Mesin basuh? Diari palsu? Ni antara spekulasi yang tersebar dalam kes Zara Qairina

Bulan lepas, kita dikejutkan dengan berita kematian Zara Qairina Mahathir, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Sabah. Dia ditemui tak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, dikatakan jatuh dari tingkat 3 sekitar jam 3 pagi, 16 Julai lalu. 

Zara Qairina
Zara Qairina. Imej dari Utusan.

Esoknya, doktor sahkan yang fungsi otak Zara dah terhenti dan kemudian jenazah dia dikebumikan di kampungnya di Sipitang pada hari yang sama. Tapi, ibu Zara, Noraidah Lamat tegaskan yang anak dia tak bunuh diri dan yakin ada elemen jenayah dalam kematian anaknya memandangkan ada kecurigaan yang Zara sebenarnya dibuli.

Perkara ni dikuatkan lagi dengan bukti rakaman perbualan telefon antara dia dan ibunya di mana Zara menyatakan ada pelajar-pelajar senior yang selalu ganggu dan buli dia. Peguam keluarganya juga dah sahkan ketulenan tiga rakaman audio tersebut yang tersebar di media sosial. 

@jue_mustafah_gkr Membalas kepada @reffliesia05Tular rakaman audio perbualan telefon arwah adik Zara dengan ibunya “luah rasa takut” pada kak M. Siapakah kak M.? Translate perbualan arwah adik Zara dengan ibunya. “mak tadi aku ada jumpa kak M, dia masih lagi (marah kat Zara & buat benda x baik), haritu dia minta tolong tanya org2 dan tanya dgn adik, kak M tu masih marah ka? So adik kak M tu bagi tau kak M masih x maafkan zara. Mak dia tanya, dah padam ka nama zara yg kakak M tulis dalam bilik RBT? Zara kata dah padam tapi ditulis semula. Dan kak M cakap, “klu dia ‘touch’ Zara, berdarah Zara tu”. #Justiceforzara ♬ bunyi asal – JUE MUSTAFAH🅶🅺🆁➌➊➊⓿🍉

Walaupun rakaman-rakaman perbualan telefon ni dah disahkan tulen, masih ada banyak lagi dakwaan-dakwaan liar yang tersebar kat media sosial. Ni antara spekulasi yang netizen buat kat media sosial yang sebenarnya tak betul.

1. Zara kononnya dimasukkan dalam mesin basuh oleh pembuli

Khabar angin ni mula tular di media sosial lepas ada seorang pengguna Facebook dakwa yang Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk hapuskan cap jari dan DNA pelaku. 

Dakwaan ni jadi lebih parah lepas ada sorang pengguna Tiktok yang ulas pasal komen ni dalam live:

@shajaalegacy Kejamnya❗❗❗ Zara dimasukkan dalam mesin basuh.. #fyp #backtothefuture #justiceforzara #viral #malaysia #HIGHLIGHT #follower ♬ bunyi asal – Shajaa legacy

Bagaimanapun, peguam keluarga Zara menafikan dakwaan tu dan nyatakan ibu Zara tak pernah bagi maklumat macam tu pada sesiapa. Mereka juga kata yang cerita tu hanyalah satu spekulasi.

“Berikutan penularan beberapa video dan gambar berkaitan kes Zara, pertama, kami ingin membuat kenyataan bahawa video seorang wanita menceritakan Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh, adalah satu spekulasi.”

-Peguam keluarga Zara. Dipetik dari BH.

Terkini, wanita dalam live tu dah ditahan polis dan didakwa di mahkamah. Wanita yang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris tu mengaku yang video tersebut hanya sekadar ‘konten’ sahaja.

“Dia nak buat content dia kata. Tapi cara dia susun ayat seolah-olah begitulah punca kematian. Di sinilah saya nak sebut, kita tak boleh berdasar kepada sentimen dan emosi. Kita tangkap dan kalau peguam negara bersetuju akan tuduh,”

-Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri. Dipetik dari BH

 

2. Zara kononnya bunuh diri disebabkan ibunya sendiri berdasarkan diari

Selain tu, tular juga ‘plot twist’ yang kata Zara bunuh diri sebab didorong oleh ibunya sendiri. Kononnya benda ni berdasarkan catatan dalam sebuah diari yang didakwa milik Zara. Catatan tu katanya mencadangkan yang kejadian ni berpunca daripada masalah Zara dengan ibunya.

