- 261Share sekarang!
- Email2
- Facebook259
- Share
Baru-baru ni, muncul lagi kontroversi yang dikaitkan dengan Badan Kehakiman Negara. Isu ni jadi bila jawatan Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dilanjutkan tiga tahun lagi bermula pada 4 Ogos ini. Dia juga dilantik sebagai hakim tambahan untuk Mahkamah Persekutuan mulai tarikh yang sama.
Dalam waktu yang sama, Tan Sri Zulkefli Makinudin yang juga Presiden Mahkamah Rayuan turut dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun bermula pada 28 September ini. Tempoh perkhidmatan diorang sepatutnya tamat pada 4 Ogos dan 28 September ini.
Apa yang jadi kontroversi adalah lanjutan tempoh tersebut bercanggah dengan perlembagaan yang menetapkan seseorang hakim wajib bersara selepas berusia 66 tahun enam bulan. Kedua-dua hakim tu pulak nampaknya dah berusia 66 tahun pada tahun ini. Kerana itu juga, pihak Badan Peguam Malaysia menyifatkan pelantikan Raus secara terang-terangan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.
Jadinya persoalan mula muncul, sama ada boleh ke seseorang hakim tu berkhidmat walaupun umurnya dah lebih dari tahap umur yang ditetapkan perlembagaan? Malah perkara ni juga dah menarik perhatian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed.
Lanjutan tempoh perkhidmatan hakim yang meragukan
Buat masa sekarang, antara pihak yang bersuara dalam isu ini adalah Badan Peguam Malaysia, Tun Abdul Hamid Mohamed (bekas Ketua Hakim Negara), dan Datuk Zaid Ibrahim (bekas Menteri Undang-undang). Parti Amanah Negara (AMANAH) pun dilaporkan akan memfailkan semakan kehakiman tentang perkara ini.
Dr Wan Azizah pula sebelum ni kata yang dia akan berbincang dengan pemimpin Pakatan Harapan untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja supaya membuat ketetapan terhadap isu ini.
Menurut Jabatan Perdana Menteri, pelantikan Md Raus dan Zulkifi sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan adalah atas cadangan dan nasihat dari Tun Ariffin Zakaria (bekas Ketua Hakim Negara) kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2017 lalu, sebelum dia bersara. Cadangan ini pula diterima walaupun dua orang hakim ni telah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.
Dakwaan yang kata pelantikan ni tak ikut perlembagaan juga disangkal oleh peguam terkenal, Shafee Abdullah. Ini kerana, katanya lanjutan tempoh perkhidmatan Raus tak menyalahi perlembagaan, kerana Md Raus dan Zulkifli bukan melantik diri sendiri, tapi diorang dilantik oleh bekas Ketua Hakim Negara (seperti yang dinyatakan tadi).
“Dia (Ariffin Zakaria) mungkin telah dipengaruhi fakta bahawa kedua-dua hakim selepasnya masing-masing akan mempunyai hanya empat bulan dan enam bulan untuk memegang kedua-dua jawatan tertinggi…Bekas ketua hakim negara mesti berasa tidak wajar tempoh begitu, berbanding apa yang beliau lalui iaitu lebih enam tahun.” – Tan Sri Shafee Abdullah, Peguam. Dipetik dari Malaysiakini.
Menurutnya lagi, hakim-hakim atasan memang kena bersara wajib masa berumur 66 tahun enam bulan, tapi untuk seseorang hakim tambahan, diorang tak tertakluk kepada perkara itu.
Bagaimanapun, perkara ini ditolak oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid yang mengatakan ianya tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah. Jika kita merujuk kepada Perlembagaan:
“Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan membolehkan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Ketua Hakim Negara, melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan. Pelantikan ini boleh dibuat bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.” – Dipetik dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Bagaimanapun, menurut Abdul Hamid ia tidak termasuk kepada lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara. Ini kerana, ia menyebut tentang pelantikan dan bukannya lanjutan. Dalam perkataan yang lain, tempoh perkhidmatan seorang Ketua Hakim Negara tidak boleh dilanjutkan mengikut fasal berkenaan.
