6 lagi kumpulan pengganas yang buat kami tak tidur malam

*UPDATE 28 SEPTEMBER 2016 – Selepas 52 tahun berperang, kumpulan FARC dan kerajaan Colombia telah bersetuju untuk letak senjata dan menghentikan pembunuhan antara satu sama lain. Beberapa orang kenamaan seperti Setiausaha PBB dan Setiausaha Amerika Syarikat telah menyaksikan hari bersejarah ini sambil ditemani oleh mangsa-mangsa peperangan.

Hari tu kami ada tulis artikel pasal 6 kumpulan pengganas yang menggerunkan dan disebabkan list dia terlampau panjang, kami ambil keputusan untuk buat part 2, yay!

Bagi sesiapa yang belum baca artikel part 1, kami cerita sikit maksud pengganas supaya korang faham kenapa kumpulan-kumpulan dalam artikel ni dipilih. Secara ringkasnya kumpulan pengganas merupakan sebuah kumpulan yang menggunakan kekerasan terhadap orang awam untuk menyebarkan ideologi mereka, tak kisahlah politik atau pun agama. Definisi ni juga boleh digunakan kat badan kerajaan.

Untuk artikel ni kami telah memilih kumpulan pengganas yang tak berapa nak famous tapi masih mendatangkan impak yang mendalam terhadap masyarakat sekeliling dan dalam setengah kes, melakar sejarah hitam untuk negara mereka. Jom!

1. Kongsi gelap Cina yang terlibat dalam perang saudara di Tanah Melayu

Nama Kumpulan: Hai San & Ghee Hin
Negara: Tanah Melayu

Hai San dan Ghee Hin adalah dua kumpulan kongsi yang ditubuhkan sekitar tahun 1820. Kumpulan kongsi ni biasanya ditubuhkan atas prinsip persaudaraan dan saling membantu antara ahli, tapi tapi lama-kelamaan mereka semakin dikenali kerana keganasan. Kami tak jumpa sebab asal permusuhan kedua-dua kumpulan gangster ni, tapi pergaduhan mereka untuk berkuasa dan hak melombong bijih timah telah berpanjangan selama 12 tahun!

chinese triad viola dot biz
Mungkin macam ni kot kongsi gelap time tu. Gambar dari viola.bz

Pada tahun 1850, Ghee Hin telah membunuh seramai 500 orang Cina Katolik dan memusnahkan 28 ladang mereka di Tanah Melayu. Antara sebab mereka tak puas hati adalah pemelukan Kristian yang telah mengurangkan keahlian orang Cina dalam kongsi Ghee Hin, sekaligus melemahkan pengaruh mereka.

Hai San pun tak kurang ganas. Sewaktu Perang Larut, Hai San telah menculik 14 orang Ghee Hin dan membunuh 13 orang daripadanya. Seorang yang terselamat tu dilepaskan supaya dia boleh kasi mesej kat member dia. Macam-macam benda jadi punca mereka bergaduh, daripada judi, skandal seks, dan jugak kawalan terhadap kawasan lombong.

Gambar dari travelblog.org

Kedua-dua kongsi ini jugak terlibat dalam perang saudara antara kerabat-kerabat diraja di Selangor dan Perak. Kat dua-dua kawasan ni, raja-raja Melayu tengah berebut akan pengaruh ke atas kawasan perlombongan, dan kumpulan Ghee Hin dan Hai San pun pergi sokong raja yang bertentangan dengan kumpulan lawan. Siapa kata dulu kita tak muhibbah.

Jadi gangster Cina sokong raja Melayu bergaduh sama sendiri, siapa yang untung? British jugak bila mereka menggunakan perang tersebut sebagai salah satu alasan untuk mengambil alih kuasa Sultan dan mula mentadbir.

2. Satu-satunya kumpulan militan yang berjaya bunuh pemimpin dunia

Nama Kumpulan: The Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)/Tamil Tigers
Negara: Sri Lanka

Bila Sri Lanka merdeka pada tahun 1948, bahasa rasmi mereka telah ditukarkan kepada Sinhalese (agama rasmi pulak adalah Buddha). Jadi masyarakat minoriti yang berbahasa Tamil dan beragama Hindu rasa makin tertindas, nak lagi bila ada beberapa rusuhan dibuat ke atas mereka. Percaya yang rusuhan ini dimulakan kerajaan, orang Tamil ingin ada negara sendiri dan inilah antara motif tertubuhnya LTTE pada tahun 1975.

