Rakan KKM: Rancangan baru kerajaan untuk tolong doktor. Tapi ni sebab ia mungkin gagal

Doktor kita underpaid, kerja lebih masa dan rawat berpuluh pesakit satu shift bukan lagi satu benda baru atau mengejutkan dah. Benda ni dah lama dan masih tak selesai sampai sekarang. Mesti ramai di antara korang yang pernah tunggu berjam-jam kat Klinik Kesihatan cuma untuk dapat paracetamol sebab demam kan?

Tapi kebelakangan ni, banyak lagi isu yang timbul satu persatu. Dari isu doktor kontrak yang masih lagi tak berkesudahan, pengenalan syif 48 jam seminggu sampailah isu Singapura nak kebas doktor kita dengan tawaran gaji lumayan RM30,000 sebulan. Nampak macam seluruh sistem kesihatan kat negara kita ni ada banyak masalah. 

Amboi…banyak cantek dia…

Tengah semua benda ni masih lagi tak selesai, tiba-tiba Kementerian Kesihatan lancarkan inisiatif baru, Rakan KKM. Tujuannya nak bagi doktor pakar insentif untuk kekal dalam perkhidmatan awam, dengan cara benarkan diorang jana pendapatan lebih daripada terus berhijrah ke hospital swasta atau kerja kat Singapura.

Bunyi macam bagus kan? Duit bertambah, KKM senang, win-win la kan? Tapi, kalau kita tengok betul-betul, korang akan perasan kenapa ada doktor yang tak setuju dengan benda yang nak dibuat ni. Kalau korang tak pernah dengar sebelum ni….

Apa kebendanya Rakan KKM ni?

Okay, apa yang kita kena faham adalah Rakan KKM ni bukannya plot untuk swastakan perkhidmatan kesihatan. Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly yakinkan semua orang yang Rakan KKM ni 100% milik kerajaan melalui Kementerian Kewangan Incorporated. 

Mula-mula sekali, korang tahu tak apa itu locum? Senang cerita, locum ni bila doktor buat syif tambahan di klinik atau hospital swasta lepas waktu kerja biasa untuk tambah pendapatan. Kat hospital kerajaan memang jarang-jarang la nak nampak, sebab logiknya doktor boleh dapat jauh lebih banyak kalau buat locum di tempat swasta.

Jadi, Rakan KKM ni sebenarnya nak rasmi-kan benda tu dan bagi doktor buat locum dalam hospital kerajaan sendiri

KKM dah mula pilih 4 buah hospital untuk mulakan projek ni. Tangkap layar dari Buletin TV3

Tapi ada syarat-syaratnya. Program ni hanya untuk doktor pakar di beberapa hospital terpilih je, dan mereka cuma akan ambil kes elektif. Maksudnya, bukan kes kecemasan. Ya, pesakit kena bayar, tapi katanya caj tu lebih murah daripada harga hospital swasta. Bonusnya, pesakit boleh pilih doktor pakar sendiri dan masa menunggu pun lebih singkat.

KKM panggil konsep ni sebagai perkhidmatan ekonomi premium, lebih kurang maksudnya bukanlah standard macam servis hospital swasta, tapi lebih baik daripada standard hospital kerajaan biasa. Idea utamanya ialah nak jana pendapatan daripada pesakit yang mampu bayar, dan duit tu nanti akan digunakan untuk bantu tampung keseluruhan sistem kesihatan awam.

Jadi sekarang kita dah faham apa itu Rakan KKM, jom tengok pula kenapa KKM rasa program ni idea paling power sejak wujudnya antibiotik.

Bagi KKM solusinya mudah. Tambah jam kerja, tambah bayaran, dan pendekkan masa menunggu.

Pendek kata, Rakan KKM ni cara KKM nak ‘damage control’ sebelum keseluruhan sistem kesihatan kita tumbang terus.

dr dzukifley

Menteri Kesihatan juga kata yang kita tak boleh nak naikkan bajet kesihatan sebab hutang kerajaan banyak.

Ramai doktor nak berhenti atau kerja kat swasta? Takpe, Rakan KKM akan bagi peluang kat diorang untuk tambah pendapatan sementara diorang stay kat hospital kerajaan.

Kena tunggu lama untuk pembedahan elektif? Jangan risau, Rakan KKM sediakan waktu petang atau hujung minggu untuk korang, guna fasiliti dan doktor yang sama.

Kos rawatan kat hospital swasta sekarang dah makin mahal? Rakan KKM diharap boleh jadi penanda aras harga supaya hospital swasta tak terus cekik darah pesakit dengan caj yang melampau.