Gambar yang kononnya diari milik zara.

Tapi masalahnya, ramai netizen dah persoalkan kenapa gaya tulisan dalam diari ni berbeza daripada contoh tulisan Zara yang dikemukakan oleh ibunya sendiri. Tambah meragukan, penyebaran tentang diari tu datang dari sebuah akaun Tiktok dengan nama Plot Twist Zara yang pemiliknya tak ada kaitan pun dengan keluarga Zara sendiri.

Peguam yang wakili ibu Zara pun dah tegaskan yang dakwaan tu adalah tak benar dan boleh timbulkan fitnah kat keluarga Zara. Namun, menurut mereka, ada kemungkinan yang ‘diari’ tu diambil oleh pihak polis waktu siasatan awal dan dibocorkan tanpa kebenaran.

Antara komen yang persoalkan kesahihan diari tu.


3. Gambar pelajar yang kononnya adalah pembuli Zara disebarkan

Tak cukup dengan tu, tular foto beberapa pelajar yang dikatakan sebagai pembuli Zara kat media sosial. Ramai netizen yang kecam pelajar-pelajar ni dan tuntut agar diorang dikenakan tindakan undang-undang.

Hantaran Facebook yang tunjuk gambar yang kononnya pembuli-pembuli Zara.

Tapi persoalannya, dari mana asal gambar-gambar ni? Dan adakah diorang ni betul-betul pembuli? Persoalan ni perlu ditanya sebab Ketua Polis Negara sahkan yang maklumat serta gambar tular yang dikaitkan dengan kes Zara tak sahih.

Malah, salah satu gambar yang tular terbukti bukan pembuli pun, sebaliknya individu yang langsung tak ada kaitan dengan kejadian tersebut. Bapa kepada salah seorang pelajar yang gambarnya tersebar baru-baru ni tampil dan menafikan yang anaknya terlibat. Menurut beliau, anaknnya dah pindah sekolah sejak tahun 2024 lagi. Beliau juga dah buat laporan polis untuk bersihkan nama anaknya. 

 

4. Pembuli Zara anak kepada VVIP tertentu, khususnya menteri di Sabah

Dakwaan ni mula tular kat media sosial tak lama lepas berita kematian Zara tersebar. Netizen dakwa wujud campur tangan VVIP untuk lindungi pihak tertentu. Antara nama yang disebut termasuklah seorang pelajar bernama Farisha Maisara binti Arifin, yang didakwa cucu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT), Musa Aman.

Tapi ibu Zara nafikan bahawa dia keluarkan kenyataan yang mengaitkan VVIP dengan kematian Zara. Polis Papar juga turut tegaskan tak ada bukti yang kaitkan mana-mana anak VVIP dalam kes ni.

@chegubard2 Penat Datuk Dr Mohd Arifin Nafi ada anak nama Farisha pada 9 Ogos, Hari ini Menteri KDN Sahkan salah seorang pembuli Namanya dan nama ayah sama seperti nama cucu TYT. Semuanya berlaku dengan izin Allah. Lanjut klik https://www.facebook.com/share/p/1CmMhErVjZ/ Persoalan apa nak diselindung sampai bersungguh membohong… #viral #perikatannasional #justiceforzara #sabahantiktokers #malaysia ♬ original sound – chegubard

Pada masa yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Arifin Arif yang juga menantu kepada TYT Sabah menafikan dakwaan yang anaknya terlibat dalam kes kematian Zara. Beliau juga turut nyatakan yang beliau tiada anak yang bernama Farisha dan belajar di SMKA Datu Mustapha.

Tapi apa yang menimbulkan persoalan pulak, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution cakap dalam parlimen pada 18 Ogos, yang cucu TYT Sabah pernah bersekolah di SMKA Datu Mustapha tapi dah berhenti bulan November lepas. Dia juga kata yang cucu TYT Sabah ada nama penuh yang sama dengan pelajar yang didakwa sebagai pembuli tu.

