- 66Share sekarang!
- Email0
- Facebook66
- Share
Kita boleh lihat yang zaman semakin maju dan berkembang pesat, semua tak terkecuali dalam proses kemajuan dunia sekarang. Ini termasuklah teknologi, sains dan inovasi dari pelbagai aspek. Even budaya pun mengalami kemajuan, takde lah nak cakap budaya tradisional itu dimajukan, ia lebih kepada gabungan tradisional dan moden.
Kita boleh lihat perkara tersebut dalam budaya bermain anak-anak kecil kita juga, zaman sekarang semua tertumpu kepada e-sports. Dalam bahasa mudahnya adalah permainan video, kalau dulu memang tak adanya kita dapat merasa permainan video ni. Sebab tu kitorang nak mengimbau tentang permainan tradisional yang kita semua main dulu-dulu untuk menghabiskan masa lapang. Ini senarainya…
1. Kejar-kejar, nama yang betul-betul menggambarkan permainan
Kita mulakan dengan permainan yang paling simple iaitu kejar-kejar, kenapa ia dipanggil kejar-kejar? Sebab dalam permainan ni korang kena kejar orang lain, mungkin orang dulu-dulu malas nak fikir nama yang fancy sebab tu just panggil kejar-kejar je kot. Permainan ni sangat memerlukan kekuatan kardiovaskular, sebab kalau nak kejar orang kena lah berlari kan.
Peraturan dia pun senang je, pada mulanya seorang pengejar akan dipilih secara random dan yang tak dipilih itu automatik akan menjadi pelari. Pengejar kena kejar pelari lain sampailah dia dapat menyentuh badan mereka, sekaligus pelari yang disentuh itu akan menjadi pengejar yang seterusnya. Had masa pun tak ada sebenarnya, so main je lah sampai pengsan, baru lah berhenti ye.
2. Polis Sentri, jangan kena tangkap dengan Sang Saka Biru!
Permainan ni siapa je tak tahu, ia agak sama dengan kejar-kejar tetapi mempunyai peraturan yang berlainan. Polis Sentri ni basically akan ada dua kumpulan iaitu polis dan juga pencuri, masa nak pilih siapa jadi polis or pencuri tu pun ada lagu dia sendiri tau. Lirik dia macam ni…
“Polis Sentri, one two jaga, polis mati pencuri jaga,” Lirik lagu Polis Sentri, petikan dari childhood penulis
Tak tahu lah lirik tu betul ke tak, sebab ada yang kata lirik yang kita semua nyanyi dulu tu salah. Tak kisahlah, asalkan dapat main. Dalam pada itu, kerja polis adalah mengejar dan menangkap pencuri. Pencuri yang telah ditangkap pula akan dimasukkan dalam penjara, tapi pencuri masih ada peluang menyelamatkan pencuri yang dalam penjara tu dengan menyentuh mereka. Kenangan betul.
3. Pukul berapa datuk harimau, auummm!
Satu lagi permainan yang melibatkan aktiviti tangkap-tangkap iaitu pukul berapa datuk harimau, permainan ni sangat berbeza dengan dua permainan awal tadi. Dia melibatkan seorang (yang akan jadi datuk harimau) dan orang lain yang akan ditangkap oleh datuk harimau. Mereka yang jadi orang biasa perlu bertanya kepada datuk harimau dengan liriknya iaitu pukul berapa datuk harimau.
Selepas itu datuk harimau akan menjawab dengan tak kisah pukul berapa pun kecuali pukul 12, pemain lain perlu melangkah ke hadapan mengikut jumlah ‘pukul berapa’ yang diberitahu oleh datuk harimau. Jika datuk harimau berkata pukul 12 je dia akan mula mengejar pemain, mereka yang ditangkap akan menjadi datuk harimau yang seterusnya.
Kenapa pukul 12? Sebab pukul 12 kan waktu lunch, kira dah tiba masanya untuk datuk harimau kita makan lah.
4. Batu seremban, ni bukan tempat kat Negeri Sembilan ye
Ni lagi satu permainan yang agak menarik, korang memerlukan koordinasi tangan yang sangat bagus untuk jadi pemenang. Ini disebabkan korang kena menimang batu seremban iaitu sebuah kain berbentuk tiga segi yang disumbat pasir menggunakan tangan. Bak kata orang inggeris, kena pandai juggling.
Namun, ia lebih popular dikalangan wanita kot. Ini disebabkan lelaki kan jenis suka main benda-benda lasak je masa kecil, tapi ramai je lelaki yang pandai main batu seremban ni.
5. Baling selipar, jangan main kalau tak nak sakit
Ini antara permainan yang agak brutal, dinasihatkan kepada mereka yang takut akan kesakitan tu jauhkan diri daripada benda ni. Baling selipar ni antara permainan yang agak taktikal sebenarnya, ini disebabkan korang kena ada skill bidikan yang tepat dan juga kemahiran mengelak yang bagus.