LTTE dikatakan sebagai kumpulan militan paling teratur di dunia di mana mereka terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu politik dan ketenteraan. Bahagian politik bertanggungjawab atas pentadbiran termasuklah polis, mahkamah, dan komunikasi. Bahagian ketenteraan pun tak kurang lengkap temasuklah:

  • Pasukan gerila elit yang dikenali sebagai Charles Anthony Force
  • Sayap tentera wanita
  • Sayap tentera laut iaitu Sea Tigers
  • Sayap kajiselidik dan pembangunan
  • Bahagian jenayah dan salahlaku tentera
  • Unit Black Tiger yang ditugaskan untuk misi bunuh diri
Ahli LTTE. Gambar dari ceyloenews.com

LTTE adalah antara kumpulan pemberontak yang paling banyak menggunakan pejuang berani mati iaitu sebanyak 273 serangan, lagi banyak daripada Al-Qaeda atau kumpulan lain waktu tu. Malah mereka berjaya membunuh dua pemimpin dunia iaitu bekas Perdana Menteri India, Rajiv Ghandi, dan juga Presiden Sri Lanka, Premadasa.

Semangat syahid sangat kuat di kalangan LTTE, dan mereka dibasuh untuk menetang kerajaan Sri Lanka yang dianggap tak bertanggungjawab dan tak menjaga kebajikan masyarakat Tamil.

LTTE ada bajet tahunan sebanyak $200-$300 juta, kebanyakannya didapati daripada rangkaian Sri Lanka sedunia. Selain tu, mereka banyak melakukan jenayah termasuklah penyeludupan buruh, dadah, dan senjata, aktiviti lanun, cukai, peras ugut, dan sebagainya. Malah sekitar tahun 80-an jugak LTTE pernah dapat bantuan daripada segi kewangan dan latihan tentera daripada kerajaan India.

Gambar dari therepublicsquare.com

Kumpulan ini mula pupus setelah terbunuhnya ketua LTTE iaitu Chief Velupillai Prabhakaran pada tahun 2009 serta dikalahkan dalam perang Elam. Mereka kemudiannya diharamkan oleh kerajaan India, Sri Lanka, dan lain-lain negara.

3. Kumpulan yang ingin menyatukan Ireland daripada jajahan British

Nama Kumpulan: Ireland Republican Army (IRA)
Negara: Ireland

Irish Republican Army merupakan sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada 1917 untuk membebaskan Ireland daripada penjajah British. Setelah Perang Kemerdekaan Irish berakhir, perjanjian dicapai dan negara tersebut berpecah kepada Republik Ireland (merdeka) dan Ireland Utara (milik British).

Ok… sekarang buat gaya bebas! Ahli IRA asal tahun 1917. Gambar dari wikimedia.org

Namun masih ada ahli IRA yang tak setuju dengan perjanjian ni lalu melancarkan perang Saudara Ireland di dalam Republik Ireland menentang golongan yang menyokong kemerdekaan Ireland Utara. Namun golongan penyokong yang mendapat bantuan senjata daripada British akhirnya menang.

Lepas perang saudara, ahli IRA yang tak puas hati berpisah menjadi Provisional Ireland Republican Army (PIRA). Objektif utama mereka ni masih sama iaitu memisahkan Ireland Utara dari jajahan British. Sebelum 1972, taktik utama mereka adalah dengan serangan hendap, pembunuhan, dan bom secara kecil-kecilan. Kemudian selepas kejadian Bloody Sunday (waktu ni 13 orang penunjuk perasaan aman mati ditembak dengan askar British) PIRA mula mengamalkan taktik yang lebih ganas.

Ini bukan meriam buluh ye adik-adik. Gambar dari wikimedia.org

Pihak PIRA ni lebih kerap hantar bom, tembak-menembak, buat pembunuhan, dan kebakaran di Ireland Utara. Mangsa keganasan mereka? Balai polis, barrack askar, dan bar yang sering dikunjungi oleh tentera British. Tujuan utama PIRA buat macam ni adalah dengan harapan kerajaan British akan tinggalkan Ireland Utara. Bila serangan kat Ireland Utara tak menjadi, mereka fokus pada serangan kat tanah air orang British pula.

