Kisah Raja Faisal yang dibunuh anak saudaranya sendiri

Pergolakan kat Timur Tengah memang perkara biasa yang kita dengar. Tapi sejak beberapa hari ni, pergolakan politik telah melanda satu negara Arab yang terletaknya dua kota suci Mekah dan Madinah, iaitu Arab Saudi. Negara ini tengah buat tangkapan besar-besaran terhadap orang-orang kenamaan, tak kira sama ada mereka menteri, jutawan, malah putera raja pun kena! Semuanya atas slogan ‘memerangi rasuah’.

Antara yang ditangkap adalah Putera Al-Waleed bin Talal, orang terkaya di Arab Saudi yang ada firma pelaburan, Kingdom Holding. Dia juga ada pelaburan kat Citigroup, Apple, Twitter dan banyak lagi. Selain Al-Waleed, nama-nama lain yang ditangkap adalah Ibrahim al-Assaf (bekas Menteri Kewangan), Bakr bin Laden (Pengerusi Binladin Group), Putera Turki bin Abdullah (Bekas Gabenor Riyadh) dan ramai lagi.

Bilionair Saudi, Putera Alwaleed bin Talal. Imej dari .bitsonline.com

Arab Saudi juga dilaporkan dah membekukan 1,700 akaun bank yang bernilai hampir $800 bilion! Ini merupakan tangkapan ‘membanteras rasuah’ terbesar yang pernah dilakukan negara itu. Apa yang menarik, tangkapan ini dibuat lepas Raja Salman melantik anaknya (yang juga Putera Mahkota) Putera Mohamed, mempengerusikan jawatankuasa anti-rasuah.

Jadi keluarlah macam-macam spekulasi dan persoalan, sama ada tindakan ni betul-betul nak banteras rasuah, ataupun…

Ada usaha nak kukuhkan kedudukan Putera Mahkota Arab Saudi

Selepas kekalahan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama (WW1), wilayah-wilayah Uthmaniyyah semakin lemah dan ada di antaranya mula cuba tubuhkan kerajaan sendiri.

Pada tahun 1932, Abdul Aziz al-Saud dah berjaya menyatukan wilayah-wilayah di Semenanjung Arab (Riyadh, Najd, Hail, Asir dan Hijaz) yang kemudiannya menjadikannya sebagai raja pertama kerajaan tersebut. Maka lahirlah sebuah negara bernama Arab Saudi, yang mana Saudi tu berasal dari nama keluarga Abdul Aziz al-Saud.

Raja Abdul Aziz al-Saud (tengah) & Presiden AS Franklin Roosevelt. Imej dari businesswire.com

Sistem monarki kat Arab Saudi ni menarik jugak sebenarnya, sebab takhta tak diwariskan terus kat anak raja, tapi ditentukan oleh keluarga besar Saud. Tapi lain pulak dengan Raja Salman, sebab dia pecat Putera Mahkota (anak saudaranya) dan menggantikannya dengan anak sendiri, Putera Mohammed bin Salman.

Putera Mohammed dilahirkan pada tahun 1985, dan merupakan anak Raja Salman dengan isterinya Fahda binti Falah bin Sultan dari suku Ajman. Mohammed dah kahwin dan ada tiga orang anak. Masa mula-mula Raja Salman naik takhta dulu, Mohammed dilantik jadi Menteri Pertahanan dan Timbalan Putera Mahkota.

“Langkahnya yang paling menonjol sebagai Menteri Pertahanan adalah dengan mengetuai ‘Operation Decisive Storm’ iaitu sebuah gabungan di Yemen yang diketuai oleh Arab Saudi menentang pemberontakan Houthi, yang dilancarkan selepas dua bulan pelantikannya…

Mohammed bin Salman juga mengetuai Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan, yang mengawasi urusan ekonomi negara, yang juga akhirnya membentuk dasar politik dan keselamatan.” – Dipetik dari Al-Jazeera.

Dari kiri: Putera Mohammed bin Salman (Putera Mahkota), Putera Mohammed bin Nayef (Bekas Putera Mahkota) & Raja Salman al-Saud. Imej dari Middle East Eye.

Jadi, tangkapan yang melibatkan kerabat diraja dan orang-orang kenamaan di Arab Saudi ni dikatakan sebagai salah satu cara Putera Mohammed untuk mengukuhkan kuasanya sebelum naik takhta.

