Pernah tak korang tengah dalam kereta, nak gi kerja pagi-pagi, tetiba kena tahan roadblock? Sampai giliran korang, polis minta lesen. Korang pun cepat-cepat buka MyJPJ… tapi masa tulah internet buat hal. Skrin loading tak habis-habis, sampai korang pun boleh buat sesi luahan dengan abang polis tu. Last-last tu dia suruh jalan je sebab dia pun pasrah nak menunggu.

Ramai diantara kita yang pernah hadap benda ni. Bukan dengan MyJPJ je. Banyak lagi aplikasi kerajaan yang buat korang rasa nak hempuk phone. Sejak kerajaan giatkan usaha digitalisasi perkhidmatan kerajaan ni, makin banyak pulak aplikasi yang kita kena muat turun.
Kita faham yang kerajaan nak mudahkan urusan. Tak payah gi kaunter, tunggu lama-lama. Tapi, realitinya tak macam tu. Ada aplikasi yang okey, ada yang lebih baik kau pergi kaunter jelah. Dan lagi satu masalahya, kenapa satu agensi nak kena ada banyak gila aplikasi?
Ambil JPJ sebagai contoh. Selain MyJPJ, ada JPJeBid untuk bida nombor plat, JPJvBid untuk bida kenderaan yang disita, dan JPJeQ untuk ambil nombor giliran di pejabat JPJ. Kenapa kau tak sekalikan je semua tu?
Bila kitorang sembang pasal benda ni dengan officemate…kitorang mula tertanya-tanya. Sebenarnya ada berapa banyak aplikasi yang kerajaan Malaysia ada? Ke kita rasa banyak sebab JPJ ni?
Jadi walaupun takde siapa mintak, kitorang buat kajian untuk tengok banyak mana aplikasi yang ada, berapa kerajaan belanja untuk aplikasi tu, siapa yang dapat tender, serta sama ada terdapat unsur rasuah, kronisme atau lain-lain.
Dan apa yang kitorang jumpa sebenarnya, agak memeningkan kepala gak la sebab…
Kerajaan dah bangunkan lebih 300 buah aplikasi!
Untuk tahu banyak mana sebenarnya kerajaan punya aplikasi, kitorang gi tengok website Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia ataupun GAMMA. Apa benda ni? Kenapa bunyi macam sains pulak?
GAMMA ni sebenarnya adalah satu lagi aplikasi kerajaan yang fungsinya adalah untuk himpunkan aplikasi-aplikasi kerajaan dalam satu tempat supaya orang awam macam kita ni boleh muat turun aplikasi rasmi kerajaan dari sumber yang sah. Kalau kita tengok dalam website diorang, ada 315 aplikasi yang diorang senaraikan setakat ni.
Lepas kitorang tengok aplikasi-aplikasi yang ada dalam GAMMA ni, kitorang perasan yang bukan semua aplikasi yang korang akan pakai setiap hari. Contohnya aplikasi ‘UPUPocket’ yang korang hanya guna untuk semak permohonan dan keputusan UPU korang.
Ataupun aplikasi ‘MySPPIM’ untuk korang uruskan segala dokumen dan permohonan perkahwinan. Ye lah, bukannya korang kahwin hari-hari kan? Lagipun, laman web pun ada kalau korang tak nak guna aplikasi.
Walaupun dalam GAMMA tulis ada 315 aplikasi, tapi menurut jawapan bertulis di parlimen dari Menteri Digital, Gobind Singh Deo hujung tahun lepas, kerajaan setakat ni dah bangunkan 1,433 buah aplikasi.
Tak pasti kenapa sampai seribu lebih tu sebab bila kitorang korek GAMMA, dan check kat Play Storedan App Store, jumlah aplikasi yang kitorang jumpa pun cuma 283 je dengan lapan daripadanya baru keluar tahun ni.
Mungkin dari banyak-banyak yang kitorang tak jumpa ni adalah untuk kegunaan dalaman sesetengah jabatan, ataupun aplikasi yang pernah dibangunkan tapi dah terbengkalai. Sebab dalam 283 yang kitorang jumpa tu pun, bukan semuanya fully untuk orang awam.
Contohnya aplikasi ‘SpotMe’ untuk penjawat awam clock-in masa kerja. Ada juga aplikasi yang dibangunkan khas untuk bantu jabatan kerajaan jalankan tugas contohnya aplikasi ‘ESWIS Pemandu’ ni untuk pemandu lori sisa berjadual.
Lepas beberapa hari menghadap skrin untuk tengok fungsi aplikasi-aplikasi tu satu-satu, kitorang perasan yang aplikasi untuk kegunaan orang awam cuma sekitar 150 je, tapi dari jumlah tu pun, tak ada yang betul-betul kena download dan pakai.