Di England, mereka telah bunuh beberapa orang penting dalam kerajaan British seperti Lord Mountbatten (pak cik Ratu Elizabeth II), pegawai Perdana Menteri British di Brighton. Tak cukup dengan tu, mereka telah menyerang Lapangan Terbang Heathrow dan kediaman Perdana Menteri dengan menggunakan mortar dan bom stesen kereta api bawah tanah…

Gambar dari Giphy.com

Taktik ganas PIRA ni adalah untuk mendesak kerajaan British untuk berdamai dan menyerahkan Ireland Utara, tapi penduduk tempatan tak sokong dengan cara PIRA ni. Masa pilihanraya kat Ireland hari tu, parti politik PIRA (Sinn Fein) hanya mendapat 1.5% undian je. Tapi PIRA ni peduli apa, mereka tetap melaksankan serangan kat Ireland Utara dan England.

Lepas lebih 30 tahun mengganas dan kematian seramai 3000 orang, akhirnya mereka bersetuju untuk meletakkan senjata pada tahun 1997. Kemudian pada tahun 2006, kerajaan British dan Ireland mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yakin IRA telah menghentikan segala aktiviri haram mereka.

4. Kumpulan ni pernah culik sampai 25 ribu orang

Nama Kumpulan: Revolutionary Armed Forces of Colombia (FARC)
Negara: Colombia

Sejarah kumpulan ni boleh dikesan sejauh 1948 bila dua parti politik utama, Liberal dan Conservative di Colombia berperang antara satu sama lain. Sepanjang 15 tahun berperang mereka telah meragut seramai 200,000 nyawa dan tempoh ni dikenali sebagai La Violencia.

Saki baki ahli parti Liberal yang hidup tu telah menyertai parti Komunis Colombia dan pada tahun 1966 mereka telah buka cawangan baru yang bernama FARC.

Gambar dari bbc.com

Motif asal kumpulan FARC ni adalah untuk membantu orang miskin dan untuk menampung kos mereka, FARC telah melibatkan diri dalam dunia dadah. Tapi mereka tak tanam atau mengedar, cuma kutip duit cukai je. Tahun yang sama juga FARC telah expand bisnes mereka ke penculikan dan peras ugut.

Sepanjang 1970 sampai 2010, FARC telah terlibat dengan lebih kurang 25,000 penculikkan, termasulah seorang Senator Colombia. Kumpulan ni punyalah power bab menculik sampaikan kerajaan Colombia terpaksa gadaikan tanah sebesar Switzerland untuk buat pertukaran banduan.

Antara mangsa culik FARC. Imej dari ssrresourcecentre.org

Kerajaan Colombia ingatkan budak-budak FARC ni boleh la behave sikit lepas dapat tanah tapi mereka lagi mengganas ada lah. Daripada tanah yang dapat tu, mereka akan berkumpul dan menyerang mana-mana bandar berdekatan untuk maintain bekalan. FARC juga bertanggungjawab untuk kecacatan/kematian seramai 10,000 orang (4,000 tu adalah penduduk awam) disebabkan periuk api yang ditanam mereka.

Sejak daripada tu, orang ramai mula tak suka kat FARC. Time tu mereka dah fikir yang FARC ni sebenarnya nak duit je dan bukannya keadilan untuk rakyat. Tahun 2002, Presiden Uribe telah mengangkat sumpah jadi pemimpin Colombia yang baru dan berjanji untuk menjinakkan FARC ni. Kebetulan time tu Amerika Syarikat telah meluluskan ‘Plan Colombia’ di mana mereka telah berjanji untuk menolong kerajaan Colombia menumpaskan sindiket dadah termasuklah FARC.

Team America pun masuk campur. Imej dari youtube Team America.

Pada Ogos 2016, ketua FARC Timoleon Jimenez telah memberi kenyataan yang mereka akan meletak senjata dan secara tidak langsung menghentikan peperangan yang telah berlansung selama lima dekad tu. Presiden Colombia yang baru, Juan Manuel Santos pun menyatakan yang tentera Colombia akan berhenti menyerang base FARC dan kumpulan ni dijangka akan memulangkan senjata kepada pihak PBB nanti.