Menurut Ayman Rashdan Wong, perkara ni sebenarnya sangat berkait rapat dengan keadaan keluarga al-Saud itu sendiri. Ini kerana, putera-putera al-Saud berasal daripada ibu-ibu yang berbeza, di mana putera-putera yang ada ibu yang sama akan bentuk suku (klan) sendiri.

Contohnya suku ‘Tujuh Sudairi’ iaitu 7 orang anak lelaki dari Hussa al-Sudairi, salah seorang isteri Abdul Aziz al-Saud.

‘7 Sudairi’ – Raja Fadh, Putera Sultan, Putera Abdul Rahman, Putera Nayef, Putera Turki, Raja Salman & Putera Ahmed.

“Mutaib dan Turki (antara yang ditangkap) adalah anak Raja Abdullah (raja sebelum Salman) yang dilahirkan oleh Fahda al-Shammari. Mereka dan Sudairi bukan saja tak rapat malah bermusuhan sesama lain.

Dalam tradisi Bani al-Saud, portfolio keselamatan diagih-agihkan kepada ʿāʾilat yang berbeza: Sudairi jaga tentera, Abdullah jaga SANG (Saudi National Guard).

Untuk MBS (Mohammed bin Salman) yang masih muda dan mentah, penyusunan kuasa sebegini cukup membahayakan. Mana-mana putera boleh bekerjasama dengan SANG untuk menjatuhkan MBS.” – Ayman Rashdan Wong.

Klik imej kalau nak tengok lebih jelas. Imej dari Al-Jazeera.

Jadinya, Mohammed kena kuasai cabang-cabang keselamatan ni untuk elakkan sebarang ancaman terhadap kedudukannya. Begitu juga dengan jutawan-jutawan yang mungkin boleh menggugat kedudukan Mohammed dengan duit mereka.

Putera Mahkota Mohammed ada cita-cita nak jadikan Arab Saudi sebagai negara sederhana

Walaupun demikian, masih ada pendapat lain pasal tindakan Putera Mohammed ini. Antaranya adalah Raja Salman dan Mohammed sekarang ni cuba buat landasan baru kat Arab Saudi. Sebabnya, kedudukan ekonomi sekarang ni makin mencabar, ditambah pulak dengan kemerosotan pendapatan daripada minyak.

“Landasan baharu itu berupa usaha mahu menjadikan Arab Saudi sebagai negara normal, moderat dan moden yang mampu bukan saja memajukan diri dari segi ekonomi dalam perubahan keadaan dunia tetapi juga dapat menangkis sebarang kemaraan negara yang dianggap pencabarnya iaitu Iran.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Hal ni dapat kita lihat dalam banyak tindakan Raja Salman dan anaknya. Sebagai contoh, pada September lepasRaja Salman ada keluarkan titah yang membenarkan wanita memandu di Arab Saudi. Sebelum tu pada April, Mohammed ada perkenalkan Visi 2030 iaitu visi masa depan untuk menjadikan negara itu sebagai pusat kuasa pelaburan Arab dan dunia Islam.

Imej asal dari Arab News.

Menurut Geostrategis, Azmi Hassan, kalau nak dilihat ikut sisi yang lain – tak salah untuk kita melihat tindakan Raja Salman dan anaknya ini sebagai usaha menuju kepada Islam yang lebih sederhana.

“…maka tak salah juga dianggap operasi rasuah itu sebenarnya mempunyai niat banteras rasuah. Negara Arab terutama golongan kaya dan berpengaruh terkenal dengan sifat mewah berlebihan dan mungkin juga Salman ingin kikis persepsi buruk ini terhadap agama Islam.

Jika usaha ini juga dianggap mengukuhkan kedudukan Salman nampak gayanya strategi ini berjaya setakat ini jika dikaitkan dengan geopolitik serantau kerana peranan Riyadh begitu menonjol.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Orang lain mandi air, mereka mandi duit. Imej dari Giphy.

Putera Mohammed juga ada buat rancangan nak wujudkan zon perniagaan dan perindustrian yang luasnya sampai ke sempadan Jordan dan Mesir. Zon sebesar lebih 26 ribu kilometer persegi tu dikatakan akan bagi tumpuan kepada industri tenaga, bioteknologi, makanan, pembuatan dan hiburan. 

