Pemegang saham FGV mengundi bantah gaji para pengarah. Dah kenapa?

(This article is translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Baru-baru ni, FGV Holdings dah adakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), dan ada satu benda pelik dah jadi. Sebabnya, tiga pemegang saham utama dah menolak resolusi pembayaran kepada para pengarah syarikat tu. Ni bermakna, pengarah syarikat tak akan dapat bayaran seperti yuran pengarah, tuntutan serta faedah lain, macam – perubatan dan insurans.

Bagaimanapun, pemegang saham masih lagi meluluskan semua resolusi berkaitan dengan pemilihan semula lembaga pengarah. Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid, dalam reaksinya berkata:.

“Ia seakan memberi petunjuk mereka mahu kami bekerja tetapi tanpa sebarang bayaran. Ingin saya tekankan di sini bahawa tiada sebarang kenaikan yuran Pengarah dan jumlahnya masih sama dengan sebelum ini. Saya benar-benar tidak tahu apa asas kepada penolakan ini.” – Katanya dipetik dari BH Online.

Lebih terperinci lagi, antara pemegang saham yang menolak resolusi tu adalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda, 33.6% pemilikan), Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF, 5% pemilikan) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT, 1.25% pemilikan).

Dalam masa sama, selain dari menolak resolusi bayaran kepada pengarah, mesyuarat tu juga menolak resolusi membolehkan para pengarah menerbitkan saham baru.

Huh! Takde saham baru? Imej dari The Star.

Akibat dari perkembangan tu, mungkin ada pihak yang fikir bayaran pengarah tu tertalu tinggi, sampaikan resolusi ditolak. Tapi, sampai ke hari ni, para pemegang saham tak dedahkan apa-apa butiran lanjut tentang tindakan diorang tu. Bagaimanapun, ada juga yang kata, perkembangan ni seolah-olah menunjukkan hubungan yang tak baik antara FGV dengan para pemegang sahamnya.

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku antara FGV dengan pemegang sahamnya? Kenapa tak nak bayar para pengarah? Tapi, kalau korang dah biasa dengar cerita pasal FGV, korang akan dapat tahu yang…

FGV dan Felda kedua-duanya dalam keadaan bermasalah

Macam SOSCILI dengan CILISOS (dan juga Asklegal). Cumanya, kitorang kat satu bangunan. Imej dari Malay Mail dan Utusan.

Walaupun kedua-duanya ada perkataan ‘Felda’, sebenarnya FGV dan Felda ni adalah dua entiti yang berbeza. Felda adalah badan kerajaan yang ditubuhkan sejak tahun 1956 lagi, untuk membantu masyarakat masa tu keluar dari belenggu kemiskinan. Felda masa tu keluarkan skim dengan bagi tanah kepada orang yang layak. Dengan tanah tu, bolehlah diorang tanam pokok getah, sawit dan sebagainya untuk jana pendapatan.

Tapi pada tahun 1990-an, kerajaan mula nampak yang Felda dah boleh berdiri sendiri tanpa bantuan sepenuhnya dari kerajaan. Jadinya, Felda lepas tu lancarkan beberapa badan korporat, yang salah satunya Felda Global Ventures atau FGV. 

Ia ditubuhkan pada tahun 2007 sebagai cabang komersil Felda, tapi pada tahun 2012 Perdana Menteri masa tu, Datuk Seri Najib Razak nak senaraikannya dalam Bursa Malaysia, jadi tawaran awam awal (IPO) diadakan.

IPO ni kemudiannya jadi cukup berjaya, sampaikan FGV menaik $3.1 bilion (RM9.45 bilion pada tahun 2012) daripada IPO-nya, yang tertinggi di Asia pada tahun itu, dan salah satu yang tertinggi di dunia. Sebagai sebahagian dari penyenaraian, Felda dan FGV pun buat perjanjian di mana – Felda dapat 15% dari keuntungan operasi FGV, ditambah dengan jumlah tetap sekitar RM250 juta setahun di bawah perjanjian pajakan tanah (LLA) dengan menempatkan 351,000 hektar tanah Felda di bawah FGV.

Akan tetapi, walaupun pada awalnya FGV catatkan prestasi yang baik, tapi lama-lama ia mula menurun. Korang boleh tengok di bawah ni:

Sejarah nilai FGV. Imej dari Google.

Tak lama lepas IPO, saham FGV naik tinggi pada RM5.39 seunit, tapi lepas dua tahun, nilai itu menurun kepada RM2.85 pada akhir tahun 2014. Dikatakan hal ni berpunca dari penurunan harga komoditi dan kerugian hiliran serta ditambah lagi dengan ringgit yang lemah.

