- 279Share sekarang!
- Email7
- Facebook272
- Share
Minggu lepas, Malay Mail Online ada sebut pasal ikan ‘transgender’ yang dikatakan boleh menyebabkan kecelaruan hormon kepada sesiapa yang memakannya. Kajian yang dilakukan juga mengatakan yang salah satu sebab perubahan jantina haiwan dalam laut dan sungai adalah disebabkan pencemaran air, khususnya pembuangan sisa kimia dan ubat-ubatan.
“Bagi manusia yang memakan ikan yang terdedah kepada perubahan hormon ini, kesannya juga boleh berlaku untuk jangka panjang terutamanya melibatkan hormon seseorang,”- Profesor Madya Dr Yuzine Esa, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Perkara ni turut disokong oleh Pensyarah Bidang Ekofisiologi Hidupan Air di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
“Jika hormon seseorang terganggu, ia akan memberi kesan kepada sistem biologi badan manusia secara keseluruhan.”-Dr Nadirah Musa
Macam mana pulak ikan tiba-tiba boleh bertukar jantina? Menurut Evolution FAQ, benda ni berlaku kalau bilangan jantan atau betina banyak sangat, jadi dorang terpaksa ‘berkorban’ untuk memastikan spesies dorang terus.
Mak bapak korang sendiri pun mungkin selalu pesan korang kahwin dan dapat anak kan? Barulah keturunan tu ada pewaris katanya. Haiwan pun tak banyak bezanya.
Malah, ada haiwan lain yang menyamar, mengandungkan diri sendiri, membunuh dan macam-macam lagi bila mengawan untuk memastikan spesies masing-masing tak hilang kat dunia ni. Antaranya ialah…
1. Sotong jenis Cuttlefish menyamar sebagai betina kalau jantan lain lalu
Menurut kajian daripada Universti Macquarie, sotong jantan ada cara tersendiri untuk mengorat dan ‘melindungi’ betina yang dia minat. Bila sotong jantan jatuh cinta kat seekor sotong betina, dia akan datang rapat untuk melafazkan hajat di hati, untuk mengambil sotong tersebut jadi girlfriend dia. Dalam masa yang sama, untuk mengelakkan sotong betinanya ‘disailang’ oleh sotong jantan yang lain, sotong jantan akan menyamar jadi betina. Tapi bukan seluruh badan tau, cuma separuh je.
Sotong jantan yang tengah mengorat juga akan menunjukkan ‘sisi maskulin’nya pada sotong betina, dan ‘sisi feminin’ pada sotong jantan yang lalu. Cara ni digunakan supaya sotong jantan yang lalu-lalang akan nampak kedua-duanya adalah betina. Jadi, dia akan meninggalkan dua ‘kawan perempuan’ tersebut yang tengah ada girls-time.
Kalau penyamaran sotong jantan tu terkantoi, sotong jantan lain yang tertipu tu akan rasa tercabar. Jadi, dia akan cari gaduh untuk menunjukkan sapa lagi kuat dan maskulin. Biasanya sotong menyamar tu akan dibelasah teruk sebelum sempat untuk mengawan dengan girlfriend yang dia baru je mengorat tadi.
2. Lintah Bulan (Banana Slug) akan mengunyah penis pasangan diorang sampai putus
Dalam banyak-banyak lintah bulan, lintah bulan kuning adalah kedua terbesar berbanding spesies yang lain, di mana ia boleh membesar sampai sepanjang 25 cm! Lintah ni juga adalah jenis khunsa, maknanya ada dua organ pembiakan.
Kalau lintah bulan ni nak mengawan, diorang akan cari yang sama saiz. Bila dah berjumpa satu sama lain, diorang akan membentuk simbol yin yang macam gambar kat bawah tu. Masa ni diorang akan memasukkan penis masing-masing yang terletak di kepala, menembusi ke dalam badan pasangan, dan masing-masing mula mengandung.
Bukan tu je, selepas habis proses mengawan, salah seekor daripada lintah bulan tu akan menggigit dan mengunyah penis pasangan diorang sampai putus. Saintis panggil proses ni sebagai ‘Apophallation’.
Proses Apophallation dipercayai terjadi disebabkan organ pembiakan dalam badan salah seekor lintah tersebut ‘terperangkap’, dan tak boleh dikeluarkan. Ada juga yang berpendapat yang ia ada kaitan dengan ‘persaingan sperma’ supaya lintah yang digigit tu akan jadi betina. Bila jadi betina, maknanya dia dah tak boleh mengandungkan lintah yang lain (amboi, jeles). Tapi yang pasti, penis lintah yang putus tak boleh tumbuh balik.
3. Ayam betina boleh bertelur tanpa jantan?
Ayam adalah dari jenis burung dan bukan khunsa, di mana ada jantan dan betinanya. Macam mana nak tahu? Ayam jantan ada balung berwarna merah terang atas kepalanya. Ayam betina pula kurang menyerlah berbanding yang jantan.
