- 859Share sekarang!
- Email69
- Facebook790
- Share
Bila korang habis makan kat restoran dan panggil anneh kira bil, mesti dia tanya, “Kira sekali ke?” Ye la, takkan nak kira berkali-kali.
Tapi lain pulak ceritanya dengan bil elektrik. Bila tengok jumlah yang buat hati meruntun mesti korang kira berkali-kali dengan penuh sakit hati. Dulu pun pernah viral pasal bil yang melambung sampai lebih RM1000! Ini bil rumah ke bil kedai jual TV?
Jadi, kami dengan member kami kat GE buat sesuatu yang lebih mudah korang nak hadam, dengan membuat survey! Ini butir-butir survey tersebut…
- Jumlah peserta: 7,688
- Berapa lama survey berjalan: 4 Ogos – 5 September 2017
- Lingkungan umur: Dari 17 hingga ke 56 tahun, kebanyakannya berumur 21-25 tahun (22.42%)
- 5 lokasi utama: Selangor, KL, Johor, Penang, Perak. (Tapi peserta dari Perlis dan Labuan adalah kurang daripada 50 orang.)
- Jantina: 66.8% lelaki, 32% perempuan, 1.2% lain-lain
Antara hasil survey tersebut, ini 7 benda yang kami dapati paling menarik, kita mula dengan…
1. 58.9% sengaja tinggalkan lampu terpasang bila takde kat rumah
Kami yakin yang memang dah ramai guna kaedah ni. Bila korang nak balik kampung ke, pergi holiday ke, atau emergency kena pergi masjid bila rumah takde air – mesti rumah akan ditinggalkan kosong. Jadi korang pasang lampu supaya nampak macam ada orang kat rumah. Barulah bakal perompak tak perasan. Malah benda ni dah disarankan oleh Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani sendiri.
Adakah ini dikira sebagai pembaziran elektrik? Mungkin ada yang bersetuju. Tapi bagi rumah yang takde sistem alarm, mungkin sekuriti lebih penting daripada bil elektrik. Sebebnya lagi banyak yang korang rugi kalau rumah kena rompak, terutamanya gelang emas yang korang letak dalam laci almari (letak la kat tempat lain, kat situ dah biasa sangat).
2. 51% tak tau dari mana sumber tenaga kat Malaysia dijana!
Kami bukan bercakap pasal tenaga batin seperti yang digambarkan di atas. Tapi tenaga elektrik yang buatkan lampu menyala dan kipas terpusing walaupun takde orang dalam bilik. Lebih separuh peserta salah jawab soalan ni! Jawapan paling popular adalah hidro iaitu sebanyak 46.11%.
Sebenarnya, sumber tenaga utama kat Malaysia adalah arang dan jugak petroleum. Malah korang tau tak kat Perak, kita ada penjana kuasa ultra super-kritikal yang pertama di Asia Tenggara! Bertempat di Manjung, stesen Manjung 4 milik GE ini bukan je boleh bagi karan kat TNB, tapi berjaya mengurangkan pencemaran udara sehingga 70% berbanding unit-unit Manjung yang lain.
3. 5.4% je yang rasa dorang “penjimat tegar” (contohnya tanggal semua plug)
Dah berapa kali kita diperingatkan bahawa orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan. Daripada survey ni, sebahagian besar iaitu 66.12% daripada peserta kata yang dorang akan cuba untuk tidak membazir. Contohnya dorang akan tutup lampu tandas kalau tak diguna. Harap-harapnya tolong la flush sekali tandas tu lepas dah guna.
Cuma 5.4% je yang boleh mengaku sebagai penjimat elektrik sejati. Mungkin semangat untuk bersikap zuhud ni dah mengalir dalam darah daging dorang. Korang kalau ada kawan serumah jenis ni mungkin untung, mungkin tidak. Untung kalau dorang tolong tutupkan semua plug tapi tak komplen. Tapi yang suka komplen tu…. korang mute je la notification group Whatsapp.
Ada 1.54% yang kata dorang tak kisah langsung kalau jimat ke tak. Hah, sedara siapa tadi?
4. 46% rakyat Malaysia MESTI tidur dengan air-cond tiap malam, tak kisahlah cuaca macam mana
Yang 46% ni dah manja sangat agaknya, tiap-tiap malam pun mesti kena ON air-cond, tak kisahlah hujan ke, ribut ke, hatta kalau ada gempa bumi sekalipun air-cond mesti ON. Berdasarkan artikel kami pasal pengiraan bil elektrik, boleh tengok yang walaupun penggunaan air-cond ni tak lama macam peti sejuk ataupun TV, tapi biasanya dia guna banyak karan. Korang boleh check berapa banyak watt yang dia guna setiap jam, dan buat kiraan sendiri.
Tak pun, gunalah air-cond sekadar nak membantu korang tidur je. Jadi pasang timer tu supaya berhenti selepas 3 jam. Kalau set kepada 1 jam macam sekejap sangat, tak sempat korang nak bukak Facebook, Instagram, dan WeChat sambil golek-golek atas tilam.
5. Lelaki lagi banyak (37.8%) caj telefon waktu tidur berbanding perempuan (29.6%)
Sebenarnya tak kiralah lelaki ke perempuan, kami tertanya-tanya kenapa dorang suka caj telefon waktu tidur. Mungkin dorang anggap telefon sebagai sebahagian daripada diri masing-masing. Jadi waktu dorang rehat, telefon pun kena rehat. Waktu dorang jaga, telefon pun jaga. Waktu dorang melepaskan hajat, telefon pun bawak sekali.
