- 5.3KShare sekarang!
- Email307
- Facebook5.0K
- Share
Baru-baru ni, kita dikhabarkan tentang cadangan supaya nama Bukit St Paul, Melaka ditukar kepada nama asalnya, Bukit Melaka. Walaupun menerima sambutan baik daripada pelbagai pihak, ia juga dibantah oleh sesetengah pihak seperti MCA yang mahu namanya terus dikekalkan sebagai Bukit St Paul.
Menurut sebahagian pengkaji sejarah, mereka percaya yang istana Melaka pernah bertapak di atas bukit ni, sebelum ia mula diambil alih oleh Portugis pada 1511. Sehingga kini, di atas bukit berkenaan masih terdapat Gereja St Paul yang dipercayai mula dibina pada tahun 1521.
Tapi, itu apa yang ada di Melaka. Apa kata kita cerita pasal sebuah bukit di Kuala Lumpur pula? Kawasan tu adalah sebuah tanah tinggi yang dikenali sebagai Carcosa atau Bukit Carcosa.
Bukit yang dihadiahkan Tunku Abdul Rahman kepada British
Seperti mana yang kita tahu, Tanah Melayu hanya bebas dari penjajahan British pada 31 Ogos 1957 apabila kita akhirnya berjaya membentuk pemerintahan sendiri. Kita juga tak dapat melupakan tentang penjajahan British yang telah membawa banyak kesan kepada negara kita sehingga ke hari ini.
Sebelum adanya sistem pentadbiran seperti hari ini, setiap negeri di Tanah Melayu ada seorang wakil British yang dikenali sebagai Residen dan Gabenor. Menjelang tahun 1896, suasana mula berubah apabila Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mula mahukan kediaman rasmi yang lebih besar.
Oleh itu, dipilihlah sebuah kawasan tinggi di Kuala Lumpur untuk dijadikan tapak kediaman tersebut. Maka terbinalah sebuah rumah agam yang tersergam indah di atas bukit tu – menjadi kediaman rasmi Sir Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Pertama).
Dikatakan, Swettenham sendiri menamakan kawasan itu sebagai Carcosa, yang dipercayai berasal daripada bahasa Itali bermaksud ‘tempat amat disayangi’. Pada tahun 1913, telah dibina sebuah lagi bangunan yang dikenali sebagai King’s House (sekarang Seri Negara) di sebelah rumah agam Carcosa. Seri Negara menjadi kediaman tetamu kenamaan suatu masa dulu dan disitu jugalah – Perlembagaan Persekutuan digubal dari antara tahun 1955 hingga 1957.
Bagaimanapun, disebabkan Tanah Melayu ketika itu berdepan dengan ancaman komunis – British menjadi antara negara yang paling banyak menolong Tanah Melayu mengekang kemaraan gerakan komunis. Hal itu dah membuatkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman berasa terhutang budi dengan pihak British.
“Sebagai penghormatan kepada persahabatan dan bantuan yang diberikan untuk menumpaskan pemberontakan pengganas komunis, Tunku (Abdul Rahman) menghadiahkan Carcosa kepada Britain untuk digunakan sebagai kediaman Pesuruhjaya Tingginya.” – Dipetik dari New Straits Times.
Tindakan Tunku ni kemudiannya dibantah apabila…
Wujud desakan supaya Bukit Carcosa dikembalikan semula kepada Malaysia
Menjelang tahun 1980-an, suara untuk membebaskan negara ini dari unsur-unsur tangan bekas penjajah mula bersemarak, lebih-lebih lagi selepas jatuhnya Guthrie ke tangan Malaysia pada 1981. Pada Perhimpunan Agung UMNO setahun selepas itu, Wakil Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rahmah Osman ada mendesak Dr Mahathir (PM masa tu) supaya mengembalikan Bukit Carcosa kepada Malaysia.
