- 1.7KShare sekarang!
- Email13
- Facebook1.7K
- Share
UPDATE 17/06/2019: Dunia hari ini dikejutkan dengan berita pemergian Dr Mohamed Morsi yang meninggal dunia ketika perbicaraan di mahkamah. Menurut laporan media, Morsi rebah selepas penutup sesi perbicaraan di mahkamah dan meninggal dunia sejurus selepas itu.
______________________________________________________________
Pada 29 Mac 2018 lepas, kita dilaporkan yang bekas Presiden Mesir – Dr Mohamed Morsi mungkin akan mati lebih awal dalam tahanan penjara Mesir. Hal ni diberitahu sendiri oleh panel pemantau – Ahli Parlimen (MP) dan peguam dari Britain. Perkara ni dijangkakan jadi kerana Morsi…
“Tak dapat rawatan secukupnya, penjagaan diabetis yang tidak mencukupi dan pengurusan terhadap penyakit hatinya yang tidak mencukupi.
Akibat dari penjagaan yang tidak mencukupi ini, mungkin akan menyebabkan kemerosotan terhadap keadaan jangka panjangnya, yang mungkin menyebabkan kematian pra-matang.” – Laporan Detention Review Panel (DRP), dipetik dari Al-Jazeera.
Seperti mana yang kita tahu, Morsi adalah Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik pada tahun 2012, selepas Hosni Mubarak digulingkan. Apa yang lagi menarik, Morsi ni berasal dari pertubuhan paling kontroversi di Timur Tengah – Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood). Jadinya, masa dia berjaya jadi Presiden Mesir dulu, itulah antara kejayaan paling berbahagia untuk pertubuhan tu.
Walaupun macam tu, impian Ikhwanul Muslimin nak mentadbir Mesir tak kekal lama sebab setahun beberapa bulan lepas tu Morsi digulingkan. Maka naiklah Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang jadi Presiden Mesir sekarang ni. Nasib Ikhwanul Muslimin pulak makin ditekan dekat Mesir dan negara-negara Arab lain.
Ikhwanul Muslimin: Perjuangan yang tak pernah selesai
Kalau nak cerita pasal Mesir ni, tak terlepas kita dari terbayangkan piramid yang jadi antara 7 keajaiban dunia. Kewujudan piramid tu dah membuktikan yang Mesir bukanlah satu negara yang biasa-biasa, tapi sebenarnya sebuah negara yang menyimpan khazanah ribuan tahun.
Tapi sejarah moden negara tu tetap tak terlepas dari penjajahan dan pada tahun 1922, negara tu diisytiharkan merdeka dari British. Walaupun macam tu, British masih lagi menguasai Mesir dalam beberapa sektor macam ekonomi dan sosial. Jadinya, muncullah golongan yang nak membebaskan Mesir dari semua unsur ni dan bercita-cita membina Mesir dengan nilai-nilai Islam.
Maka, tertubuhlah Ikwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) yang diasaskan oleh Hassan al-Banna pada tahun 1928. Tapi disebabkan ideologi pertubuhan ni bertentangan dengan apa yang pihak pemerintah pegang, Ikhwanul Muslimin dapat banyak tekanan dan penindasan.
Salah seorang tokoh besar Ikhwanul Muslimin – Sayyid Qutb dah dihukum gantung pada tahun 1966. Malah sebelum tu, Hassan al-Banna sendiri ditembak mati pada tahun 1949, yang dipercayai dilakukan oleh pihak Polis Rahsia Kerajaan Mesir. Seterusnya, gerakan ni tetap ditindas, malah dituduh sebagai pengganas.
“…penyokong-penyokong terus menerus diburu, ditangkap dan dipenjarakan, dibunuh dan dijatuhkan hukuman bunuh dengan bantuan penjajah.
Beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin turut mengambil langkah melarikan diri ke beberapa negara lain, termasuk apa yang berlaku ke atas Dr. Yusuf Qardhawi, yang akhirnya bermastautin di Qatar.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Bangkitnya rakyat di bumi Firaun dan para ulama
Mesir sebenarnya negara yang kaya dengan hasil-hasil bumi macam – petrol, gas asli, besi, bijih emas, kapas dan pelbagai lagi. Selain dari sumber-sumber ni, Mesir juga jana pendapatan dalam sektor pelancongan kesan dari peninggalan sejarah yang ada kat negara tu.
Walaupun macam tu, majoriti rakyat kat negara tu masih lagi hidup dalam kemiskinan dan kemunduran. Jurang perbezaan antara orang kaya dengan orang miskin juga masih terlalu jauh kalau nak dibandingkan. Hal ni ditambah lagi dengan budaya korup dan pemerintahan diktator dari pemimpin awalnya – Gamal Naser sampailah Hosni Mubarak.
“Ketika zaman Anwar Sadat dan Hosni Mubarak mereka mengamalkan sistem kapitalis tulen di mana Polisi Ekonomi Terbuka (Infitah/Open Door Economic Policy) dijadikan polisi negara sehingga menjadikan negara tersebut sebuah negara yang dikuasai oleh kuasa besar dan pelabur asing.” – Dr Saodah Abd Rahman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (USIM). Dipetik dari Utusan Malaysia.
Sebenarnya, bukan Mesir je yang ada masalah kemiskinan dan kemunduran ni, tapi ada juga negara lain yang ada masalah sama. Sebab tu jugalah berlakunya kebangkitan rakyat di Tunisia yang lepas tu berjangkit ke Libya dan Mesir. Inilah apa yang dipanggil sebagai kebangkitan Arab atau Barat menggelarkannya sebagai Arab Spring.
Makanya turunlah ribuan rakyat Mesir menuntut supaya Mubarak diturunkan dari jawatan Presiden. Akhirnya pada tahun 2011, Mubarak berjaya digulingkan. Jadinya, terbukalah pintu untuk Mesir mengamalkan demokrasi dan mengadakan pilihan raya secara demokratik.
Nasib menyebelahi Ikhwanul Muslimin apabila Morsi berjaya menang dan dipilih sebagai presiden Mesir yang baru. Walaupun Morsi menang, majlis tentera dah bertindak mengekang kuasa Presiden Mesir. Jadinya, nak atau tak, Morsi masih lagi kena bekerjasama dengan tentera sebelum buat rombakan Perlembagaan negara.
Jatuhnya Morsi kerana tangan asing dan gerakan yang anti-kerajaan Islam
Walaupun macam tu, nak buat Perlembagaan baru ni bukan senang sebab ia libatkan banyak pihak. Hal ni jadi tambah masalah bila draf Perlembagaan ni dibuat sepenuhnya oleh parti Islam, lepas parti liberal dan Kristian memulaukan mesyuarat menulis draf tu.
“Sejak itu, golongan sekular, liberal Islam dan Kristian mula menunjukkan penentangan terhadap kerajaan Morsi.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Dalam waktu sama, pentadbiran Morsi juga dibelenggu dengan krisis ekonomi, kekurangan bahan bakar dan kemunculan kumpulan anti-kerajaaan yang dikatakan berlaku hampir setiap hari. Disebabkan tu, ada yang berpendapat – cubaan menggulingkan Morsi ni disebabkan oleh isu agama.
“Tunjuk perasaan yang dilakukan oleh Tamarod bukanlah disebabkan isu draf Perlembagaan itu, tetapi hakikatnya ada pihak yang tidak suka dengan pemerintahan Islam.” – Abdul Aziz Ali, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun macam tu, ada juga mengaitkan tindakan penggulingan ni dengan peranan halus dari Mubarak dan kuncu-kuncunya. Sebabnya, kesan dari kemenangan Morsi dan kejatuhan Mubarak, ia dah menyebabkan banyak kroni Hosni jatuh rugi, dan ia termasuklah dengan campur tangan kuasa asing.
