Baru-baru ni, satu benda yang tak best untuk didengar pasal negara kita berlaku, bukan kat sini tapi kat hutan hujan Papua New Guinea (PNG). Kumpulan alam sekitar Rimbawatch, Bruno Manser Fonds, dan PNG Environmental Alliance keluarkan laporan 56 muka surat yang mendakwa ada syarikat Malaysia terlibat dalam projek pembalakan besar-besaran kat sana. Dah la selama ni diorang ‘botakkan’ hutan kat tanah sendiri, sekarang ni diorang nak expand “portfolio” kat luar negara pulak.

Jadi, laporan tu cakap pasal apa?
Tajuk laporan yang dikeluarkan adalah: “Exposing Malaysia’s Grip over Papua New Guinea’s Forests”. Laporan tu ringkasnya dedahkan macam mana lebih kurang 2 juta hektar hutan PNG (lebih kurang saiz negeri Perak) tengah terancam sebab lesen pembersihan hutan. Dan kalau korang nak tau, 97% daripada lesen tu ada kaitan dengan orang Malaysia. Dan bukan “orang biasa-biasa”…

Paling “best”, nama-nama yang terlibat ni bukan calang-calang. Ada ahli majlis perbandaran Sarawak, bekas senator, dan juga seorang Dato Sri yang dulu jadi presiden Sarawak Chinese Federation. Kitorang cerita pasal diorang ni kejap lagi. Tapi dulu, macam mana syarikat Malaysia boleh pegang lesen pembalakan kat negara yang 3,000 km jauhnya?
Semua ni bermula daripada undang-undang tanah PNG

Kat PNG, majoriti tanah dimiliki oleh komuniti pribumi, melalui apa yang dipanggil customary land (Tanah Adat). Tanah tu dimiliki secara kolektif oleh puak dan diwarisi turun-temurun, dan diurus ikut adat sendiri.

Tak macam Malaysia yang semua tanah kena ada geran atau strata, kat PNG lebih 90% tanah orang cuma ‘tahu’ sebagai hak keluarga yang duduk situ, walaupun tak ada apa-apa dokumen.Benda ni jadi masalah kat perniagaan/syarikat yang nak bangunkan sesuatu kawasan. Ye la hari ni kau buat kerja elok-elok, tiba-tiba esok ada orang datang cakap itu tanah pusaka moyang dia.
Untuk elak masalah tu, kerajaan PNG buat satu benda nama dia Akta Tanah, yang bagi diorang boleh sewa tanah adat bawah skim ‘Special Agricultural and Business Lease’ (SABL). Nama panjang gila, tapi untuk mudah faham, ia bagi syarikat hak sementara untuk guna tanah tu, sementara hak pemilik asal “direhatkan” sepanjang tempoh sewaan. Dan yep… bunyi macam kau kena scam tapi tu la yang berlaku.

Dalam 10 tahun lepas SABL ni wujud, banyak syarikat yang dapat lesen ni kena heret pergi mahkamah sebab dalam undang-undang, tuan tanah kena setuju dulu sebelum apa-apa dibuat. Tapi… ramai tuan tanah langsung tak pernah setuju pun. Contohnya, pada 2013, satu Suruhanjaya Siasatan semak 72 SABL dan hanya empat je yang betul-betul ada persetujuan tuan tanah dan projek pertanian yang sah. Yang lain tu… memang tin kosong dan penipuan semata-mata.
Jadi persoalannya, kalau tuan tanah kena setuju…
Macam mana orang tempatan boleh “terbagi” tanah diorang?
Biasanya bermula dengan janji-janji manis.

Pada 2014, satu laporan TV tempatan tunjuk satu projek kelapa sawit kat PNG yang dikatakan sebagai peluang besar untuk penduduk tempatan. Cerita dia senang je, komuniti tu kurang kemudahan macam klinik dan sekolah, kalau diorang setuju, syarikat tu janji nak bina jalan, hospital, sekolah, bagi kerja dan macam-macam lagi. Memang lah orang kampung teruja. Sampai gabenor pun sokong sekali.

Jadi dengan semua tu, syarikat dalam video 2014 tu dah ada restu kerajaan, persetujuan tuan tanah, dan visi pembangunan yang nampak menarik. Untuk mulakan projek, diorang perlukan lesen khas dipanggil Forest Clearing Authority (FCA).

Kalau SABL macam lesen utama yang bagi syarikat guna tanah adat untuk pembangunan, FCA pulak macam “permit” untuk tebang lebih 50 hektar hutan untuk tujuan tu. Yang penting, FCA ni bukan untuk penebangan hutan komersial itu lain lesen, nama dia Forest Management Agreement (FMA), dengan lebih banyak peraturan supaya penebangan kurang merosakkan hutan. FCA ni khas untuk tebang pokok supaya boleh tanam benda lain, macam tanaman pertanian atau kelapa sawit.

