- 884Share sekarang!
- Email3
- Facebook881
- Share
Kalau korang peminat politik negara atau rajin baca surat khabar, mesti sekali-sekala pernah baca pasal pendidikan percuma. Isu pendidikan percuma ni selalunya famous kalau dekat-dekat Pilihan Raya Umum. Hari ini kami nak beritahu korang, ada satu kumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP). Objektif utama penubuhan gerakan ni, mereka nak tuntut Malaysia untuk adakan pendidikan percuma dari sekolah rendah sampailah tahap PhD.
Kalau korang mula fikir mereka ni sekadar sembang kosong, kami nak beritahu korang yang GMPP ni bakal terbitkan satu laporan khas tentang cara-cara untuk mencapai objektif mereka. Kami dah diberi peluang untuk tengok draf laporan yang bakal mereka keluarkan. Fuh! Pening kepala kami tengok macam-macam graf dan statistik yang ada pada laporan tu. Macam biasalah, kami ni tak nak acah-acah pandai, jadi, kami ada bertanya pakar ekonomi tentang pendidikan di Malaysia ni. Korang rasa kami jumpa siapa?
Pakar ekonomi yang pernah mengegarkan Malaysia kerana pendapatnya di TV1
Masa kita tengah hangat sembang pasal Bajet 2018 dulu, ada satu pakar ekonomi yang menonjol keluarkan pendapat tentang realiti kehidupan rakyat, namanya ialah Dr Muhammed Abdul Khalid. Punyalah selamba dia lawan hujah-hujah panel lain dalam forum TV1 Landskap – Prabajet. Sekarang ni, Dr Muhammed jadi Chief Economist dekat DM-Analytic. Kami berpeluang borak sambil minum-minum kopi dengan dia dan bertanya tentang sistem pendidikan sedia ada. Kami juga ada rujuk video-videonya sebelum ini tentang sistem pendidikan negara.
Korang percaya tak yang jurang pendidikan diantara orang kaya dan miskin di Malaysia dah bermula sejak seseorang tu berumur tiga tahun? Menurutnya, ada kajian yang menunjukkan anak orang kaya mendengar lebih daripada 30 juta perkataan berbanding anak orang miskin. 30 juta babe, bukan 30 ribu. Maknanya jurang pendidikan dah bermula sejak kita minum susu botol lagi.
Penulis buku The Colour of Inequality ni ada juga mengkritik Maktab Rendah Sains Mara kerana sepatutnya beri tumpuan untuk anak-anak orang miskin.Tapi, mengikut data MRSM dua tahun lepas, 4 daripada 10 pelajar yang masuk MRSM bukanlah anak orang susah dan angka ini makin meningkat.
Selain tu, sistem pendidikan kita terlalu mengikut meritokrasi. Maksudnya, tak kisahlah pendapatan keluarga korang berapa, sistem pendidikan kita nak korang skor banyak gred A dalam peperiksaan. Barulah korang boleh masuk universiti dan apply biasiswa. Jadi, orang miskin terpaksa terpaksa belajar serba kekurangan untuk dapat banyak A.
Dia juga mencadangkan supaya sekolah agama di negara kita diperkasakan sebabnya sekarang keluaran sekolah agama lebih ramai daripada keluaran sekolah kemahiran dan teknikal.
“Mungkin kita boleh combinekan kedua-dua ni, bagi budak sekolah agama petang belajar teknikal, belajar Bahasa Inggeris, belajar mungkin Bahasa Mandarin, kita perkasakan sekolah agama ni.” – Wawancara Dr Muhammed Abdul Khalid bersama Astro Awani.
Bukan setakat sistem pendidikan rendah dan menengah yang dia komen, dia juga ada komen pasal sistem pendidikan tinggi kita. Katanya, sistem pengajian tinggi di negara kita boleh ambil contoh negara lain supaya lebih membantu orang miskin.
“Kita ambil contoh negara lain ya, banyak negara kita boleh ambil contoh. Kita ambil contoh France, dia bagi yuran tak sama rata. Kalau golongan kaya, bayar banyak sikit, kalau lebih kaya, lebih banyak. Kalau miskin sama rata.
Kita lain, kita make sure semua yuran sama, kita bagi hutang. Tapi hutang, kalau student, keluar universiti tiba-tiba hutang. Nak bayar hutang, nak simpan nak kahwin lagi, lepas tu nak simpan duit nak beli rumah lagi. Makin lama makin susah sebab nak bayar hutang yang pertama.”- Dr Muhammed Abdul Khalid dalam Agenda Awani.
