Menyihir orang atau menggunakan ilmu hitam boleh didakwa di Kelantan?

Amalan ilmu sihir bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat di Malaysia, malah ia merupakan antara ilmu tertua yang diamalkan. Selain itu, ilmu sihir juga diwarisi turun-temurun sejak bermulanya sejarah manusia sehingga sekarang.

*Bukan ritual sihir yang sebenar*. Gif dari Giphy

Sebenarnya sejak tahun 1975 lagi dah ada usaha untuk menggubal undang-undang yang boleh menangani jenayah sihir cuma tak ada kata putus. Akhirnya pada tahun 2022, negeri Kelantan merupakan negeri pertama menjadikan kes sihir atau menggunakan ilmu hitam sebagai kesalahan yang boleh didakwa mengikut enakmen baru di Mahkamah Syariah Kelantan.

Ia satu langkah yang bagus untuk memberi amaran kepada pengamal ilmu sihir sebab…

Amalan sihir dianggap sebagai satu jenayah yang berat

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) Hasnan Ramli, kes sihir antara kesalahan jenayah syariah yang direkod sepanjang Januari dan Februari tahun ni.

“Dua pendakwaan baharu melibatkan kes sihir sepanjang tempoh Januari hingga Februari tahun ini.” — Hasnan Ramli, dipetik dari Astro Awani.

Hasnan Ramli. Imej dari MSN

“Misalnya, selepas menerima aduan berkenaan mangsa sihir, kita akan membuat siasatan sebelum membuat keputusan. Aduan sihir yang kita terima ini membabitkan ahli keluarga.”— tambahnya lagi, dipetik dari Astro Awani.

Sihir bermaksud ‘sembunyi’ — penyihir akan membuatkan mangsa tak sedar dirinya disihir yang boleh menyebabkan hidup merana. Antara kes popular yang dikaitkan dengan sihir adalah kes penceraian (sihir pemisah), kes menggunakan ilmu sihir untuk menyamun atau merogol seseorang tanpa sedar (ilmu sihir pukau) atau sihir menutup rezeki (sihir rezeki).

Sesetengah ulama berpendapat bahawa jenayah sihir adalah merupakan jenayah hudud sebab kesan dari kesalahan tersebut termasuk dalam kategori jenayah hudud dan orang yang menggunakan khidmat sihir boleh dikenakan hukuman Ta’zir.

Ada banyak cara untuk menghantar sihir. Imej dari ohbulan

Seperti yang kita tahu, perkara mistik dan ghaib susah dilihat dari mata kasar. Jadi, ilmu sihir sangat bahaya sebab orang yang disihir terpaksa menanggung pelbagai sakit, menderita fizikal serta mental sepanjang hidupnya. Ada juga yang bernasib malang disihir sehingga mati.

Bayangkan orang lain menjadi mangsa sehingga mati tetapi pelaku dan tok bomoh bebas tanpa ditangkap. Kiranya ni dah masuk kategori membunuh dengan niat walaupun tak ada siapa yang tahu.

Malaysia patut menubuhkan sebuah jabatan siasatan khas yang mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menjalankan segala prosedur yang berkaitan bagi membanteras kegiatan jenayah menggunakan ilmu sihir. Ada yang berpendapat untuk menggunakan kaedah-kaedah pembuktian forensik termasuklah DNA.

Macam salah bomoh je ni… Imej dari BBC

Pelaku sebenar dan pengamal ilmu hitam takkan terlepas dari pendakwaan amalan sihir sebab kedua-duanya boleh didakwa. Selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 negeri Kelantan diluluskan, tak mustahil ada peluang untuk…

Membawa undang-undang jenayah sihir ke Mahkamah Tinggi

Terdahulu kerajaan diminta mengambil langkah untuk menjalankan undang-undang jenayah sihir di Malaysia untuk mengurangkan kes ilmu hitam daripada terus membebankan kehidupan masyarakat. Tambahan pula, undang-undang jenayah sihir harus diperkenalkan bagi membela mangsa yang teraniaya kesan perbuatan ilmu sihir.

Mungkin boleh jadi kenyataan. Imej dari Malaysiakini

Dikatakan penafsiran terhadap jenayah sihir memerlukan satu standard yang serupa supaya akta dan undang-undang boleh digubal sama adil untuk bangsa dan agama. Mungkin ia takkan menjadi masalah yang besar sebab ada juga kes bangsa lain yang teruk disihir dan menggunakan sihir untuk kepentingan sendiri.

Undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 3 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, yang memperuntukkan kesalahan bagi pemujaan salah dapat dilihat undang-undang tentang amalan syirik sebenarnya dah digubal, namun perlu ditambah baik je.

BAHAGIAN II- KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN AKIDAH (Seksyen 3. Pemujaan salah) Imej dari akarimomar.wordpress.com

Contohnya, kalau seseorang mengamalkan ilmu sihir untuk melakukan jenayah rogol demi memenuhi syarat ilmu hitamnya, dia boleh disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai 20 tahun serta dihukum dengan hukuman sebat.

Jika pengamal ilmu hitam yang menggunakan ilmu santau dengan niat membunuh, kes boleh disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh ke tali gantung.