Tapi seperti mana yang korang boleh nampak dalam graf, sehingga ke hari ni, nampaknya FGV masih lagi belum pulih. Bermula dari tahun 2015, FGV dah jatuh dalam keadaan hutang bersih dan ia terus menjunam mencecah rekod rendah pada RM0.64 tahun lepas.

Secara keseluruhannya, permodalan pasaran FGV dah menurun daripada hampir RM20 bilion pada tahun 2012 kepada hanya RM2.6 bilion tahun lepas. Ni bermakna, para pelabur dah hilang lebih dari RM17 bilion dalam nilai. Tahun lepas, FGV mencatatkan kerugian sebanyak RM1.08 bilion, jadinya para pemegang saham pun rasa kurang yakin nak bayar RM5.74 juta kepada para pengarah FGV ni. Tak la pelik sangat kan?

Arrghh! Imej dari This is Money (UK).

Sebagai contoh, LTAT mengatakan – keputusan diorang tolak pembayaran kepada para pengarah sepatutnya tak dipandang ringan, dan ia dibuat untuk melindungi kepentingan para penyumbangnya yang terdiri daripada anggota-anggota tentera.

“Memandangkan keadaan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan semasa FGV, kami berpendapat yang imbuhan pengarah sepatutnya sepadan dengan keadaan semasa di FGV dan prospeknya kemudian.” – Kenyataan LTAT, dipetik dari The Star.

Tapi, macam mana pula FGV boleh jadi macam ni?

FGV nampaknya macam dah buat pengambilalihan yang buruk (dan kontroversi)

Bila bercakap pasal kerugian FGV, antara yang dikatakan jadi penyebab utama kemerosotan aset adalah akibat pegurusan terdahulu. Melalui IPO, FGV berjaya mendapatkan lebih daripada RM4 bilion (selebihnya pergi ke Felda), dan sebahagian besar dari duit tu digunakan untuk membeli ladang dan syarikat. Bagaimanapun, ada di antaranya yang terlalu mahal dan/atau tak ada nilai tambah kepada FGV.

Bila kerajaan keluarkan Kertas Putih Felda, diorang senaraikan enam pembelian FGV yang dibuat melebihi harga pasaran, dengan jumlah RM2.48 bilion:

  1. Pontian United Plantations Bhd pada 2013
  2. Empat syarikat di bawah Golden Land Bhd pada 2015
  3. Asian Plantations Ltd pada 2014

Pontian United Plantations Bhd dibeli pada harga RM1.2 bilion, dengan FGV membeli semua 8.65 juta sahamnya pada RM140 setiap satu. Ini memberikan FGV 16,000 hektar tanah sawit matang (kebanyakannya di Sabah), kilang, dan kemudahan kernel-crushing. Walaupun pengambilalihan tak la buatkan penganalisis rasa pelik masa tu, BIMB Securities kemudiannya kata – harga RM74,800 setiap hektar yang FGV dah bayar tu terlalu tinggi.

Akhirnya, pada tahun 2016, beberapa subsidiari syarikat dah dibawa ke mahkamah atas tuntutan berkaitan tanah, mungkin disebabkan diorang tak dapat semua 16,000 hektar tanah tu.

Pemandangan ladang kelapa sawit. Imej dari The Edge Markets.

Selain tu, FGV juga membelanjakan RM655 juta untuk empat syarikat perladangan dan 836.1 hektar tanah kelapa sawit di Sabah dari Golden Land Bhd. Tapi ia tak jadi isu sangat masa tu, sampailah pada 2017, bila satu dari syarikat tu dah disaman atas isu tanah.

Tapi mungkin pengambilalihan FGV yang paling kontroversi adalah Asia Plantations Ltd (APL) pada tahun 2014. APL dah dibeli dengan nilai kira-kira RM1 bilion atau sekitar RM65,000 setiap hektar, iaitu harga tiga kali ganda dari yang ditawarkan kepada syarikat-syarikat lain – RM20,000 per hektar.

Selain dibeli lebih harga, lebih kurang 40% tanah APL tak boleh ditanam sama sekali. Sekitar 2,600 hektar tanah tu ada masalah dengan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), dan 7,300 hektar lain masih lagi tak jelas.

“Kawasan ini berbukit dan terdapat tanah runtuh yang kerap. Tanah itu cetek dengan tekstur berliang… tanah runtuh adalah perkara biasa.

Jalan raya adalah pembalakan, yang tidak boleh digunakan apabila hujan – lori tidak boleh melalui, ia terlalu licin.” – sumber yang dikaitkan dengan masalah tu, dipetik dari The Edge Markets.

Tanah Hak Adat Bumiputera juga jadi isu dalam banyak kes lain, macam pembalakan. Imej dari abc sadong.

Tapi sebelum Kertas Putih keluar lagi, FGV dah dibelenggu dengan masalah lain. Kalau korang ingat pada 2017, kita dah dengar tentang isu rasuah dan ada juga yang mengatakan, ia lebih besar dari 1MDB.

Lepas tu, FGV datang dengan orang baru dalam lembaga pengarahnya dan selain dari meneruskan usaha baik pulih dari segi dasar dan pelan perniagaan, diorang juga mula siasat enam isu melibatkan tiga perkara:

  • RM100 juta dalam hutang lapuk yang disebabkan oleh talian kredit terbuka, jualan minyak sawit yang lemah dan amalan perdagangan pembelian yang lemah,
  • Kontrak perolehan diberikan secara langsung, melanggar amalan baik, dan
  • Lebih RM170 juta kerugian akibat kekurangan pekerja yang kritikal antara Mei 2016 dan April 2018.

Selain isu APL (di mana FGV dah saman bekas pengarahnya), FGV juga buat siasatan forensik terhadap lima isu lain:

  • pelaburan di FGV Cambridge Nanosystems Ltd
  • pengambilalihan kondominium Troika
  • pajakan kereta-kereta syarikat
  • pelaburan di FGV Green Energy Sdn Bhd
  • pengambilalihan Yapidmas Plantations di Sabah
Siasatan masih berjalan. Imej dari gifimgs.com

Jadi dengan segala yang jadi ni, mungkin tak memeranjatkan sangatlah bila FGV bergelut dengan masalah kewangan. Tapi lebih utama dari menyiasat semua ni, para pengarah masih kena buat sesuatu dengan keadaan kewangan FGV sebelum ia menjadi semakin buruk. Jadi dengan pemegang saham menolak resolusi mengenai gaji diorang…

Boleh ke lembaga pengarah FGV baru buat semuanya tanpa gaji?

Sehingga mana artikel ni ditulis, masih belum jelas macam mana penolakan bayaran ni boleh jadi. Tapi ada beberapa idea yang muncul. Salah satunya, Pengerusi FGV, Azhar Abdul Hamid dah tawarkan kesediaannya ketepikan yuran pengarahnya untuk tahun 2018, demi keseluruhan lembaga pengarah dapat yuran masing-masing.

Cadangan ni baik sebenarnya, memandangkan RM1.95 juta tu menjadikan satu pertiga daripada cadangan RM5.74 juta untuk kesemua 17 ahli lembaga pengarah.

Bagaimanapun, ia dah ditolak oleh pemegang saham.

“Setelah mengambil perhatian [kebimbangan KWSP], saya secara sukarela mengetepikan yuran saya… Sayangnya, ini tidak menyebabkan apa-apa perubahan. Dan sekarang saya menyesal membuat cadangan tu, tapi apa boleh buat. Ia dah jadi. “- Azhar Abdul Hamid, dipetik dari The Edge Markets.

Selain jadi Pengerusi FGV, Azhar juga Pengerusi MSM Malaysia Holdings Bhd. Imej dari The Malaysian Reserve.

Datuk Zakaria Ashad, wakil dari KPF pula kata, kalau FGV serius nak mengetatkan bajetnya, lembaga pengarah diorang sepatutnya dibayar separuh daripada bayaran yang dicadangkan tu. Dorang masih boleh dapat yuran daripada menghadiri mesyuarat dan faedah lain, tapi yuran sama macam tahun lepas bukanlah pilihan.

“Sebagai pelabur yang bertanggungjawab, saya fikir KPF perlu melihat wangnya berkembang. Itulah keprihatinan kami.” – Datuk Zakaria Arshad, dipetik dari Malay Mail.

Manakala, bekas pengurus besar Minority Shareholders Watch Group, Lya Rahman pula kata, sejak pemegang saham buat undian pasal bayaran tu diAGM, satu-satunya cara untuk membatalkannya adalah memanggil mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan mengundi semula.

Walau bagaimanapun, ia boleh dilihat sebagai pembaziran wang dan sumber. Dia mencadangkan untuk memberi tumpuan kepada bukan sahaja isu bayaran, tapi juga melibatkan pemegang saham untuk menangani isu-isu ni dengan lebih baik.

Klik sini atau imej kalau nak baca Kertas Putih Felda.

Dan seperti mana yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin, penolakan tu dah pun berlaku, tapi masih ada ruang untuk perbincangan. Jadi, sama ada ia akan jadi tahun tanpa bayaran untuk para pengarah FGV, mungkin kita boleh tunggu diorang membincangkannya.

“Ini bukan muktamad. Ia boleh diselesaikan menerusi rundingan dengan pihak yang berkaitan… Ia baru berlaku semalam (25 Jun), kita tunggu tindakan lanjut oleh pihak yang terlibat.” – Katanya dipetik dari Sinar Harian.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.