Lelaki Malaysia ini menubuhkan band bersama vokalis Motorhead

Penangan Lemmy Kilmister dalam band Motorhead, membuatkan ramai peminat metal menyukainya. Dengan suara garang sambil bermain gitar bass membuatkan ia menjadi seorang vokalis yang sangat ikonik.

Penglibatan Lemmy dalam Motorhead adalah satu kejayaan terbesar yang sehingga kini masih diingati orang ramai walaupun beliau sudah meninggal dunia. Menggunakan band untuk menjadi popular seperti pernah muncul dalam beberapa filem dan animasi serta pernah mencipta lagu tema untuk Triple H, iaitu “The Game”.

Namun, sebelum Lemmy sertai Motorhead, beliau sebenarnya pernah menubuhkan band lain (lari genre juga la). Mungkin ramai tak tahu yang Lemmy pernah menubuhkan band bersama seorang lelaki yang berasal dari Malaysia.

Mimpi psikedelik yang menjadi kenyataan

Usahlah kami meromantiskan mengenai lelaki Malaysia ini, kami bagitahu saja siapa. Beliau ialah lelaki bernama Sam Gopal.

Inilah Sam Gopal. Imej daripada Blackadder367 (YouTube).

Sam Gopal pernah tinggal di Malaysia kemudian pindah ke London untuk sambung belajar pada sekitar 1960-an. Beliau ini boleh dikatakan lahir untuk bermain muzik kerana seawal 7 tahun lagi dia pandai bermain tabla (satu alat muzik dari budaya India).

Pada 1966, Sam Gopal menubuhkan sebuah kumpulan bernama Sam Gopal’s Dream. Band ini memfokuskan pelbagai genre antaranya, rock psikedelik, blues dan muzik tradisional india.

Antara barisan pertama ahli kumpulan Sam Gopal:

  • Sam Gopal: Tabla.
  • Mick Hutchinson: Gitar.
  • Pete Sears: Gitar bass.
  • Andy Clark: Keyboards dan vokal.

Kemudian, Sam Gopal berpecah seketika kemudian Sam membuat rombakan ahli kumpulan dengan mengumpulkan ahli baharu serta menukar nama band kepada Sam Gopal, iaitu:

  • Lemmy Kilmister: Gitar dan vokalis utama.
  • Roger D’Elia: Gitar Utama.
  • Phil Duke: Gitar bass.

Kesemua gabungan alunan muzik dan vokal dari Andy menciptakan muzik blues yang sangat merdu. Sam Gopal berjaya menghasilkan satu buah album sahaja, iaitu Escalator (1969). Terdapat juga beberapa lagu yang popular:

  • Cold Embrace.
  • Sky Morning.
  • Escalator.
Kulit album Escalator (1969). Imej daripada Discogs.

Macam mana Lemmy Kilmister menyertai Sam Gopal? Sebelum Lemmy sertai Sam Gopal, beliau baru saja selesai bekerja sebagai ‘roadie’ untuk jelajah konsert bersama Jimi Hendrix dan Pink Floyd. Kepada yang tidak tahu, roadie ialah seorang yang ditugaskan untuk menyediakan segala peralatan untuk band atau penyanyi.

Kemudian, Sam Gopal menjemput Lemmy untuk menyertai kumpulannya. Penglibatan Lemmy dalam band ini hanya seketika sahaja (untuk satu album saja), pada 1968. Lepas saja bersama dengan band dalam penghasilan album Escalator, Lemmy keluar dari band dan sertai Hawkwind.

Lemmy semasa bersama Hawkwind. Imej daripada Tumblr.

Kejayaan Sam Gopal band ni tidak lama kerana selepas saja satu album, mereka berpecah pada 1971. Hal ini kerana disebabkan kontroversi lagu-lagu dalam album mereka serta seni muzik yang tidak mendapat sambutan. Walaupun Sam cuba mengumpul ahli kumpulan baru, seperti Alan Mark (vokalis), Mox Gowland (harmonika & seruling), Mickey Finn (Gitar) dan Freddie Gandy (gitar bass), band ini tetap gagal.

Kekal dengan muzik meskipun sudah berpecah

Sam Gopal meluaskan seni muzik secara solo selepas berpecah. Beliau berjaya menghasilkan tiga album dalam masa tiga tahun saja. Antara albumnya:

  • Sam Gopal’s Music Factory (1971).
  • Sam Gopal’s Enchanted Garden (1972).
  • Sam Gopal’s Third Eye (1973).

Tiga album ini juga dibantu oleh beberapa ahli muzik lain, seperti John Cale, Robert Wyatt dan Kevin Ayers.

John Cale. Imej daripada Listal.

Selepas berjaya menerbitkan tiga album, Sam Gopal pergi kembali ke India untuk menjadi guru muzik pada era 80-an. Dia juga mengambil kesempatan menghasilkan satu album, Sam Gopal’s Indian Ragas pada 1985 dan Sam Gopal’s World Music pada 1990.

Banyak sahaja sebenarnya album yang beliau hasilkan cuma ramai tak tahu. Antaranya, pada 1981, Sam ada membuat album Father Mucker, tapi tidak diterbitkan (tiada sumber mengatakan kenapa). Namun, menjelang 1999, beliau melancarkan album Father Mucker … Rhythm On A Tightrope.

Kulit album Father Mucker … Rhythm On A Tightrope. Imej daripada laman web Sam Gopal.

Sam Gopal telah meninggal dunia pada tahun 2009. Meskipun sudah tiada, tetapi beliau telah mencipta satu laman web sendiri sebagai arkib seni muziknya (boleh tekan di sini). Boleh dikatakan Sam Gopal ini agak underrated sebab bukan semua orang boleh layan muzik beliau. Hal ini kerana sesiapa yang meminati rock psikedelik saja yang minat dengan muzik beliau hasilkan.