Rugi tak bangun awal! 5,000 Pelari Lotus’s CCR’26 borong goodies percuma sambil lari

Hari Ahad selalunya hari untuk rakyat Malaysia menternak lemak dan tarik selimut sampai tengah hari. Tapi pada 27 September lepas, lain pula ceritanya dekat Lotus’s Ara Damansara.

Seawal pukul 5 pagi, kawasan parking dah dipenuhi 5,000 orang pelari yang sanggup korbankan waktu tidur mereka. Tapi korang ingat diorang bangun awal-awal ni semata-mata nak bakar kalori nasi lemak semalam?

Sebenarnya, diorang ada misi yang jauh lebih besar.

Semangat geng! Sejak subuh lagi, para pelari sampai untuk kategori 21.1km Half Marathon, 5km & 10km Shop & Run. Semua lari sambil beramal demi Program Sekolah SMART Up Lotus’s – PINTAR

Menerusi edisi keempat Lotus’s Ceria Charity Run 2026 (CCR’26), gabungan usaha 5,000 pelari dan Lotus’s Malaysia berjaya mengumpul RM500,000 untuk pendidikan, iaitu jumlah kutipan tertinggi sejak larian amal ni diperkenalkan pada 2023.

Mana ada larian lain siap boleh ‘shopping’ sambil lari?

Kalau marathon biasa, paling kuat pun korang dapat air mineral atau pisang dekat stesen minuman. Tapi Lotus’s CCR’26 memang lain sikit. Kat sini, konsepnya bukan sekadar lari, tapi Shop & Run.

Sepanjang laluan, pelari boleh singgah di pelbagai pit stop dan stesen goodies hasil sokongan penaja dan rakan kerjasama Lotus’s. Jadi sambil mengah nak habiskan larian, boleh diorang shopping barang percuma.

Sampai je garisan penamat, pelari pula dibekalkan dengan goodie bag yang penuh dengan hadiah dan cenderamata. Kat kawasan penamat, ada lagi 36 booth yang menawarkan pelbagai produk untuk dicuba. Pendek kata, datang nak lari, balik macam baru lepas shopping.

Tapi di sebalik semua keseronokan tu, ada satu tujuan yang jauh lebih besar.

Duit larian ni sebenarnya pergi mana?

Kesemua RM500,000 hasil kutipan CCR’26 disalurkan kepada Program Sekolah SMART Up Lotus’s – PINTAR, yang menaungi pelbagai program pendidikan untuk murid sekolah. Kerjasama Lotus’s dan Yayasan PINTAR ni pun bukan baru, malah dah bermula sejak 2016 lagi menerusi Program Sekolah Angkat, sebagai sebahagian daripada tunjang pendidikan #KitakanJiran.

Salah satu program di bawah SMART Up ialah program literasi kewangan Smart Shopper Plus. Program ni direka supaya pembelajaran kewangan tak terasa macam kelas tambahan yang boleh buat budak-budak menguap. Menerusi bengkel sehari yang interaktif, murid diajar benda-benda yang memang berguna dalam kehidupan harian, daripada membezakan keperluan dan kehendak, mengurus duit poket dan simpanan, hinggalah belajar jadi pengguna yang lebih bijak.

Dan program ni bukan baru bermula. Sejak Ogos 2025, Smart Shopper Plus dah membimbing hampir 2,400 murid dari 21 Sekolah Angkat Lotus’s di tujuh negeri, dengan 96% daripada objektif program berjaya dicapai.

Antara bengkel Smart Shopper Plus yang berlangsung tahun lepas

Dengan tambahan RM500,000 tahun ni, Lotus’s kini semakin dekat dengan sasaran untuk memperkasakan 50,000 pelajar di seluruh Malaysia menjelang 2030.

“Apa yang menjadikan Ceria Charity Run begitu istimewa ialah setiap kilometer yang dilalui hari ini membawa makna dan tujuan yang lebih besar… Empat tahun kemudian, kami berjaya mengumpul dana tertinggi setakat ini, sebanyak RM500,000 dan selangkah lebih dekat untuk mencapai sasaran memperkasa 50,000 pelajar di seluruh negara menjelang tahun 2030.”

— Saksit Panurach, Ketua Pegawai Eksekutif Lotus’s Malaysia

Tahun ni siap ada Half Marathon 21.1km

Kalau korang rasa 5km atau 10km tak cukup mencabar, Lotus’s CCR’26 tahun ni buat pertama kalinya memperkenalkan kategori Half Marathon 21.1km yang kompetitif, termasuk kategori Terbuka dan Veteran untuk lelaki dan wanita.

Pada masa yang sama, kategori Shop & Run 5km dan 10km tetap kembali untuk mereka yang nak berlari santai sambil menikmati suasana acara.

RM20 daripada setiap tiket penyertaan disalurkan terus kepada tabung pendidikan, manakala mereka yang nak menyumbang lebih boleh membeli Jersi Edisi Khas Lotus’s CCR’26 pada harga RM30. Kesemua hasil jualan jersi tu pun masuk ke tabung yang sama.

Jadi walaupun datang untuk lari, setiap penyertaan sebenarnya membantu membiayai program pendidikan untuk pelajar sekolah.

Lepas lari, masa untuk isi perut pula

Selesai melangkah garisan penamat, Race Village pula bertukar jadi tempat untuk pelari berehat, makan dan bersantai dengan keluarga.

Dari 36 booth pensampelan produk dan permainan mesra keluarga, ada pelbagai pilihan makanan dan minuman daripada jenama macam Milo, ZUS Coffee, Farm Fresh, CPW, Nestum, Ovaltine, Kimball, Marina dan Wall’s.

Memang pecah rekod! 5,000 pelari banjiri Lotus’s Ara Damansara untuk edisi ke-4 CCR’26

Ada juga jualan biskut buatan tangan hasil sumbangan penerima manfaat Kechara Soup Kitchen. Jadi sambil beli kudapan, boleh juga bantu golongan yang memerlukan.

Acara kemudiannya diakhiri dengan penyerahan cek replika bernilai RM500,000 kepada Yayasan PINTAR, sebelum cabutan bertuah menawarkan 10 hadiah termasuk Zero ZT-DynamiQ Treadmill dan Zero Atlas Lite Massage Chair. Memang sesuai untuk kaki yang dah kerja overtime lepas lari 21km.

Acara best untuk satu keluarga isi pagi Ahad dengan aktiviti berfaedah

Sudah tentu acara sebesar ni tak boleh berjalan tanpa sokongan pelbagai pihak. Lotus’s CCR’26 turut disokong oleh Penaja Eksklusif, Nestlé, HeiTech Padu Berhad, serta Penaja Platinum, Mondelēz Malaysia dan Tanjong Express, selain pelbagai penaja serta rakan media.

Tapi yang paling penting, 5,000 pelari berjaya membantu mengumpul RM500,000 untuk pendidikan menerusi inisiatif #KitakanJiran.

Barisan pengurusan Lotus’s Malaysia bersama GM Yayasan PINTAR, Norzalina Masom sewaktu penyerahan cek replika RM500,000 di Lotus’s CCR’26

Jadi, Lotus’s CCR’26 bukan sekadar peluang untuk beriadah dan luangkan masa bersama keluarga. Sambil berseronok, peserta turut membantu anak-anak sekolah belajar tentang pengurusan kewangan dan membuat pilihan yang lebih bijak.

Kalau macam ni, berbaloi jugalah korbankan tidur Ahad pagi, kan?