Untuk pengetahuan korang, ni bukan projek syok sendiri. Kerajaan dah peruntukkan RM25 juta melalui bajet persekutuan (ada pulak bajet) dan lepas tu dana tambahan dijangka datang daripada GLC. Projek ni dirancang supaya Rakan KKM boleh berdikari dari segi kewangan dan hasilnya akan bayar balik dana awal tu. Kalau ada lebihan, ia akan masuk semula ke tabung kerajaan.

Untuk korang yang terlepas waktu pembentangan bajet haritu. Imej dari KKM

Atas kertas, nampak macam satu ekosistem yang cantik. Pesakit yang mampu bayar, bayar lebih sikit. Doktor yang nak tambah pendapatan, dapat lebih sikit. Dan dengan cara tu, sistem kesihatan awam dapat “bernafas” semula.

KKM pula tetap tegaskan semua ini berasaskan nilai, bahasa korporat yang kononnya bermaksud diorang buat demi kebaikan semua pihak. Dalam erti kata lain, bukanlah diorang ni “mata duitan” seperti yang orang sangka, tapi cuma nak bagi sistem ni berjalan dengan lebih baik.

Tapi, macam biasalah… bukan semua orang setuju dengan idea ni.

Tak semua doktor, MMA dan orang ramai setuju dengan benda ni

Bukan MMA yang ni

Dengan keadaan sekarang, tak pelik kalau doktor yang dah penat melampau pun rasa nak putus harapan dengan sistem ni sebab terlalu stres. Sebab, serius… siapa punya idea bijak nak tambah lagi beban kerja dalam sistem kesihatan yang dah pun tenat macam ni?

Kalau buang semua ‘gambaran baik’ Rakan KKM ni, hakikatnya yang akan ada nanti adalah staf yang dah burnout dan wad yang sesak kena layan pesakit yang mampu bayar untuk potong giliran. Jadi sekarang pesakit yang lebih mampu dapat laluan ekspres, sementara yang lain terpaksa tunggu dalam barisan yang diorang dah pun bayar melalui cukai.

Untuk kerajaan yang asyik cakap pasal B40 dan program “Rahmah”, langkah ni rasa macam… agak jauh panggang dari api.

Cakap je

Dan bukan kitorang je yang rasa benda ni bermasalah, okay? Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sendiri pun dah mula bagi amaran.

“Keputusan macam ni akan menjejaskan prinsip Liputan Kesihatan Sejagat, yang berasaskan kepada keadilan dan akses rawatan yang sama rata untuk semua, tanpa mengira status sosioekonomi,”

 – Dr Kalwinder Singh Khaira, Presiden MMA. Diterjemah dari NST.

Dan bila kita tolak tepi isu utama tu pun, banyak lagi aduan lain.

Dikatakan Rakan KKM mohon lesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta, yang bermakna inisiatif hospital awam ni sebenarnya dilayan lebih macam satu projek swasta. Menurut Dr Kalwinder, benda ni membimbangkan sebab kerajaan pada dasarnya tengah kawal selia program dia sendiri, yang timbulkan persoalan pasal sejauh mana telus dan adilnya proses tu.

Dan jangan cerita pasal tenaga kerja. Kita pun dah memang kekurangan doktor dan jururawat untuk satu sistem, apatah lagi dua. Lepas tu bila tengok pula gaji yang ditawarkan kat staf Rakan KKM, sedangkan doktor kita yang sedia ada kira syiling untuk survive

Hmm…tak tahu nak respon macam mana. Tangkap layar dari Jobstreet

Semua ni akhirnya bagi kebimbangan yang sama, iaitu…

Projek Rakan KKM ni niatnya baik, tapi macam kelam-kabut

Hujung-hujungnya, Rakan KKM bukanlah idea paling teruk yang pernah keluar dari KKM. Yang tu mungkin kalau cadangan kerja 45 jam seminggu yang akhirnya ditarik balik. Secara keseluruhan, kalau kita tengok, idea ni memang ada logiknya. Ia boleh kurangkan doktor berhijrah ke tempat lain, kurangkan kes tertunggak dan bagi sistem kesihatan kerajaan peluang untuk bernafas semula.

Malah, MMA sendiri akui langkah kerajaan nak kurangkan beban sistem kesihatan awam tu satu perkara yang baik.

Isunya sekarang, terlalu banyak bahagian nampak macam dibuat kelam-kabut, tak jelas dan agak sensitif sampai orang rasa tak selesa. Orang awam makin keliru, doktor pun tak sepakat, dan setiap penjelasan yang diberi lebih banyak timbulkan persoalan daripada jawapan.

Bila sistem kesihatan kita dah sedia rapuh, benda terakhir yang kita perlukan ialah solusi yang nampak cantik di luar tapi tak selesaikan punca sebenar masalah.

About Hafiz Sabran 24 Articles
"Badan sihat, otak....ooootakkk....otakkkkkkkkk"