
Melaka, 25 Jun 2025 – Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC) berjaya menempatkan diri dalam Global Hospital Rating 2025 oleh Newsweek, satu pengiktirafan yang mengukuhkan komitmen mereka dalam memberikan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan berkualiti tinggi kepada pesakit.
OMSMC merupakan antara tiga hospital di Malaysia yang terpilih dan menerima rating 4 bintang atas mutu penjagaan kesihatan serta perkhidmatan berorientasikan pesakit.

Penarafan antarabangsa ini, yang dijalankan secara bersama oleh Newsweek dan firma data global Statista, menilai prestasi hospital berdasarkan lima kategori utama: penyampaian rawatan, kepantasan perkhidmatan, pengalaman dan keselamatan pesakit, teknologi maklumat dan perubatan serta daya tarikan sebagai majikan.
OMSMC jelas cemerlang terutama dalam aspek kepantasan rawatan, pengalaman dan keselamatan pesakit, serta penggunaan teknologi kesihatan canggih — sekali gus membuktikan objektif hospital ini terhadap penyampaian rawatan yang cekap, inovatif dan penuh ihsan.
Hospital ini berhasrat menjadi peneraju dalam penjagaan kesihatan berkualiti berteraskan nilai di rantau ini. Ia juga komited untuk memenuhi keperluan dan memberi nilai tambah kepada setiap pesakit, dengan menyediakan rawatan terbaik dan membantu mereka mencapai tahap kesihatan lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif OMSMC, Lee Soon Teck berkata, pengiktirafan ini membuktikan komitmen hospital yang tidak berbelah bahagi dalam memberikan rawatan berkualiti tinggi dan perkhidmatan khusus diperlukan pesakit.
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini, yang menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan. Hospital kami cemerlang dalam aspek kepantasan rawatan, keselamatan pesakit dan penggunaan teknologi kesihatan terkini. OMSMC akan terus berinovasi, menambah baik agar mampu berkembang sebagai rakan penjagaan kesihatan yang dipercayai semua,”
-Lee Soon Teck, Ketua Pegawai Eksekutif OMSMC.
Global Hospital Rating bertujuan membantu hospital mengenal pasti kekuatan dan bidang yang perlu diperbaiki. Setiap hospital perlu melalui tapisan dan penilaian ketat oleh Statista bagi menjamin kualiti data dihasilkan.
Sementara itu, OMSMC sempena ulang tahun ke-10 penubuhan akan menganjurkan program kesihatan komuniti dikenali sebagai “Oh, My Health” dengan kerjasama Junior Chamber International (JCI) Malacca City Entrepreneur.
Ia dijadualkan berlangsung pada 13 Julai (Ahad) dari jam 9 pagi hingga 4 petang di lobi hospital dan akan menampilkan saringan kesihatan, ceramah, kempen derma darah, permainan santai, pameran serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.Untuk maklumat lanjut, sila layari www.orientalmedical.com.my dan rankings.newsweek.com/global-hospital-rating.