9 perkataan English yang terpesong maknanya bila di-Melayukan

Ni SOSCILI nak tanya sikit… siapa yang familiar dengan istilah ‘gostan’ sila angkat kaki! Haa, tau kan apa makna dia? Bagi yang tak tau tu, biar video Oh My English tolong explain:

https://www.youtube.com/watch?v=dRMytqDhD9w

Haha, kita selalunya guna gostan bila nak suruh orang undur kereta. Tapi tau tak mana asal perkataan ni? Banyak blog yang kami jumpa bagitau yang ‘gostan’ diambil daripada perkataan English ‘go astern’, yang digunakan oleh kelasi untuk mengundurkan kapal laut. Entah macam mana istilah orang laut boleh terlepas jadik bahasa kita, itu kami tak tau. Yang kami tau, “gohed gostan” ni kita dah guna dari zaman P Ramlee lagi! Tapi paling best sekali, perkataan ‘gostan’ dah masuk kamus! Tak caya boleh check kat website Dewan Bahasa.

Selain ‘gohed gostan’, banyak lagi perkataan English yang kita ambik jadi anak angkat, masuk dalam bahasa sendiri. Jadi SOSCILI dan partner kami Oh My English mintak tolong rakyat Malaysia untuk submit perkataan Manglish apa yang dorang guna, dan ini yang kami dapat…

1. taff (tough)

Mana tak tough, dia kan The Tock (batu). Ha, ha, ha... #krik3
Mestila tough (keras), dia kan The Rock (batu). Hahaha… #krik3

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: tahan lasak; gagah; liat dan payah dikerat atau dikunyah

Maksud yang telah diMelayukan: Badan yang berketak-ketak hasil senaman yang intensif serta diet yang penuh dengan protein. Istilah ni dah semakin pupus sebab digantikan dengan ‘sado’ iaitu singkatan bagi ‘besar doh’.

Contoh ayat:

“Amin: Man ko tengok badan aku yang tough ni, ko rasa kalau aku ayat awek lepas tak?

Man: Ini bukan tough, ini otot bengkak ni, baik ko pergi cek kat doktor cepat.” – dihantar oleh Anas

2. tackle

Ini cara tackle pihak lawan ye, bukan cara memikat jelitawan.

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: takal; alat untuk memunggah barang-barang; menyelesaikan masalah; menangani

Maksud yang telah diMelayukan: Cubaan memikat/mengorat seseorang individu untuk dijadikan sebagai pasangan romantik, selalunya dilaksanakan oleh kaum lelaki kepada kaum wanita. Biasanya kalau tackle sekali tak dapat, pandai-pandailah berundur diri. Can ada sekali je.

Perlakuan tackle biasanyanya ada sekali je peluang dia, kalau tak dapat silalah tau bila nak mengundur diri.

Contoh ayat:

“Aku baru nak tackle awek tu, rupanya dah jadi tunang orang dah” – dihantar oleh Pravin

3. sound

Nanti kena culik dengan jin….

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: bunyi; membunyikan; mengucapkan; menuturkan; sihat; sempurna; baik; kukuh; betul; berwibawa; rapi

Maksud yang telah diMelayukan: Perbuatan menegur, menggertak, memarahi, atau paling kurangpun bagi warning. Siapa yang pernah duduk asrama tu, kalau tiba-tiba ada senior panggil datang bilik dia pukul 3 pagi, tandanya nak kena sound la tu.

Contoh ayat:

“Ali, kau nampak tak Bob?”

“Aku nampak tadi ke pekan. Kenapa Leman?”

“Aku nak sound Bob tu sikit. Ada patut dia tolak adik aku masuk sawah pagi tadi. Habis kotor baju sekolah adik aku kau tahu!” – dihantar oleh Syafiqah

4. power

Power gila Emperor Palpatine.

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: kesanggupan untuk berbuat sesuatu; tenaga; kekuatan; daya; kawalan; pengaruh; orang atau negeri yang berpengaruh; (kiraan) ganda; kuasa eletrik atau jentera; bekalan elektrik

Maksud yang telah diMelayukan: Menyatakan betapa hebatnya seseorang/sesuatu. Digunakan secara bergilir-gilir dengan satu perkataan Manglish yang lain iaitu ‘terer’.

Contoh ayat:

“Bapak ah, power gila hang main Dota bro!!” – dihantar oleh Halim

5. kona (corner)

Jangan silap ambil kona, silap-silap boleh koma.