Of course korang pernah dengar yang caj telefon sepanjang malam ni tak elok sebenarnya sebab ia boleh memendekkan jangka hayatnya, melainkan kalau korang memang nak plan tukar telefon setahun sekali. Tetapi ianya tetap membazirkan elektrik, dan sekali lagi kami ingatkan yang orang membazir itu adalah sedara….?
6. Negeri yang dapat bil paling mahal adalah Sabah dan Pahang; paling sikit adalah Putrajaya dan Terengganu
Penemuan ni paling pelik bila kitorang tengok. Peratus setiap negeri yang paling banyak bayar elektrik lebih daripada RM141 adalah 48.78% di Pahang dan 48.68% di Sabah! Dah kenapa? Antara andaian yang kami boleh buat adalah kerana Pahang adalah antara kawasan yang paling kering di Semenanjung, jadi mungkin orang Temerloh suka pasang kipas siling kuat-kuat sambil makan ikan patin masak gulai lemak. Bukankah itu kebahagiaan.
Kat Sabah pulak kami masih lagi mencari data tentang apa yang boleh menyebabkan bil elektrik dorang tinggi, apa yang kami tau puncak Gunung Kinabalu adalah tempat paling sejuk kat Malaysia, jadi korang rajin-rajinlah mendaki tiap-tiap petang untuk rasa air-cond semulajadi.
Berkenaan Terengganu pulak, hanya 25.58% daripada mereka yang bayar bil kurang daripada RM141. Yang ni tak memeranjatkan sangat, sebab daripada survey yang kami buat, orang Terengganu memang berjimat sungguh. Daripada peserta Terengganu yang menjawab setiap soalan, 30.23% tanggal plug kalau tak guna, 31.58% takde air-cond, 70.95% takde water heater! Mungkin apa yang dorang ada adalah kesabaran dalam menghadapi apa juga dugaan.
Kalau korang nak kira bil elektrik korang, boleh semak kat website TNB sendiri. Tarif elektrik ni berbeza-beza mengikut penggunaan, jadi selagi korang tau berapa banyak tenaga (kWh) korang dah habiskan, kalkulator TNB akan buat kiraan.
7. Lagi ramai orang muda suka mandi air panas (61.72%), berbanding warga emas (38.18%)
Ini pun buat kami terkujat. Manja sangat ke orang muda ni sampai nak guna water heater sepanjang hari? Orang tua-tua pulak selamba je mandi air sejuk, mungkin sebab mak-bapak kita dah biasa berendam dalam perigi waktu kecik-kecik dulu, korang apa tau.
Mengikut survey kami, 61.72% daripada peserta berumur kurang 17 tahun pasang water heater tiap kali nak mandi, berbanding hanya 38.18% daripada warga emas yang berumur lebih 56 tahun.
Bila kami merayau-rayau kat Internet, banyak pulak artikel mengenai kebaikan mandi air sejuk. Antaranya adalah ia dapat membantu mencantikkan rambut dan kulit korang, dan juga mengurangkan lemak dalam badan. Dan mungkin, (mungkinlah), bila korang terketar-ketar mandi air sejuk pun dikira sebagai satu senaman kardio.
Sebenarnya, orang Malaysia ni agak peka dalam menggunakan elektrik, tapi…
…segala benda dalam hidup pun kita boleh perbaiki, kan? Daripada survey kami, nampaknya kebanyakan peserta memang peduli dalam nak menguruskan penggunaan tenaga secara berhemah. Mungkinlah ia bukan didorong oleh rasa sayang terhadap alam sekitar (28.9%), tapi sebab nak berjimat (64.4%). Tapi takpelah, asalkan kita berjimat kan.
Jadi, kalau nak dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang lain, korang ni kat mana? Lihat gambarajah kat bawah:
- Bil purata bulanan: Lebih daripada RM141 (42.5%)
- Cara popular untuk tanggalkan plug: Tutup suis, tapi plug masih terlekat kat soket (69.9%)
- Berapa kerap tidur dengan air-cond: Tiap malam (45.8%)
- Cara popular untuk tutup komputer: Shut down habis (69.1%)
- Ada peralatan solat ke tak: Tak, tapi nak cuba (75.3%)
- Berapa kerap guna mesin basuh: Lebih daripada dua minggu sekali (53%)
- Berapa kerap dapat black out kat rumah: Beberapa kali sebulan (44%)
- Berapa banyak air-cond ada kat rumah: Satu bilik ataupun ruang tamu je (20%)
Ini sedikit cara untuk menjimatkan elektrik
Kat sini kami sertakan beberapa tip yang kami jumpa:
- Tekan butang ‘sleep’ kat laptop korang sebenarnya lagi jimat daripada shut down, sebab proses restart tu guna banyak tenaga sebenarnya. (Asalkan korang tak lekat pada plug la.)
- Kenalpasti ‘vampire appliances’ atau dalam bahasa Melayu, perkakasan pontianak. Kenapa? Walaupun benda-benda ni dalam mod standby, selagi ia melekat kat plug, ia masih menggunakan elektrik, sehingga 10% daripada bil korang!
- Modem dan Internet pun yang terpasang sepanjang malam pun menggunakan sangat banyak tenaga sebenarnya. Kalau takde siapa yang guna, takde masalah pun untuk korang tutup.
- Jangan biarkan smartphone korang terlekat kat charger kalau dah penuh. Walaupun ia takdelah membahayakan bateri smartphone tu sangat (alah korang tukar phone 2 tahun sekali pun), ia tetap menggunakan tenaga.
- Banyak artikel yang mengatakan “Dry Mode” pada air-cond anda lebih menjimatkan tenaga.
Kalau korang betul-betul nak kira setiap perkakasan yang korang guna dan kaitannya dengan tarif elektrik, boleh rujuk artikel kami kat sini.
- 859Share sekarang!
- Email69
- Facebook790
- Share