“Putera Mahkota juga meminta supaya lebih banyak pilihan hiburan disediakan untuk golongan muda dan keluarga. Kabinet juga meluluskan peraturan untuk mengurangkan kuasa polis agama dan pihak berkuasa hiburan yang ditubuhkan pada Mei 2016.” – Dipetik dari Al-Jazeera.

Mohammed juga mengumumkan rancangannya membina ‘bandar hiburan’ di Selatan Riyadh yang akan ada pusat sukan, budaya, rekreasi dan safari. Bandar sebesar 334 kilometer persegi ni dijangka mula dibina pada tahun depan dan dibuka pada 2022. 

Imej dari middleeasteye.net

Sebenarnya pergolakan antara ahli keluarga Saud ni bukan satu perkara yang baru. Sebabnya, pada tahun 1970-an dulu, Raja Arab Saudi, Raja Faisal dah dibunuh oleh anak saudaranya sendiri.

Kisah Raja Faisal yang dibunuh oleh anak saudaranya sendiri

Selepas kemangkatan Abdul Aziz al-Saud, takhta kerajaan dipindahkan kepada anak sulungnya Saud bin Abdul Aziz, dan bermulalah perebutan kuasa dalam keluarga pada tahun 1964. Saud akhirnya disingkirkan dari takhta dan diganti dengan adik tirinya, Raja Faisal al-Saud.

Masa zaman Raja Faisal, banyak pembaharuan dah dibuat, antaranya: wanita boleh dapat pendidikan, hapuskan amalan hamba, perkenalkan stesen TV Saudi pertama dan sebagainya. Dia juga terkenal sebagai seorang penyokong kuat perjuangan Palestin.

Raja Faisal al-Saud. Imej dari King Faisal Foundation.

Bagaimanapun pada 25 Mac 1975, Raja Faisal dah ditembak oleh anak saudaranya sendiri bernama Faisal bin Musaid (confuse betul sebab nama sama). Pembunuhan tu berlaku dalam satu majlis.

“Di dalam bilik menunggu, Putera Faisal bercakap dengan wakil Kuwait yang juga menunggu untuk bertemu dengan Raja Faisal. Bila Putera pergi memeluknya, Raja Faisal pun nak menciumnya mengikut budaya Saudi. Dengan pantas, Putera Faisal keluarkan pistolnya dan menembak Raja Faisal.

Tembakan pertama terkena dagu Raja Faisal dan tembakan kedua terkena melalui telinganya. Pengawal peribadi memukul Putera Faisal dengan pedang. Menteri Minyak, Zaki Yamani berteriak berulang kali untuk tidak membunuh Putera Faisal.” – Dipetik dari Islam Times.

Dari kiri: Gaddafi (Libya), Arafat (Palestin), el-Nimeiri (Sudan), Gamel Nasser (Mesir), Raja Faisal (Saudi) & Sheikh Sabah (Kuwait) dalam pertemuan pemimpin-pemimpin Timur Tengah 1970. Imej dari al-Jazeera.

Putera Faisal kemudiannya dihukum pancung. Bagaimanapun, tak ada punca yang jelas pasal kenapa pembunuhan tu jadi. Cumanya, ada teori yang kata Putera Faisal ni nak balas dendam atas kematian abangnya Putera Khalid bin Musaid.

Sebabnya, masa Raja Faisal bawa pembaharuan macam perkenalkan stesen TV, ia menimbulkan protes dari golongan konservatif yang diketuai Putera Khalid. Masa protes dan serangan kat satu stesen TV, Putera Khalid ditembak mati oleh pihak polis.

Raja Faisal dan bapanya Raja Abdul Aziz al-Saud. Imej dari King Faisal Foundation.

Lebanon tersepit di antara dua kuasa serantau

Habis cerita pasal pergolakan politik Arab Saudi, kami nak bercerita pulak pasal apa yang dihadapi Lebanon sekarang ni. Rupa-rupanya, apa yang jadi kat Lebanon ni ada kaitan jugak dengan Arab Saudi. Maknanya, kita tak habis lagi cerita pasal Arab Saudi (hadoi…).

Pada 5 November lepas, Saad Hariri mengumumkan perletakan jawatannya di Riyadh, Arab Saudi dari kerusi Perdana Menteri Lebanon. Dalam kenyataannya, Hariri kata dia letak jawatan sebab nyawanya diancam selain ditindas pihak Iran dan Hezbollah. Apa yang menarik, Hariri umumkan perletakan jawatan tu kat Riyadh dan bukan kat negaranya sendiri.