Kalau korang nak tahu, kebanyakan spesies burung sebenarnya takde alat sulit termasuklah ayam jantan. Kedua-dua jantan dan betina cuma ada rongga yang dipanggil ‘cloaca’. Bila cloaca diorang bersentuhan, sperma akan dipindahkan ke saluran pembiakan betina, yang ambik masa beberapa minit je. Disebabkan rongga diorang cuma bersentuhan, ia dipanggil ‘ciuman cloacal’.
Tapi korang tahu tak yang sebenarnya ayam betina tak perlukan ayam jantan untuk menghasilkan telur? Ye, korang tak salah baca. Tapi, apa beza telur ayam betina yang bertelur dengan atau tanpa melalui proses mengawan dengan ayam jantan?
Kalau ayam jantan dan betina melalui proses ‘ciuman cloacal’, maka telur yang dihasilkan akan disenyawakan, dan jadilah anak ayam. Tapi kalau ayam betina hasilkan sendiri telurnya, ia cuma akan jadi telur yang tak menetas, yang korang boleh buat telur mata lembu ‘kasi goyang’.
4. Ikan Seabass Hitam boleh bertukar jantina untuk teruskan hidup
Kebanyakan ikan adalah khunsa, dan takde kromosom seks yang khas. Sesetengah jenis ikan yang lain pula awalnya ada satu jantina je. Bila sampai tahap matang, diorang boleh bertukar jantina disebabkan tindak balas alam sekitar, macam yang terjadi baru-baru ni.
Salah satu daripada ikan yang bertukar jantina ni adalah Seabass Hitam. Ia merupakan salah satu hidangan ikan yang sangat popular kat negara-negara Barat, dan antara yang paling mahal di dunia. Sejak tahun 2005, harga ikan jenis ni dah melonjak naik tiga kali ganda.
Menurut kajian dari Universiti New Hampshire pada 2006, ikan Seabass Hitam yang membesar dalam lautan dalam selalunya dilahirkan sebagai betina dan akan bertukar jantina kepada jantan selepas ia dah matang (lepas dua hingga lima tahun).
Tapi kalau korang nak tahu, ikan Seabass yang ditangkap sebelum matang pun boleh jugak bertukar jantina (walaupun umurnya belum dua hingga lima tahun). Malah perkembangan nya pun lebih tertumpu kepada pembiakan berbanding pembesaran.
Menurut hasil kajian saintis di Rutgers University, ikan Seabass Hitam ‘terpaksa’ menukar jantina daripada betina kepada jantan disebabkan populasi ikan jantan semakin berkurangan dan walaupun Seabass Hitam adalah jenis khunsa, tapi diorang tak boleh mengandungkan diri sendiri macam ayam betina buat. Sebab tu la sesetengah ikan betina lain akan ‘berkorban’ untuk populasi diorang.
Menurut Penolong Profesor di Jabatan Sains Marin dan Pantai Rutgers yang mengetuai projek ini:
“Bunyi macam gila, kan? Tapi dari segi perspektif evolusi, ia adalah cara terbaik untuk mengekalkan keseimbangan dalam populasi.
Kalau betul perkara ni adalah semulajadi, maknanya kita tak perlu risau untuk melepaskan balik Ikan Seabass Hitam jantan yang ditangkap.”- Olaf Jensen, Penolong profesor Universiti Rutgers.
5. Ikan Angler jantan melekatkan diri kepada betina untuk kelahiran semula
Masa ahli biologi Iceland Bjarni Saemundsson menemui spesies ikan ni pada tahun 1922, dia perasan yang ada dua ikan kecik bersambung dekat perut ikan Angler betina ni. Jadi dia fikir, mungkin tu adalah anak-anak kepada ikan Angler betina tadi. Tapi, dia rasa pelik kenapa muncung ikan kecik tu bersambung kat perut ‘ibu dia’?
Kes tu kemudiannya diselesaikan Charles Tate Regan yang bekerja di Muzium Sejarah Alam British. Dua tahun lepas tu dia menemui jawapan bahawa ikan kecil tu sebenarnya bukan lah anak-anak, tapi ia merupakan pasangan ikan Angler betina tersebut.
Ikan Angler betina ni tak sama dengan ikan-ikan yang kita selalu nampak kat pasar (atau peti sejuk rumah korang kalau tak biasa pergi pasar). Malah ikan ni nampak ngeri, konfem korang tak lalu nak makan dengan nasi atau buat kari kepala ikan.
Saiz ikan Angler betina juga lagi besar berkali ganda kalau nak dibandingkan dengan jantan. Tapi, macam mana pula diorang ni mengawan?
Bila ikan Angler jantan jumpa betina yang dia suka, dia akan gigit betina tersebut untuk bergabung menjadi satu. Masa ni bukan kulit diorang je bercantum, malah saluran darah yang membolehkan jantan tadi dapat nutrien daripada badan betina tersebut.
