Neelofa pernah dituduh tak hormati Rukun Negara? Ini sebabnya

Baru-baru ni kecoh media sosial sebab ada seorang ustaz tak berapa nak faham maksud LIBERAL yang ada dalam rukun negara. Punyalah dia confident, siap kata penyokong Pakatan Harapan akan dapat saham sebab bertanggungjawab atas kehadiran liberal kat rukun negara. Statement dari ustaz ni tunjukkan dia tak berapa faham tentang Rukun Negara dan perkataan liberal.

LIBERALLLLLL! Imej dari Facebook

Benda ni bukan sesuatu yang mengejutkan pun, kitorang perasan – ramai je rakyat Malaysia yang sebenarnya tak tahu pun apa maksud Rukun Negara. Tak percaya? Cuba tanya member korang tentang sejarah rukun negara, agak-agak diorang boleh jawab ke? Kalau dia pengawas masa sekolah dulu, mungkinlah – sebab dia kena baca ikrar kat perhimpunan.

So, sebelum korang terperangkap macam brother ni, meh kitorang cerita sikit tentang Rukun Negara yang ada kat belakang buku latihan masa korang sekolah dulu…

Tunku Abdul Rahman yang terlalu liberal?!

(Bahagian ini sehingga subtopik Rukun Negara sebenarnya ada dua bahagian merujuk Jurnal Rukun Negara dalam Memperkukuhkan Ketahanan Negara)

Sebelum sembang panjang, meh kita tengok apa maksud liberal kalau ikut kamus Bahasa Melayu. Maksud liberal secara mudahnya ada dua;

  1. Bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik.
  2. Bersifat atau ber­pandangan bebas, berpandangan terbuka. Tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran.

Sifat liberal dan keterbukaan terhadap permintaan pelbagai bangsa oleh Tunku Abdul Rahman pada lewat 1960-an sebabkan bangsa Melayu rasa diri diorang diabaikan. Masa tu, Tunku jugak lebih berminat untuk perkukuhkan pembangunan material dan pasaran bebas. Dua benda ni sebabkan jurang di antara orang kaya dan miskin makin besar.

Hang liberal! Imej dari Giphy

Jurang kekayaan yang besar ni menjadi salah satu sebab berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kitorang pernah tulis pasal benda ni, dan kitorang yakin kebanyakan rakyat Malaysia dah tahu betapa pahitnya peristiwa tu. Dipendekkan cerita – oleh sebab berlakunya rusuhan kaum 13 Mei, darurat telah diumumkan dan negara masa tu ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

“13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak
dapat kita semua lupakan buat selama-lamanya, kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai.” – Tunku Abdul Rahman, dipetik dari Jurnal Rukun Negara dalam Memperkukuhkan Ketahanan Negara

MAGERAN masa tu diketuai oleh Tun Abdul Razak, diorang beroperasi selama 22 bulan sampailah perintah darurat dibubarkan. Melalui MAGERAN ni jugak, ditubuhkan Majlis Perundingan Negara yang tugas diorang kena fikirkan macam mana nak wujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Akhirnya diorang pun cadangkanlah ideologi kebangsaan – Rukun Negara.

Penubuhan MAGERAN. Imej dari SentiasaPanas

Ramai tak tahu sebenarnya Rukun Negara ada dua bahagian

Rukun Negara ni dibina berdasarkan acuan kaum yang ada kat Malaysia, supaya lebih mudah diterima dan boleh diamalkan oleh mana-mana rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Tun Abdul Razak pernah pesan kata rakyat Malaysia supaya;

“Rahsia kesempurnaan Rukun Negara, ialah pada amalannya. Tanpa amalan Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna. Adalah mustahak Rukun Negara bukan sahaja difahami oleh setiap rakyat, tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala hikmat-hikmat yang terkandung di sebalik tiap-taip perkataan dan kalimat Rukun Negara itu benar-benar menjadi darah daging.” – Tun Abdul Razak, dipetik dari Jurnal Rukun Negara dalam Memperkukuhkan Ketahanan Negara

Tun Abdul Razak. Imej dari UTUSAN

Kalau korang dah terlupa dengan Rukun Negara sebab dah tak guna buku latihan, meh kitorang ingatkan. Okay, angkat tangan kanan siap-siap, meh kita sama-sama berikrar;

  • Kepercayaan Kepada Tuhan
  • Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

Tapi korang tahu tak yang sebenarnya Rukun Negara ni ada dua bahagian, sebenarnya bahagian yang korang selalu nampak kat buku latihan tu adalah bahagian pertama. Ni kitorang tunjukkan bahagian kedua;

APA?! Imej dari Giphy
  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat,
  • Memelihara satu cara hidup demokratik,
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama,
  • Membentuk satu sikap yang LIBERAL (Ini yang ustaz tu salah faham) terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan
  • Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Tapi ada jugak isu-isu popular yang libatkan Rukun Negara ni, contohnya…

Neelofa tak hormati Rukun Negara sebab tudung?

So nampaknya makin ramai yang dah tak kenal dengan Rukun Negara. Beberapa bulan lepas ada seorang artis baru ni jadi bualan orang ramai sebab katanya dia tak tahu pasal Rukun Negara. Sebenarnya, kitorang perasan ramai je yang tak ambik port pasal Rukun Negara ni. Bagi generasi 1990-an mesti korang tahu kita pernah ada lagu pasal Rukun Negarakan?