Contohnya macam aplikasi MyUBAT yang memudahkan makcik-makcik dan pakcik-pakcik ambil ubat kat hospital, tapi boleh je kalau diorang nak walk-in ke hospital.
Dari jumlah 150 tu, 30 daripadanya bukan aplikasi kerajaan persekutuan pun, tapi sebenarnya aplikasi kerajaan negeri, majlis perbandaran dan hospital. Jadi kegunaan aplikasi-aplikasi ni pun terhad kepada orang yang memang guna perkhidmatan tempat-tempat ni je lah.
Tapi tu tak bermaksud semua aplikasi ni tak bermanfaat. Malah, ada beberapa aplikasi yang sebenarnya ada jumlah muat turun yang agak banyak, mungkin sebab memang berguna.
Contohnya MyUBAT yang pesakit boleh guna untuk dapatkan ubat tanpa kena beratur lama kat farmasi, atau i-Kredikom yang fungsinya tolong cari pemberi pinjaman wang berlesen. Ketiga-tiga aplikasi ni je pun ada jumlah muat turun lebih 100 ribu pengguna.
Malangnya, walaupun ada aplikasi yang ada jumlah muat turun yang tinggi, banyak juga yang nampaknya tak diselenggara dengan baik. Contohnya dari data yang kitorang kumpul, ada 18 aplikasi yang dah tiga tahun tak dikemaskini. Pastu, ada jugak lapan buah aplikasi yang bila kitorang check, langsung tak boleh buka sebab sama ada server down atau terlekat kat loading screen.
Apapun, nampaknya walaupun ada dua tiga apps yang bermanfaat atau penting, kebanyakannya macam tak berfungsi atau tak nampak keperluannya. Jadi bila banyak sangat apps yang macam ni, mungkin orang akan tertanya-tanya…
Siapa yang berada di sebalik semua ni? Ada kroni dapat habuan ke?
Ye lah, ikut pemahaman rakyat macam kita ni, untuk projek-projek kerajaan ni, kerajaan tak buat sendiri. Sebaliknya diorang akan lantik kontraktor luar untuk buat kerja tu melalui tender yang nilai dia tak sikit.
Menurut jawapan bertulis Menteri Digital yang kitorang cakap tadi, 1,433 aplikasi kerajaan tu dibangunkan dengan kos sebanyak RM1.46 billion. Maksudnya secara purata, kos pembangunan aplikasi-aplikasi ni pun lebih kurang RM1.02 juta setiap satu.
Kitorang ada check jugak laman web ePerolehan kerajaan untuk tahu harga-harga setiap aplikasi yang ada, tapi kebanyakan aplikasi ni takde tender ataupun sebut harga yang kitorang berjaya jumpa.
Ada kemungkinan disebabkan kos pembangunan sesetengah aplikasi ni tak sampai RM20,000, dimana jabatan kerajaan tak perlu buka tender dan boleh terus je lantik kontraktor. Atau mungkin juga maklumat tender-tender ni dimuat naik ikut kategori yang salah ataupun tak dimuat naik langsung.
Apa pun, untuk aplikasi-aplikasi yang ada maklumatnya, kitorang perasan ada julat harga yang agak besar. Contohnya, tender untuk bangunkan BCARS, iaitu aplikasi untuk bantu pegawai JKR nilai keadaan aset kerajaan, bernilai cuma RM185,000 manakala pembangunan apps e-info untuk Jabatan Alam Sekitar ni pulak lagi murah, dalam sekitar RM50,000.
Tapi pembangunan aplikasi FitMalaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan, yang sekarang dah tak aktif ni bernilai sekitar RM1,500,000.
Perbezaan kos ni nampak agak ketara. Secara asasnya, harga pembangunan sesuatu aplikasi memang bergantung pada tahap kerumitan sistem tu. Tapi dalam banyak kes, ia juga bergantung banyak mana kerja lain disekalikan dalam satu pakej tender.
Contohnya aplikasi FitMalaysia. Aplikasi ni perlu ada fungsi macam sistem pembayaran, tempahan, serta integrasi dengan peranti lain. Kontraktor yang dilantik bukan je bangunkan aplikasi tu, malah turut kendalikan program mata ganjaran, kempen promosi kecergasan, dan latihan kepada staf KBS untuk gunakan sistem tu.
Dalam sesetengah kes, pembangunan aplikasi juga digabungkan sekali dengan portal web atau sistem digital lain di bawah satu tender/sebut harga. Jadi kitorang tak dapat nak betul-betul kira kos sebenar bagi setiap aplikasi secara tepat.