Bila badan dah melekat, ikan jantan tu pun tak payah susah-susah cari makan atau kena takut dengan ikan lain yang nak serang dia. Lepas beberapa minggu melekat, ikan Angler jantan juga akan perlahan-lahan kehilangan mata dan semua organ dalamannya, kecuali testis yang tergantung kat badan ikan betina tadi macam sepasang jerawat. Semua organ tu dah tak diperlukan lagi sebab dia dapat zat yang sempurna dengan menumpang di badan Angler betina. (Ni baru betul menyerahkan jiwa dan raga).
Walaupun dah ‘dilute’ atau ‘hilang’ ke badan betina, testis Angler jantan masih aktif. Apa dia perlu buat cumalah sediakan sperma bila betina tersebut bersedia untuk bertelur.
Tapi korang jangan tertipu pula kalau korang rasa diorang ni sehati, sejiwa, sebadan semua. Sebabnya, bukan seekor je jantan yang ada kat badan ikan Angler betina tu, tapi enam ekor dan ke atas, di mana kesemua Angler jantan nampaknya rela dimadukan. Perkara ni dipanggil poliandri, iaitu satu betina yang mempunyai ramai jantan.
6. Mentadak betina akan potong kepala jantan selepas atau sewaktu mengawan
Walaupun bunyi nama serangga ni agak alim, ‘Praying Mantis’ atau Mentadak (Mentadu macam mana abang tidur) ni tak kurang zalimnya bila dia mengawan. Dan bukan jantan yang kejam, tapi betina. Mentadak betina mulanya akan menggoda mentadak jantan dengan bau badannya, pheromone dan mereka akan mula menari macam Beauty and The Beast.
Kalau mentadak jantan tu menarik, yang betina akan bagi greenlight untuk mula mengawan. Dalam proses tu, tak kira la sebelum atau semasa, tahu-tahu je mentadak betina akan gigit kepala jantan sampai terputus. Bunyi mengerikan, tapi nampaknya ‘sexual cannibalism’ tu meningkatkan lagi masa mereka ‘bersama’, malah sampai berjam-jam! Lepas ‘settle’, mayat jantan tu akan dimakan sebagai zat untuk betina.
Haiwan lain yang popular dengan sexual cannibalism ni adalah labah-labah jenis Black Widow, yang memakan labah-labah jantan selepas mereka ‘bersama’.
Bagaimanapun, kajian baru-baru ni mendapati yang bukan semua labah-labah Black Widow betina akan makan labah-labah jantan. Dan tak semua mentadak jantan juga dimakan mentadak betina dalam proses mengawan tersebut. Kalau korang tak tahu, kebanyakan serangga betina lebih besar daripada serangga jantan.
7. Siput babi ambik masa 2 hingga 12 jam bercumbu sebelum mengawan
Sama macam lintah bulan, sesetengah siput babi pun khunsa. Sistem pembiakan siput terletak di bawah badan berhampiran kepala, yang dipanggil sebagai genital pore atau ‘rongga kelamin’. Setiap siput juga matang pada masa yang berbeza bergantung pada spesies dan keadaan diorang.
Bila dah matang secara seksual, siput akan mula dating dan bercumbu-cumbuan dengan beberapa pergerakan dulu. Proses tu saja ambil masa selama 2 hingga 12 jam! Proses ni untuk memastikan yang pasangan mereka adalah ‘the one’.
Disebabkan deria penglihatan diorang agak teruk, jadi siput babi akan menggunakan deria bau dan sentuhan untuk kenalpasti masing-masing. Dalam proses yang sama juga, diorang akan menggunakan tentakel mereka untuk menyentuh lebih lagi (tentakel diorang adalah alat kemaluan), dan kadang-kadang mula menggigit rongga kemaluan pasangan diorang.
Sebelum betul-betul mengawan, sesetengah spesies siput ni akan menggunakan senjata unik mereka iaitu ‘love darts‘, iaitu kalsium daripada badan mereka yang berbentuk anak panah. ‘Love darts’ tu cuma siput yang matang je ada, dan digunakan untuk menembus badan masing-masing masa tengah mengawan. Fungsi ‘love darts’ ni juga bukannya untuk memasukkan sperma dalam badan pasangan, tapi lebih kepada pemilihan seksual masing-masing.
Banyak je rahsia alam lain yang kita tak tahu
Sementara kita merenung kelakuan haiwan, banyak benda lain kita boleh belajar daripada alam. Mungkin apa yang kita nampak adalah pelik, tapi sebenarnya ia adalah perkara biasa bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk spesies masing-masing.
Kita juga selalu tertanya-tanya apa yang ada di langit, tapi sebenarnya banyak lagi yang kita tak tahu pasal apa yang ada di atas bumi dan juga dalam lautan. Kalau nak diikutkan pun, takkan habis ilmu alam ni. Malah ianya dah pun disebutkan dalam Al-Quran,
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Rabbku, sungguh habislah lautan itu sebelum kalimat-kalimat Rabbku habis (ditulis), meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula). -Surah Al-Kahfi, Ayat 109
- 279Share sekarang!
- Email7
- Facebook272
- Share