- 31Share sekarang!
- Email0
- Facebook31
- Share
[Artikel ni asalnya ditulis tahun 2020, dan dah diolah semula untuk menggambarkan situasi semasa.]
Baru-baru ni, Microsoft dah sahkan khabar angin tentang Xbox Series X digital. Versi ni akan jadi versi lebih berpatutan untuk konsol Xbox yang paling berkuasa ni. Baru-baru ni, seorang tech YouTuber, Austin Evans kongsikan gambar cip processor yang akan digunakan dalam Xbox terbaru ni:
Cip ni adalah buatan Malaysia!
Disebabkan tu, kami buat sikit research dan ternyata…
Malaysia pernah jadi pengeksport terbesar cip berteknologi tinggi
Untuk bagi senang faham pada korang yang tak tahu pasal cip ni, cip (atau processor, mikrocip, dan litar bersepadu) adalah bahan semikonduktor (silikon) yang ada beberapa litar elektronik padanya. Ok, faham?
Cip ini mula digunakan secara meluas sekitar tahun 1960, bila syarikat-syarikat pembuatan litar bersepadu ni bermula dengan Intel yang ditubuhkan pada 1968 dan Advanced Micro Devices atau AMD ditubuhkan pada 1969. Syarikat-syarikat ni mula buat perancangan untuk cipta cip yang lebih baik dan pantas dan perlukan tempat untuk kilangkan benda ni. Masa tu lah Malaysia ambil peluang keemasan ni.
Pada 1972, kedua-dua Intel dan AMD membuka kilang pembuatan di Pulau Pinang. Menurut Dr Goh Pek Chen, dalam kertas kajiannya pada 1999 bertajuk ‘The Semiconductor Industry in Malaysia’, mengatakan ia adalah situasi ‘menang-menang’ untuk kedua-dua syarikat dan kerajaan Malaysia pada ketika itu. Sebab waktu itu, syarikat Amerika cari tempat untuk pembuatan cip dengan kos yang rendah berbanding hasilkan di negara diorang sementara kerajaan memang berhasrat untuk tambah peluang pekerjaan sebab waktu tu diorang tengah cari cara untuk tingkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat.
Benda ni kemudian berjaya penuhi hasrat kerajaan untuk tambah peluang pekerjaan. Sedekad selepas Intel dan AMD buka kilang semikonduktor diorang, lebih 20,000 orang mendapat pekerjaan dalam industri ni, dan meningkat pada 48,000 orang pada akhir 90-an.
“Menjelang awal 1980-an, terdapat empat belas firma semikonduktor MNC (tidak termasuk anak syarikat) beroperasi di negara ini. Malaysia menjadi negara Dunia Ketiga tunggal terbesar untuk firma semikonduktor luar pesisir.”
Dr Goh Pek Chen, seperti yang dipetik daripada kertas kerja 1999 ‘The Semiconductor Industry in Malaysia’
Pada tahun 1980, ⅓ daripada jumlah eksport perkilangan di Malaysia datang daripada industri semikonduktor dan Pulau Pinang yang menjadi pusat kepada syarikat-syarikat ini dikenali sebagai ‘Silicon Valley Malaysia’
Industri semikonduktor Malaysia ketinggalan sedikit pada tahun 90-an
Tapi….kebangkitan Malaysia dalam industri berteknologi tinggi tak kekal lama bila negara lain macam Korea Selatan mula bangunkan industri diorang. Masalah Malaysia pada waktu tu adalah bila negara lain mula merekabentuk dan buat kajian untuk bangunkan cip diorang sendiri, industri semikonduktor kita masih kekal dalam tahap pengeluaran yang rendah.
“Walaupun Malaysia telah mengeluarkan semikonduktor sejak suku abad yang lalu, keupayaan teknologi tempatan kekal sederhana.”
Dr Goh Pek Chen, seperti yang dipetik daripada kertas kerja 1999 ‘The Semiconductor Industry in Malaysia
Ada usaha untuk giatkan balik industri berteknologi tinggi Malaysia. Bermula 1997 rancangan pembangunan Cyberjaya diumumkan. Cyberjaya terletak berhampiran Putrajaya dan ditetapkan untuk jadi Silicon Valley Malaysia kedua., yang mana bakat tempatan dalam bidang sains dan teknologi boleh bekembang.
Tapi sekarang ni, ada pendapat yang kata Cyberjaya ni tak pernah berjaya. Satu artikel dalam Majalah Wired mendakwa Cyberjaya hanya menempatkan pusat perkhidmatan Firma IT Global dan bukannya pusat penyelidikan. Tahun 2019, Multimedia Super Corridor (MSC) diberi lampu hijau dari kerajaan untuk ‘reboot’ semula Cyberjaya.
Sebuah syarikat tempatan Silterra Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1995 untuk menyelidik dan membangunkan industri semikonduktor dalam negara. Ia diimiliki oleh Khazanah, namun terdapat beberapa masalah yang berlaku pada syarikat ini pada ketika itu. Terdapat juga cadangan untuk menjual syarikat ni pada syarikat dari China tapi dihentikan oleh Dr Mahathir pada saat akhir. Hasilnya hari ni, Silterra berkembang dari industri semikonduktor ke beberapa bidang lain.
Baiklah, kita balik ke cip buatan Malaysia ni (walaupun design kat Taiwan) yang akan digunakan kat Xbox Series X, konsol permainan video yang dijangka akan jadi paling berkuasa setakat ni.
Sebab kenapa cip ni ‘Buatan Malaysia’ adalah AMD. CPU Xbox Series X ni sebenarnya diubahsuai daripada salah satu processor AMD. Jadi boleh kata AMD la yang buat cip ni. Cumanya AMD dah jual majoriti pegangannya kat Pulau Pinang pada sebuah syarikat China bernama TongFu Microelectronics dan dinamakan semula TF AMD. Jadi komponen ‘Buatan Malaysia’ pada cip tu je yang dipasang dan dikilangkan kat sini sementara cip silikon dibuat oleh syarikat Taiwan.
Ni bukan pertama kali Malaysia terlibat dalam penghasilan cip processor untuk konsol Xbox. Bukan je processor Xbox Series X je, processor Xbox One X pun dibuat di Malaysia juga. Cumanya, walaupun kita terlibat dalam pembuatan cip ni, konsol Xbox tak pernah dilancarkan secara rasmi kat Malaysia.
Buat masa ni, tweet pasal cip ‘Buatan Malaysia’ ni akan trending kejap, jadi bila kita nampak Xbox Series X, sekurang-kurangnya kita boleh la rasa bangga sebab kita terlibat dalam pembuatan benda tu.
- 31Share sekarang!
- Email0
- Facebook31
- Share