Apa yang boleh dianggarkan cuma julat harga je, yang mungkin berada dalam lingkungan puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit, bergantung kepada skop sistem yang dibangunkan. Kalau korang rasa kos bangunkan aplikasi dah cukup mahal tapi sebenarnya kos nak selenggara lagi mahal sebenarnya.
Contohnya, aplikasi eCOSS, iaitu sistem untuk beli minyak masak subsidi. Bila kitorang check kat ePerolehan, kitorang jumpa enam tender berkaitan sistem ni. Satu untuk bangunkan sistem ni sekitar 2019, dan lagi lima untuk selenggara dan tambah baik sistem tersebut dari tahun 2020 hingga 2025.
Walaupun kos pembangunan sistem eCOSS ni cuma sekitar RM46 ribu pada mulanya, harga untuk selenggara dan naik taraf sistem ni secara purata sekitar RM380 ribu setiap kali pastu, iaitu lebih kurang lapan kali ganda kos pembangunannya.
Kalau kita gunakan trend ni untuk kebanyakan aplikasi kerajaan, jumlah kos keseluruhan aplikasi dan sistem kerajaan mungkin berkali ganda lagi tinggi dari nilai RM1.46 bilion yang disebut menteri digital tadi.
Jadi bila tengok jumlah duit yang banyak ni, dah tentu persoalan yang terlintas dalam kepala kitorang adalah…
Semua ni ada unsur rasuah atau kroni ke?
Disebabkan ada terlalu banyak aplikasi dan kalau kitorang cari satu-satu, mungkin waktu kitorang jumpa jawapan, manusia dah duduk kat bulan.
Jadi untuk mudahkan kerja, kitorang fokus kat tender berkaitan aplikasi dan sistem di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), sebab kementerian ni paling banyak aplikasi yang kami jumpa, iaitu 17 semuanya termasuk eCOSS.
Setakat yang kitorang semak, ada 54 tender berkaitan aplikasi dan sistem KPDN ni. Daripada jumlah tu, kebanyakannya dimenangi oleh tiga syarikat.
- Opensoft Technologies menang 15 tender (28%)
- Burj Asia Corporation menang 13 tender (24%)
- SE Infinity menang 10 tender (19%)
- Syarikat lain pula kebanyakannya cuma menang satu atau dua tender je.
Lepas tu kitorang semak pula rekod SSM dan cuba cari latar belakang pengarah syarikat-syarikat ni. Setakat yang kitorang jumpa, tak ada benda yang nampak terlalu pelik.
Untuk Opensoft dan SE Infinity, maklumat tentang pengarah syarikat pun tak banyak yang boleh dijumpai. Burj Asia pula, salah seorang pengarahnya ialah Ketua UMNO Cawangan Permatang Pauh yang pernah bertanding kerusi DUN dua kali, tapi kalah.
Kitorang tak boleh kata ada unsur ‘duit kopi’ kat sini sebab takde bukti menunjukkan yang tender-tender ni diberikan secara tak telus. Jadi mungkin tiga syarikat ni menang sebab memang dah ada pengalaman buat sistem kerajaan. Mungkin jugak rekod kerja diorang bagus tak macam korang, sebab tu selalu menang tender. Kalau kau buat kerja bagus, apa masalahnya kan?
Dan sekarang bawa kita ke persoalan terakhir:
Kerajaan tengah FOMO ke nak digitalkan semua benda sekarang ni?
Ramai dari kita perasan yang sekarang ni kerajaan suka gila dengan AI dan guna dalam setiap benda yang diorang nak buat. Nak tingkatkan produktiviti lah, nak tingkatkan perkhidmatan awamlah, naktransform sektor kerajaan lah.
Tapi sebenarnya ni bukan benda baru.
Malaysia dah mula bergerak ke arah pendigitalan sejak awal tahun 2000-an lagi. Antara contoh paling terkenal ialah MyKad. Masa tu, kad pengenalan kita ni dianggap antara yang paling canggih di dunia.
Bayangkan negara kecik macam kita dah mendunia masa tu.
Dalam tempoh yang sama, kerajaan juga bangunkanCyberjaya dan mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC) untuk tarik syarikat teknologi datang melabur di Malaysia. Lepas tu muncul pula pelbagai agensi dan program yang fokus pada ekonomi digital, termasuk MDECyang sampai hari ni masih memainkan peranan dalam pembangunan sektor tu.
Usaha ni diteruskan lagi pada tahun 2021 bila kerajaan melancarkan Dasar Pendigitalan Negara. Sasaran dia mudah. Nak lebih banyak perkhidmatan kerajaan dibuat secara digital, urus data dengan lebih baik, tingkatkan keselamatan siber, dan tambah baik capaian internet di seluruh negara. Malah sekarang kita pun dah ada Kementerian Digital dan Jabatan Digital Negara yang bertanggungjawab menggerakkan pelbagai inisiatif digital kerajaan.