“…fasal itu menyebut tentang seorang hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan. Perkataan itu hanya boleh membawa maksud, hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan melakukan tugas seorang hakim Mahkamah Persekutuan, bukan Ketua Hakim Negara yang menjadi ketua badan perundangan. Jadi fasal ini tidak membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara,” – Tun Abdul Hamid Mohamad, Bekas Ketua Hakim Negara. Dipetik dari Malaysiakini.
Disebabkan perkara ini, nampaknya kerajaan mungkin akan meminda Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen untuk meningkatkan umur persaraan hakim mahkamah kepada 70 tahun. Itulah apa yang dilaporkan oleh media. Ahli Parlimen Sepang, Hanipah Maidin pula memberitahu media yang Md Raus sepatutnya menolak tawaran tersebut untuk mengekalkan integritinya.
Walaupun begitu, kontroversi berkaitan Badan Kehakiman Negara bukanlah perkara yang baru sebenarnya. Antara yang peristiwa terkenal yang melibatkan perkara ini pernah terjadi pada tahun 1988. Ia juga dikenali sebagai Krisis Kehakiman 1988.
Berlakunya krisis antara Ketua Hakim Negara dengan pihak Istana dan Perdana Menteri
Peristiwa ni mungkin telah dilupakan oleh generasi sekarang. Tapi kalau kita lihat sejarah politik Dr Mahathir, isu ini antara yang selalu diperkatakan. Ini kerana, peristiwa pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas berlaku selepas peristiwa pengharaman UMNO.
Pada tahun 1987, kedudukan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO telah dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Bagaimanapun, Dr Mahathir berjaya mengekalkan jawatannya dengan menang majoriti tipis 43 undi. Tapi hal ni jadi serius bila tindakan undang-undang diambil terhadap UMNO. Mahkamah pula buat keputusan yang mengejutkan apabila mengharamkan UMNO.
Antara salah satu faktor berlakunya krisis kehakiman ini adalah apabila banyak keputusan mahkamah tidak memihak kepada kerajaan seperti kes pengharaman UMNO.
“Adalah benar yang saya telah mengkritik hakim-hakim kerana mentafsir undang-undang yang dilulus kerajaan yang tidak menepati matlamat atau objektif undang-undang itu. Saya ada mencadangkan bahawa jika undang-undang yang ditafsirkan berlainan lain daripada matlamat asal seperti mana yang kerajaan dan penggubal undang-undang harapkan, maka undang-undang tersebut akan dipinda.” – Tun Dr Mahathir Mohamad, Bekas Perdana Menteri. Dipetik dari chedet.cc.
Maksud Dr Mahathir dalam hal ni adalah ada undang-undang yang dah digubal di Parlimen, tapi bila ditafsirkan di mahkamah, maksudnya tak sama dengan matlamat asal undang-undang tersebut. Selain itu Dr Mahathir jugak mengkritik tindakan para hakim.
“Dr Mahathir juga tidak sabar melihat beribu kes tertangguh di mahkamah-mahkamah kerana kebiasaan para hakim membuat penangguhan sewenang-wenangnya. Beliau menadapat maklumat tentang hakim yang lebih banyak membuang masa dengan minum di kelab, lewat datang ke mahkamah, tidak menulis pengadilan dengan sumpurna atau dengan tergesa-gesa dan tidak mempunyai disiplin kerja.” – Surat Daripada Dr Mahathir, p97.
Bagi Dr Mahathir, semua krisis ini terjadi apabila Tun Salleh Abas (Ketua Hakim Negara ketika itu) bertindak menghantar dua pucuk surat kepada Yang di-Pertuan Agong, (Al-Marhum) Tuanku Sultan Iskandar ibni Al-Marhum Sultan Ismail. Dalam surat pertamanya, Salleh mengadu pasal bunyi bising daripada kerja-kerja baik pulih Istana YDP Agong, yang terletak dekat dengan rumahnya.
Tindakannya itu dilihat sebagai melanggar tatasusila dan sebagai orang yang sangat kanan kedudukannya, Salleh sebenarnya boleh je minta izin untuk terus mengadap YDP Agong. Kedaan jadi lebih serius bila Salleh menghantar salinan surat tu kepada raja-raja lain. Hal ini seolah-olah menunjukkan yang dia tidak yakin dengan YDP Agong dan nak Raja-Raja Melayu lain bagi tekanan kepada YDP Agong.
Lepas tu Salleh bagi satu lagi surat kepada YDP Agong. Kali ni, surat tu mengadu pasal hubungan antara badan eksekutif (pemerintah) dan kehakiman di negara ini. Terutamanya tentang tindak – tanduk Perdana Menteri.
“Di dalam surat ini, Tun Salleh telah menyatakan antara lain;…’Kami (para hakim) kecewa dengan pelbagai kenyataan dan tuduhan yang dibuat Perdana Menteri terhadap Badan Kehakiman bukan sahaja di luar malahan di dalam Parlimen’…
‘Tuduhan-tuduhan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat telah memalukan kami semua (para hakim) dan telah meninggalkan kesan kekacauan mental sehinggakan kami tidak dapat menjalankan tugas kami dengan tertib dan teratur’…'(Saya) tidak mahu membalas secara terbuka tuduhan (berkenaan) kerana tindakan tersebut tidak bersesuaian dengan kedudukan kami sebagai hakim di bawah perlembagaan…dan oleh itu adalah lebih baik kami bersabar demi kepentingan negara” – Dipetik dari chedet.cc.
Bagi Dr Mahathir, tuduhan yang dibuat oleh Salleh tu telah dilakukan secara terbuka dan bukannya seperti yang dikatakan dalam surat; ‘Tidak mahu membalas secara terbuka tuduhan’. Ini kerana sebelum surat tu dihantar, Salleh dah merungut tentang Badan Kehakiman dan hubungan badan itu dengan Badan Eksekutif secara terbuka.
Jadinya, masa dalam satu mesyuarat mingguan Dr Mahathir dengan YDP Agong, baginda menyatakan rasa tidak puas hati baginda terhadap surat-surat tersebut dan meminta Dr Mahathir menyingkirkan Salleh dari jawatan Ketua Hakim Negara.
“Baginda telah menulis sendiri permintaan baginda di ruangan tepi (margin) surat pertama Tun Salleh berkenaan dengan bunyi bising daripada kerja-kerja yang sedang dijalankan di kediaman YDP Agong… Saya juga telah mengkritik hakim kerana menggubal undang-undang sendiri menerusi tafsiran mereka dan kemudiannya mengguna tafsiran mereka untuk rujukan.
…Menerusi pelbagai sumber, saya dengar akan kemarahan hakim-hakim terhadap saya. Tetapi saya tidak mengambil apa-apa tindakan, jauh sekali untuk menyingkir Tun Salleh. Saya hanya bertindak apabila YDP Agong menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan dua surat tersebut.” – Tun Dr Mahathir Mohamad, Bekas Perdana Menteri. Dipetik dari chedet.cc.
Disebabkan perkara itu, satu tribunal telah ditubuhkan. Antara ahli yang dipilih dalam tribunal tu termasuklah dua hakim dari negara luar iaitu Yang Arif Hakim K.A.P. Ranasinghe, Ketua Hakim Sri Lanka dan Yang Arif Hakim T.S. Sinnathuray, Hakim Kanan Mahkamah Agong Singapura.
Buat kali pertamanya, Ketua Hakim Negara dipecat
Pada 26 Mei 1988, YDP Agong telah menggantung tugas Salleh untuk memberi ruang kepada penyiasatan tribunal. Di dalam tribunal tersebut, Salleh dituduh dengan lima pertuduhan utama:
- Dalam satu ucapan di Universiti Malaya, Salleh telah membuat beberapa kenyataan mengkritik kerajaan yang memperlihatkan prasangka dan berat sebelah terhadap kerajaan. Perkara itu tak sesuai dengan kedudukannya sebagai Presiden Mahkamah Agung (sekarang Mahkamah Persekutuan).
- Masa pelancaran buku beliau, Salleh telah membuat beberapa kenyataan yang merosakkan imej kerajaan dan cuba meruntuhkan keyakinan masyarakat terhadap pentadbiran negara. Dalam ucapan yang sama, dia juga menganjurkan penerimaan Undang-Undang Islam dalam mentafsirkan Undang-undang Sivil di Malaysia.
- Dia juga menangguhkan satu kes (adjourned sine die) yang melibatkan pemilihan agama kanak-kanak yang berlaku di Kelantan.
- Dalam suratnya kepada YDP Agong dan Raja-Raja Melayu, Salleh mendakwa ia ditulis bagi pihak para hakim di negara ini. Hal ini tidak benar kerana tak ada rundingan terlebih dahulu dan ia tak mendapat kelulusan semua hakim.
- Selepas digantung tugas, Salleh membuat banyak kenyataan kepada pihak media yang disifatkan sebagai tidak benar dan dikira mempolitikkan isu di antara kerajaan dan dirinya sendiri.
Bagaimanapun masih terdapat halangan dari tribunal tersebut. Hal ini jadi apabila 5 hakim telah mengadakan persidangan Mahkamah Agung secara mengejut dan keluarkan perintah menghalang hasil siasatan tribunal tu diserahkan kepada yang YDP Agong. Hal ini menyebabkan YDP Agong menggantung tugas 5 orang hakim tadi.
Hasilnya, Salleh dilucutkan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 8 Ogos 1998 selepas ahli tribunal tersebut mendapati yang dia bersalah kerana tingkah laku yang tidak baik. Bagaimanapun, perkara ni sekali lagi menjadi kontroversi apabila anakanda Almarhum Sultan Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar mengatakan yang ayahandanya dipergunakan oleh Dr Mahathir untuk memecat Salleh Abas semasa menjadi YDP Agong.
“Mahathir gunakan bapa saya untuk singkirkan Salleh, titik. Salleh orang baik dan bapa saya iktirafnya. Baginda (Sultan Iskandar) sudah berbaik-baik dengan Tun Salleh…Mahathir, tolong jangan salahkan pihak yang tidak dapat pertahankan dirinya lagi.” – Tunku Abdul Majid Idris, Tunku Bendahara Johor. Dipetik dari Malay Mail Online.
Pada tahun 2008, pihak kerajaan bagi bayaran ex-gratia (pampasan) kepada Salleh Abas dan lima orang hakim yang pernah digantung tugas dalam krisis tersebut. Apa pun, apa yang terjadi kepada Salleh Abas tetap menjadi salah satu peristiwa kontroversi yang melibatkan badan kehakiman negara.
Video klip yang membongkarkan rancangan mengatur jawatan hakim di Malaysia
Keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman negara sekali lagi diuji apabila munculnya kes video V.K Lingam. Pada September 2007, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengeluarkan satu klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan Datuk V.K Lingam yang tengah berbual dalam telefon bersama seorang hakim yang dipercayai Tun Ahmad Fairuz (Ketua Hakim Negara) yang ketika itu adalah Hakim Besar Malaya.
Diorang dikatakan berbicang untuk pengatur pelantikan hakim-hakim di Malaysia. Video klip ni jugak dipercayai dirakam pada tahun 2002 semasa Dr Mahathir masih menjadi Perdana Menteri.
“Pembongkaran kisah ini telah membuatkan berlakunya protes melibatkan lebih 2000 orang peguam ke Jabatan Perdana Menteri untuk mendesak diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk kes klip video V.K Lingam ditubuhkan pada 17 November 2007.” – Dipetik dari jurnal Judiciaries in Crisis – Some Comparative Perspectives.