“Perlu diingat beliau juga punya kerakyatan Arab Saudi dan besar kemungkinan akan kekal berada di sana. Walau bagaimanapun, pengumuman yang dibuat di negara asing agak keterlaluan bagi rakyat Lebanon.

Tapi perlu juga diambil kira pengaruh Riyadh dalam politik Lubnan adalah begitu dalam dan sebab itu walau keterlaluan tindakan Hariri tapi tidak memeranjatkan.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Saad ada company kat Saudi & harta dia dianggarkan bernilai $1.07 bilion. Imej dari heavy.com

Sebelum tu, kita kena tahu dulu situasi politik di Lebanon. Politik Lebanon ni unik sikit, kerana kestabilan politik negara ni bergantung dengan kerajaan yang disertai golongan Sunni, Syiah dan Kristian. Maknanya jawatan-jawatan tertentu dah ditetapkan iaitu Presiden beragama Kristian, Perdana Menteri beragama Islam Sunni dan Speaker Parlimen dari pergerakan Syiah (Hezbollah). 

Jadi kalau wakil Sunni tarik diri, ia boleh buatkan Hezbollah yang mendapat sokongan Iran mendominasi Lebanon dan menimbulkan ketidakstabilan dalam negara itu. Makanya, Lebanon akan jadi medan baru persaingan antara Arab Saudi dan Iran.

Dari kiri: Ahmadinejad (Bekas Presiden Iran), Bashar Asad (Presiden Syria) & Hassan Nasrallah (Setiausaha Agung Hezbollah). Imej dari The Commentator.

Ini kerana sebelum ni, medan tempur antara Arab Saudi dan Iran adalah di Syria. Iran tolong Syria yang berdepan dengan pemberontak (yang disokong Saudi). Bagaimanapun, buat masa sekarang ni, Iran nampaknya menang.

“…seperti mana juga di Iraq. Medan perang proksi antara Arab Saudi dan Iran yang sedang berlangsung ialah di Yemen. Kerajaan Sanaa disokong oleh Arab Saudi sementara golongan Houthi bermazhab Syiah didokong Tehran (Iran).” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.

Disebabkan risau akan ada konflik kat Lebanon, Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dah pun panggil rakyat mereka balik. Untuk maklumat, Saad Hariri adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri yang mati dibunuh pada 2005. Pembunuhan tu disyaki dilakukan oleh Hezbollah.

“Seperti mana Yemen di mana Riyadh terlibat secara ketenteraan sama juga di Lebanon, tapi belum sampai peringkat ketenteraan.

Riyadh akan lakukan apa sahaja jika Hezbollah menjadi bertambah kuat kerana kumpulan ini dibantu Iran. Seperti mana Riyadh cuba sekat kebangkitan Houthi yang dibantu Iran di Yemen.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Saudi VS Iran. Imej dari huffingtonpost.com

Maknanya, kedudukan Lebanon sekarang ni tersepit antara kuasa-kuasa serantau iaitu Arab Saudi dan Iran. Hal ni jugak menambahkan lagi konflik di Timur Tengah yang sekarang ni berhadapan dengan kumpulan pelampau Islamic State (IS). Malaysia juga nampaknya dah buat beberapa perkara untuk kekang ideologi keganasan ni dari menular.

Tindakan Malaysia peruntukkan tanah 16 hektar tanah pada Arab Saudi dapat reaksi berbeza-beza

Lepas lawatan Raja Salman ke negara ini pada Februari lepas, banyak kerjasama yang dilakukan di antara dua negara. Antaranya, kerjasama dalam membanteras keganasan. Kerajaan Malaysia telah menawarkan tanah seluas 16 hektar kat Putrajaya untuk dibangunkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP). 

Penubuhan pusat ni dikatakan khusus untuk mempromosikan kedamaian dan keamanan antarabangsa hasil dari kerjasama Kementerian Pertahanan dan Arab Saudi dengan Muslim World League (Liga Islam Sedunia). Putera Mohammed dijangka akan merasmikan pusat ni pada tahun depan.

Imej dari benarnews.org

Tapi nampaknya, penubuhan pusat ni taklah diterima dengan baik oleh semua pihak. Sebabnya, ada pihak yang persoalkan kelayakan Arab Saudi dalam memerangi keganasan, seperti mana yang dinyatakan oleh Ustaz Zamihan Mat Zin.

“Cadangan ni tak realistik, untuk counter terrorism ni beri tanah kepada Saudi 16 hektar untuk berfungsi sebagai pusat keamanan global negara kita, ini tak realistik.

Kalau Saudi tak datang ke negara kita untuk counter terrorism pun tak apa. Kita dah ada polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Penjara dan ada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Dah cukup dah.” – Dr Zamihan Mat Zin, Presiden ASWAJA.

Selain Zamihan, ada juga pihak lain yang kritik tindakan ini.

“Pendapat saya secara peribadi ialah tindakan kerajaan itu tidak masuk akal.

Penyelidik menyatakan tidak syak lagi Arab Saudi ialah penaja terbesar kepada keganasan di dunia hari ini. Dan ideologi Arab Saudi kekal menjadi sumber kepada ekstremis Islam paling radikal.” – Dr Farouk Musa, Pengarah Islamic Rennaisance Front (IRF). Dipetik dari Malaysian Insight.

https://www.youtube.com/watch?v=GdhFQIfHdtE

Bagaimanapun, masih ada pihak yang nampak sisi positif penubuhan pusat ini. Antaranya adalah pandangan dari Dr. Muzaffar Syah Mallow, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Menurutnya, penubuhan KSCIP secara tak langsung boleh jadi jambatan perhubungan antara dunia Islam dengan bukan Islam, sama ada di Timur atau Barat. 

Manakala Azmi Hassan pula berpendapat, hal ini perlu dilihat mengikut suasana setempat. Ini keran, kita sebelum ni dah ada Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) yang ditugaskan untuk memerangi penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan pengganas melalui internet.

“Jadi hujah saya – tidak salah Kuala Lumpur bantu KSCIP kerana naratif ideologi dirujukkan kepada khusus penduduk Arab Saudi yang kita tahu banyak terjebak dalam keganasan dan begitu juga sesuai disasarkan kepada rakyat Malaysia kerana ramai juga yang serasi dengan budaya Arab.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Klik sini untuk baca artikel kitorang pasal gerakan pengganas di Asia Tenggara.

Pergolakan di Timur Tengah, siapa yang untung?

Dengan apa yang berlaku kat Lebanon sekarang ni, ia sedikit sebanyak menambahkan lagi konflik di Timur Tengah. Itu belum lagi kita cakap pasal kemelut dan krisis yang ada kat Yemen, Iraq, Syria, Palestin dan Libya. Krisis dingin antara Arab Saudi dan Qatar juga sampai sekarang ni masih lagi belum berkesudahan. Makanya muncul persoalan negara mana yang dapat manfaat? Mungkinkah Israel? 

“Jika tanya saya negara mana yang paling mendapat untung, saya tolak ke tepi Amerika Syarikat kerana ia sebagai negara kuasa besar, tetapi yang paling mendapat untung adalah Israel.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Dipetik dari Menara.my.

Dianggarkan lebih 400 ribu kematian dicatatkan akibat Perang Iraq. Imej dari marcodilauro.com

Tambahnya lagi, hal ini juga menunjukkan sejarah berulang terhadap apa yang pernah jadi pada Iraq dan Libya dulu. Kerana apa yang jadi pada dua-dua negara tu jelas adanya campur tangan luar.

“Sebab itu apabila berlaku pergolakan di Arab Saudi, sejarah Arab Saudi ataupun keluarga Al-Saud itu sendiri diungkit kembali tetapi memang benar apa yang berlaku terhadap Saddam Hussein dan Muammar Gaddafi itu memang jelas ada campur tangan kuasa luar…

Tetapi di sini, yang berlaku di Arab Saudi pada ketika ini, walaupun tidak nampak dikatakan ada kuasa luar tetapi secara tersiratnya memang ada dorongan daripada kuasa-kuasa besar terutama sekali.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Dipetik dari Menara.my.

Saddam ke tali gantung & Gaddafi dibunuh oleh rakyatnya sendiri. Imej dari The Peninsula Qatar.

Kesimpulannya, sejak dahulu lagi dasar kuasa besar (Amerika Syarikat) tak pernah bertukar. Tak ada tanda-tanda sama ada AS akan ambil kira sensitiviti dunia Islam dalam dasar luarnya yang akan terus menyebelahi Israel. Maka dengan itu, kestabilan dunia Islam adalah sangat penting. Tapi bilakah kestabilan itu boleh dicapai?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.