*UPDATE 28 SEPTEMBER 2016 – Seperti yang dijanjikan, pihak FARC telah menghentikan segala aktiviti dadah mereka, serahkan semua senjata, dan berfungsi sepenuhnya sebagai parti politik

5. Kumpulan yang ingin membela Yahudi, tapi orang Yahudi pun tak suka

Nama Kumpulan: Jewish Defense League (JDL)
Negara: Amerika Syarikat

Ditubuhkan pada tahun 1968 oleh Rabi Meir Kahane, Jewish Defense League (JDL) yang menggunakan slogan ‘Never Again!’ adalah sebuah kumpulan yang menentang sentimen anti-semitik (anti yahudi). Apa yang bermula sebagai parti politik berhaluan kiri bertukar menjadi ganas bila mereka mengambil keputusan untuk menentang Kesatuan Soviet sekitar tahun 70-an.

Meir Kahane, pengasas JDF. Macam Saddam ada, macam Eric Cantona pun ada. Imej dari latimes.com

Sewaktu Perang Dingin, ramai orang Yahudi di Soviet tidak dibenarkan berpindah ke Israel, dan JDL ingin membela nasib mereka.

Ada pernah sekali tu ahli JDL tumpahkan darah kat kepala diplomat Soviet, pastu letak bom asap kat Dewan Carnegie di mana kumpulan orkestra dari Kesatuan Soviet tengah perform. Walaupun niat mereka nak ‘membantu’, orang Yahudi kat Kesatuan Soviet tak suka sebab ia menyukarkan dialog antara kerajaan dan penganut Yahudi kat sana.

Sorang penganut Yahudi dari Russia. Imej dari timesofisrael.com

Tapi yang masuk senarai musuh mereka tak terhenti kat situ je, mana-mana persatuan atau individu yang bertentangan dengan Yahudi confirm kena kacau. Ini termasuk jugalah komuniti Yahudi yang tak alim, aktivis Arab dan Muslim, ahli diplomat Amerika Syarikat dan kerajaan lain, wartawan, dan golongan professor.

Sebelum ni, JDL buat kesalahan yang tak bahaya sangat macam pecah masuk ofis NGO dan parti politik je tapi sejak 1976 mereka mula main bom. Mula-mula kat ibu pejabat PBB dan kemudiannya di pejabat Misi PBB Iraq, nasib baik bom-bom tu tak meletup. Tahun tu je ada lima serangan bom kat Amerika Syarikat.

Ibu pejabat PBB yang hampir meletup sebab JDF. Imej dari wikipedia.org

Tapi yang paling teruk adalah bila ahli JDL , Beruch Goldstein, telah pergi ke Tebing Barat dari dan melakukan tembakan rambang di Masjid Nabi Ibrahim. Goldstein telah membunuh seramai 29 orang dan mencederakan 150 orang. Serangan yang dibuat waktu solat maghrib masa tengah buka puasa tu telah diberi nama ‘Cave of The Patriarch massacre‘.

Sejak FBI masukkan JDL ke dalam list terrorist pada tahun 2001, mereka telah gulung tikar dan pindah ke negara lain, terutama sekali di kawasan Eropah, Selatan Afrika, dan Kanada. Setakat ni mereka dah tak buat serangan fizikal tapi hanya fokus kat Internet saje. Kebanyakan website dan blog mereka menyebarkan propaganda dan putar belit cerita pasal ahli politik dan berita dunia.

6. Kumpulan white supremacist yang menyokong Adolf Hitler

Nama Kumpulan: Aryan Nations
Negara: Amerika Syarikat

Aryan Nations merupakan sebuah kumpulan ‘white supremacy’ (lebih kurang macam Ketuanan Orang Putih la) yang ditubuhkan oleh Richard Butler. Selepas Perang Dunia Kedua, dia berguru dengan Wesley Swift (tiada kaitan dengan Taylor Swift) dan bila guru dia mati, Richard menyambung ajarannya dengan membuka sebuah gereja yang dipanggil sebagai Aryan Nations.