Disebabkan desakan tu, kerajaan umumkan satu panel bebas untuk menyiasat ketulenan video tersebut. Lepas dari siasatan panel bebas ni, kerajaan pun bersetuju menubuhkan RCI. RCI ini mula bersidang pada Januari 2008.
RCI tu dipengerusikan oleh Tan Sri Haidar Mohd Noor (bekas Hakim Besar Malaya) dan dianggotai oleh Tan Sri Shimp Lip Kiong (bekas Hakim Besar Sabah & Sarawak), Datuk Mahadev Shankar (bekas Hakim Mahkamah Rayuan), Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh (bekas peguam cara) dan Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim (sejarawan negara).
Masa RCI ni bersidang, beberapa orang saksi dipanggil untuk memberikan keterangan. Saksi-saksi tersebut jugak adalah nama yang disebut di dalam video berkenaan. Antaranya adalah Tun Fairuz (Ketua Hakim Negara), Tan Sri Vincent Tan (ahli perniagaan), Tun Eusoff Chin (bekas Ketua Hakim Negara), Tun Mohamed Dzaiddin (bekas Ketua Hakim Negara), Tengku Adnan Tengku Mansor (Menteri Pelancongan), V.K Lingam sendiri, Tun Dr Mahathir dan beberapa orang lagi saksi.
Siasatan suruhanjaya ini berakhir pada 15 Februari 2008, setelah mendengar keterangan dari 21 orang saksi dan menyaksikan 116 bahan bukti. Laporan siasatan ini seterusnya diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Laporan itu juga mengesyorkan supaya Tun Dr Mahathir dan lima orang lagi disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan kerana menghalang proses keadilan. (klik sini untuk baca laporan suruhanjaya)
“Lima tokoh tersebut – dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin, peguam kanan Datuk VK Lingam, bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Setiausaha Agung Umno serta tokoh perniagaan Tan Sri Vincent Tan.” – Dipetik dari Malaysiakini.
Walaupun begitu pada 2010, Mahkamah Rayuan membenarkan Eusoff Chin dan Ahmad Fairuz mencabar hasil penemuan RCI tersebut. Pada September 2011 pula, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa semakan semula tak perlu dibuat terhadap hasil penemuan RCI. Sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
Badan kehakiman yang bebas jadi kebanggaan sebuah negara demokratik
Kesan dari krisis 1988, pindaan Perlembagaan juga telah dibuat oleh Parlimen untuk menghadkan kuasa mahkamah. Jika sebelum itu, mahkamah ada kuasa menyemak semua undang-undang yang digubal di Parlimen, tapi sekarang mahkamah hanya ada kuasa menyemak undang-undang yang dibenarkan oleh Parlimen.
Disebabkan perkara ini, nampaknya takde sistem semak dan imbang yang berkesan di antara institusi-institusi Perlembagaan utama. Bagaimanapun, masih ada yang berpendapat kuasa mahkamah tak boleh dilucutkan oleh Parlimen melalui pindaan kepada Perlembagaan kerana ia adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan dan pindaan 1988 tak berkesan.
Walaupun begitu, apa yang berlaku pada 1988 dan video klip V.K Lingam sedikit sebanyak mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap Badan Kehakiman Negara. Apa yang terjadi dalam isu Ketua Hakim Negara sekarang juga nampaknya akan memberikan kesan yang sama.
Mungkin kita boleh melihat kembali apa yang pernah dikatakan oleh Almarhum Sultan Azlan Shah yang juga adalah bekas Ketua Hakim Negara.
“…Sistem badan kehakiman yang bebas membawa kebanggaan kepada negara- negara yang mengamalkan pemerintahan demokratik. Anggota badan eksekutif dan legislatif datang dan pergi, tetapi badan kehakiman yang bebas harus tetap teguh selama-lamanya, memenuhi aspirasi dan cita-cita rakyat. Dalam badan kehakiman, orang meletakkan kepercayaan dan harapan mereka ke atasnya.” – Almarhum Sultan Azlan Shah, bekas Ketua Hakim Negara, Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance.
- 261Share sekarang!
- Email2
- Facebook259
- Share