- 236Share sekarang!
- Email3
- Facebook233
- Share
Baru-baru ni, ada cerita pasal satu pementasan berkaitan karya Usman Awang akan diadakan kat KLPAC hujung minggu ni. Tapi ia jadi buah mulut orang ramai sebab poster pementasan tu macam tak kena dengan latar belakang kesusasteraan Usman Awang.
Poster tersebut dibuat dalam Bahasa Inggeris yang kita semua tahu, dia merupakan salah seorang sasterawan yang memperjuangkan Bahasa Melaya kat tanah air kita ni. Jadi ia macam tak hormatlah kat dia sedangkan pementasan tu merupakan pementasan karya dan puisi dia dalam bahasa Melayu.
Sebelum ni pun, kitaorang dah banyak tulis pasal sasterawan dan kesusasteraan ni, korang boleh klik link kat bawah ni:
- Kisah novel Pak Sako yang membingitkan telinga penjajah
- Kerana puisi Usman Awang, Keranda 152 diusung dari DBP ke Parlimen
- Kassim Ahmad – “Tapi pada mula dan akhir, saya mengatakan Tuhanlah guru saya
- “Sewaktu pergerakan ini aku dapat membezakan kepimpinan yang sejati dengan yang palsu”
- Lim Swee Tin: Sasterawan Melayu yang berketurunan Cina
Jadi, memandangkan tahun ni Usman Awang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90. so kitaorang nak ceritalah pasal kehidupan kesusasteraannya.
Bermula dari seorang petani, terus ke karya seni
Bagi peminat karya-karya sastera dan penulisan ni, mesti ramai yang jadikan dia sebagai idola dan karyanya sebagai rujukan dan pencetus idea. Bukan apa, di sebalik susunan bahasa yang dia lontarkan dalam karyanya, ada maksud tersendiri. Selain daripada penggunaan bahasa yang cantik dan kaya dengan nilai estetika yang tinggi.
Usman Awang merupakan anak jati Johor yang dilahirkan kat Kuala Sedili, Kota Tinggi pada 12 Julai 1929. Jadi tahun ni kalau dia masih hidup, umur dia kira-kira macam sebaya Tun M jugaklah, 90 tahun.
Latar belakang kehidupan keluarganya yang kurang berkemampuan dan miskin menghalang dia untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Dia jugak merupakan seorang anak nelayan yang tinggal kat kampung dan sumber pendapatan keluarganya hanyalah bergantung daripada hasil tangkapan ikan tersebut.
Pendidikan dia cuma pendidikan sekolah Melayu, dan sampai lulus darjah enam je. Kalau kita lepas UPSR pun masih pesan kat ayah suruh belikan coklat. Waktu pendudukan Jepun kat Tanah Melayu pada tahun 1942, dia pernah bekerja dengan penjajah Jepun sebagai buruh paksa. Sebelum tu, dia bekerja sebagai petani kat Segamat untuk sara hidup dia dan keluarga yang susah waktu lepas lulus darjah enam dulu.
Lepas tu, dia masih berkhidmat dengan Jepun kat Tanah Melayu dengan menjadi salah seorang anggota polis iaitu Pasukan Polis Jepun (Botai) tapi sekejap je sebelum Jepun menyerah kalah. Tapi sebelum dia jadi polis untuk Jepun tu, dia berjaya bebaskan dirinya dari Jepun dan pulang ke Segamat dan bekerja sebagai office boy kat Pejabat Tali Air Segamat. (Sekarang ni Jabatan Pengairan dan Saliran).
Lepas British ambik alih Tanah Melayu waktu tu, dia masih lagi menjadi anggota polis tapi di bawah kelolaan British. Tapi beberapa tahun lepas tu dia letak jawatan sebagai polis, dan dia dengan Jamil Sulong berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai proofreader, dan menjadi pemberita sebelum dia bergelar pengarang dekat Mingguan Melayu Singapura.
Bila orang dah nampak potensi dia dalam bidang penulisan dan karyawan ni, dia pun dapat tawaran kerja dengan Utusan Melayu sebagai pengarang. Lepas tu bekerja kat Penerbitan Federal dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Akhirnya, dia pun berkawan baik dengan P. Ramlee dan membantunya dalam penghasilan lirik lagu.
Membela nasib rakyat menerusi karya puisi
Namanya mula berkembang dalam dunia kesusasteraan Melayu bila dia banyak menghasilkan karya-karya terutamanya puisi moden. Karya-karya yang dia hasilkan tu bukanlah karya-karya jiwang yang generasi sekarang selalu buat untuk pasangan masing-masing, tetapi karya tersebut sarat dan penuh dengan semangat perjuangan dan perpaduan.
Dengan konsep karyanya yang berunsurkan “Seni Untuk Masyarakat” tu, dia banyak menyuarakan hak-hak dan membela nasib rakyat menerusi penghasilan karya puisinya. Walaupun begitu, dia tak ketepikan bangsa sendiri. Dia banyak amalkan sikap dan nada yang harmoni dalam puisinya. Contohnya macam puisi Anak Tionghua tu. Kat situ, kita boleh gambarkan kesatuan yang ada dalam hidup bermasyarakat.
Banyak karya yang dihasilkannya macam cerpen dan novel berdasarkan latar belakang dan pengalaman kehidupannya. Contohnya macam novel Tulang-tulang Berserakan yang diterbitkan, ia berdasarkan cerita peribadinya waktu dia jadi anggota polis dulu. Tapi, karyanya lebih banyak menjurus kepada puisi dan drama yang dilihat lebih harmoni dan sumber rujukan ramai.
Usman Awang jugak banyak menghasilkan karya kreatif menerusi penerbitan drama radio dan pentas. Dan ada jugak drama yang dia hasilkan diambil daripada idea puisinya sendiri.
Ada di antara drama yang dihasilkannya berjaya jadi persembahan TV, iaitu drama “Muzika Uda dan Dara” seterusnya lagu-lagu yang dimainkan dalam drama tersebut dijadikan rakaman piring hitam oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan pada tahun 1972. (Kitaorang pun tak lahir lagi). Tapi sebelum tu, cerita “Uda dan Dara” ni dijadikan lagu, melodi lagu tersebut dicipta oleh P. Ramlee dan dinyanyikan oleh P. Ramlee sendiri dengan Saloma.
Selain tu, dia melibatkan dirinya dalam gerakan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS50) dan salah seorang daripada pengasasnya yang menyuarakan keadilan rakyat untuk kemerdekaan dan keadilan sosial. Pemikiran yang diterjemahkan menerusi karya puisinya lebih bersifat nasionalis tanpa mengetepikan mana-mana kaum.
Daripada karya “Seni Untuk Masyarakat” tu lah nasib golongan bawahan dan marhean terbela. Sebab Usman Awang suarakan apa yang orang bawahan rasa, sebab dia pun pernah rasa benda yang sama dulu. Dalam puisinya, selalu bernada sinis. Bertujuan untuk buat orang atasan dan ahli-ahli politik sedar yang dari politik ni lah timbulnya pergaduhan dan buatkan masyarakat berpecah belah.
Selain tu, puisinya jugak banyak dan khas untuk rakyat bawahan. Dari puisinyalah dia menyuarakan kritikan dan perjuangan walaupun secara dasarnya dia merupakan orang yang sangat lemah lembut dan memiliki pemikiran terbuka. Dalam puisi “Nasib Buruh”, dia menyuarakan perjuangannya untuk membela nasib buruh. Dengan mengkritik golongan majikan dan kapitalis yang hanya pentingkan keuntungan sendiri tanpa memikirkan nasib orang suruhan diaorang.
Antara aspek yang diperjuangkan menerusi puisi tersebut adalah majikan perlulah memberikan perhatian terhadap kebajikan pekerja dan buruh, soal gaji dan upah serta hak pekerja untuk bersuara. Dan daripada itu, dia dapat menyuarakan keluhan pekerja-pekerja bawahan menerusi mesej yang terselindung di sebalik karyanya walaupun bukan secara terang-terangan.
Dia memegang prinsip “kalau tak berani tak payah jadi penulis” untuk menyuarakan tentang benda yang betul mengenai keadaan semasa. Selain daripada membela nasib golongan bawahan, dia jugak mempertahankan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa komunikasi. Ia merupakan simbol penting dalam mencerminkan identiti negara kita sendiri.
“Saya menentang prejudis terhadap Bahasa Melayu ini. Saya hampa kerana pemimpin negara sendiri yang tidak percaya kepada kemampuan bahasa kebangsaan.” – Usman Awang.
