Putera Mahkota Saudi sendiri jemput BTS buat konsert. Apa di sebalik semua ini?

Nampaknya populariti kumpulan K-pop, BTS ni dah terbukti hebatnya, bila mereka jadi artis luar pertama yang buat konsert solo di stadium Arab Saudi. Dianggarkan sekitar 30,000 orang penonton dah membanjiri Stadium Antarabangsa Raja Fadh pada Jumaat lalu.

Walaupun dapat banyak kritikan, BTS tetap datang ke Arab Saudi dan dah disambut oleh lebih kurang 100 orang peminat di lapangan terbang. Jadi, tak hairanlah bila yang datang stadium pun sampai berpuluh ribu. Lebih menarik, kedatangan BTS ke negara kaya minyak tu dijemput sendiri oleh Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed Bin Salman al-Saud (MBS).

“Sehari sebelum konsert, bangunan-bangunan utama di ibu negara (Saudi) telah dinyalakan dalam warna ungu (iaitu) warna rasmi BTS.” – Dipetik dari BBC.

Meriah betul konsert diorang ni. Imej dari Step Feed.

Kepada yang tak dapat datang pula, ada disediakan live-streamed konsert tu kepada mereka. Jadi boleh dikatakan, konsert ni memang dapat sokongan kuat kerajaan Saudi dan berlangsung dengan jayanya.

Akan tetapi, ia juga menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat antarabangsa pasal – apa dah jadi dengan Saudi sekarang? Sebabnya, selama ni Saudi terkenal sebagai sebuah negara konservatif dan konsert-konsert lagha ni memang takde tempatlah di negara dua kota suci tu.

Tapi sebenarnya, konsert BTS ni bukanlah konsert pertama melibatkan artis antarabangsa. Sebabnya…

Mariah Carey, Black Eyed Peas dan ramai lagi pun pernah buat persembahan di Saudi

Persembahan Mariah Carey di Bay La Sun resort, King Abdullah Economic City. Imej dari Arab News.

Sebelum BTS datang dan buat persembahan di Saudi, banyak lagi artis antarabangsa yang dah buat persembahan di sana. Selain dari yang disebut di atas, mereka termasuklah Sean Paul, Davit Guetta, Enrique Iglesias, Tiesto, OneRepublic dan ramai lagi.

Di samping bagi artis-artis antarabangsa buat konsert di negara tu, Saudi juga buat banyak keputusan yang mengejutkan, seperti: membenarkan wanita memandu, masuk stadium, buka pernigaan tanpa izin suami dan tak wajib pakai abaya (jubah labuh).

Malah, Saudi juga memansuhkan undang-undang ‘pematuhan rumah tangga’ yang memaksa wanita balik ke rumah suami tanpa rela. Wanita sekarang turut dibenarkan masuk tentera.

Jangankan pandu kereta, tukar tayar pun diorang boleh lah. Imej dari Fortune.

Dalam masa sama, Saudi turut membenarkan panggung wayang dibuka semula selepas 35 tahun diharamkan. Pasangan luar negara yang tak berkahwin pula dah boleh duduk satu bilik di Saudi sekarang ni.

Semua ni dibuat bagi meningkatkan lagi potensi pelancongan di negara itu. Ia juga berkait rapat dengan inisiatif yang dibawa oleh Putera Mohammed bin Salman (MBS) dengan Visi 2030-nya.

Visi membawa Saudi ke arah lebih moden dan sederhana

Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS). Imej dari Middle East Eye.

Tak lama lepas dilantik jadi Putera Mahkota, MBS ada kata yang dia nak kembalikan Arab Saudi kepada Islam sederhana. Sebab katanya, negara tu dah jadi tak normal lepas dikawal oleh golongan ultra-konservatif sejak berpuluh tahun.

“Kami kembali kepada yang dahulu, sebuah negara Islam sederhana yang terbuka kepada semua agama dan dunia. Kami tidak akan membazirkan 30 tahun kehidupan kami berurusan dengan idea ekstremis. Kami akan memusnahkan mereka hari ini.” – Putera Mohammed, dipetik dari Gulf News.

Dalam hal membenarkan konsert, kebebasan kepada wanita dan sebagainya ini, ia terletak di bawah usaha reformasi sosial negara itu. Hal ini dilakukan kerana lebih dua pertiga dari rakyat negara itu adalah golongan muda 30 tahun ke bawah. Sebab itu jugalah, kerajaan Saudi memperuntukkan pelaburan sebanyak US$46 bilion dalam membangunkam industri hiburan.

“Sebuah bandar hiburan berdekatan dengan Riyadh, kira-kira sebesar Las Vegas, telah dirancang untuk meningkatkan sektor pelancongan negara itu.” – Dipetik dari BBC.

Agaknya movie apa yang diorang tengok tu ya? Imej dari Gulf Business.

Dalam masa sama, MBS juga bercadang untuk mewujudkan zon perindustrian sebesar lebih 26 ribu kilometer persegi yang akan memberikan tumpuan kepada industri tenaga, bioteknologi, makanan, pembuatan dan hiburan.

Bagi pakar geopolitik, Azmi Hassan, MBS membawa idea ini bagi mengeluarkan masyarakat Saudi dari pandangan yang terkongkong dan sekurang-kurangnya membuatkan rakyat negara itu mendapat pangalaman luar.

Walaupun ia dilihat bertentangan dengan tradisi Saudi selama ini, idea ini masih boleh dilihat secara positif kerana ia mampu membuka minda rakyat dan tak perlu lagilah mereka terlalu bergantung dengan kepakaran luar.

“Memang tidak dinafikan keterbukaan Arab Saudi pada ketika ini berpunca dari idea MBS…  Harapannya usaha MBS ini akan membuka mata pemimpin dunia Arab lain.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.

Jangan tiru yang macam ni. Imej dari Giphy.

Selain tu, Saudi juga tak nak terlalu bergantung dengan jualan minyak semata-mata. Ini kerana, kebergantungan terus negara tu kepada hasil minyak boleh mendatangkan kesan jika harga minyak antarabangsa secara berterusan menurun.

Walaupun begitu, usaha reformasi ni juga menimbulkan persoalan tentang reaksi golongan agamawan Salafi-Wahabi di negara itu.

Cengkaman kuat MBS, cukup untuk menutup mulut agamawan

Raja Abdul Aziz al-Saud, pengasas Arab Saudi pada tahun 1930. Imej dari The King Saud Library.

Bila kerajaan Uthmaniyah jatuh lepas Perang Dunia Pertama (WWI), Abdul Aziz al-Saud dah menyatukan beberapa wilayah di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan sendiri pada tahun 1932. Maka terbentuk Arab Saudi yang namanya diambil dari perkataan ‘Saud‘ itu sendiri.

Di sebalik pemerintahan raja berkuasa mutlak, kerajaan ini juga dapat pengaruh yang cukup kuat dari kalangan agamawan Salafi-Wahabi. Dan melalui Majlis Ulama Kanan, para ulama ini akan menasihati raja berkaitan isu-isu agama. Reputasi Salafi-Wahabi ni cukup terkenal sebagai aliran yang sangat konservatif.

Tapi dengan pembaharuan yang dibawa oleh MBS, ia turut menimbulkan persoalan tentang reaksi ulama-ulama ini nanti. Sebagai contoh, Mufti Besar Saudi – Sheikh Abdul Aziz al-Sheikh, pernah kata yang konsert dan panggung wayang sebagai merosakkan dan menyebabkan aktiviti tak bermoral.

Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz ibn Abdullah al-Sheikh ketika mengimamkan solat di Masjid Imam Turki bin Abdullah. Imej dari MintPress News.

Kalau kita pergi lebih awal lagi, masa Raja Faisal (1906 – 1975) membawa pembaharuan dengan perkenalkan stesen TV di Saudi, ia ditentang hebat oleh golongan konservatif di negara itu.

Mengulas hal itu, Azmi Hassan berkata – MBS mempunyai pengaruh yang agak hebat dan cengkaman politiknya cukup kuat sekali di Saudi. MBS juga buat tindakan berani menangkap ramai orang kenamaan (termasuk kerabat diraja) dengan alasan membenteras rasuah dua tahun lepas. Walaupun ramai yang melihat tangkapan itu sebagai usahanya mengukuhkan kuasa.

“Sebab itu tidak menghairankan bagaimana ulama Arab Saudi boleh berdiam diri dengan segala pembaharuan yang dibawa oleh MBS… Itulah kehebatan MBS dan sebab itu ulama sedar tiada guna menongkah arus kehendak MBS.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.

Bilionair Putera Alwaleed bin Talal, orang ke 45 terkaya di dunia juga antara yang ditahan dalam operasi tu. Sebelum dia dibebaskan pada tahun lalu. Imej dari Forbes.

Dalam laporan media sebelum ini, seorang ulama Saudi – Sheikh Omar al-Muqbil dah ditahan kerana dikatakan mengkritik polisi negara itu mengadakan konsert muzik antarabangsa.

Selain itu, kita juga boleh nampak MBS ni tetap bertahan, walaupun berdepan dengan kritikan dalam isu berkaitan pembunuhan wartawan Saudi (Jamal Khassoggi) dan Perang Yaman. Sebenarnya, ia juga ada kaitan dengan kuasa besar dunia.

Kuasa besar akan cuba sedayanya menguatkan kedudukan Arab Saudi

Raja Salman al-Saud (gambar tengah). Imej dari The Times.

Menurut Azmi Hassan, stigma pembunuhan pengkritik MBS dan Perang Yaman sebenarnya bukan sembarangan, sebab ia juga datang dari kuasa besar. Tapi dalam masa sama, kalau kuasa besar ni cuba melemahkan MBS, strategi tu nampak macam tak serasi dengan barat. Sebabnya, keterbukaan yang dibawa oleh MBS memberi manfaat juga kepada Barat.

Seketika itu juga, kestabilan Timur Tengah bergantung kepada dua buah negara iaitu Saudi dan Iran. Maka kuasa besar akan terus menguatkan Saudi dengan meletakkan Raja Salman dan MBS dalam kedudukan yang kukuh, kerana Saudi sajalah yang mampu berdepan dengan Iran di rantau itu.

Dan pihak ketiga akan jadi pengadil… Imej dari Middle East Monitor.

Senario ini kemudiannya digunakan oleh Saudi sebaik mungkin untuk memperkuatkan kedudukannya dengan bantuan kuasa besar.

“AS sebenarnya mengguna Arab Saudi sebagai proksi untuk menekan Iran. Kes Yaman umpamanya adalah perang proksi Riyadh dan Tehran. Mengambil kira senario Yaman sahaja, besar kemungkinan perseteruan kedua-dua negara Asia Barat ini akan berlarutan.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.

Akhirnya, keterbukaan Saudi yang cuba dibawa oleh Putera Mahkotanya ini sudah pasti akan membentuk satu situasi baru ni negara dua kota suci itu. Tapi, pergolakkan dan perang proksi di Timur Tengah akan terus menjadi dilema dan menuntut kita untuk terus mengharapkan keamanan di rantau berkenaan.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.