Kat sinilah semua benda mula jadi haru. Syarikat-syarikat perasan yang diorang boleh guna FCA untuk tebang kayu tanpa perlu ikut semua peraturan leceh yang datang dengan lesen pembalakan sebenar. Jadi, daripada mohon FMA dan ikut garis panduan ‘sustainable’, ada syarikat yang buat senang je letak perkataan ‘pertanian’ dalam proposal, terus jalan..
NGO pula jumpa banyak red flag macam pelan projek yang jelas tak masuk akal tapi entah macam mana boleh lulus, syarikat minta nak clear tanah jauh lebih besar daripada apa yang diorang perlukan, atau “kebetulan” cuma tebang kayu mahal dan tinggalkan kayu lain. Lagi teruk, FCA sepatutnya mewajibkan tanah yang dah dibersihkan tu digunakan untuk pertanian atau pembangunan, tapi banyak kes langsung tak jadi apa. Ada syarikat yang ambik kayu, lepas tu hilang terus.Bila orang tempatan bantah, ada syarikat siap panggil polis untuk senyapkan diorang.
Dan kat sinilah Malaysia masuk.
Yang kaut untung paling banyak daripada pembalakan ni… orang Malaysia
Mengikut laporan tu daripada 67 lesen Forest Clearing Authority (FCA) kat PNG, 65 daripadanya, iaitu 97%, dipegang oleh syarikat yang ada kaitan dengan Malaysia. Sama ada syarikat tu anak syarikat firma Malaysia, atau pengarah dan pemegang sahamnya orang Malaysia (atau duduk selesa kat Malaysia). Senang cerita, kalau kau baling dart kat peta PNG, besar kemungkinan dart tu kena hutan yang lesen pembalakannya milik orang Malaysia.

Bila cakap orang Malaysia, bukan tauke biasa-biasa. Laporan tu kenal pasti 79 orang Malaysia, dan beberapa nama yang memang…hmmm.
Antaranya:
- Tiong Kuoh Hii, bekas Senator Sarawak
- Dato’ Sri Piew Seng Ngu, bekas presiden Sarawak Chinese Federation
- Seorang ahli majlis perbandaran Sarawak yang masih aktif politik
Lepas tu ada pulak nama-nama yang pernah muncul dalam Panama Papers, dokumen bocor yang dedahkan individu kaya simpan duit kat akaun luar negara untuk elak cukai. Nama macam Chung Ching Ting, Ting Chiong Ming, dan beberapa lagi. Dan ada juga seorang Dato’ Sri yang tengah disiasat SPRM sebab skandal rasuah tanah di Sabah.
Yang paling menarik, ramai berasal dari dinasti balak Sarawak, keluarga yang terkenal menarah hutan Malaysia:
- 5 orang keluarga Hii (Asia Plywood Group)
- 8 orang keluarga Lau (KTS Group)
- 12 orang keluarga Ling (Shin Yang Group)
- 9 orang keluarga Tiong (Rimbunan Hijau)
- 10 orang keluarga Wong (WTK Group)
Kalau campur semua sekali, keluarga-keluarga ni cuma 31% daripada orang Malaysia yang terlibat, tapi diorang pegang 60% lesen dan hampir 80% keluasan kawasan FCA. Itu pun belum kira yang pernah ada masalah dengan pihak berkuasa PNG. Ada pasangan yang dituduh pembalakan haram, ada yang kena dakwa sebab penipuan, dan ada seorang lagi yang terus kena deport.

Pendek kata, ini bukan cerita pasal beberapa ahli perniagaan Malaysia tebang pokok sikit-sikit. Ini syarikat balak besar yang dulu botakkan hutan Sarawak, dan sekarang buat benda sama lagi, cuma kali ni seberang laut dalam tanah orang lain. Dan kesannya memang menakutkan.
Dalam satu FCA yang sepenuhnya dimiliki rakyat Malaysia, laporan tu dakwa tuan tanah tempatan yang tak bagi persetujuan diugut dengan senjata api dan ada yang dikurung dalam kontena sampai seminggu. Syarikat yang sama dikatakan bayar polis untuk takutkan penduduk kampung, dengan seorang mangsa kata rahang, gigi, dan mulut dia patah masa serangan tu.
So… bila dah teruk macam ni…
Siapa nak bersihkan semua ni? Macam mana?
Laporan tu cadangkan beberapa benda terutamanya untuk kerajaan Malaysia.

Mula-mula, laporan tu minta SPRM buka siasatan ke atas syarikat Malaysia yang disebut. Tujuannya nak tengok sama ada ada benda mencurigakan pasal cara diorang masuk PNG dan sama ada diorang langgar undang-undang kita sendiri yang guna kat luar negara, macam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Aktiviti Haram.
Laporan tu juga cadang kerajaan kukuhkan perlindungan untuk NGO, aktivis, dan media sebab diorang lah yang paling mudah kena saman atau diugut bila dedahkan salah laku syarikat.
Lepas tu ada jejak duit pulak. Laporan tu cadang Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti buat senarai hitam pembiayaan untuk syarikat yang kantoi langgar National Action Plan on Business and Human Rights. Maksudnya, kalau kau terbukti salah laku hak asasi manusia atau rosakkan alam sekitar, jangan harap boleh pergi bank kat Malaysia mohon pinjaman besar lagi.

Pasukan yang buat laporan ni pun ada lancarkan petisyen, minta hentikan penebangan hutan kat PNG dan batalkan semua FCA yang wujud sekarang. Masa ni ditulis, baru lebih 3,500 orang tandatangan. Jadi kalau rasa nak bantu sikit, boleh lah ikut tandatangan juga.
Sebab pada akhirnya, apa yang berlaku ni bukan cuma pasal beberapa orang Malaysia ambik kesempatan kat komuniti jauh. Ia juga tunjukkan siapa kita sebagai masyarakat dan negara, dan macam mana dunia nampak kita.