Kalau korang kaki media sosial, mesti korang pernah tengok video dia patahkan hujah Naib Canselor UPSI dalam forum RTM. Komennya mendapat pujian kebanyakan daripada pengguna internet, bahkan dia siap sekolahkan Naib Canselor UPSI tu tentang social contract. Dia juga konsisten mengatakan yang peluang pekerjaan di negara kita perlu diperbaiki.
Sistem pendidikan kita ada sediakan banyak bantuan untuk mereka yang memerlukan
Untuk faham sistem pendidikan di negara kita, tak adalah susah mana. Sistem pendidikan kita bermula dengan pra-sekolah, kemudian diikuti dengan sekolah rendah yang berakhir dengan UPSR dan sekolah menengah yang berakhir dengan SPM. Untuk masuk ke universiti, kena ada STPM, sijil matrikulasi, asasi atau diploma. Untuk yuran pulak, bagi sekolah kerajaan, yuran di sekolah-sekolah adalah percuma dan untuk institusi pengajian tinggi awam, yuran disubsidikan oleh kerajaan.
Pada peringkat sekolah rendah, kerajaan kita ada wujudkan Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia berjumlah RM100. Kalau korang belum tahu apa syarat-syarat untuk bantuan ni, hari ini kami kongsikan dengan korang.
- Murid warganegara Malaysia
- Bagi murid bukan warganegara, salah seorang ibu/bapa/penjaga mestilah warganegara
- Murid tahun 1 hingga tingkatan 5 dengan isi rumah pendapatan RM3,000 ke bawah
- Bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan termasuk Sekolah Berasrama Penuh
Satu lagi bantuan yang popular yang ada pada peringkat sekolah ialah dapat makan percuma bagi pelajar yang kurang berkemampuan, nama bantuan ni Rancangan Makanan Tambahan (RMT). RMT sebenarnya dah wujud sejak tahun 1979 lagi yang mana fokusnya nak beri makanan tambahan kepada pelajar di luar bandar atau golongan yang berpendapatan rendah. Pada tahun 2011, kerajaan membelanjakan RM 247 juta untuk bantuan ni.
“Pada mulanya, pelaksanaan RMTS akan dilaksanakan berdasarkan statistik yang diperolehi daripada pendaftaran e-Kasih yang membabitkan 54,000 pelajar miskin sahaja. Bagaimanapun kementerian menerima banyak rungutan daripada pelbagai pihak berhubung pemilihan menerusi e-Kasih yang mendakwa ramai murid yang layak telah tercicir daripada menerima bantuan ini.” – Dr. Puad Zarkashi laporan Utusan.
Selain RMT, kerajaan juga ada Program Susu 1Malaysia, Biasiswa Kecil Persekutuan, dan Tabung Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
Untuk pendidikan tinggi, bentuk-bentuk bantuan pernah kami tulis dalam satu artikel ni (klik sini untuk baca). Menurut Dr Muhammed, kalau nak dapat biasiswa dekat negara ni, benda paling penting adalah pelajar tu kena skor banyak A. Tak kiralah dia miskin atau kaya. Bagi mereka yang ada keputusan biasa-biasa dalam peperiksaan dan miskin, terpaksalah pinjam PTPTN.
Banyak je bantuan pendidikan yang kerajaan bagi, nak percuma apa lagi?
Objektif utama Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma ni nak bagi pendidikan kita percuma dari tadika sehingga PhD, mereka ada tujuh tuntutan khas untuk mencapai objektif tu. Kalau korang nak tahu, ini merupakan tujuh tuntutan GMPP:
- Prasekolah awam percuma untuk semua
- Pengangkutan bas sekolah untuk luar bandar
- Skim Kelengkapan Pendidikan Malaysia (SKPM)
- Menghapuskan semua jenis bayaran di sekolah
- Menghapuskan semua yuran IPTA dan IPTS
- Mansuhkan PTPTN
- Mansuhkan AUKU dan Akta IPTS (555) untuk universiti swasta.
Okay, mari kita pergi satu persatu tuntutan kumpulan GMPP ni. Pertama, mereka nak prasekolah awam percuma untuk semua rakyat. Untuk pengetahuan korang, di Malaysia kita ada prasekolah dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan prasekolah swasta. Macam universitilah, ada awam dan ada swasta. GMPP mendapati yang prasekoleh dibawah kementerian lebih mesra dan mempunyai sistem pembelajaran yang lebih berkesan.
