Semalam, satu video tular di media sosial memaparkan seorang nenek diserang oleh seorang lelaki bertopi dengan sebatang kayu.
Video tersebut dikongsi di laman subreddit r/Malaysia oleh Grace Tai. Menurut beliau, wanita didalam video tersebut merupakan neneknya dan mereka telah melakukan laporan polis sebelum membawa wanita itu untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Jadi, apa yang berlaku sehingga insiden ini terjadi? Menurut Grace….
Nenek dan lelaki tersebut bertengkar kerana pembakaran sampah yang berterusan
Kononnya, lelaki tersebut merupakan salah seorang pengendali Baruh Glamping, sebuah tapak glamping yang terletak di Tanjung Kling, Melaka. Pengendali tapak glamping tersebut didakwa sering membakar sampah secara terbuka dan kebetulan, tapak glamping tersebut terletak berhampiran dengan rumah keluarga Grace dan menyebabkan asap itu selalu masuk ke rumah mereka.
Dalam satu hantaran di Facebook, Grace juga menyatakan yang perkara ini telah berlaku selama bertahun-tahun. Perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan pada kualiti hidup mereka terutamanya gangguan bunyi dan sisa-sisa barang pengubahsuaian didakwa milik tapak glamping tersebut.
Lebih buruk, tiada tindakan dilakukan oleh pihak berwajib berkenaan pembakaran terbuka itu walaupun aduan telah diajukan pada agensi seperti Majlis Bandaraya Melaka, Kementerian Alam Sekitar dan air malahan pada pihak polis. Dikatakan pengendali tapak glamping tersebut hanya menerima notis amaran sahaja.
Perkara ini berlarutan sehingga nenek Grace berhadapan dengan salah seorang pengendali tapak glamping tersebut sehingga berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak. Lelaki tersebut kemudian bertindak memukul wanita tua itu secara fizikal.
Sebagai respon, Baruh Glamping memuatnaik klip di laman Facebook mereka dan….
Lelaki tersebut mendakwa nenek Grace mengugut untuk memukul ‘ibunya’
Klip video yang dimuatnaik oleh Baruh Glamping menunjukkan wanita tua tersebut dan seorang lagi yang tidak dikenali mengeluarkan kata-kata kesat dan lelaki tersebut mendakwa Grace dan neneknya mengugut untuk memukul ‘ibunya’.
Kami menulis ‘ibunya’ dengan tanda petikan adalah kerana penjelasan lelaki itu sentiasa berubah-ubah. Sekejap ibu, sekejap nenek, sekejap staff pulak.
Namun, kesemua komen dalam klip video ini telahpun dipadam dan Baruh Glamping juga telah mengehadkan netizen untuk komen di hantaran Facebook and Instagram mereka.
Apa pendapat anda berkenaan insiden ini? Siapapakah yang betul atau yang salah berdasarkan apa yang anda lihat di sini? Beritahu kami di ruangan komen.