Karyanya menjadi rujukan dan diterjemahkan di seluruh dunia
Disebabkan kemasyhurannya dalam bidang kesusasteraan ni, ramai yang menjadikan karyanya sebagai rujukan. Bukan bangsa Melayu je yang pilih karya Usman Awang sebagai rujukan, bangsa-bangsa lain pun sama.
Sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, dia menjadi sasterawan idola kepada masyarakat Cina berhaluan kiri. Masyarakat yang berhaluan kiri ni merupakan pihak yang mengutamakan kesamaan sosial dan bersikap nasionalisme dalam penerimaan budaya masyarakat lain.
Memandangkan Usman Awang merupakan salah seorang pengasas ASAS50 yang mendukung prinsip “Seni untuk Masyarakat”, jadi ia merupakan ideologi utama untuk penulis berhaluan kiri waktu tu termasuklah dia.
Banyak karyanya yang diterjemah dalam pelbagai bahasa terutamanya bahasa Cina. Selain tu, karyanya menjadi pilihan bagi masyarakat berbilang bangsa disebabkan keindahan susunan dan penggunaan bahasanya dalam sesebuah naratif dan karya. Di setiap karya yang dihasilkannya lebih menjurus kepada nilai-nilai kemanusiaan dan bersifat kesatuan membuatkan ramai yang selesa menggunakan karyanya sebagai rujukan.
“Kawan saya Usman Awang, selama 50 tahun, beliau merupakan panji yang melambangkan perpaduan kaum, perdamaian, dan progresif.
Puisi-puisi, karya-karya dan fikiran beliau memberi galakan yang mendalam kepada rakyat jelata dan rangsangan yang bersemarak kepada idealis dan aktivis negara ini.” – Tan Kai Hee, kawan karib Usman Awang, sumber dari Malaysia Kini.
Disebabkan karyanya menjadi pilihan masyarakat Cina terutamanya, dia menubuhkan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia pada tahun 1986 yang dianggotai oleh penulis-penulis Cina. Persatuan tersebut di bawah kelolaan dan pemerhatiannya sendiri. Tapi sekarang ni persatuan tu dah takde dah. :(
Selain itu, karyanya jugak mendapat tempat dalam kalangan penggiat sastera antarabangsa dan dapat banyak anugerah dan pengiktirafan sama ada dari dalam dan luar negara. Contohnya menjadi penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write). Dalam negara sendiri, dia dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang persuratan dari Universiti Malaya dan mendapat gelaran “Pejuang Sastera” daripada Perdana Menteri pada tahun 1976 dan banyak lagi anugerah sastera yang diterima.
Banyak negara menggunakan beberapa buah karyanya diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan diterjemah dalam bahasa-bahasa asing yang lain di seluruh dunia. Seperti China, Itali, Jepun, Korea, Perancis, Thailand dan banyak lagi negara lain yang menjadikan karyanya sebagai pilihan dalam bidang kesusasteraan.
Karya sastera bantu membina semangat patriotisme
Kalau kita perhatikan sekarang ni, banyak je inisiatif rakyat yang dah dibuat untuk memelihara karya-karya sastera tanah air ni. Terutamanya pihak-pihak NGO. Dan, dari peringkat sekolah lagi, pelajar dah didedahkan dengan sastera menerusi kurikulum subjek Bahasa Melayu di peringkat menengah iaitu Komponen Sastera ataupun KOMSAS. Selain tu, dengan adanya program Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang masih dikekalkan sekali gus dapat merakyatkan sastera terus menjadi relevan sampai sekarang.
“Di Barat, terdapat negara yang mewajibkan subjek sastera dipelajari dari peringkat awal persekolahan kerana mereka memahami kepentingannya termasuk menggalakkan kreativiti, inovasi, jati diri dan pemikiran kritis. – Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sumber dari Utusan Online.
Dan, baru-baru ni Menteri Pendidikan ada umumkan satu usaha untuk melestarikan lagi aspek sastera ni melalui program Sasterawan@Universiti dengan menempatkan sasterawan negara kat universiti tempatan. Ia merupakan langkah untuk pastikan sastera negara tak dipinggirkan. Program yang dicadangkan tu akan melibatkan Sasterawan Negara dalam sesi Bedah Buku dan Wacana Ilmiah. Dengan usaha tersebut, bidang kesusasteraan negara taklah tertinggal jauh ke belakang dan sentiasa sebati dalam kehidupan masyarakat.
- 236Share sekarang!
- Email3
- Facebook233
- Share