Pernah menewaskan Bruce Lee? Ini kehebatan Mahaguru Meor Abdul Rahman

Silat, satu seni bela diri nusantara yang semakin hari ditelan dek zaman. Orang-orang muda sekarang tak ramai pun rasa nak belajar silat ni, sedangkan banyak perkara baik yang korang boleh dapat kalau belajar silat.

Kali ni, kitorang nak bercerita tentang seorang lagenda dalam dunia persilatan melayu, Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman. Katanya dia ni punca Bruce Lee mati, betul ke? Siapa dia ni sebenarnya? Kalau korang nak tahu, teruskan membaca.

Pengasas Silat Gayong Malaysia hasil dari leluhur keluarga pendekar

Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman. Imej dari Iluminasi

Meor Abdul Rahman ni bukan calang-calang orang, dia merupakan pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia merangkap mahaguru silat itu sendiri. Dia merupakan cucu kepada pahlawan Pahang Allahyarham Syed Zainal Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Tok Janai yang bersama-sama dengan Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Gajah dalam menentang penjajah inggeris di Pahang.

Yang Tok Janai ni baru dikira belah keluarga ibu, kalau belah ayah pula, Meor merupakan cucu kepada Panglima Hitam Tengku Daeng Kuning dari Perak. Tengku Daeng Kuning atau nama sebenar adalah Daeng Che Ngah, merupakan anak raja Bugis dan beliau adalah antara seorang pendekar terbilang pada abad ke-18.

Mat Kilau, salah seorang pahlawan Pahang. Imej dari Soscili

Dah kalau dua-dua atuk pendekar, memang dikira darah yang mengalir dalam tubuh badan Dato Meor ni darah pahlawan sejati la. Itu memberi kelebihan kepadanya untuk mendapatkan ilmu persilatan asli kerana Dato Meor ni belajar silat dari Tok Jenai sendiri sejak berusia 12 tahun lagi.

Semasa penurunan ilmu dari Tok Jenai, Dato Meor diajar seni tempur yang dikenali sebagai Sendi Harimau yang kemudiannya menjadi asas kepada Silat Gayong yang ada pada hari ini.

Walaupun pada masa sekarang terdapat banyak cabang di bawah aliran silat beliau, tetapi nama Gayong itu menyatukan semua pertubuhan dan persatuan yang lain untuk di bawah naungan mahaguru yang sama.

Seorang yang handal dalam seni bela diri sehinggakan dilantik menjadi jurulatih kombat British

Meor menunjukkan susuk tubuhnya. Imej dari Onnjadi

Panglima Sendo Perak, itu gelaran yang telah dikurniakan kepada Dato Meor pada umur 19 tahun oleh Sultan Perak ke 30, Almarhum Sultan Iskandar Shah Ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Rahmatullah atau lebih dikenali sebagai Sultan Alang Iskandar.

Beliau juga telah diambil sebagai anak angkat oleh Sultan Alang Iskandar dan itu memberikannya keistimewaan untuk duduk di dalam istana Perak sehingga kemangkatan Sultan pada 1938.

Sultan Alang Iskandar (Sultan Perak ke-30). Imej dari GENi

Selepas kemangkatan Sultan, beliau berhijrah ke Singapura untuk bekerja sebagai tukang pateri di Berek Gillman, sebuah pangkalan tentera laut British, Kor Semboyan di Woodlands sebelum perang dunia kedua (WWII). Disebabkan kehebatan beliau dalam seni bela diri, Dato Meor telah dilantik menjadi jurulatih kombat tentera laut British 1939.

Sejak beliau dilantik itu, kerjanya sebagai jurulatih kombat terbatas apabila Jepun datang menawan Singapura. Serangan itu memaksa beliau melarikan diri ke Pulau Sudong, sebuah pulau kecil yang terletak di selatan Singapura.

Mensabotaj kegiatan tentera Jepun, sehingga dikurniakan pingat King George

Pingat King George VI. Imej dari Galeri Bank Sha

Semasa berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman mula mengasaskan ‘Seni Gayong’ dan mengajarnya kepada beberapa pemuda dalam usaha untuk mensabotaj dan mengawal kemaraan tentera Jepun di bahagian selatan Singapura itu. Tu semua berlaku pada 1942 bersamaan 3 tahun selepas kedatangan Jepun, Jepun ni kira tak cukup hebat macam British la dalam bab menjajah ni.

Disebabkan keberaniannya dalam memerangi tentera Jepun, beliau telah dikurniakan pingat King George VI oleh kerajaan Inggeris pada 1947. Apabila beliau memasuki perkhidmatan keselamatan Singapura pada tahun 1949, Seni Gayong telah dapat diperkenalkan pula kepada rakan-rakan beliau di Bahagian Siasatan Jenayah, Polis.

Benda tu dikuatkan lagi dengan status dirinya sebagai jurulatih kombat tentera laut british dan sekaligus, dapat memulakan gerakan untuk menyebarkan Silat Seni Gayong ke seluruh Malaya.

Pernah bertemu dan bertarung dengan Bruce Lee?

Bruce Lee dalam Enter The Dragon (1973). Imej dari Asia Times

Ada juga cerita yang tular sekian lama berkenaan Bruce Lee yang mati berpunca daripada pertarungan dengan pengamal silat. Dua jenis versi ada sebenarnya pasal ni, kalau kat Indonesia dorang percaya yang Bruce Lee mati disebabkan pertarungan dengan Dicky Zulkarnaen.

Kalau kat Malaysia pula, ramai pengamal seni bela diri pasti akan tahu satu cerita di mana seorang mahaguru silat telah mengalahkan Bruce Lee dan menjadi punca utama kematian beliau. Kira betul la Malaysia dengan Indonesia ni serumpun, ibarat adik beradik yang berusaha nak tunjuk diri dorang hebat.

Cerita ni dah lama menjadi bahan bualan orang ramai sejak tahun 2004 lagi. Mahaguru yang dikatakan telah bertarung dengan Bruce Lee tu sudah pasti lah Meor Abdul Rahman. Kalau mengikut cerita yang tular itu, Dato Meor dalam perjalanan ke England dari Malaysia dan kapal terbang yang dinaiki beliau telah berhenti seketika (transit) di Hong Kong pada 13 Julai 1973.

Dikatakan Bruce Lee yang secara kebetulan berada di Hong Kong mengetahui berkenaan seorang mahaguru Silat yang hebat sedang berada di negara itu. Selepas itu, Bruce Lee didakwa pergi ke lapangan terbang Hong Kong itu dengan segera untuk mencabar Dato Meor dalam satu pertarungan.

Bruce Lee vs Meor Abdul Rahman? Imej dari Rahman Hatim

Kalau ikut cerita la kan, pertarungan tu dibawa ke tempat lain supaya tidak mengganggu mereka yang berada dalam kawasan lapangan terbang itu. Dipendekkan cerita, Dato Meor yang berumur 58 tahun pada masa itu dikatakan menggunakan teknik Kipas Senandung terhadap Bruce Lee semasa pertarungan mereka hingga menyebabkan kecederaan dalaman yang menjadi punca kematiannya.

Tapi serius la, macam too good to be true je kan. Terfikir juga macam mana insiden penting macam tu tidak dirakam.

Cerita yang tiada asas dan punca sebenar kematian Bruce Lee

Bruce Lee dengan anak perempuannya. Imej dari ATI

Tiada satu bukti kukuh yang menyatakan cerita kematian Bruce Lee disebabkan pertarungan dengan mana-mana pengamal silat tu betul. Terdapat pelbagai logik pada cerita itu yang menjadikan ia tidak mempunyai asas kukuh untuk jadi benar.

Dan Inosato (rakan baik) dan keluarga Bruce Lee sendiri memberitahu mendiang mati disebabkan komplikasi otak berpunca dari alahan Equagesic. Semuanya bermula dua bulan sebelum kematiannya apabila dia mengeluh tentang sakit kepalanya dan diserang sawan.

Di hospital, dia dikatakan mempunyai Cerebral Edema yang mana terjadi apabila terdapat cecair lebihan didalam otak yang menyebabkan bengkak dan sakit. Tetapi selepas menerima rawatan, dia kembali pulih.

Selepas itu dia pergi ke Hong Kong untuk perbincangan pembikinan ‘movie’ baru dengan produsernya. Semasa berada di situ, dia sekali lagi mengeluh tentang kepalanya yang sakit dan mengambil Equagesic (sejenis ubat tahan sakit) yang mengandungi aspirin dan tranquilizer.

Equagesic. Imej dari drugs.com

Dikatakan Bruce Lee mengambil masa sebentar untuk berehat setelah pengambilan Equagesic, tetapi dia tidak bangun-bangun selepas itu. Sejurus selepas itu, Bruce Lee dikejarkan ke hospital tapi malangnya dia sudah pun mati apabila diperiksa.

Hospital mendapati kematiannya disebabkan bengkak otak yang kronik berpunca dari kesan alahan daripada Equagesic. Dah kalau kawan-kawan dan keluarga dia cerita macam tu, takkan nak percaya cerita lain yang tak ada bukti kan?

Ada cara lain yang lebih baik untuk memartabatkan seni bela diri warisan kita

Pesilat Malaysia di Sukan SEA Kuala Lumpur. Imej dari The Straits Times

Tradisi di negara ini memang harus dipelihara lebih-lebih lagi warisan budaya kita. Sebabnya, siapa lagi yang nak memartabatkan Silat ni selain orang kita juga kan. Negara-negara lain boleh je naikkan nama seni bela diri dorang seperti Taekwondo, Muay Thai dan banyak lagi, kenapa kita tak boleh kan.

Seperti perjuangan Dato Meor, ia jelas sekali membuktikan yang Silat ni relevan di semua tempat sampaikan ilmunya ditagih oleh pihak British. Mungkin sebab British ni nak tahu rahsia kehebatan orang kita la kot, penjajah kan.

Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman (1915 – 1991). Imej dari Aku Stress Gila

Tidak perlu pun kita gunakan cerita-cerita palsu untuk menaikkan nama Silat ni sebab benda macam tu hanya menunjukkan kelemahan berbanding kekuatan. Menipu untuk Nampak gah? Sangat tidak patut ye kawan-kawan.

Martabatkan warisan kita, maju lah Silat untuk negara.