Sebab, di awal permainan, selipar akan disusun dan ditindih dalam keadaan berdiri dan setiap pemain akan cuba menjatuhkan selipar yang disusun itu mengikut giliran masing-masing. Sesiapa yang dapat menjatuhkannya, akan diberi kebenaran untuk baling selipar kepada pemain lain yang harus mengelak dan siapa yang terkena balingan selipar itu akan dikira tersingkir.
Namun, permainan tidak berhenti di situ sahaja. Sesiapa yang dapat menyusun dan dirikan kembali selipar tu semua, round baru akan bermula. Siapa yang pernah termakan selipar tu kitorang ucap takziah lah ye, jika korang ada versi yang lain, sila lah komen di bawah ye.
6. Lompat tikus, tikus memang pandai lompat ke?
Lompat tikus ni antara permainan yang klasik, kira kalau korang menang tu memang korang hebat lah. Ia memerlukan pemain untuk melompat, tu je.
Tapi ada lah peraturan yang korang kena ikut, dia ikut level ketinggian pada setiap pusingan lah di mana kita akan susun telapak tangan menindih tangan orang lain. Tugas pemain adalah melompat melepasi tangan yang ditindih tu, kalau kaki korang terkena tangan, korang dikira tersingkir. Dalam erti kata lain, ni kira sukan lompat tinggi versi low budget lah.
Kitorang tak tahu kenapa orang panggil ni lompat tikus, kenapa tak panggil lompat kijang ke, lompat harimau ke, kalau korang ada jawapan kenapa, boleh lah bagitahu kitorang ye.
7. Galah panjang, tak ada kena mengena dengan galah pun
Sebut je permainan dulu-dulu, mesti orang akan ingat tentang galah panjang. Sebab permainan ni wujud lama betul, zaman atuk nenek kita lagi dah wujud. Ia merupakan permainan di mana pemain harus melintasi garisan berhalang tanpa disentuh oleh mana-mana pemain lawan.
Macam ni, dua pasukan diperlukan untuk memainkan galah panjang ni. Ada pasukan yang menyerang dan juga bertahan, kedua-dua pasukan akan dapat peluang untuk menyerang dan juga bertahan. Pasukan yang menyerang perlu melintasi garisan tanpa disentuh, manakala pasukan bertahan perlu berusaha untuk menyentuh pemain menyerang untuk menyingkirkan mereka.
Markah akan dikira berdasarkan berapa orang berjaya melintasi kesemua garisan halangan, pasukan yang lebih ramai berjaya akan dikira sebagai pemenang. Menarik bukan?
8. Konda-kondi, boleh develop jadi sukan sebenar
Yang ni mungkin agak asing sikit, sebab even ada budak-budak 90-an yang tak pernah main pun benda ni. Konda-kondi merupakan permainan rakyat yang boleh dikatakan sebagai sukan orang dulu-dulu sebaris dengan sepak takraw, cuma dia tak boleh survive untuk disenaraikan sebagai sukan sebenar pada hari ini.
Persediaan yang perlu dilakukan adalah dua jenis kayu iaitu kayu ibu (kayu panjang) dan kayu anak (kayu pendek). Permainan juga perlu dilakukan di padang yang terbuka, sebab nak kena korek lubang kecil. Tujuan lubang tu adalah untuk memudahkan pemain untuk menyongket kayu anak melambung ke udara.
Nak main dia pula memerlukan dua pasukan, setiap pasukan at least kena ada 3 orang di mana mereka akan main one two som untuk menentukan siapa mulakan permainan. Pemain pertama akan menyongket kayu anak ke udara setinggi dan sejauh yang boleh selepas itu meletakkan kayu ibu kedalam lubang, pemain lawan pula perlu mendapatkan kayu anak tadi dan membaling ke arah kayu ibu.
Jika kayu anak itu terkena kayu ibu atau pun masuk ke dalam lubang, pemain pertama itu akan disingkirkan, jika tidak kena, kiraan markah akan dibuat dengan mengukur jarak kayu anak dengan lubang (setiap panjang kayu ibu dikira satu markah). Tapi, korang boleh buat all kill! Korang just kena tangkap kayu anak yang telah dilambung itu sebelum ia capai tanah.
Siapa yang paling banyak menang pusingan, dia akan dikira sebagai pemenang.
Jangan dilupakan permainan yang pernah isi masa lapang korang
Setakat ni tu je lah kot senarai yang ada, walaupun banyak lagi permainan dulu-dulu yang wujud tapi kalau kitorang letak semuanya artikel ni akan jadi panjang gila. Korang pun share lah sikit kat komen permainan apa je korang pernah main dulu-dulu, mana tahu kita semua boleh hidupkan kembali permainan macam ni ke kan.
Dengan dunia moden yang berkembang pesat ni, nak tak nak kita pun kena sama-sama mengikut perkembangan semasa. Cara mengisi masa lapang pun makin berubah, sebab itu lah manusia, kita kena sentiasa berubah mengikut peradaran masa. Walau apa pun, tak kira lah moden macam mana pun kita semua berubah, jangan lah kita lupakan sejarah yang telah membentuk kita semua dulu.
- 66Share sekarang!
- Email0
- Facebook66
- Share