Pendek kata, selama lebih dua dekad, kerajaan memang konsisten nak digitalkan sebanyak mungkin perkhidmatan awam. Jadi tak hairanlah kalau makin banyak kementerian dan agensi mula hasilkan aplikasi masing-masing.
Tapi…
Ada banyak aplikasi tak bermakna semuanya jadi mudah
Kalau kita ikut data Jabatan Perangkaan Malaysia, hampir 99.5% rakyat malaysia dah ada telefon pintar manakala 97.1% pula ada akses kepada internet. Jadi dengan kadar penggunaan yang tinggi ni, masuk akal la kalau kerajaan nak banyakkan lagi urusan kerajaan secara digital.
Idea dah bagus tapi macam biasalah, pelaksanaan tu je yang selalunya ada masalah. Contohnya, awal tahun ni, pengguna persoalkan kenapa perlu guna tiga aplikasi berbeza iaitu MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigital ID hanya untuk urusan imigresen dan perjalanan ke luar negara.
Bila setiap agensi nak buat aplikasi sendiri, pengguna macam kita terpaksa muat turun aplikasi berbeza, dan daftar maklumat yang sama berulang kali. Selain tu, kita ada banyak aplikasi yang tawarkan fungsi hampir sama.
Waktu kitorang buat kajian, kitorang dapati ada empat aplikasi yang ada fungsi amaran banjir iaitu MyPublicInfoBanjir, Sistem eBencana JKR, My DIMS danMyGeoServe Lite.
Kitorang juga jumpa 14 aplikasi yang ada fungsi untuk kita buat aduan antaranya adalah ezAdu, Aduan JIPS PDRM, MYJalan2.0 KKR, Respon Rakyat, MyJAS Aduan dan beberapa lagi aplikasi lain. Dan kitorang juga ada jumpa tiga aplikasi yang ada fungsi tunjuk arah kiblat iaitu myKiblat, Jakim Touch dan My Solat.
Selain daripada banyak aplikasi ni, ada juga masalah lain macam aplikasi yang dah terbengkalai ataupun dapat penilaian yang rendah sebab masalah aplikasi tu sendiri tak mesra pengguna.
Tapi nampaknya, kerajaan sendiri sedar benda ni berlaku. Dan sekarang ni, diorang dah perkenalkan aplikasi MyGOV yang dirancang untuk jadi super app yang himpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dari pelbagai agensi dalam satu aplikasi.
Ini termasuk akses kepada dokumen dan rekod penting macam maklumat IC, lesen dan pasport kita dan lebih banyak lagi fungsi yang akan ditambah secara berperingkat.
Kitorang juga ada jumpa tender untuk aplikasi i-KM yang bertujuan menggabungkan i-Kredikom dan i-Gadaian ke dalam satu aplikasi. Jadi, pengguna tak perlu lagi bertukar antara dua aplikasi hanya untuk mencari pemberi pinjaman berlesen atau premis pajak gadai berlesen.
JPJ juga nampaknya bergerak ke arah yang sama dengan cuba gabungkan perkhidmatan digital diorang. Tapi buat masa ni, masih ada urusan yang perlukan korang guna aplikasi berasingan. Contohnya, walaupun MyJPJ dah jadi platform utama untuk berberapa perkhidmatan, pengguna kena pergi ke aplikasi JPJ lain untuk urusan tertentu.
Kalau usaha untuk satukan beberapa aplikasi ke dalam hanya satu je aplikasi ni berjaya, mungkin lepas ni kita dah tak payah nak pindah-pindah aplikasi untuk buat urusan kerajaan yang bukan selalu pun kita buat.
Pada masa yang sama, kos pembangunan dan penyelenggaraan sistem juga tak mustahil dapat dikurangkan. Tapi masih bergantung kepada seberapa rumit pembangunan dan penyelenggaraan aplikasi ni lah.
Kerajaan juga tengah ambil langkah untuk jaga keselamatan data dengan pastikan supaya pembangunan perkhidmatan digital kerajaan diuruskan orang dalam kerajaan sendiri, dan bukannya kontraktor luar lagi dah.
Sama ada usaha ni betul-betul dapat selesaikan masalah yang dihadapi pengguna kita masih tak dapat dipastikan. Tapi kalau kerajaan nak betul-betul mudahkan urusan rakyat, diorang patut tumpu untuk pastikan perkhidmatan digital ni betul-betul berfungsi dengan baik dan mudah untuk digunakan oleh kita semua.