Mendengar desakan tu, Tunku dilaporkan berasa sangat tersinggung kerana beliaulah yang bertanggungjawab memberikan tanah tinggi seluas 7.2 ekar tu kepada Britain sebagai tanda membalas jasa dan persahabatan. Menulis di The Star pada 26 Mac 1984…
“Suatu ketika saya dituduh menjual negara ini kepada orang Cina dan sekarang Carcosa pula kepada Inggeris dan apa ada kenangan terhadap diri saya setelah saya mati. Mungkin hanya celaan.” – Tunku Abdul Raman, dipetik dari The Star.
Tambah Tunku lagi, desakan UMNO tu dah meletakkan dirinya dalam keadaan malu kerana beliau tak dapat memberikan ganti – kalau Carcosa diambil balik. Britain kemudiannya kata – penyerahan semula bukit tu sepatutnya tak berlaku ketika Tunku yang menghadiahkannya masih hidup.
Namun tak lama lepas tu – Pergerakan Pemuda UMNO pimpinan Anwar Ibrahim pula mula mendesak supaya Bukit Carcosa dikembalikan kepada negara. Anwar berikrar yang dia akan terus memperjuangkan perkara tu sampailah berjaya. Akibat begitu banyak desakan, pada April 1984 dah berlaku rundingan antara kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Britain tentang hak milik Bukit Carcosa.
Akhirnya pada 12 Mei 1984, Dr Mahathir mengumumkan yang Bukit Carcosa bukan lagi milik Britain tapi dah menjadi milik Malaysia tanpa sebarang pampasan. Penyerahan bukit itu kepada Malaysia telah berlangsung secara rasmi pada 13 Julai 1984 dengan menyaksikan sebuah memorandum ditandatangani.
“… sebagai gantinya kerajaan telah menawarkan sebidang tanah di Jalan Ampang untuk kediaman Pesuruhjaya Tinggi British.” – Dipetik dari buku: Surat Daripada Dr Mahathir.
Akan tetapi, setelah 30 tahun berlalu kita dilaporkan yang…
Bangunan bernilai RM1 bilion ni mula terbiar
Sebenarnya, dari tahun 1989 hingga 2015 – Carcosa Seri Negara pernah dijadikan sebuah hotel mewah sebelum dikosongkan. Dan beberapa tahun kebelakangan ni, kita dikejutkan dengan laporan bahawa dua bangunan yang dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion tu semakin terbiar dan uzur dimamah usia.
Arkitek, Datuk Hajeedar Abdul Majid yang berpengalaman mengubah suai dua bangunan itu pada tahun 1989 berkata, jika berterusan – bangunan Carcosa Seri Negara berkemungkinan pudar dan struktur kayunya akan terus reput.
“Air yang bertakung di lantai pula akan menyebabkan hakisan dan kayu-kayu pada struktur bangunan mungkin diserang anai-anai. Jadi saya berharap bangunan bersejarah itu dapat dibaik pulih dan dipulihara semula.” – Datuk Hajeedar, dipetik dari Astro Awani.
Beliau menambah, jika diberikan kepercaayaan – beliau bersedia membaik pulih bangunan bersejarah itu sekali lagi. Bagi pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam pula – beliau berpandangan bangunan itu wajib dipulihara kerana menyimpan sejarah panjang negara. Beliau juga mencadangkan supaya ia boleh dijadikan sebagai Memorial Tun Abdul Razak ataupun muzium.
Memberi respon terhadap kebimbangan pelbagai pihak, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Isham Ishak ada kata yang bangunan-bangunan tersebut akan akan dibangunkan semula oleh kerajaan untuk dijadikan tempat pelancongan ikonik.
“Kami bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya akan melakukan kajian forensik untuk menentukan keselamatan struktur bangunan kolonial, serta infrastruktur termasuk penyambungan dan pendawaiannya. Kajian ini juga akan meliputi jalan raya di sekitar bangunan.” – Katanya dipetik dari New Straits Times.
- 5.3KShare sekarang!
- Email307
- Facebook5.0K
- Share