Hahh. Rasa tua dah? Tahun lepas, seorang artis popular berkulit sawa matang yang dikenali ramai – Neelofa telah dikatakan melanggar Rukun Negara sebab adakan perasmian tudung kat kelab malam. Kalau kelab siang tak apa kot. Perbuatan Neelofa yang pernah jadi crush kitorang ni dikatakan langgar prinsip rukun negara yang kelima a.k.a kesopanan dan kesusilaan.

“Seharusnya beliau lebih peka terhadap isu sedemikian sebelum ia mencetus kemarahan orang ramai dan pertelingkahan antara peminat yang tidak sependapat,” – Datuk Norashikin Abdul Ghani, Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia, dipetik dari MSN

Marah betul akak ni. Imej dari Giphy

Baru-baru ni pulak ada dua kes yang perlukan rakyat Malaysia hayati Rukun Negara – kes pertama adalah kes kematian seorang ahli Bomba, Mohammad Adib dan satu kes lagi berkenaan kes hina Agong. Disebabkan kes ni – selain daripada rakyat Malaysia baru dapat tahu YDPA boleh letak jawatan, diorang juga tersedar yang Rukun Negara ni penting.

Lepas tu – pernah ada kes seorang pelajar tingkatan enam yang hina Sultan Perak. Nak tahu apa mahkamah buat kat dia? Dia diarahkan untuk baca Rukun Negara dan didenda RM5,000 sebab dengan sengaja hina Sultan Perak kat Twitter.

“Kesalahan (menghina Sultan) ini boleh dipenjarakan tetapi kamu masih bersekolah, namun sebagai pengajaran untuk kamu dan masyarakat di luar sana, satu bentuk hukuman yang setimpal perlu diberikan,” – Majistret ketika menjatuhkan hukuman, dipetik dari MStar

Terlajak perahu boleh berundur, terlajak tweet, masuk mahkamah. Imej dari MSTAR

Ada pihak yang nak Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan

Kalau korang nak tahu – ada satu kumpulan yang gelarkan diri diorang sebagai Rukunegara Mukadimah Perlembagaan Malaysia (RMP) yang nak Rukun Negara ni dijadikan mukadimah kat Perlembagaan. Kumpulan ni disertai oleh orang yang power gak – Dr Chandra Muzaffar jadi pengerusi dan Prof Datuk Shad Saleem Faruqi, pakar perlembagaan negara, dan beberapa aktivis.

Geng-geng RMP ni percaya, kalau diorang berjaya letakkan Rukun Negara kat mukadimah Perlembagaan – ia akan jadi cara hidup rakyat Malaysia. Diorang rasa nilai-nilai yang ada kat Rukun Negara dah dipinggirkan oleh rakyat Malaysia. Pengerusi kumpulan ni kata;  daripada 193 negara di dunia, 160 negara ada mukadimah kat Perlembagaan diorang.

Imej dari Library UM

Tapi nak masukkan sesuatu kat Perlembagaan ni takdelah semudah nak masukkan gula kat air panas. Banyak benda yang kena dipertimbangkan. Seorang ahli akademik – Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz kata; di sebalik hal positif yang mungkin dapat dicapai melalui usaha ni, dalam masa yang sama ia boleh beri kesan negatif kepada negara jugak.

“Meletakkan dimensi yang terlalu luas seperti yang termaktub dalam Rukun Negara berpotensi memberi gambaran tak tepat kepada pengisian teks Perlembagaan. Kita ambil contoh, perihal ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ tidak sudah-sudah akan menjadi polemik. Rukun Negara mewajibkan setiap rakyat Malaysia mempunyai Tuhan dan tidak menyebut kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan,” – Prof Madya Dr Shamrahayu, dipetik dari AWANI

Dr Shamrahayu ni risau jugak kalau hakim akan gunakan mukadimah sebahagian dari Perlembagaan. Sebabnya, walaupun mukadimah dikatakan tak mengikut teks perlembagaan, adat hakim yang membuat keputusan dengan mengambil kira mukadimah sebagai sebahagian daripada perlembagaan.

Jadikan Rukun Negara sebagai perisai untuk rakyat Malaysia

Rukun Negara diwujudkan untuk pastikan rusuhan kaum yang dah jadi sejarah hitam kat negara kita tak berulang lagi. Dengan keadaan negara yang baru je tukar kerajaan – nampaknya isu gaduh-gaduh dengan bangsa lain semakin popular. Rukun Negara boleh jadi perisai untuk rakyat Malaysia supaya ada ‘identiti’ yang buat rakyat akan rasa mereka ni satu keluarga.

Ingat lagi? Imej dari SULTANMUZAFFAR

“Tanggungjawab untuk mengamalkan Rukun Negara itu bukan sahaja terletak pada para pelajar dan murid-murid sekolah. Anggota-anggota dewasa, ibu bapa, pemimpin kaum, guru-guru dan seterusnya orang ramai, mempunyai tanggungjawab yang sama untuk memahami dan mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara,” – Tun Abdul Razak, dipetik dari Jurnal Rukun Negara dalam Memperkukuhkan Ketahanan Negara

Kitorang harap korang hayatilah elemen-elemen yang ada kat Rukun Negara, sebab kita nak negara kita terus harmoni dan tak bertelagah – lebih-lebih lagi pergaduhan di antara kaum. Rukun Negara ni jugak adalah warisan dari kepimpinan negara yang terdahulu, dibentuk untuk kekalkan kesejahteraan rakyat. Apa lagi, jadikanlah lagu Rukun Negara sebagain ringtone phone korang!

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka