Hasan Al-Banna: Anak tukang jam dengan 600 ribu pengikut

Beberapa ketika yang lalu, tersebar gambar rakyat Qatar berebut-rebut beli barang keperluan kat supermarket sebab takut habis. Semua panik sebab laluan untuk stok makanan masuk melalui sempadan Arab Saudi telah ditutup serta-merta.  Ini semua adalah kesan daripada terputusnya hubungan antara Qatar dengan Arab Saudi dan Negara-Negara Teluk (GCC) yang lain.

“Saya tak pernah tengok perkara macam ini terjadi – orang membawa troli yang penuh dengan makanan dan air.” – Warganegara Qatar ditemu ramah Doha News.

Mak aih! Belum promosi dah licin. Imej dari Arabnews

Keputusan yang dibuat oleh Arab Saudi dan sekutunya ini adalah atas alasan yang Qatar ni ada hubungan baik dengan Iran. Selain tu, Qatar juga dikatakan memberi sokongan dan dana kepada kumpulan yang dilabel pengganas seperti Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood).

Ikhwanul Muslimin ni adalah satu gerakan Islam yang ditubuhkan oleh orang Mesir. Tapi, dalam krisis ni, kerajaan Mesir sendiri turut bersama memutuskan hubungan dengan Qatar sebab diorang sendiri tak sokong gerakan ni. Padahal presiden diorang suatu masa dulu pun dari Ikhwanul Muslimin.

Jadi kenapa Kerajaan Mesir sekarang pun anggap diorang pengganas?

Presiden ke-5 Mesir dari Ikhwanul Muslimin. Imej dari New York Times

Penyokong Ikhwanul Muslimin dibunuh ketika solat berjemaah

Presiden Mesir sekarang adalah Abdul Fattah Al-Sisi, merupakan seorang tentera yang diangkat setelah rampasan kuasa dilakukan terhadap presiden sebelum tu iaitu Mohamed Morsi. Morsi ni pula dari parti Freedom & Justice Party (FJP) yang merupakan sayap politik bagi Ikhwanul Muslimin. Dia naik melalui  Revolusi Mesir 2011 setelah berjaya menggulingkan Hosni Mubarak yang telah memerintah selama 30 tahun.

Setelah revolusi tu berakhir, berlakulah pilihan raya secara demokrasi buat pertama kalinya yang menyebelahi Morsi. Semasa pemerintahan dia, banyak perubahan yang diusahakan, namun tetap masih ada kelemahan. Antaranya ialah tersebar berita yang kuasa tentera akan hilang jika dia terus memerintah. Maka dengan sebab tu, tentera di bawah pimpinan Abdul Fattah Al-Sisi juga rasa lain macam.

Tentera rasa cemas waktu ni. Gif dari Giphy.com

Sebelum rampasan kuasa oleh tentera, ratusan ribu rakyat turun ke jalanan semula menyatakan Morsi patut letak jawatan. Namun begitu, mereka yang menyokong Morsi juga turut turun ke jalanan untuk menyatakan sokongan diorang. Penyokong Morsi waktu tu berpendapat,

“Kami telah memilih presiden dan sekarang mereka mahu menghalau dia sewaktu dia sedang berdepan dengan tinggalan kerajaan yang telah korup selama 30 tahun. Dan mereka mahu menggulingkan dia selepas baru setahun memerintah.” – Petikan dari The Guardian.

Waktu tu juga, berlakulah pertembungan antara dua penyokong yang menyebabkan kematian. Suasana tak aman tu telah memberi peluang untuk tentera mengambil alih pemerintahan melalui rampasan kuasa. Morsi pula dikenakan tahanan rumah dan kemudian dipenjarakan.

Suasana di dataran tempat penyokong Morsi berhimpun. Imej dari Aljazeera

Setelah Morsi digulingkan dan ditahan, penyokongnya berhimpun kat Dataran Rabaa sepanjang bulan puasa. Diorang berkhemah, solat berjemaah dan berqiamulail kat situ. Tapi satu perkara tak disangka telah berlaku apabila tentera bertindak menembak dan membunuh mereka yang sedang solat di dataran tu. Kejadian yang dipanggil Rabaa Massacre ni telah mendapat kecaman seluruh dunia.

Kiranya, nampaklah tentera yang diketuai Abdul Fattah Al-Sisi ni memang dah lama tak puas hati dengan Ikhwanul Muslimin. Jadi bila Al-Sisi jadi presiden, dasar luar negara itu kembali menyokong Arab Saudi dan Negara-Negara Teluk (GCC). Seperti mana yang kita tahu, Arab Saudi sangat memusuhi Ikhwanul Muslimin. Jadi siapa Ikhwanul Muslimin ni?

Ikhwanul Muslimin ni adalah antara gerakan Islam paling lama dan berpengaruh yang ada kat Mesir sejak 1924 lagi. Pengaruh gerakan ni adalah hasil daripada  cara dakwah yang berkesan oleh pengasasnya sendiri iaitu Hasan Al-Banna (Mursyidul Am pertama).

Pembunuhan di Rabaa masih tetap diingati. Imej dari Gettyimage

Anak tukang jam yang mempunyai 600 ribu pengikut

Hasan Al-Banna dikatakan lahir di kampung al-Mahmudiyah, Mesir pada tahun 1906. Bapa dia iaitu Syeikh Ahmad bin ‘Abd al-Rahman bin Muhammad al-Banna pula memiliki sebuah kedai jam dan terkenal sebagai orang yang boleh baiki segala jenis jam.

Selain terkenal sebagai orang yang pandai pasal jam, dia juga dikatakan menguasai bidang hadith. Jadi, tak hairanlah yang Hasan Al-Banna ni dapat pendidikan agama yang baik dari bapanya sejak kecil lagi. Selain dari bapanya sendiri, dia juga mendapat didikan dari seorang guru bernama Syeikh Muhammad Zahran.

Kalau nak repair semua ni boleh tak? Imej dari wmu-aaup.com

Dia juga pernah menjadi ahli kumpulan sufi, Al-Hasafiyah yang banyak mempengaruhi cara hidup dan ibadahnya. Sewaktu belajar lagi dia dikatakan sudah mengetuai beberapa organisasi. Apa yang menarik, pada umur seawal 13 tahun, dia sudah mengetuai sebuah demonstrasi di Damanhur ketika berlaku Revolusi 1919 yang menyebabkan British mengumumkan Mesir sebagai negara merdeka.

Walaupun dah merdeka, British masih lagi menguasai Mesir dari beberapa sektor macam ekonomi dan sosial. Waktu dia belajar di Cairo pada tahun 1923, Hasan Al-Banna nampak yang rakyat Mesir dah mula tinggalkan ajaran agama. Dia pun memulakan aktiviti dakwahnya bermula di kedai-kedai kopi, kafe dan warung-warung. Akhirnya, atas sokongan beberapa orang yang pernah dia temui, sebuah gerakan tertubuh.

Cuba teka mana satu Hasan Al-Banna? Hint: Duduk paling bergaya pakai tarbus. Imej dari Ahmedbialydotcom

Pada bulan Zulkaedah 1347H bersamaan Mac 1928M, Gerakan al-Ikhwanul-Muslimun telah ditubuhkan di rumah pengasasnya iaitu Hasan al-Banna di Isma’iliyyah, setelah berbincang dengan enam orang – Jurnal tulisan Zainudin Hashim, Fakhrul Adabi & Yusmini.

Dalam masa lapan tahun sahaja, gerakan ni telah berkembang pesat dari lima cawangan kepada tiga ratus cawangan dengan jumlah ahli seramai 150 000 orang. Disebabkan perkembangan itu, akhirnya Ikhwanul Muslimin memasuki arena politik pada tahun 1941.

Pada tahun 1949, organisasi Ikhwanul Muslimin telah mempunyai lebih kurang dua ribu pejabat di sekitar Mesir dan 600 000 ahli yang aktif (Munson, 2001: 488–490) – Jurnal tulisan Ronnie Azoulay.

Hasan Al-Banna diangkat oleh pengikutnya. Imej dari Ikhwanweb

Cara dakwah Hasan Al-Banna dan Ikhwanul Muslimin pada waktu tu memang lain daripada yang lain, sehingga membuatkan diorang berkembang dengan sangat cepat. Cara dakwahnya adalah macam ni…

Al-Banna serahkan sebahagian gajinya untuk Ikhwanul Muslimin

Hasan Al-Banna berjaya mempengaruhi ribuan orang Mesir waktu tu untuk bersama dia. Apa yang dilakukan oleh dia sepanjang mengetuai gerakan ni bukanlah melalui populariti tetapi sikap dia yang begitu rendah diri dan rapat dengan pengikutnya. Contoh macam himpunan penulisan dakwah dia  yang telah menyebut ratusan nama pengikut yang ada kenangan bersama dia.

Ketua Ikhwanul Muslimin mempunyai daya ingatan yang sangat luar biasa dan merupakan seorang legenda kerana kebolehan dia untuk mengingati ribuan nama, wajah dan perkara terperinci mengenai kehidupan pengikutnya – Jurnal tulisan Brynjar Lia.

Sepanjang mengetuai gerakan itu, dia dikatakan secara berterusan sering melawat kampung-kampung dengan hanya memilih tiket kelas ketiga pengangkutan awam. Dilaporkan juga yang dia mendermakan sebahagian dari gaji bulanan dia untuk organisasi tersebut. Gaya hidup sederhana inilah yang menyebabkan para pengikutnya merasakan tidak ada lagi pemimpin macam ni pada zaman tu.

Ni tiket kelas ketiga kat Ireland bukan Mesir. Imej dari Dailymail

Selain mempunyai akhlak yang baik, gerakan Ikhwanul Muslimin bawah pimpinan dia waktu tu mendapat tempat di hati rakyat Mesir. Sewaktu awal pergerakan Ikhwan, mereka telah memperkenalkan program pendidikan dan sekolah tersendiri. Diorang telah membuka sekolah bagi lelaki dan perempuan dalam usaha untuk melakukan perubahan pada sistem pendidikan Mesir waktu tu.

Program pendidikan diorang sangat memberi kesan waktu tu sebab bukan hanya mengunakan prinsip Islam sahaja, tetapi ia turut digabungkan dengan aspek sains dalam usaha untuk memodenkan pendidikan negara. Program yang diorang buat ni akhirnya sampai ke pengetahuan pemerintah.

Pada Musim Luruh 1946, Menteri Pendidikan, Muhammad Hasan al-Ashmawi telah menghantar surat rasmi kepada persatuan (Ikhwanul Muslimin) itu untuk mendapatkan sokongan dan peralatan pendidikan mereka bagi sebuah program yang akan dilancarkan kerajaan untuk membasmi buta huruf – Jurnal tulisan Jessamy Fussco-Fagg.

Kadar buta huruf di Mesir masih tinggi sampai sekarang. Imej dari Egyptindipendent

Bukan setakat tu sahaja, diorang juga ada gerakan yang menyelesaikan isu-isu kesihatan rakyat. Gerakan ni ada satu kumpulan sukarelawan (Rovers) yang bekerja di kawasan pedalaman untuk menyebarkan pengetahuan pasal kebersihan dan membawa rawatan perubatan ke kampung-kampung. Diorang juga nampaknya berjaya tubuhkan klinik dan hospital untuk membantu rakyat.

Ini memberi kesan yang sangat baik untuk penjagaan kesihatan yang ditawarkan kepada umum, sebagaimana ia merawat 21 672 pesakit pada tahun 1945 – Jurnal tulisan Jessamy Fussco-Fagg.

Haah. Doktor dari Ikhwanul Muslimin yang rawat saya. Gif dari Giphy.com

Peranan gerakan yang banyak membantu masyarakat ni telah digelar sebagai ‘negara dalam negara’ oleh seorang pengkaji. Lepas berkembang dalam negara sendiri, gerakan ni berkembang pula di luar negara. Pada tahun 1946 hingga 1948, perkembangan Ikhwanul Muslimin telah menyebabkan pembukaan cawangan di luar macam Palestin, Sudan, Iraq dan Syria.

Tapi hidup ini bagaikan tayar kereta yang berputar, sekejap di atas dan sekejap dibawah. Begitu juga Hasan Al-Banna dan gerakan dia.

Ahli Ikhwanul Muslimin dituduh membunuh Perdana Menteri Mesir

Sepanjang Hasan Al-Banna mengetuai gerakan ni, isu pencerobohan Zionis Israel terhadap Palestin mendapat perhatiannya. Maka banyaklah demonstrasi dan bantahan terhadap kerajaan Mesir dan British yang pada waktu tu dilihat berpihak kepada Israel. Selain tu, Hasan Al-Banna turut menghantar pasukan sukarelawan untuk membebaskan Palestin yang turut bersama pasukan dari Liga Arab.

Pada Oktober 1947, Al Banna mengisytiharkan untuk menghantar sepuluh ribu ahli Ikhwanul Muslimin sebagai pasukan pertama untuk berjuang di Palestin- Petikan dari Ikhwanweb

Tentera Liga Arab senyum. Imej dari Joshualandis.oucreate.com

Namun begitu, Mahmud al-Nuqrasyi yang merupakan Perdana Menteri Mesir waktu tu mengumumkan yang pasukan tentera Mesir ke Palestin ditarik semula. Ikhwanul Muslimin juga turut terkesan dengan arahan tersebut. Disebabkan perkara itu timbul kemarahan dikalangan ahli Ikhwanul Muslimin terhadap kerajaan.

Akhirnya, ketegangan Kerajaan Mesir dengan Ikhwanul Muslimin menyebabkan kematian Mahmud al-Nuqrasyi pada Disember 1948. Dilaporkan bahawa dia telah dibunuh oleh seorang mahasiswa kedoktoran yang merupakan ahli Ikhwanul Muslimin.

Tapi Hasan Al-Banna menafikan dakwaan itu,

“Mereka bukan Ikhwan, bahkan mereka bukan Muslim…” Petikan dari buku Aku dan Ikhwanul Muslimin tulisan Yusuf Qaradhawi.

Berita pembunuhan Mahmud al-Nuqrasyi. Imej dari Patrick Poole

Perdana Menteri baru yang naik lepas tu telah mengharamkan Ikhwanul Muslimin sehingga menyebabkan ramai ahli mereka ditangkap, diseksa dan dipenjarakan. Pada tahun 12 Februari 1949, Hasan Al-Banna pula telah mati ditembak di dalam kereta dan ia dipercayai dilakukan oleh Polis Rahsia Kerajaan Mesir waktu tu.

Apa yang menyedihkan, tiada kawan-kawan yang dapat menguruskan jenazahnya kerana semua ahli Ikhwan kena tangkap. Hanya bapa, isteri dan anak-anaknya sahaja yang menguruskan jenazah Al-Banna hingga dikuburkan. Sepanjang pengurusan jenazah tu, polis memantau dan mengawasi mereka secara ketat. Macam tu lah pengakhiran hidup pengasas Ikhwanul Muslimin.

Ramai yang berinspirasikan Ikhwanul Muslimin termasuk gerakan Islam di Malaysia

Walaupun Hasan Al-Banna sudah tiada, idea dan cara dia berdakwah melalui Ikhwanul Muslimin tu telah memberi inspirasi kepada gerakan-gerakan Islam kat seluruh dunia. Gerakan Islam yang paling jelas terinspirasi adalah Hamas di Palestin yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin. Selain di Palestin, kat negara-negara lain juga ada gerakan Islam yang dibentuk atas inspirasi cara dakwah diorang. Seperti:

1) Islamic Action Front di Jordan
2) Islamic Constitutional Movement di Kuwait
3) Justice and Development Party di Morocco
4) Justice and Construction Party di Libya
5) Ennahda di Tunisia
6) Justice and Development Party di Turki
7) Islamic Movement, Southern Branch di Israel
8) Minbar di Bahrain
9) Movement for The Society and Peace di Algeria
10) Al-Islah di UAE

Hasan Al-Banna menerima lawatan dari tokoh agamawan dari Indonesia, H. Agus Salim. Imej dari Harakatuna

Gerakan Islam di Nusantara juga turut diinspirasikan dari idea Hasan Al-Banna macam Gerakan Muhammadiyah di Indonesia. Malaysia juga tidak terlepas, idea-idea seperti mewujudkan sistem usrah telah digunakan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan IKRAM Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan lain-lain.

Perdana Menteri Indonesia dulu, Sutan Syahrir turut melawat Hasan Al-Banna. Imej dari Harakatuna

Selain memberi inspirasi kepada gerakan Islam seluruh dunia, anak cucu Hasan Al-Banna juga nampaknya sangat bermanfaat kepada dunia Islam hari ni. Contohnya cucu dia iaitu Prof. Tariq Ramadan yang menjadi Pensyarah di Universiti Oxford dan menyebarkan dakwah di seluruh Eropah.

Ramai betul follower dia. Tapi follower datuk dia lagi ramai 600K. Imej dari Twitter

Kita boleh contohi cara Al-Banna dalam berdakwah

Hasan Al-Banna dulu selalu berdakwah kat kafe, warung dan kedai kopi pada awal pergerakannya. Jadinya tak salah untuk kita cuba cara tu buat masa sekarang, tetapi dengan cara yang lebih sesuai. Sebagai contoh, kita buat perbincangan ilmiah kat kedai makan dengan menjemput orang-orang yang pakar dalam sesuatu bidang.

Macam ni lah diskusi tu. Imej dari Konfrontasi.com

Walaupun hari ni beberapa negara macam Amerika Syarikat dan Arab Saudi melabelkan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas, itu semuanya kerana ketegasan politik gerakan tu dan bukannya cara bagaimana mereka berdakwah.

“Hanya apabila ia cuba mengambil pendirian tegas dalam sesetengah keputusan politik yang bercanggah dengan pendirian rasmi sesetengah negara Arab, contohnya dalam perang Teluk, ia telah dimusuhi dan dianggap sebagai pengganas dan pemberontak.” Abdul Muein Abadi, Pensyarah Sains Politik UKM ketika dihubungi SOSCILI.

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT