- 534Share sekarang!
- Email6
- Facebook528
- Share
Mungkin ada di antara kita pernah tengok rakaman dan gambar yang mengejutkan dunia pada 20 tahun yang lalu ni. Secara tepatnya, peristiwa itu jadi pada 30 September 2000 – ketika berlakunya gelombang Intifada Kedua di bumi Palestin.
Ia berlaku dua bulan selepas Proses Oslo dan lawatan provokatif bekas PM Israel, Ariel Sharon (dengan dikawal 1,000 anggota polis) ke Haram al-Sharif yang didakwa bermotifkan politik. Bantahan ni berlaku dengan cukup besar, sehingga melibatkan demonstrasi, baling batu dan pertembungan antara dua pihak.
Ketika itulah terakamnya peristiwa di lensa kamera wartawan dan jurugambar France 2, Talal Abu Rahma – memaparkan seorang bapa dan anaknya yang dihujani peluru. Peristiwa ni berlaku di…
Jalan Saladin menjadi saksi kematian seorang anak di pangkuan bapanya
Bercerita tentang pengalamannya, Talal berkata sehari sebelum peristiwa itu berlaku – dia dah diminta untuk ke Gaza kerana situasi di Tebing Barat sudah memburuk. Bila sampai di Gaza pada 29 September 2000, keadaan di sana agak sunyi sepi, tapi para wartawan dah dimaklumkan yang esok paginya akan ada demonstrasi besar-besaran di beberapa kawasan wilayah berkenaan.
Jadinya, Talal pun bersiap sedia di Jalan Saladin iaitu antara tiga kawasan sensitif di Gaza. Tempat tu dipilih sebab berada di tengah-tengah dan agak mudah untuknya pergi ke kawasan lain jika perlu. Makluman itu tepat apabila Jalan Saladin dah dipenuhi dengan orang ramai sejak pagi – yang bertindak membaling batu kepada pihak berkuasa Israel. Menjelang jam 1pm, keadaan bertambah kecoh apabila peluru getah dan gas pemedih mata mula disasarkan kepada penunjuk perasaan.
“…melontar batu itu normal. Tapi, terdapat begitu ramai yang melontarkan batu. Bukan ratus. (Tapi) ribuan.” – Talal Abu Rahma, dipetik dari Al-Jazeera.
Namun tak lama lepas tu, tembakan pula mula kedengaran sehingga membuatkan para penunjuk perasan bertempiaran lari dan Talal juga bersembunyi untuk menyelamatkan diri. Di tempat persembunyiannya itu, terdapat juga beberapa orang kanak-kanak yang ingin menyelamatkan diri.
Baginya, keadaan ketika itu sangat menakutkan kerana ramai yang terkorban dan darah pun nampak mengalir di atas tanah. Dalam keadaan penuh dilema sama ada nak teruskan rakaman atau melarikan diri, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara “Diorang tembak mereka!” dari seorang kanak-kanak di sebelahnya. Talal pun menoleh…
“Itulah masanya bila saya melihat seorang lelaki dan kanak-kanak berselindung di sebalik dinding. Mereka menyorok dan lelaki itu menggerakkan tangannya dan berkata sesuatu. Peluru datang tepat ke arah mereka. Tapi, saya tak tahu dari mana ia datang.” – Abu Rahma, dipetik dari Al-Jazeera.
Dari lensa kemeranya, kelihatan seorang kanak-kanak dan lelaki yang telah pun tercedera, sambil lelaki berkenaan meminta tolong supaya dihentikan tembakan. Kemudian terdengar pula bunyi letupan, sehingga pemandangan dipenuhi dengan asap. Kanak-kanak yang pada mulanya masih hidup itu, dilihat telah terkujur kaku di atas ribaan lelaki (bapanya) dengan pendarahan di perut!
Ambulans cuba beberapa kali mengambil mereka, tapi gagal kerana keadaan yang terlalu berbahaya. Akhirnya, mereka berjaya juga dibawa masuk ke dalam ambulans. Setelah tembakan tamat, Talal terus berjalan meninggalkan kawasan yang lebih selamat dan ketika itu berjumpa dengan seorang lagi rakan dari agensi lain.
Dia pun menunjukkan video yang dirakamnya dan rakannya tu mula menjerit!
“Oh tidak, oh tidak! Ini Jamal dan ini anaknya, Muhammad, mereka ada di pasar. Ya tuhan, ya tuhan! Saya tanya kepadanya, “Kamu kenal mereka?” Dia menjawab, “Ya, saya berkahwin dengan adiknya”. – Abu Rahma, dipetik dari Al-Jazeera.
Sesampai di pejabat France 2, hampir semua orang di situ terdiam kelu apabila melihat rakaman itu. Maka, muncullah video dan gambar yang menggemparkan dunia menyaksikan imej tragik seorang kanak-kanak meninggal dunia dipangkuan bapanya, sambil dihujani peluru.
Tentera Israel nafi mereka terlibat dan ada pihak dakwa rakaman tu rekaan semata
Gambar dan video yang menggegarkan dunia ni kemudiannya dah menjurus ke arah pihak pertahanan Israel yang didakwa bertanggungjawab. Berdasarkan laporan CNN tiga hari selepas kejadian – pihak tentera Israel tidak menafikan yang mereka terlibat, tapi kata tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri.
Namun tak lama lepas tu, pertahanan Israel menafikan mereka terlibat dan kata kematian Muhammad al-Durrah disebabkan tembakan oleh pihak Palestin sendiri. Siasatan Israel pada 2013 pula membuat keputusan yang rakaman tu palsu dan dibuat-buat saja. Malah sebelum itu, pengamal media dan ahli politik Perancis, Philippe Karsenty juga mendakwa yang video tu hanya rekaan semata-mata.
Tak puas hati dengan tuduhan liar itu, France 2 dan Talal dah membawa kes ni ke mahkamah. Pada 2013, Mahkamah Perancis memihak kepada mereka dan mendenda Karsenty sebanyak $7,000 euro kerana memfitnah.
“Kami tidak akan buat duit dari darah seorang kanak-kanak” – Talal Abu Rahma
Dalam masa sama, kini dunia Islam dikejutkan dengan tindakan menormalisasikan hubungan di antara beberapa buah negara Islam dengan Israel. Seperti mana yang dilakukan oleh Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain baru-baru ini. Bagi bapa Muhammad al-Durrah, Jamal al-Durrah – tindakan itu dah terang lagi bersuluh adalah pengkhianatan besar terhadap Palestin.
“Izinkan saya beritahu anda tentang salah satu niat jahat Israel di sebalik masa tertentu di mana mereka memilih untuk melakukan normalisasi.
____
“Mengapa sekitar waktu itu (normalisasi dilakukan)? Mengapa pada bulan September? Kerana normalisasi terjadi tepat sebelum ulang tahun Sabra dan Shatilla dan Ariel Sharon menyerbu Masjid Al-Aqsa.” – Jamal al-Durrah, katanya dipetik dari The New Arab.
Selain itu, Talal juga sehingga kini masih memperjuangkan ketulenan video yang dirakamnya sebagai bukti atas segala kebenaran. Malah, ketika mana ada pihak yang mahu membeli gambar rakamannya tu, pihaknya menolak dan hanya memberikannya secara percuma.
“Kami tidak akan buat duit dari darah seorang kanak-kanak. Kes di Paris berjalan sehingga 2013. Kami menang. Kami tidak terima apa-apa wang dari kes berkenaan.” – Talal Abu Rahma, dipetik dari Al-Jazeera.
- 534Share sekarang!
- Email6
- Facebook528
- Share