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: sudut; penjuru; selekoh; terkepung; belok; dapat menagawal pasaran secara memonopolikan bekalan sesuatu barangan

Maksud yang telah diMelayukan: Perbuatan mengambil selekoh tajam sewaktu menunggang motor/memandu kereta (selalunya mat rempit la yang guna). Skill kona ni ada beberapa level, daripada kona biasa sampailah ke kona baring cecah lantai.

Contoh ayat:

“Aksi kona baring di saat-saat akhir yang dilakukan oleh Linggam telah berjaya memintas Samad. Ia secara langsung menjadikan beliau juara di Pertandingan Piala Ketua Kampung.” – dihantar oleh Shahir

6. best

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: terbaik; paling baik; sebaik-baiknya

Maksud yang telah diMelayukan: Boleh digunakan dalam apa-apa ayat sekalipun untuk menggambarkan apa-apa perasaan yang positif. Sebuah perkataan Manglish yang sangat fleksibel dan banyak kegunaannya, macam pokok kelapa.

Contoh ayat:

“Weh macam mana game tu?”

“Best jugaklah. Macam biasa je.” – dihantar oleh Kamarulzaman

7. karen (current)

Ini bukanlah minah karan yang kami cari.

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: semasa; sekarang; diterima umum; arus aliran eletrik

Maksud yang telah diMelayukan: Kadang-kadang digunakan dalam konteks makna asal iaitu arus eletrik, dan kadang-kadang digunakan dengan perkataan ‘buang’, iaitu ‘buang karan’ yang membawa maksud membuang masa, membazirkan tenaga, dan yang sewaktu dengannya.

Contoh ayat:

“Jomlah Sop teman aku pegi rumah Odah tu” ajak ijan bersungguh.

“Oh mak aih, dari aku buang karen layan ko mengorat si odah tu, baik aku pegi kebun tu ja ada jugak ler pekdahnya!” Dengus Si Usop. – dihantar oleh Hamdan

8. spender

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: Orang yang membelanjakan wang.

Maksud yang telah diMelayukan: Seluar dalam. (Itu je yang kami dapat huraikan sebab maknanya sangat direct. Entah macam mana ‘pembelanja besar’ jadi ‘seluar dalam’ serius kami tak tahu.)

KEMASKINI: Sebenarnya, perkataan dimelayukan ialah ‘spenda‘, satu akronim untuk perkataan ‘seluar pendek dalam‘.

Contoh ayat:

Mat Salleh shopping dekat Bukit Bintang: “Wow, you are such a big spender!”

Malaysian beli seluar dalam dekat Bukit Bintang: “Wahhh, besarnya spender!” – dihantar oleh Syamila

9. blank

Buat muka blank selalu untuk mengurangkan kedutan di muka.

Maksud asal mengikut kamus Dwibahasa Oxford Fajar: kosong, tempat kosong

Maksud yang telah diMelayukan: Riak wajah yang dipaparkan apabila seseorang tu tak tahu apa yang sedang berlaku. Digunakan secara bergilir-gilir dengan satu perkataan Manglish lain iaitu ‘blur’.

Contoh ayat:

“Woi rekrut, kamu semua jangan nak buat blank dengan arahan yang di keluarkan oleh pihak atasan!” – dihantar oleh Farhan

Boleh je guna perkataan Manglish, tapi kena tau jugak makna asal!

Sebenarnya benda ni bukan jadik kat bahasa kita je, malah orang puteh yang cakap English pun banyak silap guna perkataan yang dipinjam daripada bahasa-bahasa lain. Tapi macam biasalah, mana-mana bahasa pun akan berkembang dan berevolusi mengikut peredaran zaman.

Tapi dalam kita gunakan perkataan Manglish ni sehari-hari, jangan lupa apa makna yang sebenar! Kalau tak bila speaking dengan mat saleh boleh buat salah faham haha, macam contoh daripada The Vocket ni:

So kalau nak belajar biasa English secara seronok, kat mana nak pergi? Mestilah di… Oh My English! Hehe. Saksikan season baru Oh My English After School setiap Ahad pukul 6.30 petang, hanya di TVIQ channel 610 dan Maya HD channel 135.

(P/S: Jangan lupa jawab OME Big Challenge sekali! 100 yang pertama dapat complete akan dapat board game ekslusif daripada Oh My English hokeii… siap dapat sijil yang diiktiraf oleh Astro dan British Council lagi, hapa lagi korang nak.)