga boleh gunakan untuk barangan rumah juga. Mana la nak tahu paip kat rumah kena baiki. Tak payah panggil tukang paip, cetak je spanar dan gunakan macam apa yang angkasawan buat kat angkasa!

Tapi walaupun kita boleh gunakannya untuk bermacam perkara, kita sebenarnya tak pasti ke mana arah tuju teknologi ni sebenarnya. Macam mana pulak kalau nanti tiba-tiba pula diharamkan? Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan pernah bagi amaran yang kita kena berhati-hati dengan beberapa produk pencetak 3D yang mampu membahayakan orang ramai, terutama sekali senjata api.

Tak kiralah apa teknologi yang kita ada, kita kenalah sentiasa berlandaskan agama dan moral dalam melaksanakannya. Macam Ainaa tadi, bukan dia sorang je yang dapat hadiah istimewa ni. Kat Penang, Muhammad Muqri Mifzal Rhemi Rizal pun dapat anggota mekanikal daripada lelaki yang murah hati ni. Korang boleh baca kisah selanjutnya kat Malaysia Chronicle.