@501awani

Cerita yang tular mengatakan salah seorang pembuli arwah Zara Qairina adalah cucu Tuan Yang Terutama (TYT) negeri Sabah kerana mempunyai nama yang sama. Datuk Seri Saifuddin Nasution mengatakan bahawa memang nama pelajar tersebut sama dan nama bapanya juga sama. #AWANInews #SisiTvParlimen #DewanRakyat

♬ original sound – 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾

Jadi sebenarnya siapa yang menipu kat sini? Adakah betul pelajar yang dikatakan terbabit tu sebenarnya memang anak kepada VVIP ataupun bukan?

 

5. Jeritan “kau pembunuh” dan suspek pindah sekolah

Kononnya pada malam kejadian tu, seorang pelajar yang dikatakan suspek utama kes ni dibawa pulang dari asrama oleh ibubapanya.

Tangkap layar Facebook pasal dakwaan berkenaan 

Muncul juga dakwaan ada jeritan “kau pembunuh” yang dilontarkan kepada suspek oleh pelajar-pelajar lain yang ada pada ketika tu. Tapi ibu Zara sendiri nafikan yang dia tahu pasal benda ni dan hanya tahu berkenaan hal ni lepas ia tular di media sosial.

Kemudian pada 25 Julai, seseorang yang mengaku sebagai waris Zara melalui Facebook dakwa yang diorang dapat maklumat berkenaan pelajar yang didakwa terlibat dalam kes ni dalam proses untuk pindah sekolah. Beliau persoalkan kenapa buat macam tu sedangkan siasatan masih belum habis.

Tapi, tak lama lepas tu pula, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin mengatakan yang pelajar bernama “Kak Wana”, “Kak Dedeng” dan “Tomboi” masih lagi bersekolah macam biasa. Beliau juga kata yang diorang bertiga tu tak ada kaitan dengan VVIP.

 

Jadi sekarang, siapa yang kita nak percaya?

Kes Zara Qairina ni takkan berpanjangan macam ni kalau pihak polis jalankan siasatan ikut SOP yang ditetapkan sejak awal. Disebabkan ni jugalah, muncul banyak sangat maklumat palsu sampai pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terpaksa bagi amaran kat orang ramai supaya tak sebar benda tak betul dan ganggu proses siasatan.

Gambar asal Buletin TV3

Masalahnya bila maklumat palsu dah tular, siasatan pun terganggu. Peguam keluarga Zara asyik kena jawab spekulasi orang, Kementerian Pelajaran pulak sibuk nak jaga imej diorang dan buat benda mengarut.

Boleh selesai ke kes buli kalau buat macam ni?

Akhirnya kes ni jadi makin lambat nak selesai. Lebih teruk lagi, orang ramai yang betul-betul nakkan keadilan buat Zara terpedaya dengan berita-berita palsu yang tak tepat.

Setakat artikel ni ditulis, lima orang pelajar perempuan yang berkait dengan kes Zara ni sedang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas kesalahan membuli. Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki mengesahkan yang lima orang pelajar tu akan dituduh di mahkamah pada hari Rabu.

“Keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan dijalankan,”

-Tan Sri Mohd Dusuki, Peguam negara. Dipetik dari BERNAMA.

Daripada kes Zara ni, kita nampak yang banyak benda boleh diperbaiki daripada pihak berkuasa secara amnya. Diharap kes ni jadi iktibar kepada kita semua dan masyarakat akan lebih peka dengan isu buli yang berlaku di sekolah.

Himpunan #Justiceforzara diadakan kat seluruh negara dengan ramai orang datang untuk bersolidariti. Tangkap layar FB Angkol

Sama-sama kita tunggu dan lihat apa keputusan kes ni, dan diharap para pelaku yang jadi punca kematian Zara diadili. Semoga kematian Zara mendapat keadilan yang sebaiknya.

#JusticeForZara

About Hafiz Sabran 26 Articles
"Badan sihat, otak....ooootakkk....otakkkkkkkkk"