- 371Share sekarang!
- Email2
- Facebook369
- Share
Pada tarikh 27 Mei 2019 jam 5.16 petang ni akan berlaku peristiwa besar buat umat Islam. Ia dinamakan sebagai peristiwa Istiwa al-A’dzam atau dalam bahasa kita Istiwa Utama. Korang tentu masih tak fahamkan apa yang dimaksudkan dengan Istiwa Utama ni?
Ia adalah peristiwa di mana matahari berada tegak di atas kaabah. Waktu ni lah semua pihak bertanggungjawab dan korang sendiri boleh semak arah kiblat. Sama ada wujud perubahan sikit atau tak.
Cara semak arah kiblat sewaktu Istiwa al-A’dzam
(Artikel ni banyak merujuk jurnal kajian bertajuk Astronomi dan Ibadah tulisan Saedah Haron, Raihana Abd. Wahab & Mohd Zambri Zainuddin)
Menurut jurnal bertajuk Astronomi dan Ibadah, cara nak semak arah kiblat adalah seperti berikut,
“Untuk mendapatkan arah qiblat sebenar, pacakkan kayu tegak di tanah lapang pada tarikh dan waktu tersebut (27 Mei 2019 jam 5.16 petang & 16 Julai pukul 5.28 petang).”
“Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, maka arah kiblat ialah arah yang bertentangan.”- Petikan dari Islam.gov.my
Kalau korang rasa nak cuba, kena pastikan tiang tu tegak dan lurus. Korang kalau nak tau tiang tu tegak ke tak, boleh semak gunakan sebarang pemberat yang diikat di hujung tiang berkenaan. Serta pastikan tempat yang korang letak tiang tu tak terlindung dari sinaran matahari.
Dua lagi kaedah untuk tentukan arah kiblat
Selain daripada memafaatkan peristiwa Istiwa Utama, masih ada dua kaedah lain yang korang mungkin tak tahu.
1) Kaedah Buruj
Korang ingat lagi buruj-buruj ni waktu belajar dulu? Mestilah tak ingat sebab korang dah tak kerja bidang astronomi sekarangkan. Sebenarnya, ada dalam jenis-jenis buruj digunakan untuk menentukan arah kiblat.
Untuk buruj Belantik (Orion), ia ada 3 bintang sejajar iaitu ‘mintaka’, ‘alnilam’ dan ‘annitak’ bila diunjur ke arah barat yang menunjukkan arah kiblat.
Selain tu, satu kumpulan buruj yang boleh menentukan arah kiblat ialah gabungan buruj Ursa Minor dan Ursa Major. Pada waktu malam yang cerah, kedua-dua buruj ni boleh dilihat dengan mata kasar. Korang berdiri di kawasan lapang, sebelah kanan korang buruj Ursa Major dan sebelah kiri adalah buruj Ursa Minor. Jadi, bahagian hadapan yang korang mengadap sekarang adalah arah Barat. Dari situ putarkan badan korang sebanyak 22 darjah ikut arah jam. Maka, hadapan korang tu lah sekarang adalah arah kiblat.
2) Kaedah Lintasan Matahari
Salah satu peluang terbaik untuk menetapkan arah kiblat adalah sewaktu matahari berada tegak di atas garisan kiblat. Fenomena ni berlaku hampir sepanjang tahun di Malaysia kecuali hari-hari tertentu dalam bulan Januari, Jun, Julai dan Disember.
Cara nak semak mudah je. Bayang matahari dicari dengan meletakkan kayu tegak tanpa ada apa-apa halangan kat tanah lapang. Ia boleh dilakukan pada tarikh dan waktu yang mana bayang matahari searah dengan kiblat. Nak tahu waktu dan tarikh tu kena semak dengan pihak berautoriti atau kat sini.
Sumbangan bidang Astronomi untuk umat Islam sejagat tak boleh dinafikan
Dalam bab nak tentukan kiblat pun dah menunjukkan betapa pentingnya ilmu berkaitan Astronomi. Ilmu Astronomi ni jugalah yang menyediakan kaedah untuk kita melakukan perlaksanaan ibadah harian. Sedar atau pun tidak, dari ilmu ni kita dah mendapat manfaat seperti penentuan waktu solat, penentuan arah qiblat dan kalendar hijri bagi ibadah puasa han hari raya.
Ilmu-ilmu astronomi yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu seperti Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Al-Kindi dan lain-lain perlulah terus dimanfaatkan serta dikembangkan. Moga-moga sumbangan hasil kajian mereka dan generasi seterusnya dikira sebagai amal jariah dan terus memudahkan urusan umat Islam.
- 371Share sekarang!
- Email2
- Facebook369
- Share