“Contohnya pada 2010 Mesir mengimport 3,866,000 tan metrik gandum dari Amerika Syarikat tetapi pada 2012 (semasa pemerintahan Morsi) Mesir tidak mengimport langsung gandum dari negara tersebut begitu juga dengan jagung.” – Dr Saodah Abd Rahman, dipetik dari Utusan Malaysia.
Selain tu, kejatuhan Morsi juga dikaitkan dengan kegagalannya dalam pemeritahan Mesir. Omar Ashour, penganalisis politik dari Exeter University berkata – tindakan pasukan Morsi yang tak berpengalaman, dah membuatkan diorang bagi banyak janji-janji yang hakikatnya sangat susah nak ditunaikan.
“Dia mewarisi hutang awam yang besar dan legasi korup Hosni Mubarak selama 30 tahun. Rasa tidak puas hati dengan keadaan ekonomi dalam negara telah terlalu tinggi.” – Omar Ashour, katanya kepada CNN.
Selain tu, tindakan Morsi yang agak tergesa-gesa dalam menerapkan ideologi Ikhwanul Muslimin dalam pemerintahan Mesir juga nampaknya membuatkan negara tu bertambah berpecah.
Hal ni ditambah lagi bila draf Perlembagaan negara tu menyatakan semua undang-undang dan dekri yang dikeluarkan oleh Morsi adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Manakala, Dr Chandra Muzaffar pula beritahu, masalah pemerintahan Morsi adalah dasar-dasar kerajaannya yang agak keliru. Disebabkan hal ni, ia dah menguatkan ‘tangan-tangan ghaib’ yang selama ni nak menjatuhkannya. Walau apapun, keadilan tetap wajib kita bagi kat Morsi yang baru je memerintah Mesir selama setahun, sedangkan kehancuran sistem negara tu dah wujud sejak berpuluh-puluh tahun dulu.
“Beliau adalah Presiden yang dipilih secara demokrasi dan jika ada yang mahu menyingkirkannya, ia harus dibuat menerusi peti undi, bukan rampasan kuasa yang didokong tentera.” – Dr Chandra Muzaffar, Presiden JUST. Dipetik dari Sinar Harian.
Kesan dari kejatuhan Morsi ni, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dah hantar bantuan kewangan sebanyak $3 bilion kepada Mesir, diikuti oleh Arab Saudi sebanyak – $2 bilion.
Ikhwanul Muslimin terus ditekan dan digelar gerakan pengganas
Lepas kejatuhan Morsi, maka bermulah kembali pemerintahan tentera yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Sisi. Dalam waktu sama, ramai pemimpin dan penyokong Ikhwanul Muslimin ditangkap, dipenjara dan dijatuhi hukuman mati. Hal ni termasuk jugalah Morsi yang dah dijatuhkan dengan pelbagai hukuman sejak tahun 2015.
Untuk maklumat, Ikhwanul Muslimin ni bukan je jadi musuh kepada pemerintah-pemerintah Mesir dari dulu, tapi juga Arab Saudi yang menyenaraikan gerakan ni sebagai kumpulan pengganas. Disebabkan hal ni jugalah Arab Saudi dan sekutunya (termasuk Mesir) memutuskan hubungan dengan Qatar yang didakwa melindungi dan menyokong Ikhwanul Muslimin.
Tapi kenapa Arab Saudi benci sangat dengan Ikhwanul Muslimin ni? Dalam hal ni, pengkaji ada senaraikan beberapa sebab, antaranya…
- Menjaga hubungan dengan Amerika yang bagi pulangan ‘petroDollar’ kepada negara Arab.
- Memelihara proksi Arab Saudi di Timur Tengah.
- Menyekat potensi pesaing kepada kepimpinan Arab Saudi pada masa hadapan.
Seperti mana yang kita tahu, selama ini Hamas adalah antara penghalang paling kuat untuk Israel menguasai Palestin. Apa yang pasti, Hamas adalah cawangan Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan oleh Syeikh Ahmad Yassin.
Disebabkan ideologi dan fahaman gerakan ni terhadap Amerika dan Zionis sangat berbeza dengan Saudi, makanya ia dah dikira sebagai ancaman kepada negara tu.
“Sebaliknya raja-raja negara Arab memerlukan sistem ‘petrodollar’ Amerika di mana hasil petroleum mereka yang dilaburkan dalam mata wang Dollar memberi pulangan yang jauh lebih besar berbanding melabur atau menggunakan hasil minyak dalam negara mereka semata-mata.” – Abdul Muein Abadi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dipetik dari Sinar Harian.
Buat masa sekarang, negara-negara yang senaraikan Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi pengganas adalah Mesir, Arab Saudi, Rusia, Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Walaupun begitu, Ikhwanul Muslimin masih lagi aktif dan berpengaruh di beberapa negara melalui parti-parti politik macam – Parti Ennahda (Tunisia), Islamic Action Front (Jordan), Minbar (Bahrain) dan Kuwait Islamic Constitutional Movement (Kuwait).
Nasib Ikhwanul Muslimin masih lagi samar untuk tahun-tahun mendatang
Pada bulan Ramadhan 1973, dah jadi satu perang yang dipanggil sebagai Perang Ramadhan atau Perang Yom Kippur. Hal ni jadi bila Israel menduduki Sinai dan Gaza yang masa tu berada di bawah kekuasaan Mesir, manakalah Bukit Golan pula milik Syria.
Perang ni diketuai oleh Mesir dan Syria, serta dibantu oleh Jordan, Iraq, Libya, Arab Saudi, Tunisia, Algeria, Maghribi dan Cuba. Di belakang Israel ada Amerika Syarikat (AS) dan di pihak Arab ada Soviet Union.
“Hasil perang itu ialah Mesir memperoleh Sinai. Walaupun mereka gagal mendapatkan balik Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan, wilayah untuk negara Palestin dapat diwujudkan dengan ia masih diduduki Israel, iaitu Gaza dan Tebing Barat, tanpa Baitulmaqdis.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.
Masa perang ni, semua pihak tanpa mengenal fahaman dah menentang Israel kecuali Iran dan Turki yang masa tu kawan baik dengan Israel dan AS. Tapi hari ni, nampaknya semua dah berubah, Saudi dan Mesir pulak yang rapat sangat dengan AS, manakala Iran dan Turki pulak yang lantang mengkritik negara ni.
Kita juga ada dengar yang Fattah al-Sisi menang pilihan raya dengan 97 peratus undi, tapi dilaporkan cuma 41 peratus je pengundi yang keluar mengundi. Walaupun begitu, kemenangan tersebut menunjukkan sekali lagi kawalan keras rejim al-Sisi di bumi Mesir.
“Sebab itu saya jangkakan status quo kekal untuk Morsi dipenjara dan Ikhwanul (Muslimin) dilabel sebagai pengganas. Dengan cara ini saja sudah memadai bukan sahaja Mesir tetapi juga Arab Saudi kekang pengaruh dan ancaman Ikhwanul Muslimin.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.
Menurut Azmi lagi, walaupun al-Sisi berjaya mengekalkan kuasa, tapi rejim itu masih lagi bergantung sepenuhnya kepada Arab Saudi dari segi ketenteraan dan ekonomi. Jadinya, perjalanan Mesir masih lagi jauh kalau nak jadi sebuah negara berpengaruh kat rantau Asia Barat.
Di sudut lain pulak, nampaknya nasib Ikhwanul Muslimin dan para penyokongnya masih lagi samar untuk beberapa tahun mendatang. Walaupun begitu, kita pun kena ingat yang Ikhwanul Muslimin ni dah bergerak selama 90 tahun dan pengaruhnya masih cukup besar dalam dunia Islam. Kita semua mengimpikan dunia Islam yang aman dan makmur.
- 1.7KShare sekarang!
- Email13
- Facebook1.7K
- Share