Malangnya, tak semua orang boleh masuk prasekolah milik kerajaan ni. Jawatankuasa pemilihan murid akan pilih murid-murid yang mereka rasa sesuai. Bagi murid-murid yang tak terpilih, terpaksalah mereka masuk ke prasekolah swasta dengan yuran akan ditentukan oleh pemilik prasekolah tu. GMPP ni risau ia akan beri tekanan pada keluarga miskin, sebab itulah mereka tuntut prasekolah awam untuk semua.
Walaupun yuran dekat sekolah dah kena mansuh, yuran PIBG masih ada. Jumlah yuran PIBG ni akan ditentukan masa mesyuarat agung PIBG, masa mak ayah kita datang sekolah tu. Jadi, gerakan ni nak yuran PIBG pun dimansuhkan sekali, dan bas percuma untuk murid luar bandar disediakan.
Menurut kajian GMPP, masalah pengangkutan di kawasan pedalaman boleh menjejaskan akses murid kepada pendidikan. Bukan tu je, mereka juga cadangkan pakaian dan peralatan sekolah secara percuma dengan nama Skim Kelengkapan Pendidikan Malaysia!
Untuk pendidikan tinggi pula, cadangan utama GMPP adalah menghapuskan semua yuran universiti awam dan swasta. Mereka cadangkan kerajaan tanggung sepenuhnya untuk universiti awam. Universiti swasta pulak dijadikan milik kerajaan negeri atau syarikat milik kerajaan. Jadi, kalau yuran universiti dah tak ada, mereka nak mansuhkan sekali PTPTN. Mereka juga nak mansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti dan akta IPTS sekali.
Mesti korang tertanya-tanya, kalau dah semua free, berapa kos yang kerajaan kena tanggung?
GMPP ni percaya dengan mengenakan cukai Capital Gain Tax kepada golongan kaya dekat negara kita, kita mampu cover 15 billion untuk pendidikan percuma. Korang rasa masuk akal tak?
Buat macam kat Perancis, orang miskin bayar yuran sikit dan orang kaya bayar yuran banyak
Sebenarnya, ada je negara yang tawarkan pendidikan percuma kepada rakyatnya, sebagai contoh Jerman, Sweden dan Finland. Kalau korang masih ingat, masa PRU-13 hari tu, Pakatan Rakyat siap tawarkan pendidikan percuma dalam manifesto mereka. Namun dengan manifesto pendidikan percuma ni, mereka tetap kalah dalam PRU-13. Rasa-rasanya orang kita ni tak nak pendidikan percuma atau mereka tak percaya Pakatan Rakyat masa tu betul-betul boleh buat? Selain tu, pendidikan percuma menurut Menteri Kewangan II akan menyusahkan orang lain.
“Cukai individu yang dibayar oleh kita adalah 28%. Bermakna kalau kita nakkan yuran yang tidak dibayar oleh pelajar, kita kena naikkan (cukai pendapatan individu).
Adakah kita mahu lakukan? Kenapa buat rakyat merana? Dan yuran yang kita bagi kalau kita banding dengan negara lain adalah paling rendah. Kita masuk universiti kita belajar bidang ekonomi, kita kena belanja seorang pelajar setahun RM12,000, tiga tahun RM36,000. Yang kita bayar sendiri hanya RM1,500, itupun PTPTN bayar.” – Datuk Seri Ahmad Husni, laporan KiniTV.
Kalau ikut cadangan GMPP, kita tak perlu pun naikkan cukai individu, cukup dengan perkemaskan cukai untuk golongan kaya di Malaysia. Dekat-dekat PRU14 ni, dua blok politik utama di negara kita tak ada lagi yang tawarkan pendidikan percuma kepada rakyat. Korang rasa masih adakah harapan untuk orang memperjuangkan pendidikan percuma di negara kita? Kalau korang terpaksa bayar cukai lebih sikit daripada sekarang untuk pendidikan percuma, korang sanggup tak?
Waktu berborak dengan Dr Muhammed, kami ada sembang berkenaan sistem pendidikan tinggi yang ikut pendapatan keluarga sama macam Perancis. Maksudnya, orang miskin bayar yuran sikit dan orang kaya bayar banyak. Kami tanya, “Dr rasa sistem macam tu, boleh pakai ke dekat Malaysia?” Dia jawab;
“It should be implemented tomorrow.”- Dr Muhammed Abdul Khalid ketika dihubungi Soscili.
- 884Share sekarang!
- Email3
- Facebook881
- Share