Selamat datang ke Persatuan Aryan Nations, sila ambil nombor giliran. Imej dari ballstonsociology.pbworks.com

Nampak macam sorang Kristian alim biasa kan? Sebenarnya tak! Richard ni merupakan sorang racist dan pernah meluahkan secara terbuka yang dia menyokong Adolf Hitler dan sering berdakwah pasal keburukan orang Yahudi dan bangsa lain. First meeting dia yang berlangsung pada tahun 1981 telah menarik perhatian ramai ahli Klu Klux Klan.

Tahun 1989 pula Richard bersama Aryan Nations ni celebrate birthday Adolf Hitler yang ke-100 kat kawasan rumah dia. Dia telah mengajak orang putih yang racist untuk datang dan yang perform kat event tu pula merupakan sebuah band Skinhead Nazi. Lain macam party xaxau dia ni.

Imej dari lemuttlamont.wordpress.com

Aryan Nations ni sebenarnya lebih kepada menghasut orang dari membuat jenayah fizikal. Tapi tu tak menghalang mereka untuk menjadi pengganas. Salah sorang pengasas kumpulan gangster, The Order merupakan ahli Aryan Nations dan hampir semua orang yang kat dalam kumpulan The Order tu telah berjumpa kat ladang Richard.

Melalui Aryan Nations, kumpulan The Order telah melakukan beberapa siri serangan terhadap penduduk Amerika Syarikat termasuk jugalah rompakan kereta besi, pembunuhan DJ radio, anggota polis, dan hampir berjaya membunuh seorang spy FBI. Aryan Nations juga dikatakan terlibat dengan sindiket cetak wang rompak di mana Richard telah menafikan dakwaan tu.

Pada tahun 1999, nama kumpulan ni betul-betul jadi buruk bila seorang ahli Aryan Nations, Buford Furrow, telah pergi ke pusat komuniti Yahudi dan melakukan tembakkan rambang. Insiden tersebut telah meragut seorang nyawa dan mencederakan lima orang. Setahun sebelum kejadian tu pula, sorang ahli Aryan Nations telah disabit kesalahan membantai seorang wanita dan anaknya, hasilnya? Aryan Nations kena bayar saman sebanyak USD$ 6.3 juta.

Imej dari giphy.com

Disebabkan kes saman tu, Richard terpaksa menyerahkan ladang dia kepada orang lain dan akhirnya diberi secara percuma kepada Idaho University. Ladang tu sekarang telah menjadi sebuah taman untuk student lepak. Time tu umur Richard dah 84 tahun, dia kemudiannya pass semua kuasa dia sebagai ketua Aryan Nations kepada pengikut dia Harold Redfeairn.

Dua tahun kemudian pada 2004, Richard telah mati dan Aryan Nations berpecah kepada dua sayap. Satu dipimpin oleh Harold, satu lagi tu oleh August Kreis III. Sejak dari tu kumpulan Aryan Nations telah jatuh lemah lagi-lagi tahun 2012 bila August letak jawatan sebagai ahli dan ketua cawangan Aryan Nations.

Sanggup ke kita melakukan keganasan demi mencapai cita-cita?

Sama seperti artikel kumpulan pengganas yang pertama, kebanyakan kumpulan yang dilabel sebagai terrorist dalam artikel ni mempunyai matlamat masing-masing. Bukanlah mereka ni tiba-tiba bagun pagi rasa nak bunuh orang dan bom tak tentu pasal.

Dan kalau korang perasan, kebanyakan kumpulan banyak memainkan sentimen ekonomi (kumpulan Ghee Hin dan Hai San, FARC), sentimen kaum/agama/bangsa (Aryan Nations, Jewish Defence League, Tamil Tigers),  dan juga sentimen kenegaraan (PIRA – walaupun pasa asalnya perselisihan kat Ireland adalah disebabkan ketidaksamaan antara Katolik dan Protestan).

Sesungguhnya sentimen macam inilah yang popular dan mampu meraih sokongan orang awam. Tapi kita kena tanya diri sendiri, adakah niat akan menghalalkan cara? Adakah kita akan sampai tahap sanggup membunuh demi mempertahankan apa yang kita anggap betul?

About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance